Quantcast
Channel: Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Malaysia
Viewing all 310 articles
Browse latest View live

Atheism Bertentangan Perlembagaan, Melanggar Rukun Negara

$
0
0

Saya tertarik untuk memberi komen terhadap kenyataan Peguam Parti Amanah Negara (PAN) berhubung isu Atheisme. Entah kenapa, rasa terpanggil untuk menjawab kenyataan beliau. Mungkin kerana beliau tidak habis-habis mewiridkan tentang PAS walaupun sudah berada di luar parti. Terima kasih atas ingatan yang tidak pernah lekang terhadap PAS!

Atheism merupakan fahaman atau doktrin yang tidak mempercayai kewujudan tuhan. Ia bukan satu agama sepertimana yang difahami oleh Peguam PAN. Boleh rujuk “Oxford Dictionaries” berkenaan istilah Atheism. Secara lebih spesifik, boleh buka “The Oxford Handbook of Atheism”. Mereka tidak menerangkan Atheism sebagai satu agama. Apakah ada rujukan akademik tertentu yang menyatakan Atheism sebagai agama? Saya tidak tahu bentuk rujukan bagaimanakah yang digunapakai oleh beliau sehingga membelakangkan rujukan akademik seperti di atas.

Sebagaimana yang disebutkan, Atheism adalah kepercayaan yang menolak kewujudan tuhan. Secara etimologinya, perkataan “atheism” berasal daripada perkataan Greek atheos; “a” bermaksud tanpa dan “theos” bermaksud tuhan-tuhan. Lawan bagi ateisme adalah teisme iaitu fahaman yang mempercayai dan mengimani akan wujudnya tuhan. Samada Atheisme atau Theisme, kedua-duanya adalah doktrin atau fahaman, bukan agama. Mungkin PAN terkeliru dari sudut ini.

Mempercayai ketidakwujudan tuhan adalah bercanggah dengan rukun negara. Rukun negara pertama adalah “Kepercayaan Kepada Tuhan”. Kedudukan rukun negara adalah sangat tinggi. Banyak negara dunia hari ini yang menjunjung demokrasi telah meletakkan ikrar rakyat sebagai mukaddimah (preamble) kepada perlembagaan mereka. Malah, ia dianggap rujukan bagi perlembagaan. Sebagai seorang peguam, beliau perlu peka dalam perkara ini.

Rukun Negara diperkenalkan pada tahun 1970, selepas tragedi hitam 13 Mei 1969 yang menyaksikan perpaduan rakyat Malaysia teruji dengan begitu hebat. Justeru Rukun Negara adalah bagi mengembalikan perpaduan antara rakyat berbilang agama dan kaum. Sebarang tindakan yang menyalahi Rukun Negara boleh diibaratkan sebagai mencabar perpaduan negara yang telah menjadi ikrar seluruh rakyat negara berdaulat ini.

Peguam PAN berhujah dengan artikel 11 perlembagaan yang menyatakan tentang kebebasan beragama. Beliau menyamakan Atheism sebagai agama. Dan beliau juga memutarbelit, kononnya jika Atheism bukan agama, maka tidak ada hak untuk menghalang Atheism disebarkan kepada orang Islam kerana undang-undang hanya melarang agama sahaja disebarkan kepada orang Islam.

Bagaimana beliau membaca perlembagaan saya pun tidak faham. Macam Bani Israel juga baca kitab separuh dan tinggal separuh. Di dalam fasal 4 artikel yang sama, dinyatakan bahawa “undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa DOKTRIN atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”. Nyata Atheism adalah satu doktrin, dan perlembagaan membenarkan sebarang doktrin dihalang daripada disebarkan kepada penganut agama Islam.

Atheism bukan sahaja mencabar kedudukan Islam, malah akan turut mencabar kepercayaan Budhha, Hindu, Kristian dan berbagai anutan agama bertuhan yang ada di Malaysia. Ia boleh membawa kepada krisis agama yang tidak baik untuk negara. Justeru amat wajar untuk fahaman ini dibendung.

Bertepatan dengan syariat Islam, juga selari dengan Rukun Negara pertama iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, juga mengambil semangat perlembagaan negara dan juga kontrak sosial, kehidupan beragama dijadikan salah satu prinsip dalam pelan pentadbiran negara jangka panjang yang dikenali sebagai Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051). Ianya sebagai asas kepada kestabilan dan keharmonian antara kaum dan negara. Tanpa menafikan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana yang dinyatakam di dalam perlembagaan, agama lain juga perlu diraikan sebagaimana kontrak sosial yang dipersetujui semasa era pembentukan negara dahulu.

Secara falsafahnya, seseorang yang percaya kepada agama, mereka akan percaya wujudnya tuhan dan kuasa ghaib yang tinggi. Wujudnya balasan baik dan buruk dan wujudnya pemantau yang akan memerhatikan tindak tanduk mereka di atas dunia. Justeru kepercayaan beragama akan dapat menjaga tingkah laku individu di mana jua mereka berada kerana mereka tahu mereka diawasi oleh kuasa tertentu yang berkuasa melakukan apa sahaja kepada mereka. Kesimpulannya, beragama akan lebih melahirkan masyarakat yang tinggi moraliti berbanding mereka yang tidak.

Kita dapat melihat kejayaan Malaysia membanteras gejala tidak bermoral seperti pesta arak kerana rakyat masih kuat berpegang kepada agama. Tidak ada mana-mana individu yang memiliki akal yamg waras boleh menerima bahawa meminum minuman keras adalah tindakan yang bermoral. Bahkan tidak ada mana-mana agama yang mengajak kepada meminum minuman keras. Malah terdapat agama lain selain Islam yang turut menegah perbuatan meminum minuman keras.

