Quantcast
Channel: Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Viewing all 310 articles
Browse latest View live

Syeikh Abdul Kader Mullah, Mangsa Politik Sekular Bangladesh

$
0
0

Mahkamah Pengadilan Internasional Bangladesh yang diasaskan Sheikh Hasina Wajed telah mendakwa pemimpin Jamaat-El-Islami menjadi tali barut kerajaan Pakistan untuk menjatuhkan negaranya sendiri kerana tidak bersetuju dengan proses pemisahan Pakistan-Bangladesh. Konflik bersejarah itu berlaku selama 9 bulan, iaitu pada 16 Disember 1971 di mana Pakistan Barat (kini Pakistan), Pakistan Timur (kini Bangladesh) dan India, bertempur sehingga membawa kepada penubuhan negara Bangladesh.

Terbaharu pihak mahkamah telah mendakwa Abdul Kader Mullah, pemimpin Jamaat-el-Islami bersalah dan memutuskan hukuman mati di atas tanggungjawab kejahatan perang 1971. Sedangkan pada bulan Februari lalu, Abdul Kader Mullah dihukum penjara seumur hidup dan tiba-tiba berubah menjadi hukuman mati. Human Rights Watch yang berpusat di New York sebelum ini mengatakan prosedur hukuman yang digunakan oleh mahkamah itu tidak memenuhi standard internasional.

Perubahan hukuman terhadap Abdul Kader Mullah ini adalah perubahan yang berpunca daripada protes golongan sekular yang menganggap keputusan asal terhadap Abdul Kader Mullah terlalu ringan dan mendesak hukuman lebih berat dikenakan ke atasnya. Dalam hal ini, Mahkamah Agung Bangladesh tunduk kepada tekanan segelintir golongan sekular pelampau dengan mengenepikan keadilan yang sebenar yang sepatutnya diberikan kepada Abdul Kader.

Sejak tahun 2010 lagi Perdana Menteri Hasina Wajed membentuk Mahkamah Internasional berkenaan isu kejahatan perang Bangladesh untuk mengadili mereka yang dituduh melakukan kejahatan di masa perang 1971, tetapi pengadilan itu telah dikritik luas kerana menjadikan lawan politiknya mangsa dan sasaran, dan ia beroperasi tanpa melibatkan pengawasan PBB.

Sepatutnya Mahkamah Bangladesh melihat kepada keadilan dengan berpandukan kepada fakta kes dan bukan kepada sentimen sesetengah pihak semata-mata. Apakah Abdul Kader telah mendapat keadilan yang sewajarnya dengan hukuman mati dan adakah ia adil untuk rakyat Bangladesh? Hukuman ini menggambarkan kerajaan Bangladesh adalah zalim dan Sheikh Hasina adalah pemimpin kuku besi yang mewarisi pemerintahan negara tersebut.

Dalam keadaan parti politik seperti Jamaat-el-Islami semakin berpengaruh dan mendapat tempat di hati rakyat, kerajaan Bangladesh sanggup mengharamkan pertubuhan gerakan Islam tersebut pada bulan lepas. Sementara itu, hampir ke semua pemimpin tertinggi Jamaat-el-Islami ditangkap dan beberapa orang pemimpin telah dijatuhkan hukuman mati. Apakah ini bentuk demokrasi yang ingin disuburkan di Bangladesh?

Mengenai isu berkaitan politik dendam Hasina Wajed, Ikhwanul Muslimin telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari Jumaat, 8 Februari 2013 :
  1. Kami bersama deru angin kemerdekaan laungan rakyat yang bertiup melalui seluruh pelusuk dunia, menganggap perbicaraan di Bangladesh terhadap tujuh pemimpin kumpulan Islam (Jamaat-el-Islami) melanggar hak keadilan sejagat dan merupakan tuduhan bersifat politik (tuduhan kerajaan pemerintah terhadap parti Islam), bukannya tuduhan jenayah.
  2. Kami menyeru kepada semua Negara, dan di negara-negara Islam khususnya, bersama badan-badan dan institusi antarabangsa untuk melakukan tekanan agar tragedi kemanusiaan yang menimpa akibat ketidakadilan politik terhadap tahanan politik di Bangladesh ini dihentikan.
  3. Salah satu tujuan syariah (undang-undang Islam) adalah untuk melindungi kehidupan rakyat supaya hak-hak mereka dipenuhi. Kita mesti mendukung nilai Islam yang tinggi, prinsip dan cita-cita keadilannya melebihi dari pihak-pihak tertentu yang bercakap tentang keadilan kerana sebab-sebab politik dan matlamat menjatuhkan politik lawan.
  4. Kami menuntut kerajaan Bangladesh (pimpinan Hasina Wajed) agar melepaskan semua pimpinan Jamaat-El-Islami yang ditangkap sementara menunggu penyiasatan ke atas kes diselesaikan. Mereka harus menerima perbicaraan yang adil sebelum hakim menentukan semula hak-hak mereka yang termaktub dalam semua lapangan perlembagaan.
  5. Kami memberi amaran kepada pimpinan yang diberi amanah mentadbir negara agar tidak menggunakan kuasa untuk melakukan penindasan, dendam dan ancaman untuk menghilangkan lawan politik rejim.
  6. Kami yakin bahawa Persidangan Kemuncak Islam yang diadakan baru-baru ini di Kaherah, menyokong sepenuhnya pendaulatan negara berpaksikan keadilan dan kesaksamaan. Kami berdoa kepada Allah agar membimbing mereka berkhidmat demi kepentingan terbaik rakyat dan negara, serta menolak ketidakadilan untuk semua yang ditindas.
Jamaat-el-Islami diasaskan pada tahun 1941 dan berakar dari politik pemikiran Maulana Sayyid Abul A'la Maududi (1903-1979), intelektual yang paling penting Islam dalam sejarah Asia Tenggara. Al-Maududi juga mempunyai pengaruh yang besar ke atas Ikhwanul Muslimin dan secara global ia mempunyai hubungan rapat dengan Jamaat-el-Islami. Kerana pengaruh yang dibawa oleh Al-Maududi, Kerajaan Bangladesh telah mengambil tindakan mengharamkan seluruh buku-buku karangan beliau di negaranya. Al Maududi sebagaimana yang didakwa Hasina Wajed telah membawa ideologi radikal dalam ajaran Islam.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.

Memahami Perjuangan Dakwah Ustaz Fathi Yakan di Lubnan

$
0
0

Al-Ustaz Dr. Fathi Yakan, nama sebenarnya Mahmud Fathi ibnu Muhammad ‘Inaayat Syarif Yakan. Susur galur keturunannya berasal daripada bangsa Turki, dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Utara Lubnan. Isterinya bernama (Dr.) Muna Haddad, dikurniakan lima orang anak (4 perempuan 1 lelaki) dan 20 orang cucu. Tokoh karismatik gerakan Islam ini telah menghasilkan puluhan buku-buku dakwah yang mencerahkan langit kebangkitan Islam dengan lantera ilmu dan cahaya kebenaran.

Selain tulisan-tulisan yang dicurahkan ke dalam lembaran-lembaran kitab, seminar dan syarahan, beliau bersama isterinya turut menubuhkan universiti di Lubnan iaitu Jami’ah Al-Jinan. Falsafah pembangunan universiti tersebut adalah untuk membentuk graduan Muslim yang hidup bermasyarakat berteraskan akhlak yang luhur. Antara fakulti-fakulti yang ditawarkan di universiti tersebut adalah fakulti perguruan, media dan teknologi, mekanikal dan kejuruteraan, sains dan farmasi.

Dr. Fathi Yakan meninggal dunia pada 13 Jun 2009 ketika usianya menjangkau 76 tahun. Ketiadaannya merupakan kehilangan besar kepada gerakan Islam ketika para aktivisnya masih dahagakan rumusan-rumusan kognitif, menilai aspirasi massa dan pertembungan ummah di seluruh dunia. Pemikiran beliau tetap menjadi sebahagian legasi kepada khazanah intelektual gerakan Islam dan menjadi rujukan dari semasa ke semasa. Benarlah kata Hasan al-Basri r.hm;
مَوْتُ العَالِمِ ثَلْمَةٌ فِيْ الإِسْلاَمِ لاَ يَسُدُّهَا مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ
“Kematian seorang alim adalah suatu kelompongan dalam Islam, ia tidak dapat ditutup walau bertukar ganti malam dan siang.” (Riwayat ad-Darimi dan Baihaqi)

Sangat sedikit ulama’ sepertinya, bukan sahaja arif dalam ilmu agama tetapi juga memahami isu-isu pergolakan semasa selain memiliki semangat waja merakyatkan gagasan dakwah dan mendaulatkan Islam di tanah airnya. Beliau adalah ulama’ al-amilin, bukan ilmuwan yang sekadar berbasa-basi dengan kelantangan suara, tetapi kata-katanya adalah perbuatannya manakala perbuatannya adalah kata-katanya. Sabda Rasulullah s.a.w;
اِبْدَأ بِنَفْسِكَ ثُمَّ بِمَنْ تَعُولُ
“Mulakan dengan dirimu kemudian kepada orang yang hendak kamu serukan (dakwahmu)” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Seperti pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang lain, Dr. Fathi Yakan juga pernah dipenjara dan diseksa kerana dituduh melancarkan rampasan kuasa. Namun, beliau adalah antara orang-orang yang kental menjalankan urusan dakwah, sehingga beliau menulis sebuah buku berjudul (المتساقطون على طريق الدعوة) “Al-Mutasaqitun ‘ala Toriq ad-Dakwah” sebagai panduan kepada aktivis Islam umumnya, agar tidak terkandas di dalam perjuangan Islam.

Beliau pernah memegang kerusi Parlimen di Lubnan pada tahun 1992, sekalipun pada hakikatnya beliau tidak bersetuju dengan sistem-sistem demokrasi yang sedia ada di negara tersebut. Pada beliau perkataan “demokrasi” hanyalah muluk-muluk kediktatoran pemerintah dengan menyandarkan adagium masyarakat Latin “Vox Populi Vox Dei”. 

Begitupun beliau mengakui bahawa pendekatan gerakan Islam mestilah “muwajahah as-silmiyyah” untuk mengekspresikan wawasan dakwah dan keadilan Islam kepada rakyat Lubnan yang umumnya memiliki pelbagai pemikiran dan latar belakang pegangan. Maka, sistem demokrasi dimanfaatkan sebagai salah satu wadah yang dapat menguasai negara tanpa berlaku sebarang rusuhan atau pertumpahan darah.

Komitmen beliau di dalam politik adalah membentuk masyarakat Islam yang berwibawa dan mengeluarkan masyarakat Arab daripada kepompong perkauman dan fanatik mazhab. Keazamannya itu menyebabkan wujud tindakan beliau yang mencetuskan polemik. Namun begitu, semua ciri-ciri tersebut menjadikan tokoh aktivis Islam tersohor ini seorang yang unik, berbeza, sekaligus menunjukkan beliau adalah seorang pemikir yang substantif dan ulama’ yang memiliki daya prinsip.

Sabda Rasulullah s.a.w;
لَا تَكُونُوا إِمَّعَةً، تَقُولُونَ؛ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا، وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ، إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَا تَظْلِمُوا
“Janganlah seseorang daripada kamu menjadi orang yang tidak punya prinsip dengan berkata; Jika kami bersama manusia yang berbuat baik maka kami pun berbuat baik, jika mereka berbuat zalim (jahat) maka kami pun turut berbuat zalim. Tetapi jadilah kamu orang yang punya pendirian (prinsip), jika manusia berbuat baik maka hendaklah kamu berbuat baik, jika mereka berbuat jahat maka janganlah kamu berlaku zalim.” (Riwayat Tirmizi)

Beliau mempunyai hubungan rapat dengan pimpinan-pimpinan gerakan Islam di luar negara, antaranya Dr. Mustafa as-Siba’ie, Sayyid Qutb, Syeikh Hassan al-Hudaibi (Mursyidul ‘Am Ikhwanul Muslimin ke-II), Syeikh Abu ‘Ala al-Maududi, termasuklah Dato’ Fadzil Noor dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Sahabat beliau yang paling akrab dalam perjuangan Harakatul Islamiyah di Lubnan adalah Dr. Faisal al-Maulawi, mantan Setiausaha Umum “Al-Jama’ah al-Islamiyah”.

Mencermati liku-liku perjuangan Dr. Fathi Yakan akan menarik kita mengamati politik praktis yang berlaku di Lubnan. Lubnan merupakan wilayah kecil yang bersempadanan dengan Syria dan Palestin. Sejak empayar kerajaan Uthmaniyah, keragaman kaum, puak dan mazhab (Sunni dan Syiah) telah wujud di wilayah tersebut. Namun, di sebalik keragaman itu suasana konsolidasi masih wujud dalam hubungan sosial mereka, masih terpasak kerukunan saudara sesama saudara dan agenda nasihat-menasihati.

Detik-detik keharmonian tersebut mula meratapi saat penghujungnya apabila kekalahan kerajaan Uthmaniyah dalam Perang Dunia Pertama. Pasca kekalahan kerajaan Uthmaniyah telah mendorong gerakan kolonialisme British dan Perancis menduduki wilayah Syam. Lalu wilayah Syam dibahagikan menjadi empat wilayah, Perancis mendapat wilayah utama Syam (Syria sekarang) dan Lubnan, manakala British mendapat Palestin (kemudian dituntut Israel) dan Jordan.

Sikap totalitarian Perancis di Lubnan telah menjadikan ibu kota Beirut ibarat “Paris” di Asia Barat. Hitunglah sahaja berapa ramai artis yang lahir dari Lubnan, pasti ada yang tidak menyangka bahawa wilayah kecil itu menghasilkan jumlah artis yang lebih ramai daripada negara-negara Arab yang lain. Seperti aktor filem terkenal “The Matrix”, Keanu Reeves sendiri berasal dari Beirut, Lubnan.

Selain itu, Perancis turut campur tangan dalam hal politik Lubnan. Pada tahun 1943 Perancis membentuk “Piagam Kebangsaan” - “Al-Mithaq al-Watani” -  dengan meletakkan syarat bahawa Presiden Lubnan mestilah daripada kelompok Kristian, Perdana Menteri daripada Muslim Sunni, Wakil Perdana Menteri daripada Kristian Orthodoks, manakala Ketua Parlimen daripada Muslim Syiah.

Piagam itu dibuat berdasarkan agama dan wilayah dengan perbandingan 6 Kristian dan 5 Muslim. Perbandingan tersebut ditentukan berdasarkan kosensus bagi kependudukan warga Lubnan pada tahun 1932. Ketika itu jumlah masyarakat Kristian lebih ramai daripada masyarakat Muslim. Ketika itu juga Perancis tidak mengenal siapa Sunni dan siapa Syiah, mereka hanya tahu bahawa Sunni dan Syiah adalah kelompok Muslim yang saling bertelagah.

Berdasarkan fahaman politik di Lubnan, ia bolehlah dibahagikan kepada beberapa varian aliran, agama, mazhab dan perkauman seperti, Kristian, idealogi-idealogi pemikiran - “tayyarat fikriyah” - , mazhab Syiah, Sunni, komuniti Druze dan Kurdish.

Antara pergerakan parti politik berorientasikan agama di Lubnan, terdiri daripada;
  1. “Al-Kataeb al-Lubnaniyya”, parti yang ditubuhkan oleh Amin Gamayel pada tahun 1936, mewakili parti masyarakat Kristian pelbagai aliran di Lubnan.
  2. “Hizb al-Wataniyyin al-Ahrar”, parti liberal yang ditubuhkan oleh Camille Chamoun pada tahun 1958. Majoriti keanggotaannya ialah penganut Kristian.
  3. “Marada Movement”, mewakili golongan feudal daripada penganut Kristian Maronites. Diasaskan oleh Sulaiman Farangieh pada tahun 1967.
  4. “At-Tayyar al-Watani al-Hurr”, mewakili kumpulan Kristian Katholik yang ditubuhkan oleh Jeneral Micheal Naem Aoun pada tahun 2005.
  5. “Liberty Front” ditubuhkan mewakili masyarakat Kristian Orthodoks di Lubnan pada April 2007 oleh Fouad Abu Nader.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan idealogi-idealogi sekularisme, kapitalisme dan  nasionalisme di Lubnan, terdiri daripada;
  1. “Lebanese Communist Party” parti komunis ini ditubuhkan oleh Khaled Hadadi pada tahun 1924.
  2. “Hizb al-Nejjadeh” parti nasionalis Arab yang ditubuhkan oleh Mustapha Hakem sejak tahun 1940-an, majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
  3. “Arab Socialist Ba’ath Party”, parti sosialis ini ditubuhkan oleh Fayez Shukr pada tahun 1966 di Beirut.
  4. “Harakat Al-Shaab”, parti nasionalis Arab ini ditubuhkan oleh Najah Wakim pada tahun 2000.
  5. “Harakat al-Istiqlal”, awal penubuhannya di Zgharta, Lubnan oleh Michel René Moawad pada tahun 2006 yang mewakili kumpulan nasionalis. Pertubuhan ini dianggotai masyarakat Kristian dan Muslim.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan mazhab Syiah di Lubnan, terdiri daripada;
  1. “Amal Movement” atau “Afwaj al-Muqawama al-Lubnaniyya”, diasaskan daripada ideologi ulama Syiah konservatif, iaitu Musa al-Sadr dan Hussein el-Husseini pada tahun 1974.
  2. “Arab Democratic Party”, parti nasionalis Arab yang ditubuhkan oleh Ali Eid yang berfahaman Syiah pada tahun 1974. Adiknya, Rifa’at Eid pula menubuhkan pertubuhan parti Syiah aliran Alawi “Harakat al-Shabab al-Alawi”.
  3. “Hizbullah”, mewakili kumpulan para-militer Syiah, pro-Iran dan anti-imperialisme. Dilabel terroris oleh kesatuan negara Eropah, Amerika, Kanada, Israel dan Australia.
  4. “Tayyar el-Shi’e el-Hurr”, parti berorientasikan mazhab Syiah ditubuhkan oleh Mohammed al-Hajj Hassan pada tahun 2006. Menyertai “March 14 Alliance”, anti kepada kumpulan “Hizbullah” dan “Amal Movement”.
  5. “Islamic Amal Movement”, merupakan parti yang berorientasikan mazhab Syiah dan diasaskan oleh Syeikh Subhi at-Toufaily pada tahun 1982, beliau pernah menjadi Setiausaha ‘Am pergerakan “Hizbullah” sebelum lantikan Hassan Nasrallah.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan mazhab Sunni di Lubnan, terdiri daripada;
  1. “Al-Jama’ah al-Islamiyah”, parti politik gerakan Islam yang didominasi masyarakat Muslim Sunni Lubnan. Antara pengasas gerakan politik ini ialah Dr. Fathi Yakan dan Syeikh Dr. Faisal Maulawi pada tahun 1964. Pemimpin pertama gerakan ini ialah Syeikh Ibrahim al-Masri.
  2. “Harakat al-Tawhid al-Islami”, pergerakan mujahidin yang dianggotai Muslim Sunni yang pernah terlibat dalam perang sivil Lubnan seawal 1980-an. Secara rasmi diasaskan pada tahun 1982 oleh Syeikh Said Shaaban, rakan akrab kepada Dr. Fathi Yakan. Memiliki hubungan kerjasama dengan PLO, Hizbullah dan HAMAS.
  3. “Tayyar al-Mustaqbal”, parti berideologi sekular yang ditubuhkan pada 1992 oleh Rafik al-Hariri. Diketuai oleh Saad al-Hariri selepas berlakunya pembunuhan abangnya Rafik al-Hariri, dan majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
  4. “Glory Movement” atau “Harakat Majd”, mewakili kumpulan Muslim Sunni yang diasaskan oleh Najib Mikati pada tahun 2004.
  5. “Jabhat al-Amal al-Islami” ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Dr. Fathi Yakan setelah melihat pengkhianatan “March 14 Alliance” yang memiliki agenda pro-Amerika. Beliau memutuskan untuk berkoalisi dalam “March 8 Alliance”.
Antara pergerakan parti politik berorientasikan komuniti perkauman Druze dan Kurdish di Lubnan terdiri daripada;
  1. “Progressive Socialist Party”, mewakili komuniti Druze yang berfahaman sosialis dan diasaskan oleh Kamal Jumblatt pada tahun 1949.
  2. “Al-Hizb Al-Kurdi Al-Dimoqraty”, parti politik yang mewakili masyarakat Kurdish di Lubnan. Ditubuhkan pada tahun 1960 oleh Jamil Mihhu.
  3. “Razkari Party”, parti politik mewakili masyarakat Kurdish di Lubnan, ia ditubuhkan oleh Faissal Fakhroo pada tahun 1975.
  4. “Lebanese Democratic Party”, mewakili komuniti Druze yang berfahaman sekular. Diasaskan oleh Putera Talal Arslan pada 1 Julai 2001.
  5. “Al-Hizb al-Jumhury al-Hurr” parti sekular yang ditubuhkan oleh Khaled al-Hassaneh yang dianggotai oleh komuniti Druze.
 Pergerakan bukan parti politik berpengaruh di Lubnan pula terdiri daripada;
  1. “Tajamo’ al-Ulama’ al-Muslimin”, diasaskan pada tahun 1982 ketika Beirut dalam kepungan rejim Zionis, IDF – Israel Defence Forces. Pertubuhan cendekiawan ini diketuai oleh Syeikh Mahir Hammud (wakil Sunni) bersama Syeikh Zuhayr Kanj (wakil Syiah).
  2. “Jam’iyat al-Mashari’ al-Khayriya al-Islamiya al-Ahbash”, atau gerakan al-Ahbash yang diasaskan oleh Abdullah al-Harari.
  3. “Hizbu at-Tahrir”, di Lubnan pergerakan ini diketuai oleh Ata’ Abu Rashta sejak 1953. Majoritinya dianggotai masyarakat Muslim Sunni.
Terdapat banyak lagi parti-parti politik yang ditubuhkan di Lubnan berasaskan aliran-aliran pemikiran dan perkauman. Dari negara inilah dimensi konflik Timur Tengah kelihatan dan sukar mencapai kata kesepakatan. Ada yang pro-Sunni anti-Syiah, pro-Syiah anti-Wahabi, pro-Wahabi anti-Sufi, pro-Sufi anti-Ikhwanul Muslimin, ada juga yang pro-Syiah ‘tetapi’ anti-Hizbullah, termasuklah pro-Sunni ‘tetapi’ berfahaman sekular.

Dalam geo-politik di Lubnan, strategi Barat sememangnya berkepentingan menjadikan negara tersebut sebagai salah satu lubuk medan laga – “proxy war”– masyarakat Muslim di Timur Tengah dan merebut apa yang disifatkan sebagai “geopolitic of pipeline”– minyak dan kepentingan Israel. Mereka mencegah kesatuan bangsa Arab dan melindungi negara Israel sehingga “Perang Saudara Lubnan” tercetus pada 1975 akibat rusuhan golongan Kristian, pengikut Sunnah, Syiah, Druze dan Kurdi.

Pada ketika itu ratusan ribu orang terbunuh, hampir sejuta penduduk melarikan diri keluar dari Lubnan termasuklah mangsa pelarian Palestin yang sebelum ini menghuni di negara tersebut. Dunia terpaku dan kembali mengoborkan isu Sunni versus Syiah, sedangkan kekaburan yang berlaku sebenarnya adalah kejayaan imperialis Perancis menggugat kestabilan politik di wilayah Lubnan saat jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniyah pada tahun 1924.

Hampir 15 tahun, akhirnya perang sivil akibat rusuhan tersebut ditamatkan pada tahun 1990 melalui “Persetujuan Taif” (Ittifaqiyatu at-Taif) – National Reconciliation Accord. Antara syarat yang terkandung dalam persetujuan tersebut ialah mengenai penggubalan semula pembahagian kuasa selepas kegagalan “Al-Mithaq al-Watani” :
  • “Presiden” daripada Kristian Maronites.
  • “Perdana Menteri” daripada pengikut Sunnah.
  • “Speaker Parlimen” daripada pengikut Syiah.
Inilah antara cabaran dan masalah yang berlaku kepada gerakan Islam di Lubnan. Persetujuan politik sekalipun distrukturkan sebagai solusi damai antara puak di negara tersebut, ia masih menatijahkan pertikaian sesama mereka lebih-lebih lagi sikap ketidak-sepakatan antara pengikut Sunni dan Syiah.

Namun, ketika pencerobohan Israel ke atas Lubnan (Perang Israel-Lubnan) pada tahun 2006 (yang digelar Perang Tammuz), Dr. Fathi Yakan menjadi salah seorang aktivis yang menghalau Yahudi Zionis keluar dari Lubnan. Beliau memprotes tindakan Perdana Menteri Lubnan, Fouad Siniora kerana menjadi boneka Barat. Fouad Siniora menjadi Perdana Menteri pada 9 Julai 2005 selepas terbunuhnya Rafiq Hariri daripada parti “Tayyar al-Mustaqbal” dalam serangan bom di Beirut.

Apa yang menarik perhatian dalam perang Israel-Lubnan 2006 itu ialah berlakunya tahaaluf antara Dr. Fathi Yakan dari “Jabhat al-Amal al-Islami” dengan Setiausaha Am pergerakan “Hizbullah”, Hassan Nasrallah. Fakta konsolidasi ini adalah fakta unik ketika pertikaian Sunnah-Syiah yang tidak menampakkan noktah berakhirnya kekusutan dua kumpulan ini. Dalam sebuah hadis marfu’ daripada Abi Hurairah r.a ada dicatatkan;
لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَكْثُرَ الْهَرْجُ، الْقَتْلُ، لاَ تُقَاتِلُوْنَ الْمُشْرِكِيْنَ وَلَكِنْ يُقَاتِلُ بَعْضَكُمْ بَعْضًا، فَتَعَجَّبُ الصَّحَابَةَ رِضْوَانَ اللهَ عَلَيْهِمْ قَالُواْ، يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَوَلَيْسَ لِهؤُلاَءِ عُقُوْلٍ؟ قَالَ، لَتُنْزَعَنَّ عُقُوْلَ أَهْلِ ذَلِكَ الزَّمَانِ
“Tidak berlaku Kiamat sehinggalah banyak berlaku rusuhan, pembantaian (pembunuhan yang melibatkan kaum Muslimin) di mana mereka tidak memerangi kaum musyrikin akan tetapi memerangi sesama sendiri (berlaku pembunuhan di mana pembunuh sewenang-wenangnya membunuh, dan yang terbunuh tidak tahu atas dasar apa dia dibunuh).” , Para sahabat kehairanan lalu bertanya, “Wahai Rasulallah, apakah mereka hilang akal?” Jawab baginda s.a.w, “Telah tercabut akal-akal warga penduduk di zaman itu.” 

Pada 8 Disember 2006, Dr. Fathi Yakan mengimami solat Jumaat yang dihadiri para makmumnya yang memiliki pelbagai latar belakang mazhab, Sunni dan Syiah sebagai simbol persatuan melawan Fouad Siniora. Antara yang disebut oleh beliau pada tarikh tersebut;
إننا حين ندعو إلى الإسلام لا ندعو إلى عصبية ولا إلى طائفية ولا مذهبية سنيا ولا شيعيا. نحن مسلمون قبل أن نكون سنة وشيعة، و لا يمكن أن يوحد أمة الإسلام إلا كلمة الإسلام. هو سماكم المسلمين من قبل وفي هذا ليكون الرسول شهيدا عليكم وتكونوا شهداء على الناس
“Sesungguhnya kami sekarang ini menyeru kepada Islam bukan kepada semangat fanatik kepuakan, kumpulan ataupun mazhab dokongan Sunni mahupun Syiah. Kami orang-orang Muslim sebelum menjadi Sunni atau Syiah, dan adalah mustahil umat Islam ini bersatu kecuali dengan kalimah Islam.  { Dia (Allah) yang telah menamakan kamu orang Islam sebelum ini (dibuktikan di dalam Kitab-Kitab-Nya) agar Rasulullah menjadi saksi terhadap perbuatan kamu, dan kamu pula menjadi saksi terhadap sekalian manusia } – petikan dari surah al-Hajj ayat 78.”– rakaman IslamOnline, 2007

Sememangnya Lubnan sebuah negara yang unik dan kompleks, ia menagih strategi yang mapan daripada gerakan Islam di sana. Justeru, Lubnan tidaklah seperti negara-negara Arab yang lain seperti Dubai misalnya, yang mewah menakluk latar langit dengan menara Burj Khalefa-nya.

Lantaran kesungguhan Dr. Fathi Yakan dalam memartabatkan Islam sebagai agama yang mesti didaulat, bukan sekadar dibangga-banggakan sebagai warisan dan khazanah peninggalan, maka beliau menulis buku “ماذا يعني انتمائي للإسلام” – “Maza Yakni Intima’ie lil Islam” dengan kupasan yang cukup jelas bertujuan untuk menyedarkan kaum Muslimin tidak kira apapun aliran mereka agar kembali berpegang teguh kepada ajaran Islam yang asli daripada baginda Rasulullah s.a.w, serta menggabungkan hubungan mereka dalam perjuangan Islam di segenap bidang kehidupan dengan penuh kerelaan.

Referensi:
  1. Dr. Fathi Yakan, “Abjadiyat at-Tasawwur al-Haraki lil Amal Islami”
  2. Dr. Fathi Yakan, “Harakat wa Mazahib fi Mizan al-Islam” 
  3. Dr. Dhia’uddin ar-Ris, “Al-Islam wa al-Khilafah fi ‘Asri al-Hadis” 
  4. Dr. Sa’ed Ramadan al-‘Ibadi, “Al-Ikhwanul Muslimun wa as-Syi’ah bayna Ru’ya Syar’iyyah wa Mumaarasat as-Siyasah”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.

Keilmuan dan Kefaqihan Islam Sebagai Merit Pemimpin Utama Gerakan Islam

$
0
0

Individu yang faqih memahami al-Quran dan al-Sunnah mempunyai kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah dengan syarat disertai dengan taqwa sebagaimana sabit dalam al-Quran dan al-Hadis. Nabi bersabda :

مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ
"Sesiapa yang Allah mahukan untuk dirinya satu kebaikan maka Allah bagi kefaqihan (kefahaman mendalam) dalam agama." (Hadis Bukhari)

Menjelaskan kedudukan dan kelebihan ulamak secara umum sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam hadis tidak bererti mensucikan individu yg alim daripada kelemahan dan kesilapan.

Ulamak bukan jenama eksklusif milik golongan atau institusi tertentu seperti Majlis Syura Ulamak, Dewan Ulamak, Persatuan-persatuan Ulamak, Majlis-majlis Ulamak dan seumpamanya tetapi ia adalah sifat yg boleh dimiliki oleh sesiapa yg menguasai disiplin ilmu wahyu yang baik dgn kemampuan bahasa arab yg mantap dan mampu merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis meskipun dia seorang peniaga, petani, kerani, ahli politik, doktor, jurutera dan sebagainya.

Mencadangkan Presiden dan Timbalan di kalangan "ulamak yang faqih dan memahami realiti semasa" adalah cadangan berasaskan merit dan kelayakan untuk diberi keutamaan (afdhal/ lebih baik) untuk menjadi pemimpin iaitu ilmu agama di samping sifat kepimpinan yg lain seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah.

Cadangan tersebut tidak menafikan kelayakan untuk memimpin bagi individu-individu yang mempunyai sifat-sifat pemimpin seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah namun memiliki kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan agamanya.

Cadangan tersebut juga tidak menghalang mana-mana individu yg mempunyai sifat kepimpinan seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah tetapi masih kekurangan pada keilmuan dan kefaqihan agamanya, meskipun latarbelakang pekerjaannya pelbagai tetapi masih tetap berkelayakan untuk menjadi pemimpin di semua peringkat parti sama ada cawangan, kawasan mahupun pusat. Dan itulah yang telah berlaku selama berdekad dalam PAS sejak awal penubuhannya.

Cadangan ilmu dan faqih agama sebagai merit kelayakan pemimpin utama gerakan Islam bukanlah cadangan yang mengundur ke belakang sebagaimana dakwaan setengah pihak kerana ia selari dengan Islam sebagaimana yg telah dicontohkan oleh para rasul dan khulafa rashidin. Kegemilangan mereka menjadi teladan kepada kita dalam mengemudi gerakan Islam pada masa kini. Merit ini perlu turut digabungkan dengan sifat quwwah dan amanah yg menjadi sebahagian kriteria umum kepada sesebuah kepimpinan. Malah menentang cadangan tersebut adalah langkah mundur meninggalkan Islam yang menjadi asas rujukan gerakan islam.

Gerakan Islam bermatlamat memandu manusia kepada Islam dan mendapatkan kuasa untuk memerintah dengan Islam. Usaha gerakan Islam ialah membentuk kerajaan yang berfungsi
إقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Menegakkan agama dan mentadbir bumi dengan agama." 

Justeru selayaknya dan sewajarnya keilmuan dan kefaqihan mendalam tentang Islam menjadi pra syarat dan merit tambahan untuk menjadi pemimpin utama gerakan Islam.

Sebagaimana organisasi perubatan selayak dan sebaiknya dipimpin oleh mereka yg paling berkepakaran tentang perubatan tanpa menafikan kelayakan orang-orang yang juga berada di bidang perubatan.

Seorang individu yangg alim tetapi tidak memiliki sifat-sifat kepimpinan yang lain seperti beriman, bertaqwa, bijak dan amanah sewajarnya tidak diberikan amanah kepimpinan.

Serangan berbentuk cemuhan dan tohmahan terhadap resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia ini dibimbangi hanya berasaskan emosi dan bukannya berasaskan ilmu. Ahli-ahli PAS tidak sewajarnya terikut-ikut dengan segelintir penulis maya yg berbahasa kotor, jijik dan sinis. Nabi s.a.w bersabda :
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلا اللَّعَّانِ وَلا الْفَاحِشِ وَلا الْبَذِيءِ
"Bukanlah mukmin itu seorang yg terlalu suka mengecam dan membuat tohmahan, tidak juga yg terlalu suka melaknat, tidak juga berbahasa lucah dan tidak juga berbahasa kotor dan jijik." (Hadis riwayat Ahmad dan Hakim)

Sikap memperbodohkan pandangan dan resolusi multaqa yang dibuat secara jamaei oleh ulamak bukanlah sebahagian daripada akhlak Islam kerana ia gambaran keegoan dan keangkuhan pandangan. Jauh sekali menjadi akhlak kepada pendokong gerakan Islam. Dibimbangi akan termasuk dalam kategori peringatan Nabi s.a.w :
أَخْوَفُ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ ثَلاثُ مُهْلِكَاتٍ : شُحٌّ مُطَاعٌ ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ ، وَإِعْجَابُ كُلِّ ذِي رَأْيٍ بِرَأْيِهِ
"Yang paling saya bimbang terhadap kamu tiga perkara yang membinasakan; kebakhilan yang ditaati, nafsu yang diikuti dan kekaguman setiap individu yang memberikan pandangan dengan pandangannya." (Riwayat al- Bazzar dan al-Asbahani)

Tidak ada sebab untuk ahli-ahli gerakan Islam yang tidak mempunyai ilmu mendalam tentang Islam terasa dipinggirkan daripada kepimpinan gerakan Islam sekiranya mereka memahami fungsi dan matlamat perjuangan gerakan Islam. Ia sepatutnya menjadi cabaran kepada setiap ahli-ahli gerakan Islam untuk berusaha menambahkan ilmu tentang Islam untuk melayakkan mereka juga mempunyai merit tambahan sebagai pemimpin gerakan Islam sementelah lagi mendalami Islam itu sememangnya tuntutan Islam dan tuntutan perjuangan. Malah setiap ahli PAS boleh berperanan dan menyumbang untuk kemajuan dakwah dan perjuangan PAS dengan pelbagai cara berdasarkan kelebihan yang dimiliki oleh setiap orang kerana nilaian di sisi Allah pada kerja dan amal.

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ
"Dan katakanlah oleh kamu semua; bekerjalah pasti nanti Allah melihat kerja kamu dan juga ia dilihat oleh Rasul-Nya dan orang-orang beriman." (Taubah:105)

Perjawatan dalam gerakan Islam adalah amanah dan tanggungjawab membawa Islam dan bukannya kemuliaan yang menjadi rebutan individu yang menganggotainya. Resolusi Multaqa mencadangkan merit kelayakan memikul amanah dan tanggungjawab bagi menjadi pertimbangan ahli dalam memilih pemimpin yang menggalas amanah.

Apatah lagi resolusi hanya menegaskan syarat tambahan itu, khususnya untuk perjawatan Presiden dan Timbalan dan sebahagian Naib Presiden yang merupakan pengemudi utama gerakan Islam. Ia tidak merujuk kepada perjawatan-perjawatan lain.

Tidakkah selama ini sejak awal penubuhan PAS, kuliah ilmu Islam dalam pelbagai bentuk merupakan sebahagian daripada agenda utama Parti Islam Semalaysia PAS. Dengan penyebaran ilmu inilah masyarakat semakin meninggalkan kejahilan dan jahiliyyah pemerintah BN dan UMNO harini. Maka selayaknya kefahaman agama menjadi nilaian dalam menentukan kepimpinan oleh ahli-ahli PAS. Atau adakah kerana leka berpolitik semata-mata menyebabkan ahli-ahli PAS tidak lagi melihat kefahaman agama mendalam sebagai suatu yang mendasar dan paksi dalam perjuangan serta nilai tambah kepimpinanan?

Cadangan Presiden dan Timbalan di kalangan "ulamak yg memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa"bukanlah satu bentuk "meminta jawatan" sebagaimana dakwaan sebahagian pihak. Ia adalah penegasan prinsip dan kaedah penilaian kepimpinan. Multaqa Ulamak mencadangkan sebagai satu kewajipan orang berilmu untuk menyatakan pandangan Islam dalam kepimpinan. Jika para alim ulamak tidak menyatakannya, siapakah lagi yang diharapkan untuk menjelaskan prinsip tersebut. Malah ulamak tidak perlu malu untuk bertindak sedemikian bahkan malu menyatakan kebenaran adalah usikan syaitan supaya ulamak menyembunyikan kebenaran.

Jawatan dalam Islam tidak boleh diminta atau dituntut oleh individu Islam sebagaimana seseorang individu meminta dirinya dipilih menjadi Presiden dan Timbalan. Inilah penegasan hadis-hadis Nabi s.a.w. Resolusi Multaqa adalah resolusi jama'ei secara beramai-ramai oleh ulamak untuk menegaskan nilai tambah syarat kepimpinan iaitu "faqih" dan bukannya perlakuan meminta jawatan oleh individu untuk dirinya sendiri secara individu. Kekeliruan memahami hukum "meminta jawatan" ini perlu dirungkai supaya tidak berlaku kekeliruan hukum lalu menempelak ulamak kononnya meminta jawatan.

DUPP sangat yakin dengan perjalanan panjang PAS yang berusia 62 tahun, ia memiliki sangat ramai ahli-ahli yang mempunyai nilai tambah kepimpinan yang "faqih" tentang Islam dan realiti semasa meskipun ia belum dikedepankan lagi kepada ahli untuk alternatif pilihan dalam muktamar pemilihan.

DUPP menegaskan bahawa resolusi Multaqa agar Presiden dan Timbalan sewajarnya daripada kalangan ulamak (orang-orang berilmu) yang faqih tentang Islam (memahami dgn mendalam al-Quran dan al-Sunnah) dan realiti semasa (seperti isu politik semasa) adalah resolusi yang selaras dengan saranan Islam. Ia dilontarkan kepada seluruh ahli-ahli PAS untuk bahan penilaian atas kesedaran bahawa perlembagaan PAS tidak meletakkan syarat tersebut sebagai syarat wajib maka ia terbuka untuk menjadi syarat nilai tambah kepada kelayakan berasaskan Islam.

Merit kefahaman agama mendalam sebagai kelayakan terbaik menjadi pemimpin sangat penting dan mendasar. Nabi s.a.w bersabda :
إِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ
"Apabila amanah dipersiakan maka tunggulah kiamat. Sahabat bertanya; bagaimana amanah dipersiakan? Baginda menegaskan "apabila sesuatu urusan disandarkan kepada bukan ahlinya (tidak berkelayakan) maka tunggulah kiamat" (Hadis Bukhari)

Biodata Penulis


YB Ust Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri dilahirkan pada tahun 1973 di Kg. Baru, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Beliau merupakan anak sulong dari 16 orang adik-beradik. Mendapat pendidikan di Sek. Men. Agama Sultan Zainal Abidin (Atas) Batu Buruk, K. Trg 1988-1992 (SPM 1990) kemudian melanjutkan pelajaran ke University of Jordan (B.A Bahasa Arab & Kesusasteraan 1992-1996), Aal al-Bayt Univ. Mafraq, Jordan M.A Bahasa Arab & Kesusasteraannya (1996-2000). Beliau merupakan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Al-Munafiqun : Membongkar Sisi Psikologi Kaum Munafiq

$
0
0

Kearifan Allah Taala meliputi apa yang tersembunyi di langit dan dibumi sekalipun ia tersimpan dalam anotomi seorang manusia bernama “hati”. Firman Allah Taala;

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ
“Dan di kalangan manusia ada yang berkata  mereka beriman kepada Allah dan hari Akhirat, sedangkan mereka sebenarnya tidak beriman.” (Al-Baqarah:8)

Hal ini diperincikan di dalam al-Quran, dalam surah yang khusus, bertemakan keperibadian golongan yang mengelabui kejahatan dengan menampilkan keimanan, iaitu surah “Al-Munafiqun” (Kaum Munafiq). Kebanyakan ulama’ tafsir menyebut bahawa surah “Al-Munafiqun” diturunkan selepas peperangan Mustalaq iaitu pada tahun ke-6 Hijrah. Hal ini dikuatkan dengan redaksi tokoh munafiq, Abdullah bin Ubay dalam ayat ke-8 surah ini;
لَئِن رَّجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ
“Sungguh jika kita kembali ke Madinah, nescaya orang-orang mulia mengusir orang-orang yang hina darinya.”

Berkata Syeikh Mohamad Ali as-Sobuni di dalam “Sofwatu at-Tafasir”, “Nifaq (kemunafiqan) tidak dikenal ketika marhalah Makkiyah, tetapi mula dikenal ketika marhalah Madaniyah (selepas penghijrahan Nabi ke Yathrib) iaitu ketika Islam mula bertapak kukuh dan bertambah jumlah penganutnya.” 

Sungguhpun surah “Al-Munafiqun” mendedahkan kepada kita tokoh antogonis bernama Abdullah bin Ubai, pengajaran ayat di dalam surah ini masih bersifat umum. Sebenarnya hampir setiap surah Madaniyah, Allah mendedahkan tembelang mereka yang berhati busuk, kerana orang munafiq suka berpura-pura, pada lahirnya mengaku Islam dan beriman sedang batinnya tetap kufur yang disembunyikan. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam beberapa fasal, antaranya yang dapat disenaraikan;
  1. Surah Al-Baqarah ayat 8 hingga 20 : Golongan munafiq.
  2. Surah Al-Baqarah ayat 204 hingga 210 : Perbuatan orang-orang munafiq.
  3. Surah Ali-Imran ayat 165 hingga 168 : Beberapa sifat orang munafik.
  4. Surah An-Nisa’ ayat 137 hingga 147 : Beberapa keburukan orang munafiq.
  5. Surah At-Taubah ayat 62 hingga 66 : Tuduhan orang munafiq terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
  6. Surah At-Taubah ayat 67 hingga 70 : Hasutan-hasutan orang munafiq dan ancaman Allah terhadap mereka.
  7. Surah At-Taubah ayat 75 hingga 78 : Pengakuan orang munafiq tidak dapat dipercayai.
  8. Surah At-Taubah ayat 79 hingga 80 : Kemunafiqan adalah dosa yang tidak diampuni Allah.
  9. Surah At-Taubah ayat 84 hingga 85 : Larangan mensolatkan jenazah orang munafiq.
  10. Surah At-Taubah ayat 86 hingga 90 : Keengganan orang munafiq untuk berjihad dan pahala orang yang berjihad.
  11. Surah Muhammad ayat 20 hingga 30 : Ancaman terhadap orang-orang munafiq.
  12. Surah Al-Munafiqun ayat 1 hingga 8 : Sifat-sifat orang munafiq.
Surah “Al-Munafiqun” membataskan hanya pada tema “munafiq” kecuali ayat 9, 10 dan 11 yang menutup surah ini sebagai kesimpulan agar orang-orang yang beriman tidak terjebak dengan gejala nifaq, yang rata-ratanya berpunca daripada sikap rakus, tamak dan lalai dengan perintah Allah. Ini kerana, gerakan kemunafiqan telah banyak mengganggu kelancaran dakwah baginda s.a.w, lantaran sikap mereka yang sering melakukan makar pengkhianatan di tengah-tengah kehidupan jamaah orang beriman.

Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w ketika solat Jumaat baginda akan membacakan surah “Al-Jumu’ah” dalam rakaat pertamanya, sebagai anjuran agar kaum beriman rajin beribadat. Manakala pada rakaat kedua pula baginda membaca surah “Al-Munafiqun” sebagai paluan, herdikan dan tamparan kepada golongan munafiq.
Pada ayat pertama surah “Al-Munafiqun”, Allah membongkar sifat munafiq kerana apa yang diungkapkan berbeza dengan apa yang dihasratkan. Mereka dengan megah menyungguhkan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, disebabkan adanya kepentingan duniawi. Firman Allah Taala;

إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ
“Apabila orang-orang munafiq datang kepadamu (wahai Muhammad) lantas mereka berkata; Kami naik saksi sesungguhnya engkau sememangnya utusan Allah. Dan Allah sungguh mengetahui bahawa engkau memanglah utusan-Nya. Dan Allah naik saksi sesungguhnya orang-orang munafiq itu sememangnya para pendusta.” (Al-Munafiqun:1)

Menurut Ibnu Ishak, seorang tokoh ulama sirah meriwayatkan bahawa setiap hari Jumaat sedang Rasulullah s.a.w duduk untuk berkhutbah, Abdullah bin Ubay akan bangun membuat peringatan kepada kaum Muslimin dengan berkata;

أيها الناس هذا رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أظهركم أكرمكم الله به وأعزكم به فانصروه وعزروه واسمعوا له وأطيعوا له
“Wahai manusia! Ini dia Rasulullah s.a.w yang masih berada di kalangan kamu, dengannya Allah memuliakan kamu dan mengagungkan kamu, untuk itu bantulah Baginda, sokonglah Baginda, dengarlah dan taatilah Baginda.” 

Selepas itu, baharulah Rasulullah s.a.w berdiri untuk berkhutbah. Maka, Allah menyedarkan umat beriman tentang penipuan yang dilakukan kaum munafiq yang pada hakikatnya mereka menipu diri sendiri, kerana segala bentuk kesamaran yang disembunyikan kelak akan terungkap di hari pembalasan. Firman Allah Taala;

يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنفُسَهُم وَمَا يَشْعُرُونَ
“Mereka menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanyalah menipu diri sendiri tanpa mereka sedari.” (Al-Baqarah:9)

Lebih dari itu, sebenarnya hati mereka sakit kerana tradisi kemunafiqan yang diperanankan dalam hati mereka.

فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَهُمُ اللَّهُ مَرَضاً
“Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya itu.” (Al- Baqarah:10)

Mereka membuat pengakuan dan pengisytiharan bahawa amalan-amalan mereka adalah demi kemaslahatan makhluk di bumi, padahal semuanya hanyalah kepulan asap yang menutup kerakusan dan kerosakan yang dilakukan mereka. Allah Taala berfirman;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لاَ تُفْسِدُواْ فِي الأَرْضِ قَالُواْ إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka; ‘janganlah berbuat kerosakan di bumi!’ Mereka menjawab, ‘sesungguhnya kami justeru orang-orang yang melakukan perbaikan.” (Al- Baqarah:11)

Bahkan golongan munafiq ini sanggup menggunakan “syahadah” mereka sebagai sumpah palsu demi menghalang manusia daripada jalan Allah (syariat-Nya). Mereka mengikrarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu Rasul Allah dengan sumpah yang bohong.

اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّهُمْ سَاء مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
“Mereka itu menjadikan sumpah sebagai topeng (perisai), lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Munafiqun:2)

Firman Allah;

ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ آمَنُوا ثُمَّ كَفَرُوا فَطُبِعَ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لا يَفْقَهُونَ
“Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka telah beriman. Kemudian menjadi kafir (semula) lalu hati mereka dibelenggu (dikunci), maka mereka pun tidak dapat memahami.” (Al-Munafiqun:3)

Maka, sebetulnya orang-orang munafiq sudah pun mengenal batasan iman dan kufur tetapi mereka lebih cenderung memilih jalan kebinasaan. Mereka telah pun mengenali Islam sepanjang bersama Rasulullah s.a.w, tetapi mereka tetap menolak kebenarannya kerana mengharapkan nilaian-nilaian itu berbentuk material, bukannya janji pahala dan ganjaran syurga. Firman Allah;
وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلاَّ غُرُورًا
“Ketika orang-orang munafiq dan orang-orang yang di dalam hatinya berpenyakit berkata; Tidak adalah janji Allah dan Rasul-Nya kepada kami, melainkan penipuan semata-mata.” (Al-Ahzab:12)

Firman Allah seterusnya;
وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
“Dan apabila engkau melihat mereka engkau akan dikagumkan oleh (potongan) badan mereka. Dan sekiranya mereka bercakap pasti engkau (tertarik) mendengar perkataan mereka. Mereka itu seolah-olahnya tunggul yang tersandar yang menyangkakan teriakan yang keras itu ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya) maka waspadalah terhadap mereka. Allah laknat mereka. Ke mana mereka akan memalingkan muka (dari kebenaran).” (Al-Munafiqun:4)

Ayat di atas menggambarkan sikap luaran kaum munafiq yang indah-indah, mengkagumkan pandangan manusia. Sedangkan hakikat mereka itu ibarat kayu yang tiada daya hidup, tidak memiliki akar yang kukuh, apatah lagi menghasilkan buah yang ranum. Kata Ibnu Hayyan, “Golongan munafiq ini ibarat kayu yang menunggu saatnya menjadi arang.”

Ibnu Abbas r.a menceritakan tentang Abdullah bin Ubai ini memiliki tubuh yang sasa, lidah yang fasih, wajah yang tampan. Begitu juga khalayak lain yang seiring dengan watak kemunafiqan Abdullah bin Ubai, turut memiliki kelebihan yang sama. Mereka sering hadir di majlis Rasulullah, sambil bersandar di dinding-dinding. Mereka gemar melekehkan orang-orang yang berada di luar ‘grup’ mereka, sedangkan mereka adalah orang-orang yang buta “mata dan hatinya”, tuli “pendengarannya daripada petunjuk” dan bisu “mulutnya daripada kebenaran”.

Mereka bagaikan orang berjalan di dalam kegelapan dengan suasana ribut hujan disertai gegar gemuruh guruh, petir dan kilat yang sambar-menyambar. Mereka berhati-hati melakukan aksi kemunafiqannya, sedangkan Allah tidak buta melihat apa yang disembunyikan dalam hati mereka.

Mereka juga angkuh untuk memohon keampunan daripada Allah sungguhpun yang mengajak seruan itu adalah Rasulullah s.a.w.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا يَسْتَغْفِرْ لَكُمْ رَسُولُ اللَّهِ لَوَّوْا رُؤُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسْتَكْبِرُونَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka; ‘Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu’, mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh.” (Al-Munafiqun:5)

Para mufassirin mengatakan selepas surah ini diturunkan, maka sebahagian kerabat Abdullah bin Ubay datang menemuinya serta menyedarkan bahawa surah ini diturunkan berkenaan sikapnya. Mereka berkata kepada Abdullah bin Ubay, “Temuilah Nabi Muhammad s.a.w dan akuilah dosamu agar Rasulullah meminta daripada Allah agar dosamu diampunkan.”

Lantas seruan mereka disindir Abdullah bin Ubay;


لقد أشرتم عليّ بالإيمان فآمنت، وأشرتم عليّ بأن أعطي زكاة مالي ففعلت، ولم يبق لكم إلا أن تأمروني بالسجود لمحمد
“Sesungguhnya kamu telah memujukku beriman, aku pun beriman. Kamu memujukku memberikan zakat harta, aku pun menunaikannya. Tidak ada lagi yang tertinggal (segala perintah kamu telah dilaksana) melainkan kamu suruh supaya aku sujud kepada Muhammad!”

Kemudian Allah berfirman;

سَوَاء عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَن يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“(Tiada faedahnya) kepada mereka (kaum munafiq), sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.” (Al-Munafiqun:6)

Ibnu Ishak memperincikan lagi kisah kemunafiqan Abdullah bi Ubay, ketika kembalinya tentera Islam daripada peperangan Mustalaq. Dalam perjalanan menuju Madinah, orang ramai menyerbu kawasan air di Al-Muraisi’ di perairan Bani Mustalaq di daerah Qadid. Keadaan sesak di sana menyebabkan berlakunya pergaduhan di antara dua orang lelaki bernama Jahjah ibn Usaid, orang suruhan Umar al Khattab r.a dengan salah seorang suku kabilah Juhainah daripada kaum Ansar iaitu Sinan al-Juhani, yang bersekutu dengan kabilah Abdullah bin Ubay.

Tatkala mereka sedang bergaduh, Sinan al-Juhani berteriak meminta pertolongan kaum Ansar, “Wahai kaum Ansar, bantulah aku”. Mendengar teriakan tersebut lalu Jahjah turut melaungkan sentiment perkauman yang sama dengan meminta pertolongan kaum Muhajirin.

Kejadian ini sampai ke pengetahuan Abdullah bin Ubay yang pada ketika itu bersama sekumpulan orang-orangnya termasuklah Zaid bin Arqam. Kata Abdullah bin Ubay, “Sudahlah mereka ketepikan kita setelah berasak-asak di negeri kita, mereka tidak ubah seperti melepas anjing tersepit. Demi Allah apabila kita pulang ke Madinah nanti, golongan yang mulia akan menghalau keluar golongan yang hina.”

Kemudian berkata lagi, “Inilah akibat tindakan kamu sendiri yang telah membenarkan mereka memasuki negeri kamu, kemudian berkongsi harta pula dengan mereka. Demi Allah sekiranya di hari ini kamu tidak menyedekahkan kemakmuran kamu itu nescaya mereka akan berpindah ke negeri lain.”

Allah kembali menempelak perkataan Abdullah bin Ubay;
هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لا تُنفِقُوا عَلَى مَنْ عِندَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنفَضُّوا وَلِلَّهِ خَزَائِنُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لا يَفْقَهُونَ
“Mereka mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan kaum Muhajirin); ‘Janganlah kamu membelanjakan harta kepada orang-orang yang bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)’. Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapa yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendak-Nya); akan tetapi orang-orang yang munafiq itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).” (Al-Munafiqun:7)

Ugutan hina yang disuarakan Abdullah bin Ubay itu dilaporkan Zaid bin Arqam r.a kepada bapa saudaranya sehinggalah diketahui oleh baginda Nabi s.a.w. Lalu Umar al-Khattab meminta izin Rasulullah s.a.w agar memerintahkan Ubadah bin Bishr memenggal kepala Abdullah bin Ubay. Tegas Rasulullah s.a.w;
فكيف يا عمر إذا تحدث الناس أن محمدا يقتل أصحابه؟
“Bagaimana wahai Umar, jika nanti orang akan bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri?”

Untuk mengelakkan para sahabat terus bercakap-cakap mengenai niat busuk Abdullah bin Ubay itu, Rasulullah mengarahkan pasukan tenteranya melakukan perjalanan luar biasa kembali ke Madinah. Mereka berjalan sepenuh hari dari pagi hingga lewat ke petang, dari malam hingga ke pagi hari, dan hanya berhenti untuk menunaikan solat. Ketika itulah mereka terasa lapang, mereka keletihan dan terus tertidur maka tiada masa para sahabat berfikir tentang konspirasi jahat Abdullah bin Ubay.

Di saat rehat itulah Rasulullah s.a.w mengambil peluang bertanya kepada Usaid ibn Khudair r.a, anak kepada Khudair al-Kata’ib seorang pahlawan terkenal suku kaum ‘Aus, mengenai perancangan Abdullah bin Ubay. Jawab Usaid;

يا رسول الله ارفق به. فو الله لقد جاءنا الله بك وإن قومه لينظمون له الخرز ليتوجوه، فإنه ليرى أنك قد استلبته ملكا
“Wahai Rasulallah berlembutlah dengannya (Abdullah bin Ubay), demi Allah yang telah mentaqdirkan tuan Rasul kami, dan sesungguhnya pengikut Abdullah bin Ubay telah mengatur kemewahan (batu permata) untuk dikalungkan kepadanya (sebelum kedatangan Rasul). Lantaran itu, dia memandang kedatangan baginda Rasulullah s.a.w sebagai perampas haknya sebagai raja.”

Pendirian Rasulullah s.a.w ketika mendengar penjelasan Usaid ibn Khudair r.a adalah sebagaimana yang digambarkan dalam firman Allah Taala;

لاَّ خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلاَّ مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلاحٍ بَيْنَ النَّاسِ
“Tiada kebaikan daripada bisikan (perkataan manusia itu) kecuali seruan untuk bersedeqah, perintah melakukan perkara kebaikan ataupun perbaikan sesama manusia (mendamaikan manusia yang berselisih).” (An-Nisa’:114)

Abdullah bin Ubay menyedari bahawa rancangan busuknya itu telah sampai ke pengetahuan Nabi. Ketika perjalanan berbaki hampir ke Madinah, Abdullah bin Ubay berjalan bersama Nabi dan bersumpah bahawa dia tidak pernah berbicara seperti yang dilaporkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah mengiyakan penjelasan tersebut dan berhujjah barangkali Zaid bin Arqam tersalah dengar.

Keputusan yang diambil Rasulullah menyebabkan Zaid bin Arqam menjadi resah sehinggalah kemudianmya Allah menurunkan surah Al-Munafiqun. Ibnu Ishak menjelaskan ketika surah ini diturunkan Rasulullah s.a.w menunjukkan jari ke telinga Zaid bin Arqam. Sabda Rasulullah;

هذا الذي أوفى لله بأذنه
“Inilah orangnya yang memenuhi amanah kepada Allah dengan telinganya.”

Sayyid Qutb membahaskan ayat ini bahawa arahan Abdullah bin Ubai di sini ada persamaannya dengan apa yang dilakukan oleh musuh-musuh syariat di dalam lapangan politik hari ini. Mereka ibarat golongan Sekular Kapitalis yang menguasai ekonomi dengan menyekat sumber kehidupan komuniti masyarakat yang tidak dipersetujui oleh mereka. Mereka berselindung di bawah kapasiti seorang penganut Islam tetapi dalam jiwa mereka penuh dengan rancangan kebatilan.

Firman Allah;

يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الأَعَزُّ مِنْهَا الأَذَلَّ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لا يَعْلَمُونَ
“Mereka berkata lagi; Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia (pihak kita) akan mengusir keluar orang-orang yang hina (orang yang berhijrah ke Madinah). Padahal bagi Allah jualah kemuliaan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan munafiq tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Al-Munafiqun:8)

Abdullah bin Ubay menyimpan hasad yang mendalam terhadap Islam, kerana kehadiran Nabi Muhammad s.a.w telah memalapkan peluangnya menjadi pemimpin pilihan bagi masyarakat di Madinah. Abdullah bin Ubay membahasakan dirinya “orang yang lebih mulia” dan membahasakan Nabi Muhammad s.a.w dan sahabat-sahabatnya “orang-orang yang lebih hina”, sedangkan pada neraca Allah ia adalah sebaliknya.