Malangnya Atheism tidak pernah menyentuh perkara berkaitan ini. Bagi mereka, individu bebas melakukan apa sahaja asalkan tidak mengganggu manusia lain. Barah Atheism bakal menghapuskan bukan sahaja agama, malah juga budaya dan adat ketimuran.

Uniknya Malaysia, walaupun memiliki berbagai kaum dan agama, tetapi masih mampu menjaga keharmonian dan kestabilan. Rahsianya adalah undang-undang yang adil, meletakkan Islam sebagai agama rasmi sesuai dengan majoriti rakyat, dalam masa yang sama meraikan kepercayaan agama lain untuk bebas diamalkan.

Alhamdulillah. Sejak merdeka, belum pernah timbul isu penindasan etnik di mana-mana tempat. Walaupun beberapa kali percubaan untik mencetuskan ketegangan dilakukan, tetapi rakyat tidak mudah melatah dan bertoleransi demi menjaga keutuhan perpaduan. Justeru Atheism perlu ditolak sebelum merebak dengan lebuh dahsyat.

Kita amat bimbang golongan Atheism telah menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai kuda tunggangan untuk menyebar luaskan fahaman mereka di Malaysia. Sebelum ini, pemimpin PH antara yang lantang membantah tindakan pihak berkuasa membatalkan pesta arak di ibukota. Mereka juga banyak bercakap mengenai kebebasan individu termasuk kebebasan beragama. Kini sampai ke tahap kebebasan untuk tidak beragama pula.

PH kini didominasi oleh DAP. DAP pula didominasi oleh pemimpin Kristian Evangelis. Mengikut kepercayaan Evangelisme, mereka bercita-cita untuk menubuhkan entiti politik (baca:negara) yang beragamakan Kristian. Perkara ini sudah tentu akan menggugat kestabilan kerana bukan sahaja majoriti rakyat beragama Islam, malah kristian di Malaysia tidak sampai 10%, itupun bukan semuanya Evangelis!

Mungkin evangelis antarabangsa juga menunggangi PH bagi mencapai matlamatnya.

Saya berharap ahli-ahli PAN dapat berfikir tentang akidah sebagai seorang Islam. Fahami akan batas-batas iman dan kufur sebelum berkata-kata. Dan ingatlah hidup ini hanya sementara dan teramat singkat. Hitunglah sebaiknya agar tidak rugi di akhirat kelak.

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M.Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau merupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ.

Hubungan Intim Arab Saudi dan Israel

$
0
0

Beberapa media Arab mendedahkan hubungan terbuka dan sulit secara intim di antara Arab dan Israel. Dikatakan tujuannya ialah keselamatan serantau Asia Barat. Namun fikirkan hujahnya, adakah bahaya Iran dan pengaruh Syiah terhadap dunia Sunni atau menjaga keselamatan Israel?

Semua media yang dikuasai oleh kerajaan di serantau Asia Barat menjadikan bahaya Syiah dan Iran sebagai noktah yang satu dan disokong pula oleh media Israel. Adapun gerakan menentang Israel seperti Hamas, Tanzim Jihad daripada Sunni dan Hizbullah daripada Syiah semuanya dilabelkan pengganas. Marilah berfikir dan mengkaji terlebih dahulu dengan bijak, sedar dan insaf sebelum membuat keputusan.

Kumpulan Syiah sudah wujud sejak zaman awal Islam, kerana kekhilafan berhubung masalah perlantikan khalifah selepas wafatnya Rasulullah ﷺ.

Pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, pelantikan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali radhiallahu anhum diterima secara sepakat oleh para ulama’ muktabar daripada semua mazhab, sehingga bersatu mempertahankan Islam, menegakkannya dan menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk dunia.

Namun, ia dihangatkan semula pada zaman Umawiyah dan Abbasiyah apabila platform Ahli Sunnah diambil oleh para khalifah, khususnya yang berlaku zalim. Pertelingkahan politik berkenaan calon khalifah yang semuanya sudah meninggal dunia dinyalakan semula pada zaman mutakhir.

Ahli al-Bayt menjadi sasaran buruan pemerintah tanpa mengira Sunni, Syiah atau Khawarij semata-mata kerana pengaruhnya dikira ancaman kepada khalifah yang ada. Para ulama’ pula ada yang beristiqamah dan ada yang hanyut. Namun, semua ulama’ dan ketua madrasah mazhab khususnya Ahli Sunnah tidak menyokong khalifah yang zalim dan bersama Ahli al-Bayt, padahal mereka bukan Syiah. Semuanya melaknat peristiwa pembunuhan Saidina Hussain radhiallahu anhu, cucu Baginda Nabi  .

Ada kalangan yang dizalimi sehingga dibunuh seperti Abdullah bin al-Zubayr, dan di kalangan para sahabat dan kalangan Tabie’in seperti Sa’id bin Jubayr dan lain-lain. Ada yang dipenjarakan seperti Imam Abu Hanifah. Di sana ramai kalangan ulama Ahli al-Bayt bersama dengan ulama Ahlu Sunnah turut menjadi sasaran pemerintah pada zamannya seperti Imam Ja’afar al-Sadiq. Ada juga kalangan ulama’ mujtahid yang selepasnya seperti pengikut Sa’id bin Jubayr dan lain-lain yang dibunuh oleh khalifah yang zalim, tiba-tiba pengikutnya disenaraikan kumpulan Khawarij oleh kerajaan pada zamannya dengan sebab kepentingan politik, bukan hukum syariat.