Kata Imam al-Qurtubi r.hm, “Pada perkiraan orang munafiq mereka menyangka “orang yang lebih mulia” adalah orang yang banyak harta dan ramai para pengikutnya. Lalu diterangkan Allah bahawa kemuliaan adalah kurniaan yang hanya diberi kepada Rasul-Nya dan umatnya yang beriman.” (Tafsir al-Qurtubi:18/129)

Ibnu Ishak menjelaskan lagi, akibat rancangan nista Abdullah bin Ubay itu menyebabkan anaknya yang juga bernama Abdullah bertemu Rasulullah s.a.w sseraya menuturkan kata, “Ya Rasulallah, saya mendengar tuan ingin membunuh ayah saya. Seandainya itulah arahan tuan maka perintahkanlah saya membunuhnya.”

Rasulullah s.a.w lalu menjawab;
بل نترفق به ونحسن صحبته ما بقي معنا
“Tidak! Sebaliknya kita berlemah lembut dan bersahabat baik dengannya selagi dia tinggal bersama-sama dengan kita.”

Surah ini secara keseluruhan menemukan kita dengan perjalanan sirah, manhaj tarbiyah Ilahiyah dan takdir Allah dalam mengatur sesuatu urusan. Orang-orang munafiq hidup dalam barisan orang-orang beriman sehinggalah di penghujung hayat baginda Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w tidakpun mengeluarkan mereka daripada kelompok orang-orang beriman, walaupun baginda mengenal mereka melalui perangai, ragam, bahasa dan ciri-ciri mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w;
إِنَّ لِلْمُنَافِقِينَ عَلَامَاتٍ يُعْرَفُونَ بِهَا : تَحِيَّتُهُمْ لَعْنَةٌ، وَطَعَامُهُمْ نُهْبَةٌ، وَغَنِيمَتُهُمْ غُلُولٌ، وَلَا يَقْرَبُونَ الْمَسَاجِدَ إِلَّا هَجْرًا، وَلَا يَأْتُونَ الصَّلَاةَ إِلَّا دَبْرًا، مُسْتَكْبِرِينَ، لَا يَأْلَفُونَ وَلَا يُؤْلَفُونَ، خُشُبٌ بِاللَّيْلِ، صُخُبٌ بِالنَّهَارِ
“Sesungguhnya ada tanda-tanda pada orang munafiq yang dapat dikenali, penghormatan mereka (terhadap orang lain) adalah laknat, makanan mereka adalah hasil rampasan, ghanimah (harta rampasan perang) mereka adalah kecurangan, mereka tidak mendekati masjid kecuali menjauhkan diri darinya, tidak menunaikan solat kecuali setelah selesai, sombong, tidak mahu bersahabat dan tidak mahu diajak bersahabat, berkumpul pada malam hari dan bergaduh pada siangnya.” (Riwayat Ahmad)

Sungguhpun sifat munafiq itu nyata disebut di dalam Al-Quran, ia bukanlah tugas umat yang beriman untuk menghukum kepura-puraan kaum munafiq selagi belum nyata pengkhianatan mereka dalam bentuk tindakan. Tugas utama umat yang beriman adalah menyampaikan saranan-saranan yang terkandung di dalam Al-Quran demi kelancaran risalah dakwah yang ditinggalkan baginda Rasulullah s.a.w. Kepada orang yang munafiq ini cukuplah kita katakan;

قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
“Allah laknat mereka. Ke mana mereka akan memalingkan muka (dari kebenaran).” (Al-Munafiqun:4)

Berdasarkan amalan politik Rasulullah s.a.w, baginda tidak pernahpun mengambil tindakan terhadap kaum munafiq selama mereka menampakkan ke-Islaman dan menunaikan tanggungjawab sebagai Muslim. Hal itu kerana Allah tidak menyandarkan hati manusia kepada manusia. Apa yang terkandung dalam hati manusia itu adalah milik Allah semata-mata, dan Dia-lah yang akan menghisabnya di hari kemudian. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqallani menyebutkan;
نحن قوم نحكم بالظاهر والله يتولى السرائر
“Kami adalah kaum yang berhukum kepada perkara-perkara yang zahir, kepada Allah diserahkan (segala hukuman) melibatkan perkara-perkara batin (yang melibatkan hati).”

Allah tidak menjadikan syariat dan hukum kepada manusia berdasarkan firasat. Kerana itu, Rasulullah s.a.w hanya menyenaraikan nama-nama golongan munafiq kepada Huzaifah al-Yamani r.a sahaja dan melarang laporan itu disensasikan. Umar al-Khattab r.a sering bertemu dan bertanya kepada Huzaifah agar merasa tenang dari unsur kemunafiqan. Kata Huzaifah yang terkenal dengan gelaran “Penyimpan Rahsia Nabi” – Sohib Sirr Ar-Rasul – itu, “Wahai Umar, kamu tidak termasuk di kalangan mereka (yang munafiq). Aku dilarang Rasulullah berlebih-lebihan membicarakan hal ini.”

Allah melarang Rasulullah s.a.w mendirikan solat jenazah ke atas orang-orang munafiq ketika kematian Abdullah bin Ubai sebagaimana firman-Nya;

وَلاَ تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلاَ تَقُمْ عَلَىَ قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُواْ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُواْ وَهُمْ فَاسِقُونَ
“Dan janganlah kamu sekali-kali mensolatkan (jenazah orang munafiq) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.” (At-Taubah:84)

Setelah baginda wafat perbuatan Huzaifah-lah yang menjadi isyarat kepada para sahabat jika beliau tidak melakukan solat jenazah ke atas seseorang yang dikenalnya. Sungguhpun demikian Huzaifah tidak mengatakan apa-apapun atas tindakannya itu, ini kerana maklumat sulit yang diterima adalah amanah Rasulullah s.a.w yang tiada sesiapapun yang boleh mengetahuinya.

Referensi :
  • Sayyid Qutb, “Tafsir Fi Zilal al-Quran” 
  • Imam al-Hafiz Imaduddin Ibnu Kathir, “Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir”
  • Syeikh Mohammad Ali as-Sobuni, “Sofwatu at-Tafasir”

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.

Kewajiban Berdakwah Kepada Masyarakat Non-Muslim (Bukan Islam)

$
0
0

Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri secara ringkas. Nama saya ialah Shah Kirit bin Kakulal Govindji. Pelik bukan? Kebiasaan di Malaysia, apabila seseorang itu masuk Islam, dia dikehendaki menukar nama bapa dia kepada Abdullah. Sebenarnya tidak ada satu pun nas dari Al-Quran mahupun Hadith Sahih yang mewajibkan seseorang yang masuk Islam mesti tukar nama bapa dia kepada Abdullah!

Saya telah dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi ibu bapa saya telah membesarkan saya sebagai seorang Hindu. Tuan-tuan dan puan-puan mesti hairan, ini adalah kerana di dalam Islam kita percaya bahawa setiap kanak-kanak di dunia ini dilahirkan dalam fitrah Islam tetapi ibu bapalah yang mencorakkan mereka menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha mahupun sebagai seorang ‘Free Thinker’.
 
مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencorakkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”

Justeru itu saya lebih suka menggunakan perkataan ‘Revert’ daripada ‘Convert’ apabila seseorang itu menganuti agama Islam kerana mereka kembali kepada fitrah kejadian mereka.

Punca awal saya masuk Islam adalah atas dasar perkahwinan. Ya, kerana saya mahu berkahwin dengan perempuan Islam. Saya cakap ‘direct’ kerana di kalangan masyarakat kita ada sejenis ‘penyakit’, termasuklah di kalangan kakitangan Jabatan Agama Islam. Apabila sesorang itu menyampaikan hasrat untuk memeluk agama Islam, dia akan diperli atau disindir seperti,“Kenapa masuk Islam? Kalau tidak kerana perempuan Melayu memang tidak sah!”

Salahkah kami masuk Islam kerana mahu berkahwin? Sebenarnya masuk Islam kerana mahu berkahwin tidak salah. Mungkin itu Qada’ dan Qadar, bersabit dengan perkahwinan seseorang itu mendapat hidayah dari Allah. Yang salah ialah sudah masuk Islam tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan Islam. Yang turut salah ialah masyarakat Islam setempat yang tidak mahu membimbing atau membantu orang yang baru masuk Islam.

Jika kita perhatikan keadaan sekeliling, kita dapati ramai yang masuk Islam adalah kerana perkahwinan. Ini adalah kerana orang-orang Islam di Malaysia hampir-hampir tidak ada melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sekeliling mereka. Sudahlah tidak buat kerja, sindir orang pula!

Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggungjawab yang diamanahkan Allah kepada kita untuk menyampai dakwah Islam kepada mereka yang belum terima hidayah lagi. Allah mencela golongan seperti ini dalam surah Al-Baqarah ayat 140;

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَتَمَ شَهَادَةً عِندَهُ مِنَ اللَّهِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.”

Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini. Allah memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam di dalam surah Ali Imran ayat 110;

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia”.

Kita pun rasa sangat seronok mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggungjawab. Lagi besar suatu penghormatan maka lagi beratlah tanggungjawab yang harus dipikul. Tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama;

تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
“(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.”

Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak. Allah berfirman dalam surah Al-Ikhlas ayat 2-3;

إِنَّ الإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.”

إِلاَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.”

‘Berpesan-pesan dengan kebenaran’ bermakna melakukan ‘amar maaruf nahi munkar’ yakni melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggungjawab melakukan dakwah bukan tugas Ustaz, Imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah tanggungjawab setiap orang Islam.

Di dalam Khutbah terakhir, Rasulullah s.a.w telah bertanya kepada Para Sahabat yang tidak kurang dari 110,000 orang, “Adakah aku telah sampaikan pesanan Islam?”

Para Sahabat-pun secara serentak menjawab, “Ya Rasulullah! Kamu telah sampaikan.”

Maka Rasulullah s.a.w seterusnya memerintahkan mereka;

فَلْيُبْلِغِ الشَّاهِدُ الْغَائِبَ
“Sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir.”

Para sahabat pun faham akan perintah Rasulullah s.a.w lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan dakwah Islamiyah. Maka Islam telah pun sampai ke Negeri Cina, India, Sepanyol dan seterusnya ke Malaysia. Alhamdulillah, Para sahabat-sahabat Nabi dahulu tidak ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya ada yang bertanya, tetapi sebaliknya telah bertebaran ke pelbagai pelusuk dunia dalam menyampaikan syiar Islam.

‘Master key’ untuk melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam ada diterangkan dalam Surah Ali-Imran ayat 64;

يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاء بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلاَّ نَعْبُدَ إِلاَّ اللَّهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ
“Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.”

Untuk mencari kalimah-kalimah yang bersamaan antara kita dengan mereka, maka kita hendaklah mengkaji kitab mereka (bukan untuk beriman tetapi) untuk mencari ayat-ayat yang menjurus kepada tauhid. Sekiranya di peringkat permulaan kita hanya menggunakan Al-Quran dan Hadith sahaja mungkin orang-orang bukan Islam ini menolak kerana mereka belum beriman kepada Al-Quran.

Sekiranya kita menggunakan Bible maka orang-orang Kristian terpaksa menerimanya. Berikut adalah antara hujah-hujah yang boleh kita gunakan dari Bible terhadap orang-orang Kristian;

“Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord.” [Mark 12:29]

Apabila kita mulakan dakwah kepada orang-orang Hindu, adalah lebih baik sekiranya kita mulakan dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang terdapat dalam Surah Al-Ikhlas;

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa;”

اللَّهُ الصَّمَدُ
“Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;”

لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ
“Ia tiada beranak, dan pula tiada diperanakkan;”

وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
“Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya”

Seterusnya kita boleh bincangkan mengenai ayat-ayat yang ada persamaan di dalam kitab-kitab mereka contohnya Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan yang paling popular di kalangan orang-orang Hindu adalah Bhagavad Geeta. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita gunakan:

“He is One only without a second.” (Chandogya Upanishad 6:2:1)

“There is no likeness of Him.” (Svetasvatara Upanishad 4:19)

“His form is not to be seen, no one sees Him with the eye.” (Svetasvatara Upanishad 4:20)

“There is no image of Him.” (Yajurveda 32:3)

“He is bodiless and pure.” (Yajurveda 40:8)

Namun begitu dalam kita menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam, adalah penting kita sentiasa mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah di dalam Surah An-Nahl ayat 125;

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”

Adakah kita menggunakan hikmat kebijaksanaan dan menasihatkan dengan cara pengajaran yang baik dan lemah lembut bila menyampaikan dakwah Islamiyah kepada orang-orang bukan Islam? Jarang sekali.

Kebiasaannya bila ada orang bertanya mengenai Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah, “Dalam Islam kita mesti sembahyang 5 kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari pagi sampai senja – tidak boleh makan atau minum, mesti bayar zakat, tidak boleh makan ‘kerbau pendek’ (khinzir), tidak boleh minum (arak), mesti kena ‘potong’ dulu (berkhatan), pergi masjid mesti pakai songkok dan kain, kalau pergi solat Hari Raya mesti pakai baju Melayu (seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!).”

Saya perhatikan bahawa kita sebenarnya lebih banyak ‘me-Melayu-kan’ seseorang yang masuk Islam dari meng-Islamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini adalah satu agama yang sangat menyusahkan umatnya. Sepatutnya kita jangan terlalu rigid berkenaan fikah (halal dan haram) pada peringkat permulaan. Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman dia sudah meresap dan mantap barulah kita sampaikan bab-bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan seseorang individu. Bila iman sudah kukuh di hati, seseorang itu akan mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, Insya-Allah.

Saya ingin mengajak semua yang hadir disini termasuklah diri saya agar marilah kita semua bangkit dari lena kita. Kita telah lama tidur dengan mata celik. Marilah kita bangkit dan laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita untuk menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah kepada sesama Islam.

Berhenti dari memberikan alasan. Bila saya mengajak orang untuk berdakwah, mereka selalu memberikan alasan dan minta tunggu. Hendak tunggu apa lagi? Allah memberikan amaran kepada kita dalam Surah At-Taubah ayat 24;

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad); Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.

Marilah kita berhenti dari memberikan alasan-alasan seperti berikut;
  1. Tunggulah saya pandai; sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup pandai sekiranya kita tidak cuba dari sekarang. Sekali lagi saya rujuk kepada hadith diatas iaitu, “Sampaikanlah walau satu ayat”. 
  2. Tunggu bila ada orang bertanya baru nak cerita tentang Islam; sekali lagi saya rujuk kepada petikan dari Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w, “Siapa-siapa yang hadir disini sampaikanlah kepada yang tidak hadir”. 
  3. Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan dakwah; di zaman Nabi Muhammad s.a.w terdapat tidak kurang dari 360 suku kaum. Ini tidak menghalang baginda memberikan dakwah kepada kaum Musyirikin pada masa itu malahan baginda telah berjaya menyatu-padukan semua kaum tersebut di bawah panji Islam!
  4. Agama ini urusan peribadi, jangan masuk campur dalam hal orang lain; Dalam Islam ia menjadi tanggungjawab semua orang-orang Islam mencampuri urusan orang lain apabila ia melibatkan perkara akidah; ‘amal maaruf nahi munkar’.


Rujukan Umum
  1. The Principal Upanishad by S. Radhakrishnan
  2. Yajurveda by Devi Chand M.A.
  3. Yajurveda Samhita by Ralph T.H. Griffith

Biodata Penulis

Bahan disediakan oleh : Shah Kirit bin Kakulal Govindji

Akidah Dan Kepimpinan

$
0
0

Politik yang dimaksudkan dengan kepimpinan itu ialah bermuamalah dengan tabiat manusia dan melakukan sesuatu yang berkesan terhadap tingkah laku mereka serta mengarahkan mereka ke arah matlamat yang nyata dengan cara yang menjamin ketaatan, kepercayaan dan penghormatan. Perkataan akidah ditadbirkan oleh al Quran dengan iman yang menjadi dasar yang dibina di atas hukum syariat dalam segala aspeknya.

Kepimpinan dalam konteks Harakah Islamiyyah mempunyai hubungan yang erat dengan akidah. Gerakan Islam di sepanjang sejarah kegemilangannya lebih menumpukan kekuatan akidah sebagai ciri paling utama di samping ciri-ciri yang lain yang melibatkan pendokongnya dan menjadi lebih penting di peringkat pimpinan. Kerana perjuangan ke arah yang menyentuh perubahan jiwa dan sikap manusia itu mestilah dilahirkan dari akidah yang bersebati di dalam jiwa.

Peranan pimpinan amat penting dalam gerakan Islam, peranannya tidak boleh dilaksanakan dengan sempurna tanpa syakhsiah kepimpinan yang sebenarnya walaupun mempunyai kepetahan bercakap dan kemampuan ilmu. Walaupun sifat-sifat lahiriyyah itu tidak dinafikan pentingnya, seseorang pemimpin itu hendaklah menyedari betapa besar dan beratnya amanah yang dipikul, tidak boleh dilaksanakan tanpa pertolongan Allah dan bagi meminta pertolongan itu perlukan kebersihan jiwa yang lahir dari kekuatan dan kemurnian aqidah yang dibina dengan amalan-amalan yang soleh.

Persediaan Pemimpin Dalam Membentuk Syakhsiah

Peranan pemimpin dalam gerakan Islam bukannya penyebar dakyah yang hanya bergantung kepada kata-kata yang indah dan gaya yang menarik, tetapi mereka adalah pendakwah yang membentuk ummah atau pembantu ke arah itu sehingga ke peringkat menegakkan Negara Islam yang memungkinkan Islam itu dilaksana dengan syumulnya. Walaupun terdapat sifat semula jadi yang ada pada seseorang pemimpin tetapi sifat-sifat seperti itu mempunyai peranan yang terbatas. Maka mereka mestilah juga ditarbiyah ke arah kekuatan aqidah yang membina syakhsiahnya dengan sifat-sifat Islam yang wajib bagi pemimpin.

Di sini saya ingin mengemukakan beberapa aspek yang mesti dilakukan dan berlaku dalam membina aqidah :
  • Ilmu
Firman Allah Taala :

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." (Taubah:122)

Seseorang pemandu hendaklah mengenal jalan dan tempat yang dituju. Adalah tidak wajar seseorang yang tidak tahu jalan dan tempat yang dituju menjadi pemandu. Pemimpin Islam hendaklah mengenal Islam dan yakin kepadanya. Aqidah Islam Itu tidak memadai dengan membaca dan memahami rukun Iman dan Islam tetapi hendaklah mencakup segala tasawwurnya, termasuk juga memahami bahawa syariatnya seperti aqidahnya juga dalam menentukan sifat-sifat Iman, kufur, syirik dan nifaq, dapat menterjemahkan Islam itu dengan maknanya yang syumul seperti yang dinyatakan oleh al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Ilmu Islam itu hendaklah difahami dengan bahasanya agar selamat dari kekeliruan bahasa dan istilah yang lain daripada al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W. Para sahabat R.A menerima ilmu daripada Rasulullah S.A.W walaupun mereka dalam usia yang sudah tua dan para salaf as soleh tidak mengira penat dan jauh perjalanan walaupun kerana menerima riwayat satu hadis yang ringkas daripada Rasulullah S.A.W dan mereka tidak jemu belajar walaupun sudah alim dan mempelajari perkara yang sama walaupun beberapa kali kerana dengan ilmu daripada sumbernya yang sebenar melahirkan aqidah yang menggerakkan seseorang itu untuk beramal.

Sabda Rasulullah S.A.W, "Keburukan yang berlaku pada agama itu ada 3 perkara, Orang alim yang jahat, pemimpin yang zalim dan mujtahid yang jahil" - Riwayat Imam Ad Dailami

Ilmu menjadi ciri kepimpinan penting, kerana ia laksana cahaya yang menyuluh akal dan hati bagi makrifatullah dan segala tuntutannya, serta melaksanakan tugas dengan betul bagi mengendali segala urusan bukan sahaja dengan khalik tetapi juga dengan makhluk yang ada hubungan dengan tugas-tugas khilafah yang diamanahkan kepada manusia, iaitulah ilmu yang memberi manfaat, ilmu yang berdasarkan dinullah bagi membentuk peribadi pemimpin ummah dan membina negara, ilmu yang kerapkali disebut di dalam al Quran, di antaranya ialah firman Allah Taala :

"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka; Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab; Bagaimana Dia mendapat kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak Dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata; Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengumiaanNya), lagi meliputi ilmuNya." - (Al Baqarah:247)

Ilmu dalam konteks aqidah pula agar seseorang faham dan berfikir ke arah membentuk iman dan membuahkan amal, hendaklah mengaji dan mengkaji al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W dengan renungan dan fahaman ke arah menunjangkan aqidah dan melaksanakan tuntutannya selaras dengan fitrah kita ini. Menyedari apa yang telah ditunai dan kecuaian diri sebagai hamba Allah sehinggalah melahirkan kesedaran mengeratkan hubungan dengan Allah Taala dengan iman, semangat dan perasaan yang tidak berbelah bahagi sedikit pun. Seterusnya melahirkan jihad ke arah meninggikan kalimah Allah Taala yang menjadi aqidahnya.

Hakikat itu tidak berlaku jika seseorang itu tidak berilmu menurut salurannya yang sebenar dari Allah Yang Maha Mengetahui, termasuk juga mengetahui manusia dan segala perkara yang berhubung dengannya. Perlu diketahui bahawa ilmu yang membentuk manusia menurut alQuran dan as Sunnah melahirkan pemimpin yang beraqidah seperti Para Sahabat R.A dan orang-orang badwi di padang pasir yang telah menumbangkan kuasa-kuasa besar dunia dan mengajar mereka yang dianggap berilmu seperti ahli kitab dan orang-orang yang pernah membina tamadun dunia supaya benar-benar menjadi khalifah Allah di bumi-Nya.

Seseorang pemimpin itu hendaklah lebih mengetahui tentang mafhum Islam yang menjadi jalan dan matlamat dengan penuh iman sehingga tidak berpaling kepada segala bentuk gangguan dalam menegakkan cita-cita Islam bermula daripada mentauhidkan Allah Taala, mengumpul manusia kepada mengakuiNya, sehinggalah tegaknya kalimah Allah dan bersihnya bumi ini daripada segala kufur dan syirik dengan terlaksananya segala peraturan yang ada di dalam ajaran Islam. Perlu difahami bahawa wujudnya Islam di muka bumi ini mestilah diwujudkan hakimiyyah Allah dengan hukum Allah itu memerintah urusan hamba-Nya, bukanlah sekadar hamba itu beribadah dengan melakukan syiarnya sahaja.

Oleh itu, menjadi satu hikmah yang besar, apabila Allah menurunkan ayat yang menyatakan ilmu, jalan dan dasarnya sebagai ayat yang pertama diturunkan kepada Rasulullah S.A.W dan betapa majlis ilmu diberi keutamaan kepada angkatan pertama Para Sahabat R.A, bukan sekadar untuk maklumat semata-mata tetapi untuk kekuatan aqidah yang dilahirkan pula dengan amalan dan perjuangan yang penuh dengan pengorbanan yang menjadi bukti kekuatan aqidah kepada pemimpin-pemimpin pertama jemaah Islam.
  • Amal Dan Tazkiyah
Menuju ke arah cita-cita Islam dan melaksanakan tugas-tugas Islam seseorang itu hendaklah melakukan muhasabah ke atas diri sendiri dan menyedari sejauh mana kedudukannya dalam Islam di mana dia mendakwahkan orang lain kepadanya, dari segi iltizamnya dengan Islam dengan menginsafi firman Allah Taala :

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"(Al Baqarah:44)

Dan janganlah amal yang dikerjakan itu menjadi sia-sia seperti firman Allah Taala :

"(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.". (Kahfi:104)

Mereka yang sebenar-benarnya rugi ialah apabila kerugian di akhirat walapun mendapat keuntungan yang banyak di dunia ini. Keuntungan yang sebenamya ialah menurut pertimbangan di akhirat walaupun mengalami kerugian besar di dunia. Keuntungan itu hanyalah kepada orang-orang yang baik yang mengerjakan amal soleh bermula daripada dirinya sebelum daripada orang lain. Sabda Rasulullah S.A.W, "Hamba yang paling dimurkai Allah ialah sesiapa yang pakaiannya lebih baik daripada amalannya. Bahawa pakaiannya seperti pakaian Nabi-Nabi dan amalannya amalan pembesar-pembesar angkuh" - Riwayat Imam ad Dailami

Sabda Rasulullah S.A.W lagi, "Datang seorang lelaki pada hari Kiamat, dia dicampak ke dalam neraka tiba-tiba perutnya keluar berjela maka dia  berpusing di dalamnya seperti keldai yang berpusing pada pinggulnya. Penghuni neraka berkumpul kepadanya lalu mereka bertanya; BUkankah awak dahulu menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran? Dia menjawab; Ya, sayalah menyuruh orang kepada kebaikan tetapi saya tidak mengerjakannya dan saya juga melarang kemungkaran, tetapi saya melakukannya." (Muttafaqun 'Alaihi)

Sepatutnya seorang pemimpin Harakah Islamiyah hendaklah menjadi contoh kepada orang lain dengan amal-amal soleh yang lebih baik, kalau tidak, dia lebih layak menjadi menjadi seorang penipu umat.

Setiap orang yang melibatkan diri dengan gerakan Islam hendaklah menyedari jalan-jalan yang berdasarkan kepada fikrah semata-mata tidak mendatangkan hasil yang baik, bahkan tidak akan menjadi pegangan yang kukuh dalam masa yang panjang kalau tidak disertakan dengan amal yang ikhlas kerana Allah. Iman dan amal yang soleh merupakan dua perkara yang berlaziman dan tidak boleh berpisah, amal soleh adalah kenyataan daripada iman, dan iman pula melazimkan seseorang itu melakukan amal soleh.

Di dalam al Quran disebut berulangkali tentang iman dan amal soleh, dan boleh dikatakan bahawa amal soleh itu lahir dari iman dan taqwa yang ditadbir juga dengan aqidah, di samping itu amal soleh pula menjadi pembekal iman dan taqwa.

Amal soleh juga adalah perlaksanaan ilmu yang dipelajari samada melalui membaca atau mendengar dan menjadi hujah yang kuat kalau diamal dan menjadi akasnya kalau tidak diamal. Dengan beramal akan meneguhkan ilmu dan menguatkan aqidah, terkeluar dari alam teori dan khayalan semata-mata, dan melayakkan seseorang itu berada di medan jihad dan mujahadah. Meningkatkan diri, membina peribadi sebagai anggota jamaah Islam dan pemimpinnya yang sebenar.

Amal yang soleh juga boleh memutus pertarungan di antara dua dorongan yang wujud di dalam diri manusia, iaitu dorongan ke arah kebaikan dan dorongan ke arah kejahatan. Apabila seseorang itu beramal soleh, bermakna dia memberi kemenangan kepada kebaikan dan mengalahkan dorongan kejahatan yang ada di dalam dirinya. Misalannya; Apabila kita membaca tentang kelebihan orang-orang yang membelanjakan harta bendanya fi sabilillah, tiba-tiba lahir perasaan takut untuk mengeluarkan harta, maka lahirlah pula sifat bakhil dan kasihkan harta, serta perkara itu menjadi penghalang. Tetapi apabila kita menunaikannya secara amali bukannya sahaja kita berjaya mengatasi penghalang yang tidak baik itu, tetapi membuktikan adanya aqidah kepada apa yang dibaca tentang kelebihan membelanjakan harta fisabilillah begitulah seterusnya dengan amal-amal yang lain.

Sesungguhnya amal itu mempunyai medan yang luas, mencakupi segala bidang kehidupan manusia kerana Islam itu meliputi seluruhnya. Tetapi hendaklah diketahui bahawa amalan yang menyuburkan hubungan dengan Allah itu mempunyai peranan yang besar dalam membina aqidah dan syakhsiah. Apabila terlaksananya ciri-ciri taqwa dan meningkat pula kepada darjat ihsan yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W, "Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, maka jika engkau tidak melihatnya maka dia melihat engkau." (Muttafaqun 'Alaihi)

Sehinggalah beramal dengan setiap kebaikan yang dikasihi oleh Allah dan Rasul-Nya dan meninggalkan setiap keburukan yang dimurkai Allah dan Rasul-Nya, bahkan tidak merasa jemu dan keberatan untuk menyerahkan apa sahaja bagi mencapai keredhaan Allah. Sesungguhnya memilih jalan bagi menyuburkan hubungan dengan Allah Taala adalah suatu perkara yang tidak boleh dianggap ringan melalui jalannya, memerlukan kekuatan rohani dan keyakinan yang kuat yang boleh dihasilkan dengan amalan, antaranya :
  1. Mendirikan solat, bukan sahaja yang wajib ditunaikan, tetapi juga solat-solat sunat. Sebaik-baiknya dengan cara bersuci diri manusia ke arah menguatkan hubungan dengan Allah, dengan cara yang lebih melahirkan keikhlasan terutamanya di waktu tengah malam dan sepertiganya yang akhir, kerana manusia itu seringkali dihinggapi sifat buruk yang tertanam di hati, seperti riak, ujub dan sum'ah. Kadang-kadang boleh membinasakan peribadinya dan mengsia-siakan amalannya. Sifat ini menghinggapi juga amalan yang lain.
  2. Berpuasa, bukan sahaja puasa fardu tetapi juga puasa-puasa sunat seperti yang diajar oleh sunnah Rasulullah S.A.W dengan menghasilkan tujuannya yang dikehendaki oleh Allah Taala.
  3. Zikrullah (mengingati Allah), yang sepatutnya tidak terputus dari ingatan manusia dalam semua keadaan dengan cara yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W, bukannya cara yang diilhamkan dari unsur-unsur yang bukan Islam. Di sana banyak doa-doa dan zikir-zikir yang ma'thurah dari Rasulullah S.A.W, Para Sahabatnya dan salafussoleh. Bukan sekadar menghafal dan menggerakkan lidah tanpa memahami tujuannya.
  4. Berbelanja pada jalan Allah, bukan sekadar zakat yang wajib tetapi juga sedekah-sedekah sunat sekadar kemampuan. Perlu difahami bahawa nilaiannya bukanlah jumlah yang disumbangkan tetapi menurut keikhlasan hati kerana Allah. Seorang miskin yang memberi beberapa sen yang amat dihajatinya kerana Allah lebih besar dan mulia di sisi Allah dari ribuan ringgit yang diberi oleh seorang jutawan yang menganggapnya satu sumbangan yang dirasakan tidak menyentuh sedikit pun perasaan hatinya dengan kadar itu. Sesungguhnya sumbangan harta itu menurut apa yang dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya, antara jalan untuk membersihkan hati.
Perlu diketahui oleh setiap Mukmin khususnya pendokong cita-cita Islam bagi mentarbiyahkan hati yang melahirkan kecintaan kepada Allah Taala yang melahirkan pengorbanan dan jihad serta sifat-sifat yang menjadi ciri mencapai pertolongan Allah. Cinta dan kasihkan Allah tidak dilahirkan melalui iman dalam pengertian ilmu semata-mata. Kalaulah ilmu semata-mata menjadi alasan maka para orientalislah menjadi orang-orang yang pertama menganut Islam dan mengasihi Allah dengan menegakkan agama-Nya dan melaksanakan perintah serta menjauhi larangannya. Kedudukan mereka menjadi penentang paling berdepan dan sejarah ahli kitab di zaman Rasulullah jugalah menjadi iktibar kepada kita semua.

Kecintaan kepada Allah itu setelah beriman kepadaNya hendaklah dipupuk dengan memikirkan ayat-ayat-Nya yang dibaca dan ayat yang dilihat melalui kejadian alam dan nikmatnya yang tidak terhingga dan mengamati kebesarannya. Kemudian diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir dengan hati dan lidah. Bagi menyempurnakan semua itu ialah dengan memisahkan diri beberapa ketika dari urusan dunia, kekalutannya dan kemashyghulannya (kesibukannya) secara berterusan untuk menghayati betapa kebesaran Allah sehingga memandang kecil segala yang besar di bumi ini. Memandang sepi kepada segala godaannya, menganggap ringan segala tekanan dan penyeksaan, segala fitnah dan sendaan dipandang ringan. Itulah persediaan yang diajar oleh Allah kepada Nabi Muhammad yang menjadi qudwah kepada kita pendakwah dan pemimpinnya.

Bermujahadah dalam beramal dan mentazkiahkan diri merupakan perkara yang amat penting dalam menghayati Islam, seperti yang dibicarakan oleh ilmu yang dinamakan tasawuf oleh kebanyakan ulama'. Sesetengahnya pula menamakannya dengan ihsan dan setengah ulama' di antaranya Ibnu Taimiyah menamakannya dengan ilmu akhlak. Hendaklah diketahui segala-galanya itu hendaklah dengan berdasarkan al Quran dan Sunnah Rasulullah tanpa diresapi oleh sebarang unsur yang asing dari Islam.

Bagi mengukur pencapaian amal dan tazkiah itu, tidak seperti yang difahamkan oleh orang-orang yang tidak memahami hakikat ajaran Allah dan Rasul-Nya dengan menunggu mimpi-mimpi atau lahirnya karamah atau kelihatan perkara-perkara yang menyalahi adat. Tetapi dengan ukuran hati yang dikurniakan oleh Allah kepada semua manusia yang menyedari keikhlasan diri masing-masing dengan cara yang ikhlas juga terhadap bai'ah dan ikrar hati dan lidah dalam beriman dan mentasdiqkan Allah dan Rasul seterusnya bersikap istiqamah dengan itu semua.
  • Mehnah (Ujian)
Firman Allah Taala :

"Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya." (Yusuf:33)

Begitulah berlakunya sejarah perjuangan Islam bahkan menjadi sunnahnya dahulu, sekarang dan akan datang. Lantaran Iman itu bukan sahaja kalimah yang yang diucap tetapi juga hakikat yang mempunyai tanggungjawab, amanah yang menjadi bebanan, jihad yang memerlukan kesabaran, maka tidaklah memadai bahawa manusia itu bercakap-cakap bahawa kami telah beriman sekadar itu sahaja tanpa diuji bagi memurnikan keimanan itu, sehingga tidak boleh dipura-purakan oleh orang-orang yang bukan ahlinya. Iman atau aqidah itu juga amanah Allah di atas muka bumi ini. Kemurnian iman mampu dibawa oleh orang-orang yang benar-benar ahlinya yang memiliki sifat-sifatnya bagi dinyatakan dengan terlaksananya kewajipan khilafah di muka bumi dan memandu manusia ke jalan Allah Taala.

Seseorang itu boleh menepuk dada mengaku ikhlas, kuat, berani, bersedia untuk mati dan sebagainya. Dan adalah menjadi suatu perkara yang baik seseorang yang beriman itu ditarbiyah bukannya dengan cakap-cakap dan kertas-kertas yang dibaca sahaja tetapi mengalaminya pada peringkat kenyataan dan ujian praktikal dan Allah Yang Maha Mengetahui untuk menguji dan mentarbiyahkan hamba-hambaNya dengan ujian untuk mengisi sifat-sifat kesabaran, kesyukuran dan pembetulan-pembetulan jiwa kepada golongan-golongan Islam dan pimpinannya sehinggalah mereka layak bagi menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini.

Itulah jawapan kepada persoalan mengapa golongan Islam ini diuji terlebih dahulu, sedangkan penegak kebatilan kelihatan bersenang-senang dan menang di peringkat awalnya? Mengapa kemenangan Islam itu diperlukan jarak masa yang begitu rupa? Persoalan yang lahir dari hati generasi perjuangan Islam di sepanjang zaman.

Iman atau aqidah yang sebenar mestilah hidup dan berkembang dengan sifat-sifat keteguhan dengan pegangannya dan ketabahan menghadapi cabaran, disertakan pengorbanan apa sahaja pangkat, kedudukannya dan harta benda bahkan tidak ada tawar menawar dan tolak ansur dalam menegakkan apa yang menjadi iman dan aqidah itu. Dan orang yang mengaku beriman dan beraqidah itu memilih jalan yang dikira paling baik bagi menyebar dan menegakkannya walaupun jiwa raga dan harta menjadi bayarannya.

Menjadi suatu hakikat yang ditentukan oleh Allah apabila golongan iman dan aqidah itu memenuhi sifat-sifatnya, maka dikurniakanlah kelebihan dan pertolongannya yang tidak terhingga sehingga membawa kemenangan di dunia dan akhirat.
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia

Terapi Nabawi Mendepani Fitnah dan Tuduhan

$
0
0
Peristiwa Ghazwah Bani Mustaliq pernah merekodkan satu pengalaman pahit kepada umat Islam yang menyentuh rumahtangga Rasulullah S.A.W, di mana Saydatuna Aishah dituduh bermukah dengan Safwan bin Mu’attal, seorang Sahabat Nabi juga tentera Islam yang tabiatnya suka tidur selepas selesai berjuang di medan pertempuran. Di dalam sirah Ibnu Hisham, diriwayatkan Safwan bin Mu'attal memang suka tidur selepas perang sehinggalah beliau ditinggalkan keseorangan oleh kumpulan tentera-tentera Islam yang lain.

Itulah rutin yang kerap dilakukan oleh Safwan, seorang Sahabat Nabi setiap kali berakhirnya perang. Namun, setelah Safwan tersedar daripada lenanya beliau mendapati Aishah, isteri Baginda S.A.W tertinggal keseorangan daripada kumpulan yang sepatutnya beliau bersama Rasulullah S.A.W menuju pulang ke Madinah.

Peristiwa itu menyebabkan kota Madinah gempar. Segala rekayasa media dipaparkan oleh kaum munafiq semahu-mahunya. Fitnah keji dan tuduhan jahat terhadap keluarga Nabi S.A.W kedengaran merata ke pengetahuan masyarakat Muslim dan non-Muslim di Madinah, di mana Aisyah, isteri Nabi S.A.W dituduh berselingkuh dengan Safwan bin Mu'attal.

Sementara Abdullah bin Ubai dan kaum munafiq melepaskan dendam dan bencinya terhadap Rasulullah S.A.W dengan mengambil kesempatan, mencipta dan menaburkan fitnah terhadap isteri Baginda sehingga terdapat beberapa orang Islam terpengaruh dengan fitnah tersebut. Beberapa orang sahabat berkelahi dengan Safwan bin Mu'attal, antaranya ialah Hassan bin Thabit, tukang penyair Rasulullah.

Tuduhan itu dirumus berdasarkan tindakan Safwan yang mengiringi Saydatuna Aishah radhiAllahu anha sehingga tiba ke Madinah. Peristiwa itu dijaja sebagai fakta kukuh, tentang kecurangan Aishah terhadap Rasulullah S.A.W.

Disebut oleh Ibnu Hisham di dalam sirahnya, fitnah tersebut menyebabkan Rasulullah melontarkan persoalan kepada Aishah, "Wahai Aisyah, sesungguhnya telah sampai kepadaku berita begitu dan begini tentangmu. Jika kamu seorang yang bersih dari fitnah itu maka Allah akan membersihkanmu, jika sekiranya kamu mengerjakan dosa maka mohonlah ampun dan bertaubatlah kepada Allah kerana seseorang hamba itu apabila mengaku dosanya kemudian dia bertaubat kepada Allah nescaya Allah maha menerima taubatnya."

Sedih Aishah mendengar teguran Baginda, suara Baginda bagaikan guruh yang mengegarkan tiang langit. Lantaran persoalan bernada keraguan itu, Saydatuna Aisyah mengalirkan air mata, dengan sebak menangis melihat tawarnya keyakinan Baginda kepadanya. Aishah kemudiannya melontarkan perkataan yang membuktikan kejituan imannya kepada Allah Taala,"Aku tidak dapati suatu contoh perkataan melainkan seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Yusuf alaihissalam; ...Sabar itulah yang paling baik dan Allah sahaja tempat meminta pertolongan di atas apa yang kamu sifatkan terhadapku (maksud surah Yusuf ayat18)."

Allah telah mentaqdirkan satu ujian yang pahit diterima Baginda S.A.W, lebih-lebih lagi apabila wahyu tidak turun sebulan lamanya sejurus dari peristiwa itu. Semua itu agar kita agar generasi umat Islam hari ini mengambil iktibar sebagai umatnya yang beriman kepada Allah dan Rasul, sebagai umatnya yang menjulang tinggi makna kesetiaan dan persaudaraan.

Lalu, apa sebenarnya yang dilakukan Baginda Nabi S.A.W mengatasi beban ini selain menunggu petunjuk dan wahyu dari Allah? Lembaran sejarah mengajarkan kepada kita, bagaimana sikap Baginda Nabi sebagai qiyadah terunggul membanteras fenomena "media puaka" yang dikelolao Abdullah bin Ubai sampai ke akarnya.

Antara yang dilakukan Rasulullah S.A.W adalah menyibukkan para sahabat daripada membicarakan fitnah terhadap Saydatuna Aisyah. Ini kerana masyarakat yang tidak sibuk, menghabiskan masa mengatur dam dan melepak di kedai kopi, biasanya tiada urusan lain yang akan dilakukan oleh mereka selain membicarakan isu-isu panas dan fitnah.

Khabar angin, cakap-cakap mulut adalah senjata klasik yang menjadi makanan empuk orang-orang munafik sejak dahulu lagi untuk memecah belahkan umat Islam. Di dalam kitab sirah yang dikarang Ibnu Hisyam, ketika fitnah ini berleluasa radarnya, Rasulullah S.A.W bertindak keluar ke lokasi yang berbeza dari suasana di Madinah. Rasulullah S.A.W keluar bersama beberapa orang sahabat untuk beberapa hari dan berhenti di suatu tempat sehingga masing-masing mengantuk dan tertidur. Rasulullah S.A.W melakukan semua itu agar mereka dapat melupakan "gossip liar" kaum munafiq seputar kejadian sebelumnya.

Begitu juga apabila Rasulullah S.A.W mengutarakan pandangan dan mengemukakan pendapat tentang hal yang terjadi berikutan tuduhan terhadap isterinya, Aisyah, Baginda hanya berbicara kepada orang-orang yang rapat dengannya sahaja. Baginda tidak berbicara soal tuduhan terhadap Aisyah itu kepada semua orang. Kerana cinta Baginda S.A.W kepada Aisyah begitu mendalam, manakala tuduhan yang dihadapi oleh Aisyah amat pedih untuk dipendam.

Berbeza dengan sikap orang-orang munafik. Mereka menyebarkan desas-desus dan menikmati rasa kepedihan yang menimpa jiwa Rasulullah S.A.W.

Safwan bin Mu'attal radhiAllahu anhu disaksikan Rasulullah S.A.W sendiri sebagai seorang yang soleh dan Allah telah memberikan rezeki kepadanya kesyahidan di jalan-Nya sesudah fitnah liar ini ditamatkan dengan penurunan ayat ke 11-18 daripada surah an-Nur. Allah menjelaskan perihal sebenar dan telah memuji pendirian Abu Ayub al Ansari dan Ummu Ayyub berdasarkan asbaabun nuzul ayat tersebut kerana sikapnya tidak mempercayai tuduhan buruk yang dilemparkan kepada isteri Baginda S.A.W.

Ketika peristiwa berita fitnah mengenai kerendahan moral Aishah merebak dengan liarnya, Abu Ayyub al Ansori beserta isterinya Ummu Ayyub berkata, "Ya kami mendengar berita itu, tetapi kami tidak percaya dan ini adalah fitnah terhadap Aishah!"

Wahyu Allah yang turun ketika itu sangat menenangkan jiwa Baginda, ia laksana gerimis di saat kekeringan dan kemarau panjang. Firman Allah Taala :

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata; Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”– surah an Nur:12, al Quranul Karim

Inilah sikap Muslim yang menjadi panduan kepada kita apabila menilai sesuatu isu atau berita. Benarlah Allah Taala memuliakan Para Sahabat dan mensucikan Para Ahli Bait Baginda S.A.W. Sekalipun peristiwa ini sulit dan menyakitkan, namun sedarilah bahawa orang-orang yang diuji dengan peristiwa seumpama ini, pahalanya di sisi Allah tidak akan dizalimi sekecil manapun. Sabda Rasulullah S.A.W, “Tidaklah seorang hamba dizalimi lalu ia bersabar atas kezaliman itu maka Allah pasti menambah kemuliaan baginya.” - Riwayat at-Tirmizi, hadis ini sahih.

Mari kita renungi dalam-dalam jika fitnah seumpama ini berlaku di hadapan kita. Ketika itu di manakah kedudukan hati kita sekarang?

Adakah kita tergamak mengapi-apikan orang lain supaya turut mempercayai berita yang masih belum dipastikan keabsahannya?

Adakah kita mengambil posisi berdiam diri lantaran sikap tidak mahu ambil peduli?

Atau kita tidak percaya khabar tersebut malah mempertahankan peribadi mangsa sebagai orang yang dizalimi, menegaskannya sebagai Muslim yang baik bahkan wajar dipertahankan martabatnya.

Jika hari ini kita di zaman Baginda S.A.W, di manakah posisi iman kita? Adakah posisi kita bersama Para Sahabat radhiAllahu anhum, ataukah posisi kita di tempat "asfala safilin" di mana kaum munafiq yang mewarisi sikap Abdullah bin Ubai bin Salul ditempatkan? Na'uzubiLlahi min zaalik.

Tulisan berkaitan boleh dibaca di sini

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.

Cinta Nabi, Saranan Al-Quran Yang Ditinggalkan

$
0
0
Dewasa ini ramai yang membicarakan topik ‘Cinta Nabi’. Satu perkembangan baik yang berlaku di kalangan umat Islam. Cuma terkadang, kita tercari-cari metodologi yang tepat bagaimana menyintai Rasulullah S.A.W. Sehingga kita terlupa al-Quran telah membicarakan soal ini secara jelas dan langsung.



Manhaj Al-Quran

Di dalam surah Ali Imran, Allah Taala telah menyatakan kriteria golongan-golongan yang layak bersama dengan Rasulullah S.A.W;



“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar” (Ali Imran:146)

Secara jelas Allah menyatakan sifat utama pencinta-pencinta Nabi SAW seperti berikut :
  • Al-Quran telah menggazetkan bahawa golongan yang layak bersama dengan Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang sangat sensitif terhadap maruah Islam. Mereka tidak akan membiarkan Nabi SAW berjihad seorang diri, sedangkan mereka duduk sebagai pemerhati. Sebaliknya mereka ada rasa tanggungjawab terhadap cinta Nabi SAW sebagaimana ikrar para sahabat, "Pergilah Engkau S.A.W bersama Tuhanmu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganmu turun berjuang."
  • Mereka mestilah di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih berjuang menegakkan agama Allah. Kembali kepada tugas asal manusia sebagai khalifah iaitu ‘Mendirikan Islam, Memelihara Islam dan Mentadbir Dunia Dengan Islam’.
  • Jatidiri mereka gagah perkasa, kalis tekanan. Apabila mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai jihad perjuangan Islam, mereka bersedia berhadapan dengan risiko serta bersungguh-sungguh menongkah arus kejahilan manusia. Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi S.A.W tidak sudi mengaku sebagai ummatnya (maksudnya), “Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka” HR Tabarani.
Bahkan di dalam Ayat 142 sebelumnya, Allah SWT mencabar pendukung-pendukung agama Nabi SAW agar jangan mudah perasan masuk syurga selagi mana tidak berjihad. Ingatan itu disertakan isyarat dari Allah bahawa pencinta-pencinta Nabi SAW mestilah meletakkan misi mati syahid sebagai cita-cita yang tertinggi di dalam ayat 143.

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” (Ali Imran:142)

“Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Ali Imran:143)

Golongan pencinta Nabi SAW mempunyai daya tahan yang kuat. Sedikit pun tidak menyerahkan kalah berhadapan dengan musuh. Dalam konteks realiti Malaysia sekarang yang ujiannya adalah perang pemikiran, mereka mestilah tidak menyerahkan kepercayaan  mereka kepada ideologi-ideologi lain selain Islam.

Cinta Nabi S.A.W Gaya Sahabat

Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi S.A.W. Ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh dari air tangan Nabi SAW. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi SAW dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu dari Baginda S.A.W.

Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah SAW adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda SAW, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad S.A.W, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda SAW. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Sham bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah S.A.W.

Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi S.A.W. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi S.A.W. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya  misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi S.A.W.

Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah S.A.W sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi SAW dengan penegasannya, “Demi Allah, aku benci bersama bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah S.A.W ditinggalkan diseksa oleh kamu semua...” al-Bukhari

Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi SAW adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda S.A.W.

Muhasabah

Berdasarkan potongan ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 142 hingga 146, kita perlu meneliti dengan penuh insaf di mana kita. Bahkan kita perlu tanya pada diri kita sepanjang kempen Cinta Nabi S.A.W, adakah kita telah menjalankan beberapa kempen berikut :
  1. Syurga tidak diperolehi semata-mata dengan memuja memuji Nabi S.A.W sahaja. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat.
  2. Umat Nabi S.A.W mesti bercita-cita untuk mati syahid sebagai tanda benar-benar cinta kepada Nabi S.A.W. Barulah cita-cita tersebut memotivasi umat Baginda S.A.W supaya gagah mendepani cabaran mendatang.
  3. Tidak ada guna jika setelah kewafatan Nabi S.A.W, kita hanya merintih dan mengadu nasib bersedih akan pemergian Baginda SAW sedangkan tugas-tugas Baginda S.A.W kita tinggalkan. Lihat di dalam al-Quran, Allah menegur umat Islam agar jangan berpaling meninggalkan kerja Nabi S.A.W setelah kewafatannya. Begitu juga Bilal, bukti rindu dan cinta beliau adalah dengan jihad. Ingat, umat Islam sifatnya membina dan maju. Bukan statik dan mandom.
Sekiranya tidak dijumpai kempen-kempen tersebut sepanjang menyambut program Maulid al-Rasul atau seumpamanya, maka sedarlah bahawasanya kita masih gagal memenuhi piawaian Allah S.W.T dalam menyintai Rasulullah S.A.W dalam erti kata yang sebenar. Apakah cukup dengan mengingati tanpa melaksana? Cinta adalah tanggungjawab.

Abdul Muizz bin Muhammad merupakan Ketua Lajnah Tarbiyah PAS Pemuda Kawasan Klang.

Media Baru: Peranan Dan Cabarannya Terhadap Gerakan Islam

$
0
0

Pengenalan 1 : Media baru adalah istilah yang dimaksudkan untuk mencakup kemunculan digital, komputer, atau jaringan teknologi informasi dan komunikasi di akhir abad ke-20. Sebahagian besar teknologi yang digambarkan sebagai ‘media baru’ adalah digital, seringkali memiliki karakteristik dapat dimanipulasi, bersifat jaringan, padat, mampat, interaktif dan tidak memihak. Beberapa contoh adalah seperti internet, website, blog, facebook, computer, multimedia, permainan komputer, CD-ROMS, dan DVD. Media baru bukanlah television, filem, majalah, buku atau publikasi berasaskan kertas. (sumber: Wikipedia)

Pengenalan 2 : Gerakan Islam adalah istilah yang dimaksudkan bagi satu amal Islami berterusan yang bersifat massa, berkumpulan dan tersusun demi mengembalikan hak agama Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh kehidupan. (Dr. Yusuf al Qaradhawi)

Pengenalan 3 :


Pernah satu ketika dahulu, khalayak pengguna facebook agak tergamam, kecewa dan keliru apabila dikhabarkan bahawa pengasas facebook, Mark Zuckerberg akan menutup media jaringan sosial paling popular itu pada pertengahan Mac 2011 nanti. Khabar angin yang sentiasa mewarnai alam media baru itu mungkin sengaja ditimbulkan oleh pihak tertentu untuk melihat sejauh manakah kebergantungan masyarakat dunia terhadap peranan media baru di dalam kehidupan mereka.

Ini adalah satu contoh keadaan kalut yang menggambarkan betapa besarnya peranan media baru dalam mencorak pemikiran dan pergerakan manusia moden hari ini. Hakikatnya, seluruh dunia begitu terkesan dengan peranan media baru terutama di dalam menggerakkan golongan ‘middle class’ untuk merobohkan tembok penguasaan kelas atasan/ pemerintah di dalam menentukan politik dan hala tuju sesebuah negara.

Sebagaimana media baru telah menjadi senjata ampuh yang mencabar dan mengancam kerajaan dan anti-establishment, ia juga turut mengundang isu yang sama terhadap gerakan Islam yang berada di tengah-tengah medan pertarungan merebut teraju kepimpinan manusia.

Kertas ini ditulis secara sepintas untuk melihat bagaimanakah peranan dan cabaran media baru terhadap oleh gerakan Islam dan langkah-langkah yang perlu diambil demi memastikan media baru bertindak sebagai senjata yang menghunus untuk mereka, bukan ke atas mereka.

Cabaran Media Baru Terhadap Gerakan Islam

Berikut adalah beberapa cabaran yang bersifat ancaman yang akan memberikan kesan buruk dan negatif terhadap misi dan momentum gerakan Islam di persada masyarakat. Ia juga turut memalit pandangan negatif terhadap para pekerja gerakan Islam;

Lahirnya kelompok muslim yang merajakan kefahaman liberal dan kebebasan hidup mengikut perspektif barat. Ia adalah kesan daripada sekurang-kurangnya dua faktor :
  1. Rasa bosan dan ingin bebas daripada budaya politik mengongkong pemerintah.
  2. 2- Rasa kagum dan terima kasih terhadap dunia barat yang mempromosikan hak dan kebebasan hidup melalui media baru.
Lahirnya kelompok Muslim yang secara bebas, terbuka dan tidak terkawal di dalam mengkritik, bahkan mempersendakan perkara-perkara pokok dan suci di dalam agama. Fenomena kotor ini begitu mempengaruhi tahap sensitiviti umat Islam yang semakin rendah, terutama di kalangan golongan muda dan pertengahan yang begitu terpengaruh dengan budaya baru canangan media baru tersebut.

Menambahkan kekeliruan masyarakat non-Muslim terhadap agama Islam dan para pejuangnya, terutama pengenalan mereka terhadap agama Islam yang disalah ertikan. Ini juga disebabkan oleh dua faktor utama;
  1. Mereka lebih rapat kepada rakan-rakan Muslim berfahaman liberal yang salah.
  2. Mereka lebih terdedah kepada maklumat-maklumat mengenai Islam daripada sumber-sumber yang salah.
Hilangnya populariti terhadap media baru dan alternatif Islam disebabkan paparan dan hasilan ‘kurang menyengat’ oleh pengamal media baru muslim. Fenomena ini begitu dilihat apabila portal-portal berita faham liberal jauh mendahului saingannya dari portal-portal berita bersifat Islamik.

Pattern‘sentiasa terkebelakang’ atau ‘memegang ekor kerbau’ yang sinonim dengan umat Islam pastinya menambah burukkan lagi persepsi massa terhadap keupayaan Islam untuk memimpin.

Hilangnya minat, pengaruh dan sokongan golongan muda terhadap gerakan Islam dan programnya disebabkan minat mendalam mereka terhadap media baru yang begitu dikuasai kumpulan bukan Islamik. Ini dapat dikesan melalui kurangnya populariti ikon dan qudwah islami di mata golongan muda hari ini.

Budaya akhlak yang agak liar dan buruk yang mewarnai amalan interaksi di dalam media baru akibat pengaruh budaya kebebasan bersuara acuan barat melaluinya. Budaya tidak berakhlak mulia ini akhirnya telah menimbulkan polemik, caci maki dan fitnah yang boleh memporak perandakan institusi kehidupan masyarakat Islam.

Kebocoran maklumat dan kerahsiaan dalaman gerakan Islam yang begitu mudah, cepat dan meluas. Walaupun fenomena ini melampaui tidak hanya ke atas gerakan Islam sahaja, bahkan kepada seluruh pertubuhan dan kerajaan (contohnya fenomena Wikileaks), tetapi ia telah memberi kesan yang besar kepada keutuhan gerakan Islam yang mementingkan etika dan adab kerahsiaan dalam jamaah.

Kegagalan kumpulan Islam untuk mengelak diri atau mengawal diri daripada mendedahkan perselisihan di antara mereka melalui media baru, samada ianya bersifat perselisihan individu di dalam jamaah ataupun di antara kumpulan yang berlainan. Jika sebelum ini perselisihan dalaman hanya pecah di dalam dan mudah diuruskan, tetapi kini ia dilihat agak sukar akibat ‘kegatalan’ pengamal media baru untuk sentiasa mendahului di dalam penyampaian berita dan maklumat sensasi.

Goncangnya ‘keperibadian Muslim’ gerakan Islam dengan lahirnya ahli-ahli yang agak longgar ikatannya dengan adab dan akhlak pekerja gerakan Islam. Lahirnya, melalui media baru, budaya mengkritik kepimpinan yang agak melampau, hilangnya budaya thiqah di antara pemimpin dan anak buah, tersisihnya keluhuran budaya wala’ dan taat dan melebarnya jurang perselisihan di antara individu jamaah pasti akan mengakibatkan binaan Islami yang semakin merapuh di dalam gerakan Islam.

Cabaran-cabaran yang bersifat ancaman dari media baru ke atas gerakan Islam sebagaimana di atas menunjukkan betapa besarnya peranan media baru dan hubungannya di dalam memastikan momentum gerakan Islam di dalam menguasai massa dan seterusnya mencapai misi menerajui kepimpinan negara.

Justeru, adalah menjadi tuntutan yang begitu mendesak ke atas gerakan Islam dan pekerjanya untuk menutupi segala kekurangan dan kelemahan yang dikesan akibat kelahiran media baru, seterusnya menjadikannya pula sebagai senjata ampuh bagi gerakan Islam di dalam meraih pengaruh dan sokongan masyarakat terhadap mereka.

Gerakan Islam Dan Peranan Media Baru

Berikut adalah beberapa cadangan yang menjadi cabaran positif untuk gerakan Islam yang perlu dinilai, seterusnya dilaksanakan demi memanfaatkan kemudahan teknologi media baru demi kebaikan dan kekuatan Gerakan Islam.

Melahirkan atau memanfaatkan tenaga mahir daripada kalangan aktivis gerakan Islam yang berupaya mengurus dan mencipta sesuatu melalui media baru yang mampu menarik masyarakat untuk mendekati dan memahami Islam, seterusnya mendapat sokongan mereka.

Mewujudkan beberapa tapak di laman sesawang yang sempurna dan menarik untuk kunjungan ramai para pengguna media baru, terutama generasi muda di dalam mendapatkan maklumat tepat, terkini, alternatif, interaktif dan menarik. Ini pastinya menuntut komitmen dan sumber kewangan yang besar, tetapi itu sepatutnya tidak boleh menjadi halangan yang besar kepada sebuah gerakan yang masih ketinggalan di dalam bidang penting ini.

Mengendalikan Facebook atau twitter bersifat portal berita yang sentiasa dikemaskini dengan maklumat-maklumat menarik dalam genre dipelbagaikan. Juga, kempen-kempen yang berterusan untuk menarik jumlah ‘fans’ yang mencecah ratusan ribu.

Malaysia hendaklah diperkasakan dengan pemberitaan yang segera dan pelbagai. Ini memandangkan minat dan ‘kegilaan’ yang begitu ketara di kalangan anak muda terhadap penggunaan kedua-dua tapak tersebut.