Walaupun mazhab politik dalam Islam ini akhirnya mempengaruhi pengajian aqidah, feqah dan tasawuf sehingga berkhilaf pula di dalamnya, serta ada yang melahirkan banyak perkara bida’ah yang wujud daripada semua mazhab. Namun, para ulama mengumpulkan semua mazhab di dalam kitab-kitab yang dikarang supaya dikaji mana yang kuat hujahnya dan mana yang ditolak berpandukan sumber hukum Islam yang sahih berpandukan al-Quran dan Sunnah, serta kaedah sumber kajian yang lain secara ijtihad yang adil. Peranan ini adalah tugas para ulama semua mazhab yang boleh dilakukan dengan mudah tanpa campur tangan kerajaan yang tidak istiqamah (konsisten).

Semuanya adalah perkara rumahtangga umat Islam yang tidak boleh diizinkan campur tangan asing, khususnya kalangan musuh Islam yang nyata tidak ikhlas terhadap umat ini. Langkah awal OIC yang menubuhkan kumpulan pemikir daripada kalangan para ulama muktabar sangat baik dengan syarat jangan diganggu oleh pengaruh politik negara yang tidak sihat.

Sila kembali kepada sejarah penjajahan Barat yang menggunakan Syarif Husain sebagai Raja Hijjaz (termasuk Makkah dan Madinah) supaya mengisytiharkan Revolusi Agung Arab di Tanah Suci ini pada tahun 1916, yang sepatutnya tidak berulang lagi kerana membawa celaka yang panjang ke atas umat Islam.

Kedatangan Presiden Donald Trump ke Arab Saudi dan susulannya menubuhkan kumpulan negara Arab dan Islam, serta dilakukan perubahan struktur kerajaan Arab Saudi terkini dan disertakan pula penglibatan Israel secara terbuka yang mendukung gagasan untuk menghadapi bahaya yang dikatakan Syiah dan Iran, hendaklah difikirkan dengan bijak secara bebas dan ikhlas, khususnya hari ini dipalu gendang perang selepas Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri membuat kenyataan peletakan jawatannya. Persoalannya, mengapa di Riyadh bukannya di Beirut? 

Al-Quran mengajar umat Islam supaya sentiasa bersama Kitab Allah ini dan Rasul yang diutuskan bersamanya. Al-Quran mengesahkan walaupun Nabi Musa dan Harun alaihumassalam daripada bangsa Yahudi tetapi Allah melantik mereka menjadi Rasul bersama Kitab Allah bernama Taurat. Maka Allah memerintahkan supaya beriman kepada kitab Taurat dan Rasul-Nya walaupun daripada bangsa Yahudi dan menolak Firaun Mesir yang kafir laknat walaupun kelahiran Mesir di bumi al-Azhar yang menjadi pusat ilmu Islam kini kerana Firaun menolak Rasul dan Islam. 

Begitulah Allah mewajibkan beriman kepada al-Quran dan Rasulullah ﷺ bukan kerana bangsa Arab dan Bumi Makkah yang suci dan Batu Kaabahnya. Allah menolak Abu Jahal dan Abu Lahab kerana mereka menolak al-Quran dan Rasulullah ﷺ walaupun mereka dilahirkan di Makkah dan termasuk daripada keluarga Ahli al-Bayt.

Kini Israel ditubuhkan bagi menegakkan negara Haram Israel yang merupakan agenda Yahudi Zionis ke arah menakluk dunia di atas nama keagungan bangsa Yahudi, bukan kitab Taurat daripada Allah dan Islam yang sebenar. Berbeza dengan negara yang dipimpin oleh Nabi Sulaiman alaihissalam yang dibanggakan oleh bangsa Yahudi kini, sedangkan mereka bukannya menegakkan Islam warisan Nabi Sulaiman, sepertimana dinyatakan dalam perutusannya yang disebut di dalam al-Quran:
إِنَّهُ مِن سُلَيْمَانَ وَإِنَّهُ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. أَلاَّ تَعْلُوا عَلَيَّ وَأْتُونِي مُسْلِمِينَ
“Sesungguhnya surat itu daripada Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan Islam (menyerah diri, beriman dan mematuhi ajaran agama Allah).” (Surah al-Naml: 30-31)

Adakah bunga Perang Dunia Ketiga dinyalakan di Makkah sepertimana perisytiharan Revolusi Arab pada tahun 1916 oleh Syarif Husain di Makkah yang mencetuskan Perang Dunia Pertama yang telah meranapkan kuasa Islam?

Apakah yang dilakukan ini kerana sebenarnya bahaya Syiah dan Iran? atau sebenarnya kerana keselamatan Israel yang menjadi kubu paling hadapan menghadapi kebangkitan semula umat Islam?

Saya tidak boleh menerima alasan bahaya Syiah, hujahnya kerana Sana’a di Yaman kini sudah dikuasai oleh mereka. Saya tidak lupa betapa Arab Saudi menyokong kumpulan Syiah ini sejak tahun 1961 sehingga diubah pendirian hari ini dengan menentangnya selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyelar Amerika di hadapan Kongresnya setelah kumpulan Syiah menawan Sana’a, dan Saudi terus melakukan perisytiharan perang ke atas Yaman di Washington, bukannya di Riyadh. Barangkali mengambil contoh Perdana Menteri Lubnan mengisytiharkan peletakan jawatannya di Riyadh, bukannya di Beirut.