Sentiasa mampu menyediakan jawaban yang segera daripada sudut pandang Islam terhadap segala isu msyarakat dan negara yang sentiasa dinantikan. Maka media baru akan menjadi instrument dakwah yang cukup berkesan.

Tenaga amilin (sepenuh masa) yang khusus untuk menumpukan sepenuh masanya untuk mengendalikan projek media baru.

Menyebarkan maklumat dan aktiviti lapangan gerakan Islam secara berterusan dan menarik. Di antara aktiviti yang perlu ditonjolkan adalah yang bersifat kebajikan dan hiburan Islam, selain aktiviti dan pendirian politik Islam.
  • Sentiasa menonjolkan akhlak Islam yang konsisten di dalam penyebaran maklumat dengan menjauhi penyebaran fitnah, penghinaan terhadap individu, humor melampau dan sebagainya.
  • Sentiasa menyebarkan akhlak Islam dan berpesan agar pengguna media baru terdidik dengan budaya Islam yang mementingkan akhlak yang cemerlang.
Dengan melaksanakan tuntutan di atas ke arah penggunaan media baru secara berkesan oleh gerakan Islam, segala ancaman dan serangan ke atas Islam akan dapat diatasi dengan lebih baik dan terkawal. Ia menjadi cabaran besar ke atas aktivis gerakan Islam untuk menyempurnakan kewajiban tersebut yang menuntut pengorbanan harta, tenaga dan pemikiran.

Penutup

Peranan besar media baru di dalam mencorak pemikiran masyarakat haruslah dilihat secara positif oleh gerakan Islam. Kita terpaksa mendepani kemajuan sains dan teknologi maklumat secara lebih berani dan bersedia. Di hujungnya, kita berharap untuk melihat media baru akan menjadi senjata utama memartabatkan perjuangan gerakan Islam untuk mengembalikan hak Islam sebagai ugama rasmi dari langit untuk menyusun kehidupan manusia, khalifah Allah di bumi ini.

Media baru mestilah dianggap senjata Allah untuk khalifah-Nya di medan juang.


Biodata Penulis

Ustaz Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz dilahirkan pada 22 Mac 1970. Pernah menerima pendidikan di Madrasah Darul Anuar, Maahad Muhammadi lil Banin, Jami'ah Nadwatul Ulama (Luknow, India), Darul Uloom (Deoband) dan Universiti Al Azhar (Kaherah, Mesir). Di dalam PAS menyandang jawatan tertinggi di dalam pemuda sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat.

Iltizam Mewujudkan Nilai Ihsan dalam Struktur Kerajaan Yang Adil

$
0
0

Jika kita meninjau dari aspek akidah, keadilan merupakan salah satu di antara sifat kesempurnaan Allah. Maha Adil termasuk di dalam Al Asma Al Husna. Kerana itu, keadilan tidak dapat ditegakkan dengan tepat, apabila manusia mengenepikan saranan Allah dengan mengadakan peraturannya sendiri.

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاء شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ
“Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (tuhan-tuhan selain Allah) yang mengadakan hukum syariat untuk mereka dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah.” (Surah As-Syura:21)

Maka, mewujudkan keadilan itu seharusnya sejajar dengan rujukan yang benar bersendikan syariat Allah Taala. Sebagaimana Firman-Nya lagi;

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءهُمْ
“Dan hendaklah menjalankan hukuman antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka...” (Al-Maidah:49)

Berdaulatnya prinsip keadilan adalah jaminan Islam bahawa semua orang berhak mendapat haknya, di mana tiada orang lemah yang tertindas, tiada orang kuat yang memeras. Allah memberikan ganjaran yang besar kepada pemimpin adil, sehinggakan Rasulullah bersabda bahawa ada tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di Hari Kiamat, iaitu hari yang tiada naungan pada waktu itu kecuali naungan-Nya, dan salah satu golongan yang mendapat naungan itu adalah pemimpin yang adil.

Pemerintahan yang adil menjadikan rakyatnya di semua saluran mendapat manfaat yang selayaknya tanpa wujud unsur pembohongan. Bagaimanapun pentakrifan keadilan perlu dilihat melalui cerapan yang lebih luas, kerana keadilan yang dipertanggungjawabkan Allah kepada pemerintah juga bererti menghalang kerosakan dan mencegah kemudharatan yang boleh mengganggu kestabilan rakyatnya.

Sebagai contoh pembohongan media pemerintah merekayasa dan menayangkan bara api perkauman serta sensitiviti agama, ia adalah salah satu bentuk ketidakadilan, malah boleh meruntuhkan suasana kemakmuran sesebuah negara. Senario negatif inilah yang pernah diungkapkan oleh Yusuf al-Qaradawi di dalam lantunan qasidahnya;

وراعي الشاة يحمي الذئب عنها  #  فكيف إذا الرعاة لها ذئاب؟
“Pengembala kambing tugasnya menghalau serigala (dari membaham kambingnya). Apa pula seandainya jika penggembala itulah serigala?”

Secara integral, keadilan sesebuah pemerintahan itu bukanlah hanya tertumpu pada aspek penyempurnaan hak rakyat yang bersifat sumbangan material semata-mata, sedangkan pada masa yang sama kerajaan federal begitu teruja memungut sebesar-besar hasil-mahsul kekayaan bumi hanya untuk saluran kroni-kroni mereka. Senario ini tidak sama sekali mampu mewujudkan keadilan, kecuali slogan-slogan indah khabar dari rupa, “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat, Sebuah Janji Ditepati.”

Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Nabi Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” (Al-Anfal: 27)

Perlu disedari sebenarnya kezaliman itu tidaklah menandakan kekuatan sesebuah negara atau seseorang pemimpin, tetapi menandakan detik-detik kejatuhannya semakin hampir. Marilah kita merenungi penjelasan tegas surat yang ditulis oleh Imam Hassan al-Basri (21H-110H) kepada Umar bin ‘Abdul ‘Aziz;

يا أمير المؤمنين أن الله جعل الإمام العادل قوام كل مائل، وقصد كل جائر، وصلاح كل فاسد، وقوة كل ضعيف، ونصفة كل مظلوم، ومفزع كل ملهوف. والإمام العدل يا أمير المؤمنين كالراعي الشفيق على إبله، الرفيق الذي يرتاد لها أطيب المرعى، ويذودها عن مرات  الهلكة، ويحميها من السباع، ويكنفها من أذى الحر والقر، والإمام العدل يا أمير المؤمنين كالأب الحاني على ولده، يسعى لهم صغارا ويعلمهم كبارا، يكتسب لهم في حياته. ويدخر لهم بعد مماته
“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan pemimpin yang adil itu sebagai tonggak yang menahan sesuatu supaya tidak condong, menjadi rujukan kepada perkara yang dirancang, membaiki setiap kecacatan, memperkuatkan yang lemah, mengembalikan hak kepada mereka yang dizalimi. Wahai Amirul Mukminin! Pemimpin yang adil itu laksana ayah yang penyayang terhadap anaknya, berusaha menjamin kehidupan yang baik dan mengajarnya sehingga membesar, berusaha untuk kebaikannya di masa ayah itu masih hidup dan menjamin kebaikan setelah ayah itu meninggal dunia…”

Tidak syak lagi, kepimpinan yang amanah, adil dan berkebajikan itu adalah salah satu bentuk pengabdian kepada Allah Taala. Pemimpin yang merasa dirinya diawasi dan diperhatikan akan sentiasa menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh komited dan dedikasi. Pastinya pemimpin yang mempunyai nilai-nilai tersebut sering mendorong rakyatnya ke arah kehidupan yang diredhai Allah Taala.

Banyak contoh-contoh yang boleh dijadikan pengajaran di sini, tetapi cukuplah penceritaan Imam az-Zahabi berkenaan Imam al-Auza’ie ketika beliau menetap di Beirut, Lubnan. Imam al-Auza’ie telah didatangi seorang rakyat beragama Kristian yang meminta bantuan kepadanya, “Tuan, sesungguhnya Gabenor Baalbek (salah satu kota yang terletak di lembah Beqaa, Lubnan) telah menzalimiku dan aku amat berharap agar engkau menulis surat kepadanya berkenaan masalahku.”

Kemudian orang Kristian tersebut memberikan sebalang madu sebagai hadiah. Melihat hadiah tersebut, Imam al-Auza’ie berkata kepadanya, “Pilihlah antara dua, sama ada aku menolak pemberianmu dan aku menulis kepada gabenor, atau aku menerima hadiah madumu dengan tidak menulis kepada gabenor?”

Mendengar tawaran yang seakan-akan aneh itu lalu orang Kristian itu pun bersetuju untuk tidak memberikan madu kepada Imam al-Auza’ie. Tanpa sikap menangguh Imam al-Auza’ie  menulis surat kepada gabenor yang mengandungi arahan supaya cukai ke atas orang Kristian yang mengadu permasalahannya itu dikurangkan. Beliau meninta surat tersebut dengan memperingatkan amaran Rasulullah s.a.w;
من ظلم معاهدا وكلفه فوق طاقته فأنا حجيجه
“Siapa yang menzalimi seorang mu'ahid (ahlu zimmah) dan membebankan di luar kemampuannya, maka akulah (Rasulullāh) menjadi penentangnya.”

Lihatlah, betapa tingginya nilai Ihsan yang dimiliki oleh Imam al-Auza’ie  ketika menyempurnakan tata kelola institusi pentadbiran negaranya. Kerana itu Islam menegaskan bahawa keadilan hakiki hanya wujud apabila manusia itu mengabdikan diri kepada peraturan-peraturan Allah. Keadilan tidak mungkin boleh berlaku dalam keadaan kuasa politik berpisah dengan agama.


Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah (Kebudayaan Islam), Kaherah. Berasal dari Meru, Klang Selangor Darul Ehsan. Kini bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia PAS. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia.

Konsensus Nasional : Idea Yang Tertinggal

$
0
0

Memacu peradaban negara seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan kematangan berpolitik adalah satu tuntutan kontemporari ke arah pembentukan sebuah negara maju bertaraf dunia. Pacuannya pula selari dengan anjakan pemikiran penghuninya yang terdiri daripada pemimpin dan anggota masyarakat awam. Tanpa pacuan yang seiring dan selari antara empat elemen ini, iaitu;
  1. Peradaban negara
  2. Pertumbuhan ekonomi
  3. Kematangan berpolitik, dan;
  4. Anjakan pemikiran.
Hasrat untuk merajah peta negara sebagai satu blok negara maju bertaraf dunia tidak akan kesampaian.
Sementara empat eleman tersebut hanya benar-benar efektif untuk diselarikan apabila terdapat faktor lonjakan yang didokong oleh seluruh anggota masyarakat tanpa mengira bendera politik, warna kulit, bahasa lidah dan sijil akademik. Faktor lonjakan yang saya maksudkan di sini ialah persefahaman, persetujuan dan kesepakatan atau dengan istilah yang dipopularkan mutaakhir ini iaitu konsensus. Faktor lonjakan ini (persefahaman, persetujuan, kesepakatan atau konsensus) pula tidak mungkin dapat dicerna tanpa adanya konsep damai dalam politik dan hubungan sosial. Meskipun tidak mampu dicapai dalam semua aspek, sekurang-kurangnya dapat dihasilkan dalam perkara-perkara utama yang menjadi kepentingan umum seperti aspek keselamatan, kestabilan ekonomi, kepentingan politik, keadilan sosial dan pemulangan hak.

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di atas kapasiti Presiden kepada Gerakan Islam kontemporari di negara ini telah mengemukakan satu idea yang sungguh brilliant sekitar tahun 2008 bagi menghadapi kemelut negara yang tiada kesudahan pada waktu itu apabila melihat kekuatan parti-parti politik daripada blok pemerintah dan pembangkang mulai seimbang. Negara dan beberapa buah negeri berdepan dengan satu situasi dilema dalam pembentukan kerajaan yang kukuh dan stabil. Masing-masing parti mempunyai keupayaan tawar-menawar.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah mengemukakan idea 'Unity Government' sebagai salah satu jendela penyelesaian mendepani suasana seperti itu. Bermaksud semua parti diberi peranan  dalam pembentukan kerajaan lalu mentadbir negara dan negeri dengan adil dan saksama demi kepentingan negara dan rakyat melalui persefahaman, persetujuan, kesepakatan atau konsensus yang dicapai dan dimeterai pada peringkat nasional.

Malangnya saya masih ingat pada waktu itu, belum sempat idea besar ini diwacana, dibahas dan dikaji secara tulus dan akademik, idea ini dibunuh dengan meletuskan satu persepsi jahat bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi mahu mengheret PAS menyertai UMNO dan polemik ini berlanjutan sehingga 3 siri muktamar tahunan PAS selepas itu. Biarpun dinafi beribu kali oleh Tuan Guru Presiden, ia gagal menangkis serangan persepsi tersebut.

Saya dan sahabat saya Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh membuat percubaan untuk menjernihkan keadaan lalu mengemukakan pandangan mengenai 'politik damai' antara tahun 2008-2009, namun percubaan itu turut gagal. Persepsi Unity Government (UG) sebagai menyertai UMNO terlalu besar melanda masyarakat bagaikan ombak tujuk beradik.

Idea 'Unity Government' ditolak kerana pertemuan antara pemimpin PAS dengan UMNO berjaya didedah lalu ia dijustifikasi sebagai usaha gelap untuk membawa PAS menyertai UMNO. Sungguhpun persepsi itu tidak masuk akal tetapi ia berjaya diolah dengan baik dan membentuk tanggapan awam. Akhirnya Tuan Guru Presiden menarik balik idea 'Unity Government' dan saya masih ingat antara ucapan beliau sewaktu menarik balik idea ini bahawa;

"...Saya terpaksa menarik balik Unity Government ini kerana orang masih tidak faham erti Unity Government dan ianya tidak boleh dilaksana dalam keadaan orang tidak faham. Saya yakin dan percaya bahawa suatu masa nanti orang akan faham dan orang akan fikir balik apa yang saya lontarkan ini."

Berlalu mendung 5 tahun, kini timbul isu 'Konsensus Nasional'. Walaupun tidak dalam terma pembentukan kerajaan (government) tetapi keperluan mewujudkan persefahaman, persetujuan dan kesepakatan atau konsensus dalam perkara-perkara tertentu mula difahami. Sebagaimana 5 atau 6 tahun yang lalu, pertemuan dengan pemimpin UMNO masih berlaku. Paling akhir ialah pertemuan di London dengan Dato' Zahid Hamidi sebagaimana yang didedahkan oleh The Malaysian Insider (TMI) baru-baru ini.

Namun pendedahan itu tidak menyenaraikan secara penuh individu yang terlibat. Iaitu nama Saifudin Nasution sengaja dicicirkan dari berita tersebut sedangkan sebelum tiba individu yang disenaraikan olehTMI, Saudara Saifudin Nasution telah sedia berada di dalam bilik hotel tersebut bersama Dato' Zahid Hamidi di London. Saya difahamkan pada mulanya Tuan Guru Presiden turut disarankan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim agar pergi bertemu Dato' Zahid Hamidi di London kerana menurut Dato Seri Anwar, ada beberapa perkara yang akan diperkatakan oleh Dato' Zahid Hamidi. Namun Tuan Guru Presiden menguzurkan diri dari menghadiri pertemuan tersebut dan saya jangka ini adalah langkah Tuan Guru Presiden yang sangat berhati-hati setelah menelan pengalaman getir menangani isu 'Unity Government' sebelum ini.

Sungguhpun telah dibazirkan lima tahun tempoh masa, Konsensus Nasional yang timbul pada hari ini membawa maksud serupa walaupun tidak sama dalam konotasi yang berbeza, mesti jelas matlamat, objektif dan hala tuju serta syarat memeteraikan konsensus tersebut.

Saya tidak mahu ianya ditolak mentah-mentah sebagaimana berlaku penolakan terhadap 'Unity Government' pada 5 tahun yang lalu. Sementelah saya juga tidak mahu ianya diterima bulat-bulat hanya kerana ia datang dari Dato' Seri Anwar Ibrahim tanpa melalui proses kajian, penelitian, perbahasan dan konsensus sesama parti-parti kompenan Pakatan Rakyat terlebih dahulu. Asas yang paling penting ialah terhenti atas tiga perkara :
  1. Mestilah Konsensus Nasional ini untuk kepentingan umum iaitu kepentingan negara dan rakyat. Bukan agenda individu bagi melunaskan kepentingan peribadi dalam kancah politik haru biru negara hari ini.
  2. Konsensus Nasional ini mesti melalui proses penelitian yang berasaskan kajian dan perbahasan lalu akhirnya menjadi suatu yang dikonsensuskan terlebih dahulu oleh semua parti kompenan Pakatan Rakyat.
  3. Syarat memeteraikan Konsensus Nasional ini mesti jelas mewakili kepentingan umum yang melibatkan negara dan rakyat. 
Menurut pemerhatian saya, sekurang-kurangnya syarat adalah masih sama dengan syarat yang dikemukakan oleh Tuan Guru Presiden dalam cadangan beliau terhadap 'Unity Government' tempohari iaitu :

  1. Pulangkan Royalti petroleum yang dinafikan sebelum ini seperti Terengganu dan Kelantan
  2. Penambahan kerusi parlimen dalam pelan persempadanan semula seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah
  3. Kebebasan media dan ketelusan SPR.
Lain-lain syarat terpulang kepada konsensus antara parti anggota Pakatan Rakyat kerana prinsipnya ialah bertitik tolak dari perjuangan untuk kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.

Politikus dan Pejuang Islam

$
0
0
Sang politikus atau pemain politik mempunyai padang dan pentasnya yang tersendiri. Gerak tari politiknya licik dan seni bicaranya menawan. Kadangkala memukau dan mampu menawan minda awam.

Fokus dan capaian mereka ialah cita-cita politik. Mereka sanggup merempuh sempadan hukum dan tembok syariat demi menggapai objektif dan matlamat politik mereka.

Mereka juga tergamak melacurkan prinsip perjuangan, asal sahaja mereka bebas melunas kemahuan dan melampias keinginan. Politik mereka tiada sempadan dan pedoman syara’. Sandaran mereka ialah Machiavelli, kiblat mereka ialah kepuasan dan prinsip mereka ialah matlamat menghalalkan cara.

Firman Allah s.w.t;
وَإِذَا رَأَيْتَهُمْ تُعْجِبُكَ أَجْسَامُهُمْ وَإِن يَقُولُوا تَسْمَعْ لِقَوْلِهِمْ كَأَنَّهُمْ خُشُبٌ مُّسَنَّدَةٌ يَحْسَبُونَ كُلَّ صَيْحَةٍ عَلَيْهِمْ هُمُ الْعَدُوُّ فَاحْذَرْهُمْ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
“Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (gerak lakunya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih, dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tiada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmat-Nya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran).” - Al Quran, Sural Al Munaafiqun:4

Sangat ketara perbezaan bagi seorang Pejuang Islam. Matlamat mereka adalah mencari keredhaan Allah. Lapangan dan pentas mereka tersangat luas sementara aksi politik adalah sebahagian daripada kewajipan yang mesti ditunai dengan penuh kebijaksanaan.

Politik mereka dihiasi akhlak dan komitmen yang tinggi terhadap sumber syara’ iaitu Al Quran dan As Sunnah. Politik menjadi wadah dan wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt serta menjadi alat untuk mendaulatkan syariat dan meninggikan syiar agama Allah s.w.t.

Firman Allah :
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menguatkuasakan al Ma'aruf ( Asy Syariah ) serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” - Al Quran, Surah Al Hajj:41

Kesimpulannya, Pejuang Islam juga adalah seorang ahli politik sementara Politikus tidak semestinya seorang Pejuang Islam. Politikus hanya merencana strategi mereka untuk berkuasa dan berpengaruh di dunia ini, lalu dosa pahala tiada dalam kamus politik mereka sementara Pejuang Islam mengatur langkah menguasai dunia untuk kejayaan dan kemenangan di akhirat.

Al Quran dan As Sunnah menjadi jarum kompas yang memandu arah politik seorang Pejuang Islam.

Manakala, faham “matlamat menghalalkan cara” dilakukan asal matlamat politik dapat diraih oleh Sang Politikus, sementara Pejuang Islam pula sanggup mati kerana taat kepada kehendak Allah berbanding hidup mendurhakai-Nya sebagai azimah perjuangan. Demikian sabda Rasulullah s.a.w;
موت في طاعة اللّه عزوجل خيرمن حياة في معصية اللّه
“Menempa maut kerana menjalani perintah Allah lebih mulia daripada hidup melakukan maksiat kepada-Nya.” (Riwayat Tabarani fil Mu’jaamil Kabir)

Biodata Penulis

Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). Beliau pernah mendapat pendidikan di Maahad Fathul Islami Damascus, Syria dan Universiti Al Azhar, Tanta, Mesir. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia. Antara tokoh ulama yang beliau kagumi adalah Syeikh Dr.Yusuf Al Qaradawi dan Syeikh Muhammad Al Ghazali.

Sinar Islam Untuk Semua

$
0
0
Firman Allah Taala yang cukup indah dirakamkan di dalam Surah al-Mumtahanah ayat ke-8;
لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu Karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.”

Seringkali kita dihidangkan dengan isu-isu panas yang melibatkan pertikaian antara kaum dan agama yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu semata-mata untuk menjaga kepentingan politik. Adakalanya, pertembungan ini dilihat semakin dahsyat ditambah pula oleh peranan media massa yang turut menyimbah minyak ke atas api pertikaian yang marak. Jika dahulu, parti-parti seperti PAS dilabel sebagai parti perkauman, rasis, radikal dan sebagainya, maka hari ini seolah-olah label itu telah bertukar arah dan dipakai pula oleh golongan yang dulunya mendakwa liberal.

Perlulah disedari, PAS sendiri tidak pernah bersikap perkauman sejak dari dahulu hinggalah ke hari ini. Label-label yang negatif yang dipakaikan oleh pihak media massa langsung tidak benar dan hari ini ia terbukti merupakan tuduhan yang tidak berasas semata-mata. Perjuangan PAS sendiri bukanlah mengajak kepada menegakkan idealisme perkauman yang sempit tetapi mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah selaku pencipta alam semesta.

Dunia yang indah ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya tanpa Pencipta. Akal logik tentu sekali tidak dapat menafikan wujudnya kuasa yang mengatur perjalanan alam yang begitu tersusun ini. Peredaran bulan dan bintang, pergantian malam dan siang yang begitu teratur mustahil wujud kecuali adanya kuasa yang mencipta dan mengurus tadbirnya.

Kita tentu sekali boleh menerima bagaimana tubuh badan manusia yang terdiri daripada pelbagai anggota dan beribu-ribu sendi hanya dikawal oleh akal sebagai papan kawalan utama. Demikianlah juga sebuah kilang yang terdiri daripada pelbagai jentera dan mesin namun kesemuanya hanya digerakkan dengan hanya menekan suis utama. Maka begitu jugalah alam semesta yang begitu hebat ini tentulah ditadbir oleh satu kuasa saja. Kuasa ini esa, tidak ada dua dan tiganya.

Dalam ajaran Islam, Kuasa Yang Maha Mencipta ini disebut Allah. Dialah Tuhan yang menciptakan alam ini untuk kehidupan manusia. Dialah juga yang menciptakan manusia bermula dari seorang lelaki yang dinamakan Adam dan dijadikan pula dari Adam itu isterinya Hawa. Ini disebut di dalam firmanNya (surah an-Nisa’ 4:1);
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيرًا وَنِسَاء
“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak.”

Merujuk kepada firman Allah ini, agama Islam mengajar penganutnya agar meyakini bahawa semua manusia ini berasal dari bapa yang sama iaitu Adam. Walau apapun warna kulit, manusia sebenarnya bersaudara atau adik-beradik kerana datang dari sulbi yang sama atau satu keturunan. Sebutlah apa nama bangsa sekalipun, ia tetap merupakan anak cucu kepada Nabi Adam.

Justeru, langsung tidak timbul soal bangsa dan warna kulit di dalam Islam. Bangsa, bahasa dan warna kulit tidak lain hanyalah merupakan unsur atau ciri untuk membezakan manusia. Oleh yang demikian, ia tidak patut dijadikan punca manusia bersengketa antara satu sama lain. Sekalipun secara fitrahnya manusia tentulah menyintai bangsanya sendiri lebih daripada bangsa yang lain, namun cinta dan kasih itu tidaklah menghalalkan dirinya untuk melakukan kezaliman dan ketidakadilan kepada bangsa yang lain.

Menghayati maksud firman Allah ini, maka inilah perjuangan Islam di bawa PAS yang ingin membawa masyarakat mengenali Tuhan Yang Maha Mencipta alam ini iaitu Allah. Inilah hasrat para ulama Tanah Melayu satu ketika dahulu yang mengambil inisiatif menubuhkan Parti Islam Se-Tanah Melayu dan hari ini dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia atau singkatnya PAS. Dari awal penubuhannya hinggalah ke hari ini, matlamatnya tidak pernah lari walau seinci, tidak pernah berganjak walau sejengkal.

Misi utamanya ialah memperkenalkan Allah sebagai pencipta dan mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah bukan hanya di tikar sejadah tetapi di medan siasah. Allah itu yang disembah di dalam solat, Allah itu jugalah yang disembah di dalam pentadbiran. Inilah hakikat yang tidak dibawa oleh UMNO yang menyebabkan para alim ulama yang asalnya berada di dalam UMNO bertindak keluar menubuhkan PAS.

Sejak 50 tahun yang lampau, kita tidak pernah lekang menyebut hakikat ini di hadapan rakyat jelata. Jatuh bangun kita sepanjang melalui jalan politik ini tidak pernah menjauhkan kita walau sedikit dari matlamat utama memperkenalkan Islam yang tulen kepada masyarakat. Kita mengajak semua lapisan rakyat untuk meyakini bahawa dunia ini diciptakan oleh Allah dengan manusia hanya bertaraf penumpang walau sebesar manapun pangkat dan kuasanya. Kita juga menyeru rakyat agar meyakini bahawa selepas hidup ini akan tiba kehidupan yang lain iaitu alam akhirat.

Di alam akhiratlah segala amalan manusia akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikitpun oleh Hakim Yang Maha Adil iaitu Allah. PAS akan terus menongkat cita-cita murni ini walau sehebat manapun gelora yang membadai. Kita penuh yakin bahawa UMNO tidak akan jujur di dalam memperkenalkan Islam kepada rakyat Malaysia khususnya.

Bagi kita, ke hulu atau ke hilir kita berakit, tetap Islam menjadi tali pengikatnya. Jika kita boleh menerima bahawa di rumah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak, di sekolah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh para pelajar, di dalam negara ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat, maka sudah tentu di bumi ada peraturan yang perlu dipatuhi. Peraturan tersebut ialah Islam dan bukan semangat nasionalis yang membawa kepada ideologi perkauman yang sempit. Kesemua enakmen-enakmen peraturan hidup di dunia ini telah termaktub di dalam al-Quran selaku lidah rasmi Allah atau disebut sebagai kalamullah.

Peraturan yang diperkenalkan Islam sama sekali tidak akan menyusahkan manusia. Ia akan mengamankan semua manusia. Lihatlah perkara-perkara yang diharamkan oleh Islam, kesemuanya merupakan perkara-perkara yang memudaratkan. Menghindarinya bermakna mengamankan hidup kita. Ini kerana mencuri, merompak, berzina, menipu, rasuah, menyeleweng, khianat yang kesemuanya diharamkan oleh Islam turut ditolak oleh kesemua manusia tidak mengira bangsa dan agama.

Demikian juga perkara-perkara yang diwajibkan atau digalakkan oleh Islam seperti mentaati pemimpin, mematuhi ajaran nabi, bercakap benar, menepati janji, tidak menipu, menghormati orang tua, menghormati semua agama, menghubungkan persaudaraan adalah kesemuanya merupakan nilai-nilai yang baik dan diterima secara universal. Oleh yang demikian, tidak ada sebab untuk kita menolak ajaran Islam.

Jika semua kita menerima pakai ajaran Islam dan boleh menepikan seruan kedaulatan bangsa tertentu sehingga mengguris bangsa lain, saya yakin ia akan mengurangkan ketajaman perselisihan antara kaum yang sedang diasah oleh pihak-pihak tertentu dalam negara kita. Inilah dasar Islam yang cukup adil dan mulia. Maka sesuai dengan maksud al-Quran yang telah dirujuk pada awal di atas, ia jelas menunjukkan bagaimana perintah Allah sendiri supaya melakukan kebaikan kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam.

Atas perintah Allah inilah bagi pihak kerajaan yang berkuasa adalah menjadi tanggungjawab memberi keadilan dan layanan yang baik bukan sahaja kepada umat Islam tetapi seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial mereka. Atas kemuliaan ajaran Islam, maka usaha untuk memperkenalkan Islam yang sebenar turut dilakukan oleh tokoh intelek Islam terkenal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi melalui bukunya “Golongan Non-Muslim di dalam Masyarakat Islam”. Buku ini adalah antara hidangan istimewa yang sesuai untuk kita hadam dan diskusikan oleh semua pihak ke arah memahami Islam dan menolak prejudis terhadap Islam.

Secara peribadi, saya telah mengikuti pandangan beliau semenjak saya pulang ke tanah air sekitar tahun 1960-an. Saya mula menggunakan kitab beliau iaitu “Islam dan Sekular : Satu Pertentangan” di dalam majlis pengajian yang saya kendalikan. Satu demi satu kitab beliau saya habiskan hinggalah ke hari ini, saya menggunakan kitab karangan beliau iaitu Fiqh Daulah di dalam majlis pengajian saya.

Sepanjang pengkajian saya terhadap pendekatan yang digunakan oleh beliau, nyata sekali beliau merupakan seorang tokoh intelek yang mengamalkan pendekatan sederhana. Beliau tidak ekstrim dalam mengemukakan pandangannya, dan tidak pula menolak mentah-mentah pandangan orang lain. Sesuai dengan pengalaman yang pernah terlibat dengan usaha dakwah Islamiah menerusi pertubuhan Ikhwanul Muslimin, maka pandangannya dilihat rasional dan bersandarkan pengalaman praktikal serta sesuai untuk direalisasikan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia ini.

Justeru, ketokohannya diiktiraf oleh dunia dengan pelbagai anugerah yang diperolehi termasuklah dua anugerah dari Malaysia iaitu anugerah Ijazah Kehormat dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1996 dan terbaru sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat kebangsaan pada tahun 2009. Semoga pandangan-pandangan sederhana beliau seperti yang ditulis di dalam banyak bukunya dapat diterima pakai sebagai asas membina hubungan yang harmoni di antara Muslim dengan Nonmuslim di Malaysia.

Harapan masyarakat Malaysia adalah untuk mewujud sebuah kehidupan aman, damai, sejahtera dan harmoni berteraskan agama. Besarlah harapan agar kita semua dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu. Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar. Sesungguhnya sinar Islam adalah cahaya yang boleh memenuhi harapan kita semua.

Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana orang Cina dan India lebih dahulu menerima Islam berbanding orang Melayu. Ia berlaku kerana sinar Islam itu dipancarkan dengan baik kepada mereka. Ia cukup membuktikan bahawa Islam tidak asing di kalangan kedua-dua bangsa ini. Justeru, kepada sahabat sebangsa saya yang masih enggan menerima Islam, ingatlah, sesungguhnya Allah hanya akan memuliakan sesuatu bangsa itu dengan Islam.

Tanpa Islam, Allah pastinya akan menggantikan kaum yang lain untuk menerajui pentadbiran di bumi-Nya sebagaimana firman-Nya (surah Muhammad 47:38);
وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ

“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.”

Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah, maka bersetujulah kita dengan kemuliaan dan kebesaran-Nya yang merahmati umat manusia ini dengan sinar Islam.


Biodata Penulis

Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat merupakan bekas Menteri Besar Kelantan. Namun imej beliau lebih terserlah sebagai seorang ulama, di samping merupakan Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) telah menganugerahkan beliau sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun. Pada tahun 2009, beliau diletakan diantara 50 tokoh Islam berpengaruh didunia dan disenaraikan dalam buku berjudul "The 500 Most Influential Muslims"

Dakwah Islamiyah dan Cabaran Alaf Baru

$
0
0

Dakwah merupakan suatu tanggungjawab agama yang mesti dipikul oleh setiap muslim. Ia adalah usaha untuk menyampaikan saranan agama dan menyeru manusia kepada kebaikan seperti yang didefinisikan oleh Islam. Tangungjawab ini lahir dari komitmen dan iltizam mereka kepada kebaikan iaitu untuk menyampaikan kebaikan bukan hanya kepada diri sendiri atau keluarga tersayang tetapi juga kepada orang lain dan warga manusia sejagat.

Dakwah bermaksud seruan dan ajakan. Firman Allah dalam Surah Aali Imran ayat 104;
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Dan hendaklah ada dikalangan kamu yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang segala perbuatan yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang-orang yang berjaya.”

Dalam usaha untuk menggembangkan dakwah, pelbagai rintangan dan cabaran terpaksa dilalui oleh setiap para da’ie. Ada yang bersifat dalaman dan ada pula yang bersifat luaran. Iblis, syaitan, manusia kafir, munafiq, dan golongan taghut yang berkepentingan sentiasa menjadi batu penghalang ke arah menyebarluaskan ajaran agama Allah ini. Allah befirman dalam Surah al Ahzab ayat 22;
وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الأَحْزَابَ قَالُوا هَذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلاَّ إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا
“Apabila orang-orang yang beriman melihat golongan (al-Ahzab) penentang (bergentayangan) mereka lantas berkata inilah apa yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya . Benarlah Allah dan Rasul-Nya.( Namun mereka tidak gentar) bahkan semakin bertambah teguh keimanan mereka dan pasrah kepada Allah.”

Cabaran Terhadap Dakwah

Berikutan dengan perkembangan dunia yang begitu tragis akhir-akhir ini, khasnya setelah berlaku peristiwa 11 September dan pengganasan Amerika di Afghanistan dan Israel di Palestin maka usaha untuk menyampaikan Islam semakin terdedah kepada ancaman dan penentangan yang lebih seru dan getir. Pendakwah Islam sering dilabel dengan label-label tertentu dan dengan gelaran buruk di samping berhadapan dengan pelbagai mehnah dan tribulasi tersendiri yang pastinya menuntut kepada kesabaran dan perancangan yang rapi bagi memastikan matlamat yang ingin dicapai terlaksana disamping mendapat keredhaan Allah.

Dari sekian banyak cabaran yang dihadapi pada masa kini bolehlah diterangkan sebagai berikut :
  • Cabaran Islamophobia
Media massa tempatan dan di luar negara tidak henti-henti menyiarkan rencana, pemberitaan dan komen-komen yang memburukkan Islam dan para penatarnya. Mereka menggunapakai istilah-istilah yang sengaja memalitkan Islam dengan perbuatan jenayah, ganas, bermuslihat dan sebagainya untuk menutup mata terhadap perlakuan ganas regim penjajah, Israel dan negara kuasa besar yang sering melakukan keganasan terhadap negara-negara kecil di dunia.

Mereka mencipta musuh dan nama-nama baharu yang secara tersirat sebagai strategi mengganyang negara dan gerakan Islam yang kini sedang memulihkan kehadiran mereka dipentas politik dunia. Dalam masa yang sama mereka memperguna prasarana undang-undang antarabangsa dan insititusi antarabangsa untuk mengekang kebangkitan negara-negara Islam, negara-negara berkecuali dan negara-negara ketiga untuk bangun menyaingi mereka sebagai kuasa ekonomi, politik, teknologi dan ketenteraan.
  • Cabaran fahaman sekularisme
Fahaman sekularisme pula telah lama disebar dan dibajai dalam seluruh jentera negara. Fahaman ini yang dibawa oleh barat dan disenangi oleh nafsu amarah manusia sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitment kepada nilai-nilai agama. Sekiranya fahaman ini tidak dibendung dan tidak ditangani segera dengan berkesan maka akan terhakis dan runtuhlah jatidiri generasi tua dan muda umat Islam kini.

Pegangan mereka kepada agama akan luntur bahkan semakin menipis dan larut. Gejala-gejala buruk pasti akan menular sepertimana yang sedang dirundung oleh umat Islam masa kini. Pastinya umat Islam akan terus berpecah-belah menurut fahaman yang berbagai ragam sehingga mereka menjadi alat untuk meruntuhkan agama mereka sendiri.
  • Cabaran kuasa politik yang semakin undemocratic
Kekuasaaan yang dipegang oleh tampuk kepimpinan yang tidak demokratik, hidup memerah dan membolot kekeyaan untuk kroni mereka, mengenggam kekuasaan sebagai hak mutlak peribadi dan bukan amanah Allah, enggan mengamalkan dan melaksanakan pemerintahan mengikut ajaran Islam pastinya akan menyebabkan matlamat dan hala tuju sesebuah negara kucar-kacir. Institusi negara, dari kehakiman, kepolisian, penerangan, perbendahaaraan akan disalahgunakan untuk kepentingan parti.

Akhirnya amalan politik akan hanya untuk kepentingan kumpulan kecil dan diri sendiri mengikut corak yang telah diajar oleh fahaman kapitalis dan meterialis. Kemelut ini sudah tentu melahirkan iklim politik dan budaya sosial yang menyimpang jauh dari keluhuran, ketelusan dan nilai-nilai tamadun yang tinggi. Persempadan baru dan akta pilihanraya lebih bertujuan untuk menghimpit rakyat dan parti lawan. Kadar peruntukan bayaran tertentu dinaikkan untuk menafikan hak rakyat untuk mengadakan reformasi.
  • Cabaran undang-undang dan akta draconian
Undang-undang yang adil adalah tuntutan segenap rakyat yang prihatin. Manakala ciri undang-undang yang adil ialah yang lahir dari tuhan yang maha adil. Dalam hal ini umat Islam berkeyakinan bahawa undang-undang yang saksama ialah undang-undang yang berlandaskan kepada ajaran Islam atau nilai-nilai kebaikan sejagat. Keengganan menurut lunas-lunas perundangan ini akan menyebabkan negara terjebak dalam kancah kemelut kezaliman, penipuan, fitnah, lucah dan amalan politik mafia.

Amalan menangkap lawan atau musuh politik dengan tuduhan palsu bertopengkan alasan keselamatan negara memang lumrah di kalangan para pemerintah korup dan diktator. Selagi amalan amalan buruk dan zalim ini berleluasa dalam negara sukar untuk negara berkenaan untuk dilabelkan sebagai negara Islam. Dalam masa yang sama ketidakadilan dalam perundangan dan perlaksanaannya semakin berleluasa.
  • Cabaran kepimpinan dan pemimpin yang korup
Kepemimpinan bukan suatu kuasa untuk berleluasa, berbuat apa sahaja menurut kehendak hati. Ia adalah suatu amanah Allah dan masyarakat yang perlu dipikul dengan penuh hikmah dan bijaksana. Ia memerlukan rasa tanggungjawab yang tinggi menjaga muslihat agama, negara dan rakyat. Kepimpinan dalam Islam mesti berada dikalangan orang yang paling beriman, berilmu, bertakwa, mempunyai integriti, mampu berjihad dan layak. Kepemimpinan yang korup dan melanggar etika dalam kepemimpinan Islam tanpa dapat membezakan yang baik dan buruk serta enggan mengikut lunas Islam sudah pasti membawa musibah.
  • Cabaran media massa yang tidak bertanggungjawab dan kurang beretika
Media massa yang terlalu mengikut telunjuk dan bias terhadap sesuatu parti politik, biasanya hanya akan menyebarkan berita yang mampu menaikan dan menjatuhkan mana-mana parti yang menjadi ancaman. Oleh itu, media massa tidak lagi menjadi satu institusi yang mencelikkan akal rakyat atau meningkatkan budi dan kewarasan mereka berfikir tapi sebagai alat propaganda yang lebih membunuh kebijaksanaan dan memperbodoh daya pemikiran mereka.

Media massa seperti ini tidak malaksanakan tanggungjawab sosial; meningkatkan budaya berpolitik yang sihat dan demokratik, sebaliknya menjadi kuda tunggangan manusia yang penuh tipu muslihat untuk menjatuhkan sesama sendiri, atau terhadap parti lawan. Hak-hak untuk kebebasan bersuara dinafikan. Kebebasan akhbar tinggal dakwaan manis yang tidak pernah menjadi kenyataan. Imej ulama, mufti, Rasulullah, muslimat yang bertudung bahkan para pembimbing masyarakat yang ternama sering menjadi sasaran usaha pemudaran reputasi dan kredibiliti oleh media berkenaan.
  • Cabaran Pendidikan Sekular
Pendidikan sekular yang telah diperkenalkan oleh penjajah kini semakin diperkasa. Aliran sekolah bahasa Inggeris yang dahulunya telah ditukar kepada aliran kebangsaan kini mahu dinobatkan semula. Semangat kemerdekaan dan keagamaan yang dahulunya diperjuang dan didaulatkan kini seolah-olah dilupakan bahkan aliran keagamaan sering dimomok dan dianggap sebagai penghalang kemajuan dan pembangunan. Amalan-amalan ibadah khusus dianggap penghalang kejayaan dalam pembelajaran sains.

Sebab itu kegiatan ibadah qiamullail, zikir, solat tahajjud dan sebagainya diremeh dan dipandang rendah oleh para pemimpin atasan tertentu. Ibu bapa yang prihatin terhadap pendidikan agama anak-anak mereka dalam menghadapi kebanjiran bahan lucah dan gejala maksiat dan sumbang mahram di kalangan remaja diaggap sebagai penyebab kepada menurunnya prestasi bumiputra dalam lapangan pencapaian sains. Pengabaian dan tindakan meminimakan pendidikan agama sudah pasti akan menghasilkan satu generasi melayu muslim yang berkiblatkan nafsu atau budaya barat semata-mata.
  • Budaya Barat (Westernisasi)
Akibat dari berleluasanya perkembangan alat kemunikasi dan informasi moden maka pengaruh budaya Barat semakin menjarah masuk dan melunturkan faham keagamaan dalam masyarakat. Budaya asing yang inginkan keseronokkan dunia semata-mata kini semakin mendapat tempat dihati umat Islam. Gejala negatif westernisasi menulari golongan remaja. Pesta seks di mana hubungan seks di kalangan muda-mudi yang bukan mahram dan belum berkahwin menggempari masyarakat. Amalan khurafat kembali menjengah oleh golongan politikus yang ingin mendapatkan kerusi kekuasaan. Gejala gigolo pun heboh diperkatakan dalam masyarakat. Pekong dan wabak bernanah yang hanyir ini jika tidak dirawat segera akan menyebabkan rosaklah umat Islam dan misi syaitan pasti akan berjaya.
  • Penyalahgunaan teknologi informasi dan telekomunikasi
Antara sebab kemunduran umat Islam adalah akibat dari kekurangan pengusaan terhadap teknologi yang semakin berkembang di negara barat. Teknologi ini memungkinkan mereka menyebarluaskan propaganda mereka dengan berkesan. Melalui filem, CD, VCD television stalite TV internet dan lain-lain mereka menyalurkan berjuta-juta patah perkataan imej, grafik dan diayah yang mempengaruhi umat Islam sehingga kehilangan jatidiri mereka.

Dengan penguasaan yang canggih dalam bidang ini mereka dapat meneruskan penguasaan dan hegemoni ke atas dunia Islam dan negara-negara Islam. Jentera prisikan mereka meredah masuk dalam berbagai jaringan sensitif pertahanan negara. Mereka mungkin lebih arif terhadap rahsia dalaman berbanding umat itu sendiri.
  • Kuasa Penjajah dan Zionis
Perancangan dan kerjasama diantara masyarakat Kristian dan Yahudi yang ingin menghancurkan Islam telah menemui kejayaan dengan jatuhnya empayar Islam semasa Zaman Turki Uthmaniyah. Strategi dan perancangan yang semakin rapi sedang direncanakan yang pastinya membawa cabaran yang lebih besar lagi terhadap umat Islam. Mereka ingin mengubah beberapa ayat al-Quran , mereka mahu membasmi hadith Nabi sebagai suatu kuasa palsu yang memundurkan umat. Mereka juga mahu umat Islam tidak lagi membangun negara dan politik Islam kerana ia adalah fenomena ekstrimisme, dan terrorisme. Mereka terus memantau perkembangan negara umat Islam agar Islam sebagai pola peradaban yang lengkap tidak akan dapat dibangunkan semula.
  • Kristianisasi
Kristianisasi yang telah lama berlaku bukan merupakan perkara baru yang tidak diketahui oleh umat Islam. Namun, strategi yang dirancang terlalu halus dan memerangkap umat Islam yang leka dan lalai serta tidak mengikut ajaran Islam mengikut landasan yang betul. Sebab itu terdapat beberapa golngan yang berjaya disesatkan sehigga mendewa-mendewakan ajaran kristian dan seterusnya masuk menjadi penganut agama itu samada kerana ingin berkahwin, atau ingin mendapat habuan kebendaan atau lari menjadi rakyat di negara berkenaan.

Golongan pendeta dan muballigh Kristian terus memainkan peranan mereka dengan dana kewangan yang besar dan prasrana diayah yang hebat dan canggih. Namun berkat kegigihan pendakwah kita, dan kewaspadaan umat telah dapat sedikit sebanyak membendung dan memelihara Umat Islam umumnya dari gejala Kristianisasi.
  • Globalisasi
Globalisasi merupakan satu proses menundukkan dunia dalam segenap sektor sama ada politik, ekonomi, sosial, budaya dan media dengan satu acuan kemanusiaan tertentu. Ia merupakan satu cara baru yang digunakan oleh Zionis atau Amerika Syarikat dalam berhadapan dengan Islam. Sikap negara-negara kuasa besar dan Eropah berlandaskan kepada pendekatan “pertembungan tamadun” yang meskipun mereka nafikan tetapi sebenarnya mereka gunakan untuk menghadapi kebangkitan Islam serta institusinya.

Globalisasi juga mewujudkan satu budaya yang mengikut telunjuk dan acuan Amerika serta menafikan nilai-nilai murni dan mulia serta budaya setempat. Semuanya akan bertukar kepada budaya yang bertuhankan material semata-mata. Globalisasi adalah istilah lunak mengantikan imprialisme dan penjajahan.
  • Kuasa Agensi Agama yang disalahgunakan
Di dalam negara umat Islam pula Agensi Agama yang telah dipolitikkan oleh golongan tertentu telah menjadi penghalang kepada berkembangnya kefahaman agama yang syumul dan beristiqamah. Badan-badan berkanun dan agensi-agensi pentadbiran agama digunakan untuk menghalang penyampaian agama dalam bentuknya yang merangkum kesedaran politik dan usaha reformasi umat. Dalam masa yang sama pihak berkuasa menghadkan kuasa agama dalam bidang tertentu sahaja supaya mereka mempunyai kuasa yang amat terbatas dan sukar untuk melaksanakan sesuatu tuntutan syariat.
  • Kemiskinan dan Kepapaan
Taraf hidup masyarakat Islam yang rendah menyebabkan mereka mudah diperkotak-katikkan dan dipergunakan untuk kepentingan penjajah asing atau agen-agen mereka yang melanjutkan pegangan terhadap fahaman yang salah dan keliru. Usaha-usaha memperalatkan pimpinan yang membawa kebaikan kepada barat giat dirancang bagi memastikan cengkaman ekonomi hanya dikuasai oleh Barat dan mewariskan kemiskinan dan pertelagahan kepada masyarakat jajahannya. Ini merupakan satu perancangan Yahudi dan kuasa raksaksa korporat Barat.

Ekonomi negara diratah dan diperkotak-katikkan oleh penyangak mata wang antara bangsa. Manakala penyangak dalam negara pula membazirkan wang negara dalam projek mega yang mewah dan membolot kekayaan negara melalui tindakan menghisap keupayaan kewangan syarikat-syarikat awam yang diswastakan. Selepas syarikat yang diswastakan itu bangkrap mereka memulangkan semula kepada kerajaan untuk dibiayai semula oleh wang rakyat.
  • Masyarakat Majmuk
Kepelbagaian kaum dan agama telah dijadikan alasan menyekat perlaksanaan hukum Islam kerana dikatakan hendak menghargai hak dan kebebasan beragama. Ugutan dan ancaman golongan sekular telah menakutkan orang-orang yang bukan Islam menerima penyelesaian Islam. Soal khitan, keganasan dan sebagainya telah dijadikan momok untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam untuk menyokong aliran Islam.
  • Kepelbagaian wadah dan wahana dakwah yang belum diselaraskan dengan berkesan
Kepelbagaian wadah gerakan Islam tidaklah mutlak buruk. Ia mungkin menambahkan lagi kerancakan dakwah di dalam negara kita. Namun pendekatan yang berbeza dan kurangnya penyelarasan mungkin membuka peluang kepada golongan tertentu untuk melaga-lagakan mereka untuk tujuan melemahkan kesan dakwah secara total. Sebab itu gejala ini adalah merupakan cabaran yang tersendiri kepada para pemimpin harakah tersebut. Mereka perlu merumuskan suatu penyelarasan dan perkongsian bijak yang akhirnya menguntungkan Islam.
  • Kekurangan Tenaga Manusia yang terlatih
Kekurangan tenaga pakar dari dunia Islam adalah hasil polisi pendidikan yang tidak sihat kesan dari penjajahan. Mereka tidak mahu melihat negara Islam lebih maju dari mereka. Sekatan terhadap para pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran mereka serta kuota yang dilaksanakan sedikit sebanyak menjejaskan mutu tenaga mahir atau pakar yang akan merencatkan pertumbuhan sesebuah negara Islam.

Sebenarnya banyak lagi cabaran yang dihadapi oleh usaha dakwah masa kini kalau hendak direntang panjang satu persatu. Tapi ruang yang terbatas menyebabkan kita berpada dengan huraian di atas.


Biodata Penulis

Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Pernah melanjutkan pengajian ke Mesir antara 1965-1974 di Maahad Bu’uth sebelum ke Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah dan Perundangan di Jabatan Fiqh Muqaran (Perbandingan Hukum) dan diploma pendidikan dalam universiti yang sama. Bergiat aktif dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan menjadi Presiden NGO itu pada tahun 1999-2003. Selain dari PUM beliau turut memimpin Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Sementara itu di dalam PAS, beliau adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Lajnah IT PAS Pusat.

Strategi Pendakwah Menghadapi Cabaran Alaf Baru

$
0
0

Untuk membincangkan perkara yang lebih penting ialah dengan mencari jalan bagaimana kita boleh mengatasi dan menghadapi cabaran pendakwah di alaf baru, antara langkah-langkah yang boleh dirumuskan di sini ialah; 
  • Seluruh jentera informasi-informasi Islam perlu berperanan.
Dalam menghadapi tindakan menimbulkan rasa fobia terhadap Islam maka seluruh umat Islam, jentera dakwah, media komuniksi dan informasi perlu menyanggah usaha untuk melabelkan kejahatan dan keganasan dengan label Islam. Tindakan ganas, jajah, aniaya, perang dan sebagainya telah dilakukan oleh penganut Kristian jauh lebih banyak dan berganda dari kalangan umat Islam. Namun kita tidak pernah melabelkan kejahatan dan keganasan itu dengan label Kristian untuk kita menindak dan menentang seluruh kegiatan dan pertubuhan Kristian.
  • Dedahkan kebatilan fahaman sekularisme.
Ciri-ciri fahaman sekularisme yang telah melanda umat Islam harus didedahkan supaya masyarakat Islam sedar akan bahaya fahaman sekularisme terhadap mereka. Langkah dan perancangan yang rapi harus diambil bagi menyedarkan umat Islam dan membawa mereka kepada iltizam akidah yang sebenarnya. Penegasan tentang Islam mencorakkan seluruh pegangan muslim dalam semua perkara dan isu perlu ditegaskan sehinga mereka tidak lagi menjadi penyokong faham dalam pelbagai bentuknya.
  • Memperkasa perjuangan melindungi amalan politik yang telus dan demokratik.
Iklim politik yang demokratik dan sihat perlu dilindungi oleh kesedaran dan kewarasan. Keinsafan bahawa peluang memerintah adalah amanah dan suatu yang boleh bertukar tangan tanpa menyebabkan dunia menjadi kiamat. Rasa akauntibiliti dan tanggungjawab perlu diperkasa dalam diri setiap politikus agar mereka tidak mengunakan muslihat kotor dan jahat hanya untuk menjaga kelangsungan kuasa dan bukannya kepentigan rakyat. Institusi yang menjamin ketelusan dan keadilan dalam pengagihan peluang antara parti pemerintah dan pembangkang harus diwujudkan dengan berkesan agar jentera kepolisian, kehakiman, dan SPR tidak disalahgunakan untuk mencarik etika dan undang-undang perlembagaan yang menghargai kewujudan parti pembangkang.
  • Memastikan kesaksamaan pada perlaksanaan undang-undang dan akta.
Undang-undang mustahak dipastikan sentiasa dibentuk atas dasar keluhuran. Ia bukan suatu lesen untuk menghalalkan kejahatan dan ketidakadilan. Ia adalah alat untuk merealisasi kesejahteraan, keadilan dan budaya hidup yang demokratik dan bertamadun. Apabila undang-undang digubal untuk muslihat parti yang memerintah dan kroni-kroninya itu bermakna ia suatu pencerobohan terhadap nilai-nilai demokrasi yang tulen. Ia adalah suatu pengkhianatan terhadap masyarakat dan negara.
  • Menyedia dan melantik para pemimpin yang soleh bertakwa dan amanah.
Faktor pemimpin dan kepemimpinan yang baik amat menentukan kesejahteraan sesebuah negara atau bangsa. Kepimpinan teras mestilah terdiri dari golongan yang beriman dan amat beriltizam dengan nilai-nilai agama dan moral. Seandainya struktur kepemimpinan hanya dapat didaki oleh golongan yang korup dan bermuslihat sudah pasti nilai korup itu akan akan menjadi teras dan mewabak dalam keseluruhan jentera parti yang memerintah.

Akibatnya struktur tersebut menjauhkan kalangan yang beriman, soleh dan beramanah. Ini memungkinkan kemusnahan dalam segenap susunlapis kepimpinan bawahan. Inilah yang dimaksudkan oleh al-Quran dengan istilah Inbia’th al-Asyqa’ atau ketampilan golongan yang celaka menjadi pemimpin.
  • Reformasi media massa
Media massa perlu memiliki falsafah penyiaran yang berteraskan al-Quran dan Hadith. Ia harus dipastikan multazim dengan dasar penyiaran Islam. Tujuan penyiaran sewajarnya untuk mendidik, meningkatkan kewarasan, menyelesaikan masalah, menyampaikan risalah dan saranan Allah kepada seluruh manusia, menghibur dalam batas yang halal dan kadar yang munasabah, membela golongan yang tertindas dan teraniaya, mempertahankan kebenaran dan keadilan. Para penjawat jawatan dalam lapangan ini hendaklah dipastikan dari kalangan golongan yang berilmu yang menegakkan kesaksamaan dalam dirinya dan dalam isu di luar lingkungan dirinya.

Mereka mesti melalui kursus profesionalisme kewartawanan yang menekankan penghayatan terhadap etika kewartawanan, tanggungjawab sosial, dan matlamat penulisan kerana Allah dan bukan kerana muslihat diri atau kroni. Para wartawan yang menghina Allah, Rasul, Para Sahabat, Perjuangan Islam, alim Ulama, dan golongan muslim dan muslimah yang komited perlu disingkirkan dan dipulihkan dalam pusat pemulihan khusus. Jika tidak mereka mungkin akan menjadi agen orientalis, imperialis dan Zionis yang menyesatkan khalayak pembaca dan umat.
  • Memantap dan meningkatkan mutu pendidikan berteraskan Islam
Pendidikan adalah jentera yang mencorakkan masa depan generasi baru dan individu umat. Ia perlu dilandaskan kepada dasar tauhid, akhlak, dan tradisi keilmuan yang mantap dan unggul. Dasar pendidikan sekular akan mencairkan asas-asas ini. Sebab itu pendidikan mustahak dibina atas landasan falsafah dan Sistem Pendidikan Islam. Aspek sukatan, pentadbiran, pengurusan, latihan guru, buku teks, kegiatan ko-kurikulum dan sebagainya perlu dilaksanakan dengan betul menurut dasar-dasar yang telah ditetapkan.

Usaha meningkatkan penghayatan Islam di sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian tinggi dengan melantik para guru dan pensyarah yang baik, komited dengan agama adalah sama mustahaknya dengan dasar yang telah disebutkan. Dengan itu akan lahirlah generasi pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara yang benar-benar menepati ajaran Allah. Jika tidak akan keluar dari institusi pendidikan kita manusia durjana, berilmu tapi tidak beradab, cerdik tetapi jahat dan haprak. Hidup mentingkan diri, berkhidmat kerana perut dan bukan kerana kebenaran dan keluhuran.
  • Membentuk dan mengamalkan dasar budaya yang sihat.
Dasar kebudayaan dan amalan membentuk budaya mesti menurut lunas-lunas Islam dan moral. Masyarakat tidak boleh dibiarkan hanyut dengan budaya memuja kebendaan. Institusi Budaya perlu mengukuhkan budaya yang mulia seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Filem-filem yang ditayangkan di pawagam atau di kaca TV mestilah mempunyai tujuan positif; baik untuk mendidik, mahupun untuk menghibur atau menambah ilmu. Semakin banyak ditayangkan filem-filem yang mempunyai mesej pendidikan, kemanusiaan, perjuangan dan sebagainya lebih baik dari filem-filem yang membibitkan keghairahan meniru gaya hidup Barat yang serba boleh menginjak batasan tradisi dan moraliti.
  • Meningkatkan penguasaan teknologi informasi, komunikasi dan lain-lain.
Umat Islam harus menebus kemunduran mereka dalam bidang ini dengan tangkas dan gigih. Persaingan dan pertembungan memerlukan keilmuan yang tinggi dan teknologi yang terkini. Kita tidak akan menjadi “khaira ummah” dengan sifat lembam, mundur dan sekadar menjadi pengguna teknologi orang lain. Kita perlu memiliki cokmar rahsia kejayaan orang lain. Kita mesti menyaingi dan mendahului mereka sepertimana para leluhur Islam yang telah membina peradaban Islam dalam era kegemilangannya. Teknologi terkini mesti dikuasai, dikembangkan dan menjadi darah daging kita. Baik dalam bidang penyiaran, perhubungan, persenjataan, perkhidmatan dan lain-lain.
  • Mengenalpasti perencanaan dan tipu daya penjajah dan zionis.
Gandingan yang semakin mantap antara negara-negara bekas penjajah dengan regim zionis dalam mambantai, memantau dan menguasai negara-negara umat Islam semakin ketara. Negara seperti Afghanistan, Palestin, Chechnya, Bosnia dan lain-lain mendedahkan hakikat dan kegelojohan mereka. Konspirasi mereka menyebabkan seluruh umat Islam dan gerakan kemerdekaan dan kemanusiaan Islam dilihat dengan penuh curiga dan dihubungkaitkan dengan terrorisme.
  • Mengukuhkan jentera dan agenda dakwah Islam menentang diayah kristianisasi.
Seruan dan diayah mereka sebenarnya adalah seruan ke arah kesesatan dan penyimpangan. Mereka boleh menambahkan pengikut dalam keadaan jentera dakwah Islam lemah dan tertekan. Oleh sebab itu usaha hendaklah digandakan untuk meningkatkan kefahaman Islam dan penghayatan ibadah dan nilai-nilai agama dalam masyarakat agar tidak ada di antara anak-anak orang Islam yang boleh terjerumus dalam kemurtadan dan bertukar agama menjadi pengikut faham kekufuran. Selain dari kejahilan kemiskinan juga antara penyebab mengapa segelintir umat Islam bertukar agama.