Saya tetap kembali kepada al-Quran walaupun raja yang menjadi khadam dua Tanah Haram mengadakan hubungan intim dengan Israel bersama Amerika Syarikat kerana saya tidak beriman kepada Batu Kaabah tetapi beriman kepada Allah.

Saya mendukung gabungan Turki, Iran dan Rusia, serta Qatar yang sudah beralih kecenderungan kepadanya bersama beberapa negara Arab yang lain tanpa mempedulikan kebanyakan negara teluk. Malah Mesir menunjukkan kegoyangan pendiriannya walaupun pernah bersama Israel.

Turki menunjukkan perubahannya daripada sekular dan bersekutu dengan Barat dan Israel kepada ke arah Islam. Iran pula menunjukkan perubahan kerajaannya yang tidak terikat dengan Feqah Syiah yang fanatik dalam pemerintahannya kepada sistem Islam yang demokratik yang mereka sebut Wilayah al-Faqeh. Sedangkan negara Arab terus berlindung dengan Sunni yang paling Salafinya, tetapi berwajahkan diktator yang tidak ada kaitan dengan Sunni. Adapun Rusia menunjukkan polisi yang tidak bersifat Islamofobia mengikut agenda Amerika dan sekutunya.    

Apakah alasannya yang kita wajib bersama kumpulan Islam Hamas, Jihad daripada Sunni dan Hizbullah daripada Syiah yang dijadikan kambing-kambing hitam yang hendak dikorbankan dengan mudah? Marilah kita bersatu menghadapi Israel dan sekutunya terlebih dahulu, kemudian selesaikan isu Sunni dan Syiah secara dalaman dan ukhuwwah dalam satu keluarga Islam dalam perkara rukun dan asas, walaupun berkhilaf cabangnya.

Allah juga mendedahkan bahawa kumpulan Yahudi-lah yang mencetuskan api peperangan dunia dan Allah tidak mengizinkannya marak sehingga kemuncak. 

Firman Allah:
وَقَالَتِ الْيَهُودُ يَدُ اللَّهِ مَغْلُولَةٌ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُواْ بِمَا قَالُواْ بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيْفَ يَشَاء وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم مَّا أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ طُغْيَانًا وَكُفْرًا وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ كُلَّمَا أَوْقَدُواْ نَارًا لِّلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا وَاللَّهُ لاَ يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ. وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْكِتَابِ آمَنُواْ وَاتَّقَوْا لَكَفَّرْنَا عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخَلْنَاهُمْ جَنَّاتِ النَّعِيمِ. وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُواْ التَّوْرَاةَ وَالإِنجِيلَ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْهِم مِّن رَّبِّهِمْ لأَكَلُواْ مِن فَوْقِهِمْ وَمِن تَحْتِ أَرْجُلِهِم مِّنْهُمْ أُمَّةٌ مُّقْتَصِدَةٌ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ سَاء مَا يَعْمَلُونَ
“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: Tangan Allah terbelenggu (bakhil, kikir), sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurnia-Nya luas melimpah-limpah). Dia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Dia kehendaki dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga Hari Kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan. Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertakwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah) dalam Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.” (Surah al-Ma’idah: 64-66)

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Jangan Padamkan Cahaya Islam

$
0
0

William Ewart Gladstone yang pernah menjadi Perdana Menteri British berulang kali di abad kesembilan belas, di zaman Queen Victoria (1809 – 1898), menyampaikan ucapan yang keras permusuhannya terhadap Islam dan umatnya, kerana kedegilan mereka menentang penjajah, walaupun kerajaan Islam sudah jatuh dan tanah airnya dipecah dan dijajah, rakyat diperhambakan dan hasil buminya dirompak, namun perjuangan mereka menentang penjajah terus marak.

Semangat umat Islam tidak mampu dihapuskan oleh kekuatan tentera yang bersenjata lebih canggih, walaupun kelengkapan umat Islam itu masih terkuno. Lantaran itu Gladstone berucap dalam Sidang Parlimen sambil memegang Kitab Suci al-Quran sambil menegaskan:
إننا لا نستطيع القضاء على الإسلام والمسلمين إلا بعد القضاء على ثلاثة أشياء: صلاة الجمعة، والحج، وهذا الكتاب
“Kita tidak mampu menghapuskan Islam dan penganutnya melainkan sekiranya kita boleh tangani (hapus) tiga perkara yang penting; Solat Jumaat, Ibadat Haji dan buku ini (Kitab Suci al-Quran).”

Kata-kata Gladstone itu disahut dengan beberapa sokongan;
مادام هذا الكتاب «القرآن» موجوداً فلن يكون هناك سلام في العالم
“Selama buku ini (al-Quran) wujud (diamalkan oleh umat Islam) maka selama-lamanya dunia tidak akan aman.”

ما دام هذا القرآن موجوداً في أيدي المسلمين فلن تستطيع أوروبا السيطرة على الشرق
“Selama al-Quran ini wujud (diamalkan) di tangan umat Islam maka selama-lamanya Eropah tidak menguasai masyarakat di arah Timur.”

Demikianlah sikap permusuhan kaum kafirin terhadap Islam dan penganutnya. Salah satu sasarannya ialah Kitab Suci al-Quran yang wajib diimani oleh setiap penganut Islam dan tetap memuliakannya walaupun mereka tidak tahu maknanya, termasuk kalangan yang buta huruf. Mereka tetap kasihkan al-Quran, memuliakan dan mempertahankannya.