Oleh itu usaha untuk membenteras kemiskinan dan kefakiran mesti ditingkatkan. Dana-dana membantu orang miskin perlu dimanfaatkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan yang semakin meningkat hasil dari kaadaan ekonomi yang merudum. Pengaruh budaya Barat dikatakan ikut menyebabkan orang Melayu menukar nama dan masuk agama Kristian, terikut-ikut menjadi pengamal budaya kufr. Pihak yang bertanggungjawab menjaga kepentingan agama perlu peka dan melonjakkan usaha dakwah agar kekebalan dalaman di kalagan umat Islam dapat menjadi benteng akidah Islam yang ampuh menghadapi serangan Kristian dan Judaism.
  • Bersama menghadapi dampak positif dan negatif globalisasi.
Meskipun memang terdapat kesan positif dari trend globalisasi khasnya dalam bidang ilmu, komunikasi, informasi, ekonomi dan sebagainya, tapi dampak negatifnya jauh lebih menonjol. Umat dan negara umat Islam mesti membentuk Blok atau kesatuan dalam menghadapi bahaya dan ancaman globalisasi; baik dalam menjaga nilai asas budaya seagama, maupun melindungi ekonomi dan sumber kewangan mereka dari dibolosi dan dibekukan oleh golongan penyangak sama ada negara atau individu koprat antarabangsa.
  • Reformasi institusi dan agensi Islam kerajaan.
Agensi-agensi tersebut perlu dijadikan telus berkhidmat untuk Islam dan umat dan bukan untuk mengukuhkan jentera parti sekular yang memerintah. Petugas-petugasnya yang mendapat gaji dari rakyat mustahak bertugas untuk mendaulatkan Islam dan kuasa rakyat. Dengan demikian mereka akan dilihat sebagai ikhlas bertindak menguatkuasakan undang-undang yang memperkasa penghayatan dan dasar-dasar Islam dalam negara. Sebab itu mereka perlu peka dan aktif menangani gejala penyimpangan golongan wartawan, politikus, budayawan dan aktivis NGO yang berkiblatkan Barat.

Kalau mereka tidak melaksanakan tugas murni melindungi agama sebaliknya melindungi kepentingan politik Dato’ dan YB serta parti sekular mereka dengan penuh emosi maka umat akan melihat mereka dengan penuh jijik dan meluat. Apatah lagi jika agensi itu hanya bertaring untuk menindas kebangkitan Islam dan activist Islam baik dalam lapangan politik mahupun dalam kegiatan sukarela.
  • Meningkatkan kesentosaan, membasmi kemiskinan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Kemiskinan adalah antara alat untuk memerah dan memeras-ugut rakyat dan para pemimpin mereka. Sebab itu para penguasa, pemerintah dan individu muslim perlu membebaskan diri dari cengkaman belenggu kemiskinan ini. Amalan pembaziran wang rakyat perlu dihentikan. Perancangan projek yang menguntungkan rakyat marhain mesti diutamakan dari yang lain. Pendapatan yang melebihi paras cukup sebaliknya mencapai tahap selesa perlu direalisasi sehingga individu umat bebas dari kaadaan hidup serba terdesak.
  • Memanfaatkan aspek positif masyarakat berbilang kaum.
Kepelbagaian agama dan budaya serta kekayaan kemahiran yang merujuk kepada latar belakang etnik, bangsa dan pengalaman mungkin boleh dimanfaatkan untuk menambahkan tarikan pelancongan, peluang perniagaan dan perkongsian pintar yang serba menguntungkan semua warga negara Hal ini juga memberi peluang untuk kalangan tertentu menimba pengalaman berdakwah kepada berbagai bangsa dan kelompok budaya. Oleh itu selain dari hal ini merupakan cabaran ia juga merupakan peluang untuk menimba pengalaman dalam menyebarkan agama Allah.

Umat Islam harus bijak memanfaatkan situasi ini untuk menjana faedah dan aspek-aspek positif dari kedudukan seperti ini. Masyarakat majmuk tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang perlaksanaan Islam, nilai dan perundangannya, justeru Rasulullah suatu masa dahulu juga melaksanakan nilai ini dalam masyarakat yang majmuk. Akan tetapi apa yang diperlukan ialah keyakinan , kemahuan yang benar, keikhlasan perlaksanaan dan kesatuan umat Islam sebenarnya dalam isu ini.
  • Penyelarasan kuasa NGO Islam.
Seandainya kesatuan di kalangan badan-badan dakwah barangkali masih terlalu jauh untuk dicapai maka sekurang-kurangnya penggabungan tenaga dapat diraih untuk meningkatkan kuasa desak dalam pertarungan menghadapi kebatilan. Gerakan dakwah dalam berbagai bentuk perlu bergabung atau selaras dalam menangani isu-isu besar seperti perlaksanaan undang-undang Islam, pembelaan terhadap Pendidikan Islam, ekonomi umat dan nilai-nilai positif amalan demokrasi. Dengan demikian prestasi dakwah akan dapat ditingkatkan.
  • Mewujudkan pusat latihan kepakaran dan kepimpinan Islam yang canggih.
Badan-badan Dakwah Islam sukarela perlu bergabung tenaga untuk mengwujudkan pusat latihan kepakaran dakwah dan kepimpinan yang mutakhir dengan sukatan pendidikan yang lengkap, mantap dan serba canggih untuk melahirkan kadar kepimpinan yang cekap, berketerampilan dan menguasai teknologi terkini. Mereka juga harus dilatih dalam amalan rohaniah yang tinggi dan keupayaan retorik yang jitu serta keperluan-keperluan jihad yang lain.

Penutup

Inilah beberapa coretan ringkas mengenai cabaran Dakwah serta cara-cara menghadapi dan mengatasi cabaran tersebut. Mungkin banyak lagi yang boleh diperkatakan tetapi kerana masa yang terbatas kita berpada dengan coretan ini. Semuga Allah memberi kita kekuatan dan taufik untuk melaksanakannya dengan sebaik mungkin khasnya melalui wadah PUM untuk masa-masa yang akan datang.


Biodata Penulis

Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin berasal dari Masjid Tanah, Melaka. Pernah melanjutkan pengajian ke Mesir antara 1965-1974 di Maahad Bu’uth sebelum ke Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah dan Perundangan di Jabatan Fiqh Muqaran (Perbandingan Hukum) dan diploma pendidikan dalam universiti yang sama. Bergiat aktif dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan menjadi Presiden NGO itu pada tahun 1999-2003. Selain dari PUM beliau turut memimpin Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Sementara itu di dalam PAS, beliau adalah AJK PAS Pusat dan Ketua Lajnah IT PAS Pusat.

Perbezaan Mazhab Menurut Perspektif Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah

$
0
0

Ketika Rasulullah s.a.w dilantik menjadi Rasul akhir zaman, kerasulannya bersifat sejagat dan ‘alami (universal). Baginda bukan sahaja berdepan dengan musyrikin Arab yang buta huruf, paling keras dan bebal, bahkan menghadapi seluruh manusia di muka bumi sepanjang zaman. Adapun di luar bumi Arab, adanya kuasa-kuasa besar dunia yang bertembung, khususnya Rom dan Parsi, di samping China, India, Mesir, Habsyah dan lain-lain. Dalam masa yang sama, adanya pula golongan ahli kitab dan bukan ahli kitab menganut berbagai-bagai agama.

Al-Quran, bukan sahaja menjadi petunjuk yang benar mengenali Allah dan segala akidahnya, beribadat dan cara hidup diri dan bermasyarakat, hubungan manusia dengan Allah. Al-Quran juga memberi petunjuk menangani berbagai-bagai agama dan kuasa pemerintahan, dengan memaparkan sejarah terdahulu dan semasa. Pendekatan dakwah secara muwajahah silmiyyah diutamakan, perdamaian didahulukan dalam hubungan antara bangsa, negara, kaum dan agama, berdiplomasi dalam menangani pertembungan antara kuasa besar dan kebijaksanaan dalam pertembungan agama, dengan syarat istiqamah dan konsep murunah tanpa hilang petunjuk yang sebenar, serta tegas menghadapi segala tentangan sehingga tidak menyerah kalah, sama ada menang atau mati kerana Allah.

Menghadapi Pergolakan Antarabangsa

Di antara petunjuknya ialah firman Allah (Surah al-Rum 30: ayat 1-5):
الم. غُلِبَتِ الرُّومُ. فِي أَدْنَى الأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ. فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ. بِنَصْرِ اللَّهِ يَنصُرُ مَن يَشَاء وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ

“Alif, Laam, Miim. Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (Kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.”

Ayat-ayat ini membetulkan sikap dalam pertembungan antara dua kuasa besar di zaman itu, dengan sikap yang berbeza di antara ahli kitab dan yang lain, tanpa menghadapi musuh yang ramai dalam satu masa.

Berinteraksi Dengan Pelbagai Pihak

Adapun berdakwah secara umum, manusia berbagai-bagai agama dan budaya, sehingga kerajaan yang memerintah negara, Al Quraan memberi petunjuk. Firman Allah (Surah al-Nahl 16: 125-128):
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

“Serulah (berdakwah) ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُواْ بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ وَلَئِن صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِّلصَّابِرِينَ
“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan yang setimpal seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) Sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلاَّ بِاللَّهِ وَلاَ تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلاَ تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُو
“Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah Engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah Engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.”

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَواْ وَّالَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ
“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha amalan yang baik.”

Khusus bagi menghadapi ahli kitab Allah berfirman (Surah al-Ankabut 29: 46):
وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلاَّ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلاَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
“Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan Katakanlah (kepada mereka); Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri (Islam).”

Cabaran Dalaman Ummah
Seterusnya umat Islam menghadapi cabaran penyelewengan dalaman, sehingga memecahkan mereka kepada mazhab bukannya sekadar furu’ ilmu fiqh yang di izinkan, bahkan yang menyentuh akidah yang dinamakan firqah dan tasawwuf yang dinamakan tariqat. Walaupun mengaku berada dalam kepompong Islam, tetapi memecahkan kedudukannya daripada kepompong Islam, secara sedar atau tidak. Dalam hal ini kita perlu membuat pertimbangan berpandukan firman Allah (Surah al-Fatir 35: 32):
ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
“Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”

Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w berlakunya masalah dalaman penganut Islam, peristiwa riddah, keluar daripada Islam semuanya atau menafikan hukum zakat dalam keadaan masih bersembahyang. Kekhilafan juga berlaku dalam kalangan para sahabat r.a berhubung dengan perlantikan Khalifah. Walaupun akhirnya bersepakat mendokong Khulafa’ ar-Rasydin r.a. Namun, kesannya berbangkit kemudian, mencipta mazhab Syiah dan Khawarij dan menjadi melampau kerana adanya anasir luar yang masuk ke dalam umat Islam dan kejahilan umat pada zaman mutakhir.

Selepas penterjemahan berbagai-bagai ilmu ke dalam bahasa Arab pada zaman Abbasiyyah, sehingga termasuk pengaruh ilmu falsafah, menyebabkan lahirnya perbincangan ilmu akidah yang memecahkan aliran pemikiran dalam aspek akidah dalam kalangan Ahli Sunnah sendiri, kepada aliran Salafiyyah, Asyairah dan Maturidiyyah sehingga dinamakan Ilmu Al Kalam kerana banyak falsafahnya apabila berdepan dengan aliran Muktazilah, Qadariyyah, Jabariyyah dan lain-lain. Muncul pula aliran Batiniyyah yang menafikan amalan syariat yang diwajibkan. Semua aliran aliran tersebut juga mempengaruhi semua kalangan mazhab yang terdahulu yang bermula dengan politik, feqah dan tasawuf.

Umat Islam pula menghadapi al-Ghazwu al-Fikri daripada Timur dan Barat, khususnya selepas masuknya zaman penjajahan baru dan selepas penjajah asing, bukan sahaja terpengaruh dengan tamadun kebendaan yang melampau, tetapi menganut aliran al-Ilmaniyyah (sekularisme) yang mencipta semangat menentang penjajah, pada mulanya berasaskan nasionalisme dan selepasnya menganut berbagai-bagai ideologi dan teori politik dan ekonomi yang asing daripada Islam. Bukan sahaja liberal kapitalisme dan sosialisme yang tidak menolak agama bahkan melarat kepada komunisme yang menentang semua agama.

Ada juga yang menghina dan mempersendakan hukum-hukum Islam, dalam keadaan tetap mengaku menjadi penganut Islam. Lebih merbahaya lagi adanya ulama yang bersamanya dan melabelkan Islam kepada semua ideologi itu kerana mengampu kepada kerajaan di negeri masing-masing atau tidak memahami perkembangan semasa.

Akidah Mempengaruhi Mazhab

Perpecahan umat berdasarkan kepada politik pada awalnya, bukan sahaja mempengaruhi madrasah fiqhiyyah, namun melibatkan juga madrasah akidah dan tasawuf sehingga berpecah kepada mazhab yang banyak. Abu al-Hasan al-‘Asyari dalam kitabnya Maqalat al-Islamiyyin dan al-Syahrastani dalam al-Milal wa al-Nihal menghuraikan agak terperinci. Madarasah Ahli Sunnah dalam perkara akidah berpecah kepada tiga mazhab - Salaf, al-Sya'irah dan Maturidiyyah.

Mazhab Syiah berpecah kepada 52 mazhab yang besar dan kecil. Khawarij pula berpecah kepada 16 mazhab. Mu’tazilah kepada 12 mazhab, Jabriyyah kepada tiga mazhab. Ada kalangan mazhab yang sama akidahnya dengan ahli sunnah dan berkhilaf dalam hukum feqh dan ada pula beberapa hukum feqh yang sama tetapi menganut mazhab muktazilah dan lain-lain.

Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah

Mazhab Ahli Sunnah Wa Jama’ah wajib dipertahankan kebenarannya, walaupun Muktamar OIC terakhir di Makkah merasmikan keputusan Majmak al-Fiqh di bawahnya yang berpusat di Jeddah dan sebelumnya Majma’a al-Buhuth Al Islamiyyah di-Mesir mengisytiharkan lapan mazhab yang lahir dalam kalangan umat Islam yang diiktiraf bernama Islam. Lima daripada Sunni: Hanafi, Maliki, Syafi’e, Hanbali dan Zahiri, (tanpa menyebut mazhab yang terdahulu di kalangan sahabat dan tabe’in). Dua daripada Syi’ah: Imamiyyah (Ja’afariyyah) dan Zaidiyyah dan satu mazhab Khawarij, iaitu Ibadiyyah.

Mazhab Ahli Sunnah mengalami proses ilmu dan perjuangan yang lebih mendalam daripada mazhab yang lain, kerana berada di pusat ilmu, seperti Makkah, Madinah, Yaman, Syam, Iraq dan Mesir. Adapun Mazhab yang lain menjadi terpencil daripada pusat ilmu dan jauh daripada para ulama muktabar yang berjuang secara berdepan menghadapi cabaran.

Menjadikan pendapat yang kuat dari segi hujah yang sahih dan kuat bersumberkan hukum Islam lebih banyak, dan hujah mazhab yang lain banyak yang lemah, namun kita tidak boleh menafikan adanya banyak persamaan dalam beberapa hukum dan adanya pertemuan ilmu berbagai mazhab, kerana berguru dan meriwayat di antara satu sama lain. Seperti di antara Abu Hanifah dan Imam al-Baqir dan anaknya Imam Ja’afar al-Sadiq daripada mazhab Syi’ah. Imam Al Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Soleh bin Hayy yang bermazhab Syiah.

Perlu diketahui juga bahawa zaman mutakhir berlakunya kelahiran qawul dhaif dan ada yang menyeleweng daripada imam mazhab yang terdahulu apabila berlalunya masa yang lama dan berlakunya pertembungan secara jahil dan taasub. Sehingga ada yang terlalu melampau dan terbatal Islamnya.

Kajian Para Ulama

Ada kalangan ulama yang mengarang kitab berkenaan dengan sejarah dan aliran pemikiran mazhab-mazhab firqah tersebut. Seperti Abu Hasan al-Asyaari mengarang kitab Maqalat al-Islamiyyin. Al-Syahrastani kitabnya al-Milal wa al-Nihal, Ibnu Hazmin kitabnya al-Fisal fi al-Milal wa-Nihal. Ibnu Khaldun pula menyentuhnya dalam al-Muqaddimah. Maka kita akan dapati perbezaan pendapat dan sikap kalangan ulama itu kerana berbeza zaman dan tempat.

Untuk mendapat kajian terperinci adalah lebih baik dirujuk kepada penulisan perbandingan mazhab yang agak mendalam, terperinci dan tidak terpengaruh dengan tekanan politik kerajaan masing. Di antaranya ialah karangan al-Syeikh Muhammad Abu Zahrah, Dr. Abdul Karim Zaidan yang berada di tengah-tengah masyarakat berbagai mazhab. Sebelumnya al-San’ani daripada Syiah Zaidiyyah mengarang kitab Subul al-Salam mensyarahkan kitab matan Hadis Bulugh al-Maram karangan Ibnu Hajar daripada Sunni, al-Syaukani yang berubah daripada keluarga Syiah kepada Sunni.

Kita juga wajib berwaspada dengan permainan politik dalaman umat dan musuh luar, yang sengaja mencetuskan masalah dalam tanah air dan masyarakat umat Islam .

Sikap Musuh Terhadap Islam

Semua penulisan dan media barat meletakkan semua yang berwajah Islam dalam senarai paling bahaya, tanpa mengira mazhab, bangsa, dan ideologi politik yang dianut dan diperjuangkan, walaupun yang terpelanting daripada Islam seperti komunis atau Islam liberal. Ketika memuncak perang di Semenanjung Korea tahun 50-an, dan ancaman pakatan Warsaw terhadap Negara Eropah, seorang diplomat barat membuat kenyataan bahawa Islam lebih bahaya daripada ancaman komunis. Di Malaysia juga ada kalangan yang menumpang sama.

Saya juga tidak lupa kenyataan Ehud Barak, Mantan PM dan Menteri Pertahanan Israel ketika terburainya Komunis dan pecah berkecainya Negara Soviet pada akhir tahun 80-an, “Supaya berwaspada terhadap kumpulan Islam yang muncul di negara Asia Tengah bekas jajahan Islam.”

Kita perlu membaca sikap kuasa besar Barat dan Timur terhadap Islam secara menyeluruh. Kita juga wajar memahami mengapa British berfahaman Liberal Kapitalisme dan sekutunya mengizinkan kemerdekaan Yaman Selatan dahulu kepada pembentukan kerajaan Komunis Marxism di antara tempat paling strategik dan Rusia dan China mengizinkan penubuhan kerajaan pro-barat di kawasan umat Islam di Asia Tengah. Dalam masa yang sama adanya pula negara Arab yang bersekongkol dalam percaturan politik kuasa besar.

Umat Islam juga dikawal habis-habisan dalam perlumbaan teknologi. Maka kalau yang maju sehingga sedikit kemajuan dalam teknologi nuklear, laksana tanda kiamat yang wajib dimusnahkan, walaupun dia seorang Islam yang zalim seperti Saddam Husain atau tolol seperti Muaamar Gaddafi. Sekalipun bertujuan untuk tenaga elektrik dan sebagainya, tetap diharamkan. Saintis Iran, dikutip untuk dibunuh dan ada yang diculik ketika menunaikan haji di Makkah.

Ada pun negara lain yang bukan Islam boleh membinanya dengan kemajuan yang luar biasa, sehingga melakukan ujian yang menganggu cuaca dunia dan keselamatan penduduk setempat, dan mengganggu keamanan dunia dengan senjata pemusnah membunuh lebih kejam daripada binatang buas. Negara Barat dan Timur boleh menubuhkan apa sahaja pakatan termasuk ketenteraan, saperti NATO dan Warsaw, atau pakatan ekonomi seperti EU, AFTA, NAFTA, G7, TPPA dan sebagainya. Adapun negara umat Islam diharamkan untuk melakukan hal seperti itu.

Maka OIC hanya layak bersifat NGO yang hidup segan mati tak mahu. Apabila al-marhum Erbakan, Mantan Perdana Menteri Turki menubuh G8, maka dilumpuhkan, lebih-lebih lagi apabila mencadangkan Dinar sebagai pengganti Dollar dalam urusan kewangan antarabangsa, termasuk Tun Mahathir pemimpin kuat Umno yang menyokong cadangan ini. Tiba-tiba Erbakan (Pemimpin Parti Islam seperti PAS di Malaysia) digulingkan.

Beginilah senario membelasah Islam tanpa mengira mazhab, tanpa mengira namanya Sunni, Salaf atau Khalaf, Asyairah, Maturidiyyah, Wahabi dan lain-lain. Termasuk tanpa mengira Sunni, Syiah dan Khawarij dan lain-lain, termasuklah tanpa mengira Islam atau sekular. Pada zaman penjajahan dahulu pihak musuh juga berjaya mencipta mazhab yang disokong oleh mereka seperti Qadiani (Ahmadiyyah) di India dan Bahai di Iran yang ditolak oleh umat Islam, sehingga terpaksa memindah pengkalan di Israel dan England.

Gerakan Islam dan Hubungannya Dengan Mazhab

Semua gerakan Islam Islah dan tajdid menangani berbagai mazhab dengan ilmu para ulamanya melalui taqrib kalangan mazahib yang dikira daripada ahli al-Islam atau pun ahli Al-Qiblah.

Pelopor gerakan tajdid zaman penjajahan, Jamaluddin al-Afghani yang pernah dibuang ke Iran dan kemudiannya ke Mesir, lalu bergabung dengan muridnya Muhammad Abduh memainkan peranan pada awal abad yang lalu bersama dengan Ayatullah al-Kasyani. Usaha ini disambung oleh Hasan al-Banna, Abul ‘Aala Maududi, Nawwab Sofawai dan lain-lain. PAS juga bersama menyambung dalam usaha ini. Namun mendapat tentangan dan gangguan dalam negara dan antarabangsa. Hasan al-Banna ditembak mati di Mesir dan Nawwab Sofawi dihukum bunuh di Iran. Dua tokoh al-Azhar, selepas Syaikh Muhammad Abduh iaitu Shaikh Mustafa al-Maghari dan Mahmud Syaltut melibatkan diri dalam usaha taqrib. Selepasnya perlantikan Shaikh Azhar dikuasai oleh kerajaan Mesir.

Al-Marhum Dr. Said Ramadan al-Misri (setiausaha Ikhwan al-Muslimin) menegaskan bahawa beliau tidak melupai demonstrasi ratusan ribu di kedutaan Mesir di Tehran apabila Sayyid Qutb dan rakan-rakannya dijatuhkan hukuman mati ditali gantung.

Gerakan Ikhwan al-Muslimin secara khusus mememainkan pengaruh yang besar, apabila beberapa kitab dan risalahnya diterjemahkan ke bahasa Parsi, di antara penterjemahnya ialah Ayatullah Ali Khamenei yang dilantik menjadi Imam selepas al-Khomeini. Terakhirnya, beliau mengeluarkan fatwa membatalkan beberapa ribu hadis dalam kitab mereka (al-Kulaini), yang didapati mencela para sahabat dan Umahat al-Mukminin RA.

Satu pendedahan di awal revolusinya berlaku perang teluk yang belum selesai sehingga kini. Berlaku pengeboman bangunan yang mengorbankan lebih 80 orang pemimpin, mereka sebahagian besarnya terlibat dengan gerakan Islam, di antaranya ialah Ayatullah Bahasyti.

Walau pun mereka boleh bertahan, namun mereka berdepan dengan para ulama fanatik mazhab yang masih ramai dalam masyarakat yang bertindak secara negatif menyebarkan mazhab dan pandangannya di kalangan sunni, di samping negara Arab Sunni berjiran tidak menunjukkan semangat kejiranan dan persaudaraan seagama, sebaliknya bersedia menjadi pengkalan tentera kuasa besar barat yang menjadikan Iran satu ancaman besar kepada mereka. Sedangkan negara ini sangat rapat dengan Iran pada zaman Shah yang menjadi pengkalan terkuat kepada Barat.

Sikap kerajaan negara Arab terhadap kemenangan Islam di Sudan, terhadap Ghazzah, terkini di Mesir, Tunisia, dan lain-lain, sangat menunjukkan belangnya yang sebenar. Menunjukkan usaha menghalang munculnya Negara Sunni yang mampu memimpin dunia Islam - sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh Iran walaupun sudah menunjukkan arah menjadi kuasa besar dunia.

Sikap Iran memutuskan hubungan dengan Israel dan membatalkan pengiktirafan yang dilakukan oleh kerajaan Shah dahulu dan keberanian membantu Hamas, dan Tanzim Jihad bukan sahaja Hizbullah, sepatutnya dilakukan oleh Negara Arab Sunni, ini sangat memalukan.

Negara-negara besar yang terlibat dalam penubuhan Israel telah berjaya mencetuskan peperangan secara wakalah di Syria yang dianggap oleh Lawrence sejak seratus tahun yang lalu sebagai kawasan penyelamat kepada penaklukan tanah suci mereka di Palestin. Terkini dapat menghapuskan pengkalan Hamas dan Tanzim Jihad (dua kumpulan Islam Sunni), pengkalan hadapan secara langsung dengan Israel yang tidak dibenarkan di semua Negara Arab, kecuali Yaman, Sudan, Algeria, Qatar dan Lubnan, serta menyekat saluran senjata menentang Israel disebelah utara, yakni bukan hanya melibatkan Hizbullah daripada Syiah.

Peta Baru Dunia Islam

Pada awal abad yang lalu, semangat kebangsaan memecahkan umat Islam berjaya menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah, iaitu peranan mazhab pada masa itu tidak besar. Pendedahan terkini melalui media baru menunjukkan, faktor mazhab dan kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negeri Islam dijadikan faktor membentuk peta baru Asia Barat dan akhirnya melibatkan dunia Islam. Tujuannya ialah menyelamatkan Israel yang menjadi pengkalan hadapan dalam pertembungan dengan dunia Islam, juga penguasaan terhadap sumber pembekal tenaga dan perjalanan antarabangsa.

Pemetaan dicadangkan supaya Selatan Mesir (So’eid) dipecahkan kepada kaum yang rapat dengan Afrika yang digabungkan dengan Sudan Utara yang dipisahkan daripada Sudan Selatan dan Darfur. Negara untuk kaum Kristian Koptik juga dicadangkan. Utara Afrika dipecahkan di antara kaum Arab dan Barbar (amazigh). Syria , Iraq dan Lubnan dipecahkan kepada Sunni, Syiah, Alawi, Kurdis dan Turkuman yang memecahkan Turki pula. Begitu juga Saudi, Iran, Negara Teluk dan Yaman.

Usaha melumpuhkan ketenteraan juga dilaksanakan, setelah berjaya melumpuhkan Pakistan dan Afghanistan, Mesir dan Syria kerana masalah dalaman, dilagakan pula Saudi dan Iran secara pertembungan mazhab. Peperangan boleh dilakukan secara langsung atau wakalah (proksi) bagi kesempatan pasaran senjata dalam kalangan kuasa besar dan meleburkan wilayah Islam dengan peperangan sesama sendiri .

Penutup

Perpecahan mazhab yang telah wujud sejak seribu tahun dahulu tidak menghalang kemaraan dakwah dan futuhat al-Islam ke seluruh pelusuk dunia, kerana umat yang tulen dapat membezakan antara yang sesat dan tidak. Masa dan tenaga tidak dihabiskan oleh pertelingkahan mazhab dan firqah yang wujud, tetapi kebangkitan Islam yang sedang berlaku kini digugat dengan perkara mazhab sekiranya tidak ditangani dengan bijak oleh para ulama dan pemimpin yang insaf.

Sumber ilmu Islam secara riwayat dan dirayat sepatutnya dapat diperkasakan dengan mudah sekiranya dimanfaatkan teknologi maklumat terkini. PAS sendiri sehingga kini berjaya menepis segala anasir fahaman dan mazhab yang cuba dimasukkan ke dalam PAS atau menggangu perjalanannya, sama ada kumpulan ini keluar dengan sendiri atau dipecat. Renungilah firman Allah (Surah al-Kahf 18: 103-106):
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالأَخْسَرِينَ أَعْمَالا. الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا. أُوْلَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا. ذَلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا

Katakanlah (Wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang pertimbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-ayat-Ku dan Rasul-rasul-Ku sebagai ejek-ejekan.

Teks ini dibentangkan semasa Wacana Pengukuhan Akidah di Unisel Shah Alam.

Biodata Penulis

Y.A.B Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah memangku jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Qudsi.

Laksana Syariat, Ikhlas Urusan Allah

$
0
0

Semua pihak di kalangan umat Islam adalah wajib menerima kewajiban melaksanakan syariat tanpa menuding jari atau menuduh atau melekehkan di antara satu sama lain. Perlu diingati bahawa perkara yang berkait dengan “ikhlas”  adalah urusan Allah, bukan urusan kita. Allah telah menegaskan wujudnya berbagai lapisan dan peringkat di kalangan umat Islam. Baca dan fahamilah firman Allah (surah al-Fatir 35: 31-32) :

وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ.  ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
“Dan al-Quran yang Kami wahyukan kepada mu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi Maha melihat dan memerhatikan. Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengendahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).”

Apa yang wajib ialah membetulkan kefahaman dan menjelaskan terhadap salah faham dan kekeliruan terhadap hukum Allah yang Maha Adil dan Bijaksana. Maka berdosa sekiranya kita semua sibuk dengan perkara sampingan tersebut, iaitu dengan membahaskan keikhlasan atau dengan memperlekehkan di antara satu sama lain.