Apa yang terpenting ialah bukan sahaja al-Quran bersifat mukjizat sebagai tanda kerasulan Nabi Akhir Zaman, tulisan dan hafazannya yang dipelihara, tetapi sebenarnya yang paling ditakuti ialah petunjuk Al-Quran kepada seluruh manusia, panduannya untuk menggunakan semua ilmu dengan betul dan memberi manfaat serta menolak mudarat apabila mengikut sempadan Allah Yang Maha mengetahui Lagi Maha Adil kepada semua dan Rahmat terhadap seluruh alam.

Petunjuk Al-Quran merangkumi ilmu wahyu daripada al-Quran secara langsung dan kebijaksanaan Sunnah Rasulullah ﷺ yang menunjukkan bagaimana beramal dengan al-Quran itu secara amali, memandu ilmu, akal, kajian dan pengalaman ke jalan yang betul untuk menjadi hamba Allah dan memakmurkan bumi dengan selamat mengikut kebijaksanaan Pencipta Alam.

Kitab Suci ini juga berjaya memandu ilmu, akal, kajian dan pengalaman dalam semua aspek kehidupan manusia bagi diri, keluarga dan masyarakat yang merangkumi seluruh aspek jasad, akal, roh, politik, ekonomi, sains dan teknologi dalam semua lapangannya. Petunjuknya dapat disaksikan apabila diamalkan keseluruhannya dengan sempurna, bukannya secara serpihan atau terpilih mengikut akal sahaja, tetapi beriman dan beribadat melalui semua cara hidup. Beriman dan beramal mengikut Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (Surah al-Baqarah: 208)

Al-Quran berjaya memandu generasi awal Islam daripada Makkah dan Madinah di tengah padang pasir yang tidak ada sumber kekayaan bersifat harta benda yang menjadi pemujaan semua ideologi ciptaan manusia bagi menegakkan negara dan memajukan bangsanya, sama ada kanan atau kiri. Generasi awal itu juga tidak ada ilmu yang menjadi asas membina tamadun kebendaan yang dibanggakan di seluruh dunia, kebanyakan mereka buta huruf.

Tiba-tiba generasi ini berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia di zamannya dan menguasai kekayaan dan ilmu duniawi sehingga mempengaruhi penduduk negara bertamadun dengan membina tamadun baru yang dinamakan Tamadun Islam berasaskan pembangunan manusia berpandukan al-Quran. Sehinggalah Islam menjadi kuasa besar tunggal yang paling berpengaruh di zaman keemasannya beberapa abad. Setiap bumi dan penduduk yang dilalui oleh Islam, sama ada yang dipaksa berperang kerana menghalang kedatangannya atau masuk secara dakwah dan perdagangan, tetap diterima oleh penduduknya sebagai penyelamat, bukannya penjajah.

Al-Quran memperkasakan bangsa yang menerimanya dan menganut Islam berpandukan al-Quran dan menolak penganutnya yang meninggalkan al-Quran, termasuk bangsa arab sendiri yang diwahyukan al-Quran dengan bahasa mereka terpaksa menjadi pengikut di belakang apabila meninggalkan petunjuk al-Quran. Ini dinyatakan oleh Firman Allah:
وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
“Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma bagi menegakkan Islam yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah), Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain (yang menegakkannya); setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.” (Surah Muhammad: 38)

Sebenarnya ilmu al-Quran untuk semua manusia, bukan dimonopoli oleh satu kaum sahaja. Maka Allah menjadikan bangsa yang silih berganti memimpin dunia Islam bersama petunjuk Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah. Ramai para ulama besar dan ilmuan selepas bangsa Arab, bukan lagi daripada bangsa arab. Sehinggalah umat Islam menghadapi zaman kelemahannya kerana meninggalkan al-Quran. Apabila petunjuknya dihakiskan, para ulama yang menyambung warisan Rasulullah ﷺ dipinggirkan oleh pemerintah yang bermaharajalela dengan kemewahan di zaman kemuncak berkuasa.

Sebenarnya begitulah adat pusingan dunia, berlakunya juga giliran kepada umat Islam apabila para pemerintahnya tergoda dengan tamadun barat yang muncul. Kemunduran umat Islam kerana meninggalkan ajarannya, adapun kejatuhan umat yang lain kerana kesesatan dan kelemahan ajarannya.

Pihak Barat yang bermusuh terhadap Islam secara melulu hanya mengambil kemajuan sains dan teknologi yang dimajukan. Kemuncaknya Revolusi Industri di Eropah tanpa agama, khususnya agamanya sendiri, akhirnya bergabung permusuhan para paderinya dan kerajaan terhadap Islam. Allah telah berfirman:
وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّاراً حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ فَاعْفُواْ وَاصْفَحُواْ حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Sebahagian besar Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana dengki yang (timbul) daripada diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 109)

Beginilah permusuhan mereka terhadap Islam kerana menolak petunjuk Islam dan kedegilan menentang petunjuknya yang menghalang hawa nafsu mereka yang mahukan perkara haram dalam segala aspek, khususnya kekuasaan politik dan kekayaan ekonomi yang boleh digunakan bagi memenuhi kemahuan nafsu semata-mata, sehingga agamawan mereka meminda Kitab Allah (Taurat dan Injil), kecuali segelintir sahaja yang beriman dan budiman yang dipinggirkan. Maka Allah juga memerintahkan supaya umat Islam lebih bersabar dan bersikap pemaaf terhadap mereka selagi mereka tidak menceroboh dan melampaui batas.

Kini kita menyaksikan tamadun barat berasaskan kemajuan sains dan teknologi tanpa petunjuk telah mengalami keruntuhannya yang merudum dengan tangan-tangan mereka sendiri, sehingga mencipta senjata pemusnah yang lebih ganas daripada binatang paling buas, membangunkan negara sehingga merosakkan alam sekitar dan mencipta bahan-bahan yang merosakkan jasad sendiri.

Benarlah firman Allah:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah ar-Rum: 41)

Namun Islam dan penganutnya pula yang menjadi sasaran, apabila keadaan terkini Barat mencipta Islamofobia yang disebarkan kepada kalangan mereka dan ada kalangan penganut Islam yang termakan pengaruhnya dan menjadi alat mereka.

Adapun agenda usaha menghapuskan al-Quran, bukan caranya mengharamkan kitabnya sehingga dibakar hangus dan dilarang membaca, hanya yang bodoh sahaja bertindak ganas. Mereka yang memahami sensitiviti penganut Islam tidak mungkin mengharamkan al-Quran secara langsung atau mengharamkan Solat Jumaat yang merukunkan khutbah atau mengharamkan Ibadat Haji yang berjaya mengumpulkan umat Islam daripada seluruh pelosok dunia, tetapi mereka menyerang melalui pengurusan, pendidikan, pelajaran dan media dengan tujuan untuk melemahkan keyakinan kepada al-Quran dan menghilangkan ilmunya seperti menolak Hadis, seterusnya menghakiskan amalannya.

Kita dapat menyaksikan kejayaan mereka sementara waktu melahirkan penyangak-penyangak di kalangan umat Islam sendiri selepas kemerdekaan. Ada kalangan yang menganggap tidak penting lagi kepada al-Quran kerana bertuhankan kemajuan sains dan teknologi yang mengodanya, kononnya tidak perlu ramai para ulama dan ahli qurra’ yang mendalami ilmu al-Quran dan Sunnah. Maka sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz menjadi sasaran, khususnya apabila mereka mendapati adanya kelemahan walaupun sedikit. Padahal mereka tahu betapa sekolah itu boleh bergerak dengan hanya sumbangan si miskin yang lebih banyak dan hanya segelintir kalangan kaya-raya memberi sumbangan.

Ada kalangan mereka berusaha mengisi Hari Jumaat dengan menghapuskan cuti supaya diisi dengan kesibukan, namun mereka boleh pula menukarkan cuti kepada Hari Ahad, kononnya kerana kepentingan hubungan ekonomi. Ada juga kalangan yang menyusahkan pengurusan para jemaah Haji di Jeddah bukannya di Kuala Lumpur yang sangat mudah, di mana layanan terhadap pelabur dan pelancong lebih dimudahkan daripada layanan terhadap tetamu Allah yang menunaikan Haji dan Umrah.

Mereka menggalakkan golongan yang boleh meragukan terhadap ajaran Islam dan memecahbelahkan umat Islam kerana perbezaan kaum dan mazhab yang menjadi masalah dalaman umat dengan menggunakan mereka yang boleh dipergunakan kerana bodohnya atau bebal dan jahat, serta bersedia menjadi khadam upahan dan kuda tunggangan.

Namun Allah telah menunaikan janjinya memelihara al-Quran dan pendukungnya dengan firman-Nya:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr: 9)

Di zaman penjajah dahulu betapa pengajian agama dibendung dan dikepung, namun umat Islam di kampung paling miskin berjaya membuka pusat pengajian agama dan al-Quran dengan sumbangan sesama mereka tanpa bantuan kerajaan penjajah pada masa itu. Dalam masa yang sama, penjajah membuka institusi pendidikan mengikut sistem dan agenda dan strategi yang diatur, sama ada aliran bahasa mereka, bahasa kebangsaan atau aliran agama Islam yang sengaja diwujudkan dengan cara dan matlamatnya tetap untuk melumpuhkan Islam dan penganutnya. Sehingga kita menyaksikan betapa penggunaan huruf al-Quran dalam Bahasa Ibunda di kalangan bangsa yang menganut Islam berjaya dihapuskan di kebanyakan negara umat Islam, bersama pencemaran bahasanya dan memahami Islam sekadar fardu ain yang sangat lemah.

Mempelajari al-Quran tanpa kemampuan materialistik dan serba kekurangan menunjukkan kebolehan Islam hidup bersama al-Quran dan kehaibatannya menyelesaikan masalah semasa yang sentiasa berubah walaupun Islam telah menunjukkan kegagalan semua ideologi dan teori yang lain, namun Islam juga dipersalahkan.

Kini kita sedang menyaksikan kesedaran di kalangan umat Islam sendiri yang ingin kembali semula kepada Islam sama ada golongan yang mengikuti pendidikan dan pengajian Islam secara langsung atau tidak langsung, termasuklah kalangan mereka yang diselam sedalam-dalamnya supaya lemas dalam sistem pendidikan dan pengajian barat, sehingga dijahilkan tentang Islam ataupun mereka yang berada di negara barat sendiri yang menyaksikan kemusnahan barat secara dekat.