Kita perlu juga ingati bahawa ada kalangan yang hanya mengenali isu ini sebagai isu “Hukum Hudud” atau sebahagian daripada hukumnya sahaja, tanpa menyedari bahawa Hudud sebenarnya hanya salah satu daripada cabang undang-undang Kanun Jenayah Syariat Islam (II) yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1993. Fahamilah ilmu jenayah syariah Islam itu dalam bentuknya yang lebih jelas seperti hudud, qisas dan takzir.

Setengahnya juga tidak ingin memahami kesempurnaan Islam dan hukumnya yang  memberi petunjuk ke jalan yang benar tanpa menyekat kemampuan akal yang bijak dan hak asasi yang tidak melampau sehingga menghilangkan sifat kemanusiaan yang sebenar. Sehingga ada yang lebih bersimpati terhadap penjenayah, tanpa peduli terhadap mangsanya. Atau lebih melihat hak asasi binatang lebih daripada hak asasi manusia yang sebenarnya.

Sebenarnya kita wajib mengambil hikmah dari para perunding kemerdekaan negara yang mewujudkan Perlembagaan yang memberi ruang adanya hak hukum Syariat dan undang-undang jenayahnya, sehingga menolak dakwaan halangan perlembagaan terhadap wujudnya berbagai-bagai undang–undang dalam masyarakat majmuk. Kewajipan umat Islam sendiri ialah menafsirkan Islam yang sebenar yang wajib menjadi pegangan mereka dan membuang saki baki sekatan penjajah dalam perlembagaan, kerana kita telah mencapai kemerdekaan.

Kalangan bukan Islam pula sudah ada hak mereka yang termaktub dalam perlembagaan. Sepatutnya penganut Islam menyedari hak mereka yang sebenar untuk percaya dan beramal dengan ajaran Islam yang sebenar. Fenomena yang berlaku diwaktu ini ialah merebaknya penyakit jenayah yang menimpa seluruh rakyat tanpa mengira kaum, khususnya jenayah berat, menandakan tidak ada kehebatan undang-undang ciptaan manusia yang diamalkan sekarang. Adapun umat Islam wajib kembali ke pangkal jalan kepada ajaran agama Islam yang wajib diperkasakan. Ini adalah hak penganut Islam yang wajib dilindungi oleh perlembagaan yang wajib adil terhadap semua.

Ada pun kebimbangan penganut  bukan Islam telah dijelaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Adapun al-Quran ialah firman Allah (surah al-Maidah 5: 42):
فَإِن جَاؤُوكَ فَاحْكُم بَيْنَهُم أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

“Oleh itu kalau mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Ayat ini menunjukkan, walau pun berkait dengan penganut agama Yahudi Ahli kitab  yang ada hukum hudud dan qisas dalam kitab mereka, namun tidak dipaksakan ke atas mereka. Apa lagi kepada penganut agama yang tidak ada undang-undang jenayahnya yang tersendiri.

Imam Ibnu Kathir dan lain-lain merekodkan bahawa perkara ini berlaku dalam masyarakat majmuk di awal negara Islam. Maka mazhab Islam yang diamalkan dalam masyarakat majmuk mengambil kira sejarah ini. Di antaranya mazhab Maliki, Hanafi dan  kalangan mazhab Syafe’i dan mazhab yanag lain. Perkara ini termasuk dalam konsep tidak ada paksaan dalam agama.

Adapun dakwaan tidak adil terhadap penganut Islam adalah sebenarnya berpunca daripada kejahilan, sehingga salah faham terhadap ajaran agama sendiri, kerana tidak  menyedari hikmah kehebatan undang-undang yang menggerunkan sehingga kadar jenayah menurun dan akhirnya hapus di kalangan penganut Islam. Adalah salah akal, sekiranya memahami bahawa rakyat akan berlumba untuk mencuri supaya dipotong tangan dan kaki, apa yang sebenarnya berlaku ramai kalangan para penjenayah akan bertaubat.

Wajib difahami, bahawa undang-undang jenayah Islam lebih bersifat mendidik daripada menghukum, kerana adanya syarat-syarat yang sangat menyusahkan bagi menjatuhkan hukuman Qisas dan Hudud yang dinaskan dan lebih banyak ruang kepada hukuman Takzir yang lebih ringan dan dengan mendidik. Dalam masa yang sama hakim diminta mencari jalan untuk membebaskan, sama ada daripada kefahamannya sendiri atau bantuan para peguam, dengan meneliti segala keterangan saksi dan lain-lain, disertakan dengan ayat al-Quran dan Hadis yang lebih menggalak bertaubat kepada Allah dan memaafkan di luar mahkamah.

Sabda Rasulullah  s.a.w:
تدرأ الحدود بالشبهات

“Hukum hudud ditolak dengan adanya kekeliruan.”

Kekeliruan yang wujud semasa perbicaraan adalah meliputi sama ada wujudnya unsur paksaan, kejahilan tegar, atau fitnah dalam sesuatu kes itu. Dalam hal ini Imam Malik menegaskan (mafhumnya) : “Sekiranya ada satu unsur kekeliruan daripada  sembilan puluh sembilan bukti yang sahih maka tidak boleh dijatuhkan hukuman; Sabda Rasulullah s.a.w, Kesilapan hakim membebaskan orang yang dituduh lebih baik daripada kesilapan menjatuhkan hukuman.”

Kalangan penentang pelaksanaan Syariat sengaja memilih aspek Hudud dan khususnya isu memotong tangan pencuri dan perompak dan mencacatkan anggota menjadi ruang untuk menyerang undang-undang syariat Allah yang dinaskan, tanpa menghormati hak mangsa jenayah dan lebih mempertahankan penjenayah yang sangat zalim.

Hudud dan Qisas adalah hukum jenayah yang dinaskan dalam Al Quran dan Hadis, di mana sejumlah kecil sahaja yang disenaraikan, hanya dalam perkara yang tidak mungkin diselesaikan oleh akal manusia, maka Allah memberi petunjuk dengan rahmatnya. Ada juga yang boleh dikeluarkan daripada senarai Hudud kerana adanya kalangan ulama yang tidak mengiranya kerana nas yang bersifat umum. Ada perkara lain yang tidak terkiranya banyaknya, maka Allah mengizinkan kebijaksanaan manusia dan pengalamannya.

Cukuplah dengan akibat tidak mampu mengatasi jenayah khususnya keganasan dan moral yang memusnahkan kehidupan manusia. Bagi penganut Islam, keizinan ini menjadi sempadan aqidah yang besar, kerana firman Allah memberi amaran (surah al-Syura 42: 20-21):
مَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ وَمَنْ كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ نَصِيبٍ.  أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakiNya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar Yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan - mana-mana bahagian dari agama mereka - sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian). dan Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”Kerajaan negeri Kelantan di bawah PAS sepenuhnya sejak tahun 1990. Undang–undang jenayah syariat dikemukakan mengikut proses siyasah syariah, politik demokrasi dan pengurusannya. Setelah disusun oleh pakar Syariah dan perundangan moden, ianya di bawa terlebih dahulu kepada umum dengan jemputan kepada semua parti politik, NGO Islam dan bukan Islam untuk mendengar dan memberi penjelasan kepada semua pihak. Selepas ini selesai, baharulah ianya dibawa kepada Dewan Undangan Negeri Kelantan, kemudiannya Terengganu dan berlakulah polemik ilmu secara terbuka selepas dari itu.

Oleh kerana PAS terus memimpin di Kelantan, maka PAS memilih Kelantan sahaja, dan PAS wajib menerima secara positif  terhadap semua pihak yang bersedia menerimanya dan bersedia memberi penjelasan terbuka atau tertutup kepada semua pihak yang masih ragu atau tidak faham hakikatnya yang sebenar. Marilah kita menjelas dan menyatakan Islam adalah rahmat kepada seluruh manusia.

Biodata Penulis

Y.A.B Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS). Beliau pernah memangku jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu. Pernah melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah tahun 1969-1973, kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah). Semasa di Timur Tengah, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Qudsi.

Anakku Ahli PAS

$
0
0

PAS memerlukan penggerak bukan sekadar penyokong sebagai penerusan kerja perjuangan. Macam mana kita mahu perjuangan PAS ada penerusan? Adakah dengan - Kun Fayakun - tanpa apa-apa perancangan. Dengan alasan PAS jamaah Islam, tidak payah berbuat sesuatu, serahkan kepada takdir sahaja. Adakah ini menepati dengan sunnah perjuangan Islam yang diajar oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. Sedangkan baginda sendiri memberi keutamaan kepada proses perkaderan sebagai usaha dakwah baginda.

Usamah bin Zaid dalam usia muda sudah diberi amanah yang besar, walau pun ada di kalangan pembesar sahabat yang lain untuk mengepalai peperangan untuk melawan Rom. Umurnya baru mencecah 18 tahun. Semuanya hasil tarbiyah Rasulullah s.a.w sejak daripada kecil.

Amat malang kepada PAS sekiranya proses ini tidak diberi keutamaan. Proses perkaderan yang paling mudah sekali ialah dari kalangan orang yang paling rapat sekali dengan kita, iaitu ahli keluarga kita. Allah telah memerintahkan kepada baginda supaya menyeru kepada ahli keluarga yang terdekat untuk menerima Islam. Firman Allah (surah al-Syuara 26: 214) :
 وَأَنذِرْ عَشِيرَتَكَ الأَقْرَبِينَ

"Berilah peringatan kepada mereka (ahli keluarga) yang hampir dengan kamu".

Apa makna kita berjuang siang malam, tiba-tiba anak kita sendiri yang tercicir di dalam perjuangan. Lebih parah lagi ada yang menentang perjuangan PAS. Semua gara-gara kecuaian ibu bapanya mentarbiyah anaknya untuk bersama dengan perjuangan Islam.

Kenapa Perlu Menjadi Ahli PAS
  1. Senang untuk dicula ketika musim pilihanraya, kerana seorang ahli, insyaAllah pasti memangkah PAS. Orang atas pagar belum tentu mereka akan bersama dengan PAS, apabila disogok dengan wang dan diasak dengan media. Berbeza dengan ahli, mereka tidak akan termakan dengan fitnah media dan sogokan wang. Walau pun dia tidak puas hati dengan calon, namun beliau tetap memangkah
  2. Senang untuk dikaderkan, kerana kita boleh mengetahui potensi diri yang ada di dalam setiap orang ahli. Kita tidak boleh melaksanakan perkaderan jika ia bukan ahli kita
  3. Senang untuk mendapat dana parti. Seperti yang kita maklum wang PAS daripada ahli PAS. Wang boleh diperolehi melalui yuran dan infaq ahli
  4. Seorang ahli dia merasa sayang dengan parti. Ia menganggap PAS bukan hak mana-mana individu, tetapi hak semua ahli
  5. Seorang ahli PAS ia akan menjadi jentera penerangan. Mereka akan menangkis fitnah musuh terhadap PAS. Mereka bertindak sebagai televisyen PAS di kedai kopi atau mana-mana perhimpunan orang ramai

Cara Untuk Memastikan Anak Menjadi Ahli PAS
  1. Apabila anak sudah baligh isilah borang ahli PAS
  2. Beri semangat kepada anak supaya meneruskan perjuagan PAS
  3. Jangan menakutkan anak-anak supaya jangan terlibat dengan PAS, nanti tidak dapat kerja. Yakinkan mereka bahawa tidak ada yang susah kerana berjuang Islam. Allah menjamin hambanya yang bekerja di jalan Allah
  4. Berikan semangat bahawa kerja di dalam jamaah akan dianugerahkan keberkatan oleh Allah
  5. Ajak mereka hadir ke program PAS sejak kecil lagi supaya mereka tidak kekok ketika mereka besar nanti
  6. Beri galakan  kepada anak lelaki menyertai Unit Amal, anak perempuan menyertai Nisa' dan Briged Muslimat
  7. Ketika mereka masuk ke Pusat Pengajian Tinggi pastikan anak meneruskan tradisi berjamaah dengan PAS
  8. Bawa anak-anak ke Markaz Tarbiah supaya daripada kecil sudah jinak dengan PAS
  9. Berbual dengan anak-anak mengenai perjuangan supaya mereka dapat menyampaikan pula kepada orang lain. Satu perkara yang silap apabila ada ibubapa yang tidak mahu membawa balik cerita PAS di rumah, kononnya tidak mahu anak serabut dengan perjuangan.

Satu mala petaka yang menimpa perjuangan PAS apabila ada ibu bapa membiarkan anak menentang perjuangan PAS dan menjadi pemimpin parti lawan. Banggalah jika kita berjaya meninggalkan warisan perjuangan apabila kita menemui Allah.

Biodata Penulis

Ustaz Haji Idris bin Haji Ahmad merupakan salah seorang exco PAS Pusat. Beliau pernah melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam Fakulti Pengajian Islam (FPI) dalam pengajian sarjana dan menjadi pensyarah di sana. Pendakwah sepenuh masa dalam lapangan tarbiyah dan siyasah. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.

Patriotisme Menurut Perspektif Islam dan Barat

$
0
0

Secara umumnya bolehlah dikatakan bahawa asal-usul patriotisme adalah daripada budaya turun-temurun masyarakat Barat kerana perkataan patriotisme itu sendiri berasal daripada bahasa Yunani ‘Patria’ yang bermaksud tanahair (fatherland or homeland). Secara lebih lengkap maksud patriotisme ialah cintakan kepada tanahair dengan kesanggupan untuk menumpahkan hati-budi kepadanya. Disebabkan perkataan ini berasal daripada bahasa Yunani dan kemudian digunakan oleh bahasa Inggeris maka secara khusus perkataan ini mempunyai hubungkait dengan sejarah perkembangan budaya masyarakat Eropah daripada zaman Yunani sehingga zaman Barat Moden. Bagaimanapun ini tidaklah menafikan kewujudan nilai yang sama dalam masyarakat Timur dan masyarakat Islam.

Selalu disebut bahawa konsep patriotisme dalam masyarakat Eropah dan Barat telah berubah mengikut perkembangan zaman terutama menjelang kurun ke-18. Sekiranya pada zaman Yunani, patriotisme ini merujuk kepada ‘an attachment to the physical features of land’ (rasa kebersamaan dengan tanahair), konsepnya telah berubah selepas itu. Pada Zaman Pertengahan, iaitu sewaktu masyarakat Eropah didominasikan oleh pengaruh golongan eklesiastik (golongan gereja), konsep patriotisme merujuk kepada kecintaan terhadap agama Kristian yang menjadi pegangan Tamadun Rom. Selepas Zaman Renaissance (zaman kebangkitan Eropah), ketika Tamadun mula berpecah kepada kewujudan negara-negara bangsa, maka patriotisme merujuk kepada kecintaan kepada bangsa yang dikaitkan dengan nasionalisme. Pada zaman ini juga bermulanya era kolonialisme yang dilebarkan atas semangat patriotisme golongan penjajah.

Pada kurun ke-18, ketika kelahiran pelbagai ideologi seperti demokrasi, sosialisme dan komunisme yang menjadi anutan negara-negara tersebut, konsep patriotisme telah dikaitkan dengan pegangan yang kuat kepada ideologi tersebut sehingga rasa kebersamaan itu telah menggabungkan beberapa negara dalam sesebuah blok ideologi (seperti blok kapitalis dan blok komunis). Pada zaman ini, dalam suasana globalisasi yang begitu kuat selalu dipersoalkan adakah masih wujud rasa patriotisme dan nasionalisme? Yang jelasnya syarikat-syarikat transnasional atau multinasional selalu dipertikaikan semangat patriotisme dan nasionalisme yang ada pada mereka oleh golongan patriotis dan nasionalis. Dengan demikian, agak sukar memberi satu konsep yang tepat kerana konsep patriotisme seharusnya dilihat dari perspektif sejarah perkembangan tradisi, budaya dan politik manusia.

Hubungan Patriotisme dengan Ideologi Negara

Bagaimanapun yang sangat jelas konsep patriotisme itu selalunya berkaitan rapat dengan ideologi yang menjadi teras kepada sesebuah negara, malah boleh dikatakan inilah yang menjadi ciri utama dalam perkembangan patriotisme di Barat. Ideologi sesebuah negara itu kemudiannya dipupuk dalam masyarakat dengan pelbagai cara sama ada melalui simbol, slogan, kempen dan lain-lain. Dalam konteks ini sudah pasti mereka yang menjadi penafsir yang utama kepada patriotisme ialah pemimpin utama sesebuah negara. Dalam sesebuah negara despotisme atau diktator, tafsiran mereka ini kemudiannya dipaksakan kepada masyarakat untuk diterima tanpa soal. Situasi yang seperti ini berlaku semasa kebangkitan negara-negara komunis sehingga rakyat dipaksa berkorban atas nama patriotisme.

Disebabkan konsep patriotisme tidak mempunyai suatu pengertian yang mutlak atau tuntas, maka  seringkali tafsiran pemimpin tentang patriotisme dianggap sebagai tafsiran yang patut diterima. Pemimpin selalu melihat merekalah orang pertama yang mempertahankan ideologi negara maka merekalah yang saharusnya menentukan kehendak sebenar patriotisme. Bagi golongan pemimpin, patriotisme itu adalah mentaati kepimpinan yang secara tidak langsung merupakan ketaatan kepada ideologi negara. Mereka yang tidak bersetuju dengan pemimpin seringkali dianggap sebagai golongan yang tidak patriotik dan pengkhianat. Konsep patriotisme seperti ini telah menular kepada negara-negara yang dikatakan demokrasi dan liberal. Dalam perang yang dilancarkan oleh Amerika ke atas Iraq, George W. Bush telah menggunakan pendekatan yang sama dengan menganggap mereka yang menentang perang tersebut sebagai tidak patriotik.

Patriotisme Buta (Blind Patriotism)

Bekas pemimpin Perancis, Charles De Gaulle pernah menyatakan bahawa “patriotisme ialah mengutamakan kecintaan kepada negara lebih dahulu manakala nasionalisme mengutamakan kebencian kepada negara lain lebih dahulu”. Pandangan ini agak menarik kerana cuba menggambarkan wujudnya suatu semangat yang semacam patriotisme tetapi sebenarnya ‘patriotisme buta’. Tidak dapat dinafikan bahawa cintakan kepada negara adalah sesuatu yang positif tetapi sekiranya kita mendahulukan semangat bermusuh dengan orang lain maka ia merupakan sesuatu yang negatif. Sikap negatif yang seperti inilah yang selalu disebut ‘Patriotisme Buta’. Sepanjang sejarah Eropah kejadian konflik yang berpanjangan mempunyai hubungkait dengan kepimpinan yang selalu meniupkan semangat patriotisme buta.

Sekiranya kita menyorot kepada sejarah bangsa Eropah yang diakui sendiri oleh sejarawan mereka, sikap suka mendominasikan orang lain (jingoism) telah menjadi darah-daging mereka. Sikap inilah yang telah mencetuskan Perang Salib ke atas masyarakat Islam, penjajahan seluruh manusia yang bukan berkulit putih dan lain-lain. Bagaimanapun untuk membenarkan tindakan mereka, pemimpin-pemimpin bangsa Eropah meniupkan semangat memusuhi bangsa lain dan menganggap ini adalah sebagai patriotisme. Sebenarnya ini bukanlah hakikat patriotisme iaitu dengan menindas bangsa lain, mengenepikan keadilan, melakukan kezaliman sesama manusia, menolak kebenaran dan mengikis naluri kemanusiaan. Semangat dan sikap seperti ini adalah disebut patriotisme buta.

Patriotisme yang celik atau ‘celik sivik’ sebenarnya seperti apa yang dibangkitkan oleh Plato, ahli falsafah kenegaraan Yunani yang agung iaitu menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman sesama manusia. Perkara inilah yang menjadi intipati karya Plato yang terkenal dalam persoalan kenegaraan bertajuk ‘Republic’ iaitu buah tangannya yang ditulis kerana kecewa dengan hukuman mati yang dijatuhkan kepada gurunya Socrates. Menyedari hakikat tersebut, patriotisme yang sebenar adalah untuk mewujudkan keharmonian sesama manusia, melakukan keadilan dan menegah kezaliman. Semangat mencintai negara dan bangsa yang ditiupkan adalah untuk mengimbangi kecenderungan negatif yang mungkin terdapat pada negara dan bangsa lain bukannya untuk memulakan permusuhan.

Selain daripada itu, Patriotisme yang sebenar juga bukan bermaksud seseorang itu merelakan negara atau bangsanya mencabul dan menzalimi orang lain sebagaimana pernah disebut oleh warga Amerika dalam akhbar The Chronicle; “Sekiranya dengan tidak menyokong perang ke atas Iraq, membunuh orang awam dan memusnahkan harta mereka dianggap tidak patriotik, maka saya rela dikatakan sedemikian”. Secara kesimpulannya, boleh disebut bahawa patriotisme sebenar adalah bersifat positif dengan mengutamakan kebenaran, keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan, manakala patriotisme buta pula ialah bersifat negatif dengan mendahulukan kebatilan, kezaliman, diskriminasi dan penindasan.

Patriotisme dan Islam

Dalam konteks Islam patriotisme sebenarnya merujuk kepada semangat Jihad di jalan Allah. Bagaimanapun jihad bukanlah merujuk kepada satu kepentingan yang sempit tetapi meninggikan kalimah Allah yang kepentingannya lebih sejagat. Jihad dalam konteks ini adalah untuk menegakkan peradaban manusia seluruhnya yang diredhai Allah. Perjuangan yang seumpama ini memerlukan semangat kental yang ditanam dalam diri setiap anggota masyarakat. Selain daripada itu, setiap anggota masyarakat dipupuk untuk mendahulukan kepentingan masyarakat berbanding kepentingan diri sebagai manifestasi daripada semangat pengorbanan (tadhiyah) yang tinggi. Kesemua usaha yang dilakukan dalam membangunkan peradaban manusia seharusnya berterusan yang mungkin melibatkan silih berganti antara generasi.

Perkataan jihad berasal daripada perkataan ‘jahada’ dalam bahasa Arab yang bermaksud melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Dari segi pengertiannya yang sebenar di sisi Islam ialah usaha yang bersungguh-sungguh sehingga mengorbankan kepentingan peribadi demi untuk meninggikan kalimah Allah berlandaskan ketentuan syara’. Menurut al-Razi, jihad ialah penggembelingan tenaga oleh umat Islam bagi membantu menegakkan Islam, kestabilan kehidupan dan keutuhan masyarakat. Selain daripada kelima-lima Rukun Islam, jihad merupakan satu kefarduan yang sangat dituntut kerana melalui jihadlah umat Islam akan dipandang mulia dan terhormat. Sekiranya dilihat dari perspektif yang lebih luas, jihad merupakan asas kepada tertegaknya kehidupan berperadaban menurut Islam. Peradaban Islam sebenarnya merujuk kepada sesebuah masyarakat yang berjaya memasakkan mabadi’ (prinsip) Islam dalam kehidupan serta melaksanakan manhaj (sistem) Islam sebagai cara hidup mereka.

Masyarakat yang seperti inilah yang telah dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w selepas baginda berhijrah ke Madinah. Kesemuanya ini memerlukan penggembelingan tenaga yang bersungguh-sungguh yang dinamakannya sebagai ‘jihad’. Lebih daripada itu, jihad juga boleh dilihat sebagai daya ketahanan yang memastikan kelangsungan peradaban Islam. Masyarakat yang menghayati konsep jihad akan sentiasa memastikan faktor-faktor yang boleh memusnahkan peradaban seperti yang dikemukakan sebelum ini, tidak dibiarkan berleluasa di samping terus berusaha untuk memajukan kehidupan menurut ketentuan Islam. Setiap anggota masyarakat Islam akan saling pesan-memesan untuk keharmonian bersama. Segala aspek ini terangkum dalam konsep Jihad sekiranya dilihat dari perspektif Islam yang luas dan lengkap.

Para ilmuan Islam telah menghuraikan konsep Jihad seumpama ini dalam buku-buku mereka berteraskan kepada sumber al-Quran dan al-Sunnah. Salah seorang daripada mereka ialah Ibn Qayyim al-Jauziah yang telah membahagi Jihad kepada empat kategori:
  • Jihad melawan hawa nafsu, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh untuk membaiki peribadi dengan memupuk nilai-nilai terpuji seperti jujur, rajin berusaha, mencintai ilmu dan berani, serta menghindarkan nilai-nilai terkeji seperti khianat, malas, melakukan perkara lagho dan bacul.
  • Jihad melawan syaitan, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh-sungguh untuk menghapuskan hasutan syaitan yang mendorong manusia melakukan perkara-perkara yang melampaui batas Allah (taghut).
  • Jihad melawan golongan munafik, iaitu merujuk kepada usaha yang bersungguh untuk menentang golongan ‘musuh dalam selimut’. Termasuk juga dalam kategori ini ialah usaha yang bersungguh-sungguh untuk menegakkan kebenaran dan menenggelamkan kebatilan, menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran serta menuntut keadilan dan mengenepikan kezaliman.
  • Jihad melawan tentera-tentera musuh, iaitu merujuk kepada jihad memikul senjata bagi menghadapi tentera-tentera musuh yang mengancam kestabilan yang secara langsung boleh memusnahkan sesebuah peradaban.
Keempat-empat kategori ini pada hakikatnya akan berlaku di sepanjang zaman meskipun dalam wajah dan bentuk yang berlainan. Menyedari hakikat tersebut, masyarakat yang berperadaban seharusnya dari masa ke semasa menanamkan semangat perjuangan dalam setiap peribadi supaya peradaban yang dibina akan sentiasa diperkukuh dan dipertahankan. Bagi mencapai perkara tersebut segala persediaan dalam bentuk keilmuan, perekonomian, pemuafakatan dan persenjataan seharusnya disempurnakan.

Konsep jihad yang diutarakan ini seharusnya dilihat dari kacamata yang positif, iaitu bertujuan untuk mewujudkan perdamaian dan keseimbangan bukannya perbalahan dan melampau. Melalui semangat perjuangan, pemujaan kepada nafsu, perkara-perkara yang melampaui batas agama, kekejaman atau penindasan, pencabulan hak dan serangan musuh dapat dipatahkan atau dilenyapkan. Sekiranya tiada penghayatan konsep perjuangan kesemua perkara negatif tersebut akan bermaharajalela kerana tiada lagi kuasa pengimbang seterusnya terhapuslah keharmonian dan kesaksamaan dalam kehidupan sejagat.

Biodata Penulis

Dr. Mohd Zuhdi bin Marzuki dilahirkan ada 26 Julai 1970 di Slim River Perak, bandar yang kecil tempat bersemaraknya kebangkitan pejuang Melayu Islam seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ahmad Boestamam. Di dalam gerakan Islam Parti Islam SeMalaysia (PAS), beliau merupakan Pengarah Penyelidikan PAS Pusat (PPP). Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia. Bergiat dalam kegiatan akademik dan dakwah Islamiyah dalam usaha mewujudkan sebuah kehidupan dunia yang diredhai oleh Allah.

Abdel Fattah al-Sisi Tidak Mendapat Mandat Rakyat Mesir

$
0
0

Lajnah Antarabangsa Pemuda PAS Malaysia (LA PPM) memandang sinis kemenangan Abdul Fattah al Sisi dalam Pilihan Raya Presiden Mesir semalam. LA PPM menganggap kemenangan beliau sebagai tidak mutlak kerana melakukan pelbagai penipuan selain kezaliman terhadap rakyat Mesir.

Apa yang dikesali, dalam keadaan penolakan rakyat yang memboikot Pilihan Raya Presiden Mesir, rejim al Sisi telah melakukan pembohongan dengan melanjutkan tempoh pengundian selama sehari selepas jumlah pengundi didapati kurang daripada 40 peratus. 92 peratus undian yang diperolehinya semalam bukanlah sesuatu yang membanggakan kerana ia hasil daripada penipuan, pemaksaan dan juga ugutan terhadap rakyat negara itu. Undi rosak yang berjumlah 1.07 juta menggambarkan bahawa rakyat Mesir tidak mahu mengangkat Al Sisi sebagai pemimpin sebenar. 

Sikap sebenar rakyat Mesir terhadap beliau adalah mesej jelas bahawa rakyat Mesir menolak pemerintahan beliau sebagai Presiden dan beliau perlu meletak jawatan sekiranya benar beliau seorang yang berwibawa dan mempunyai prinsip. Bahkan, Al Sisi sebenarnya tidak layak bertanding kerana pelbagai jenayah yang dilakukannya terhadap Presiden sah yang digulingkan, Mohammad Morsi, menjatuhkan hukuman mati terhadaqp pemimpin Ikhwan Muslimin serta membunuh ribuan rakyat pada tahun lepas. Sepatutnya beliau diadili, dihukum akibat kejahatannya itu serta tidak dibenarkan bertanding jawatan Presiden Mesir. Lebih memalukan lagi apabila beliau enggan membenarkan Presiden Morsi dibebaskan serta bertanding dengan beliau bagi jawatan Presiden.

Kemenangan Al Sisi melengkapkan sikap kediktatoran beliau yang mewarisi kezaliman Hosni Mubarak. Beliau sekarang adalah jelmaan Mubarak di era baharu dengan sikap dan tindakan yang sama terhaap rakyat Mesir. Beliau juga adalah Firaun zaman moden yang sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa dan memaksan rakyat tunduk kepada pemerintahannya. 

LA PPM berharap negara-negara Arab serta Malaysia tidak mengiktiraf kemenangan Al Sisi sebagai Presiden yang sah sehingga beliau membebaskan Mohammad Morsi dan mengembalikan pemerintahan yang digulingkan kepada Morsi. Hanya Morsi pemerintah yang diterima oleh rakyat Mesir sehinggalah Pilihan Raya Presiden Mesir baharu yang dijalankan dengan benar-benar bersih, telus dan diterima rakyat sebagai mandat mengangkat Presiden negara tersebut.


Biodata Penulis

Dr. Raja Ahmad Iskandar Al Hiss merupakan Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau pernah melanjutkan pelajaran di University of Manchester pada tahun 2003. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam dan dakwah sebenar di Malaysia.
Viewing all 310 articles
Browse latest View live