Ulama terkenal al-Marhum Abu Hasan Ali al-Nadawi menegaskan dalam penulisannya, “...Bahawa Allah menunjukkan al-Quran adalah mukjizat termasuk cerita dan kisah yang dinyatakan, bukan sekadar cerita, tetapi petunjuk di sepanjang zaman. Apabila Allah menghancurkan kezaliman Firaun yang paling kejam dan zalim, sehingga membunuh setiap anak lelaki yang dilahirkan bagi menghalang kelahiran Nabi Musa A.S. yang diramalkan dengan izin Allah benarnya. Tiba-tiba yang hendak dihapuskan kelahirannya dijaga dan dibesarkan di dalam Istana Firaun. Kini penjajah yang mencipta kalangan umat Islam supaya menjadi alat dan perkakas mereka bagi menentang Islam, tiba-tiba muncul di dalam kilang mereka sendiri ramai kalangan yang menyalakan semula cahaya Islam...”

Inilah kenyataan firman Allah:
يُرِيدُونَ لِيُطْفِؤُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah al-Saff: 8)

Kini jumlah umat Islam di negara Barat makin meningkat, bukan sahaja kebanjiran pelarian yang berhijrah daripada negara yang sengaja dihuru-harakan. Bahkan fitnah Islamofobia yang dicipta oleh Barat telah menambah minat kalangan ilmuan Barat untuk mengkaji terjemahan al-Quran dan buku-buku ilmu Islam yang diterjemahkan, menyebabkan ada kalangan mereka yang telah menganut Islam dan mempertahankannya.

Maka golongan yang menghina Islam di sana sini, atau meremeh-temehkan pengajian Islam kerana bangunannya yang tidak sempurna, kemudahan asas yang tidak lengkap kerana kemiskinan yang sengaja dibiarkan atau pengajiannya sekadar di peringkat asas paling rendah, sedarlah bahawa semua yang bercakap itu hanya laksana serangga agas yang kecil yang menumpang najis binatang yang berkeliaran.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Memahami Konsep Ahli Kiblat

$
0
0

Keimanan kepada Allah tercermin dalam akidah yang lurus, bebas dari segala kesyirikan serta ibadahnya benar-benar berdasarkan perintah Allah dan tuntunan Rasulullah ﷺ. Dalam masa yang sama keimanan itu membentuk peribadi yang terpuji sehingga menjadi dasar dalam pergaulan kemasyarakatan. Tokoh Islam terkemuka di nusantara iaitu Hamka pernah diminta agar beliau mengimami solat jenazah Presiden Pertama Indonesia, Sukarno. Sebahagian pihak cuba melarang Hamka melaksanakan solat jenazah tersebut dengan dakwaan bahawa Sukarno itu munafik dan Allah menegah Rasulullah ﷺ melakukan solat ke atas orang munafik sebagaimana dalam Surah al-Taubah, ayat 84:
وَلاَ تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلاَ تَقُمْ عَلَىَ قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُواْ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُواْ وَهُمْ فَاسِقُونَ
“Dan janganlah sekali-kali kamu melaksanakan solat (jenazah) seseorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.”

Lantas Hamka menjawab akur dan sayu, “Rasulullah itu diberitahu siapakah di kalangan manusia yang munafik di sisi Allah, sedangkan aku pula tidak tahu apakah Sukarno itu benar-benar telah jatuh munafik secara hakikinya sehingga menjatuhkan dia kepada kekufuran ataupun tidak.”

Sejurus pendapatnya itu diutarakan, beliau pun mengajak jemaah melaksanakan solat jenazah Presiden Pertama Indonesia itu. Demikianlah sikap ulama yang soleh, mereka sedar bahawa label-label yang menggambarkan iman dan kufur seseorang itu merupakan hak prerogatif Allah. Ciri-ciri munafik yang disebutkan dalam al-Quran seharusnya membuatkan kita mengawasi diri dari perbuatan-perbuatan nifak, bukan digunakan untuk menyerang sesama Muslim dengan tudingan-tudingan bersifat “judgemental” yang berpaksikan kepada sangkaan, andaian apatah lagi kebencian.

Huzaifah al-Yamani radhiallahu anhu adalah salah seorang sahabat Rasulullah ﷺ yang digelar (صاحب سر رسول الله) “Penjaga Rahsia Rasulullah ﷺ”, kerana sungguhpun Huzaifah pernah dihebahkan Rasulullah ﷺ nama-nama orang munafik di zamannya, namun Huzaifah tidak pernah sama sekali membocorkan informasi tersebut meskipun beliau pernah didesak oleh Umar al-Khattab, walaupun ia mungkin boleh dijadikan alasan demi kemaslahatan masyarakat Islam tentang bahaya kaum munafik ketika itu.

Umar al-Khattab radhiallahu anhu yang ketika itu menjadi khalifah pula tidak pernah sama sekali memerintahkan umat Islam agar melaksanakan solat jenazah hanya jika Huzaifah melaksanakannya bersama-sama mereka. Belajarlah kita dari sikap insan-insan soleh ini.

Pernah di zaman Rasulullah ﷺ, seorang lelaki dihukum kerana meminum arak. Setelah selesai hukuman dijalankan lalu sebahagian kaum Muslimin ketika itu melemparkan kata-kata kepada lelaki yang telah dihukum tersebut, “Allah telah menghina kamu”.

Lalu Rasulullah ﷺ menegur perkataan tersebut:
لَا تَقُولُوا هَكَذَا لَا تُعِينُوا عَلَيْهِ الشَّيْطَانَ وَلَكِنْ قُوْلُوا: الّلهُمَّ اغْفِرلَهُ، الَّلهُمَّ ارْحَمْهُ
“Janganlah kamu berkata sedemikian kerana perbuatan itu seolah-olah kamu membantu saudara kamu kekal menuruti langkah syaitan. Akan tetapi doakanlah kepadanya, semoga Allah mengampunimu dan merahmatimu.” (Riwayat al-Bukhari)

Bagi kaum Muslimin, memahami kejahatan dan kesesatan termasuk hal dasar dalam masalah agama kerana setiap hari dalam solat kita wajib berdoa agar dijauhkan dari jalan orang-orang yang dimurkai Allah (الْمَغْضُوبِ) dan juga jalan orang-orang yang sesat (الضَّالِّينَ). Jalan yang sesat adalah jalan yang menyimpang dari jalan yang lurus. Bagaimanapun tanggungjawab seorang Muslim dalam menghadapi golongan-golongan yang tersasar ini adalah dengan melaksanakan jihad dan dakwah, sama ada menerusi teknologi persenjataan mahupun hujah ilmu, bukan hanyut dalam senario maki-hamun, kafir-mengkafir dan seumpamanya. Jihad dan dakwah inilah yang akan mengangkat martabat akhlak dan kemuliaan kita di sisi Allah Ta’ala sesuai dengan akidah yang kita imani.

Turunnya wahyu al-Quran kepada Nabi Muhammad ﷺ sebagai panduan beragama terangkum padanya persoalan akidah tauhid terhadap Allah Ta’ala. Menerusi wahyu inilah Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat sedikit demi sedikit hingga tertanam kukuh anutan akidah dalam diri masing-masing. Surah-surah Makkiyyah yang diturunkan sepanjang 13 tahun memuatkan persoalan akidah kepada Allah, meresap ke dalam jiwa para sahabat sehingga mereka mampu membangunkan diri untuk berhadapan arus jahiliyyah.

Fasa pertembungan antara iman dan kufur, iman dan nifaq, melalui fasa seterusnya yang lebih mencabar khususnya selepas kewafatan Rasulullah ﷺ. Kewafatan Rasulullah ﷺ telah menimbulkan fitnah perselisihan sebagai suatu ketetapan Allah (Sunnatullah) yang mesti ditempuhi oleh umat Islam dengan penuh hikmah dan keinsafan. Perselisihan bukanlah pilihan pertama dalam ajaran Islam kerana Islam sentiasa menganjurkan penyatuan dalam semua aspek. Walaupun pada mulanya berselisih, akhirnya umat Islam pasti boleh bersatu lantaran penyatuan itu dianjurkan al-Quran.

Kembali kepada Allah dan Rasul adalah kaedah utama menangani perselisihan tersebut. Ertinya perselisihan berlaku disebabkan ada kalangan umat Islam yang mengutamakan pendapat sendiri dan mengenepikan petunjuk Nabi ﷺ. Lanjutan hal itu timbullah perselisihan yang tidak berkesudahan. Tegasnya, perselisihan berpunca daripada sebahagian umat ini berpegang kepada nas yang ada sementara yang lain cuba mentakwilkan nas tersebut selaras dengan kehendak nafsu. Akibatnya, muncullah fenomena menuding tuduhan munafik, kafir dan sesat secara liar sesama masyarakat Muslim.

Idea dan budaya label-melabel sesama umat Islam ini berlanjutan sehingga kini kerana kurangnya keinsafan terhadap nasib yang pernah menimpa sejarah umat Islam terdahulu. Dalam kitab “Aqidah al-Thahawiyah” yang menjadi pegangan ulama salaf telah mengingatkan kita semua:
ولا ننزل أحدا منهم جنة ولا نارا، ولا نشهد عليهم بكفر ولا بشرك ولا بنفاق، ما لم يظهر منهم شيء من ذلك، ونذر سرائرهم إلى الله تعالى
“Kami tidak menentukan seseorang (dari kalangan ahli kiblat) itu masuk syurga (kerana amal baik) atau neraka (kerana amal maksiat), kami juga tidak menyatakan seseorang itu sebagai orang kafir, musyrik, atau munafik selama tidak kelihatan secara lahirnya mereka seperti itu, kerana itu kami menyerahkan urusan hati (yang tidak boleh ditafsirkan secara zahir) kepada Allah Ta’ala.”

Begitulah berhati-hatinya para ulama salaf menilai status keimanan orang lain. Apa yang nampak secara lahir bahawa mereka mendirikan solat, berpuasa Ramadhan, menunaikan zakat, melaksanakan haji maka cukuplah mereka dihukumi secara zahirnya sebagai Muslim. Maka, wajarlah hak dan kewajiban sebagai sesama Muslim terhadap mereka dipenuhi seperti menjawab salam, memenuhi jemputan, bertakziyah, mensolatkan jenazah dan menguburkan mereka. Masalah hati mereka, apakah ibadah mereka benar-benar kerana Allah itu hanya Dia yang tahu.

Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ صَلَّى صَلَاتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ الْمُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ فَلَا تُخْفِرُوا اللَّهَ فِي ذِمَّتِهِ
Siapa yang melaksanakan solat seperti solatnya kami, menghadap kiblat kami, dan memakan sembelihan kami, maka dia itu adalah Muslim yang menjadi tanggungan Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah kamu meremehkan Allah dalam tanggungannya itu (kerana dia adalah Muslim, baginya hak dan kewajiban seorang Muslim).” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini para ulama mengatakan bahawa seseorang itu masih dihukumi sebagai seorang Muslim walaupun mereka termasuk di kalangan ahli bida’ah dan ahli maksiat selama ia tidak mendustai kebenaran yang telah dibawa dalam perutusan Rasulullah ﷺ kepada umatnya. Sebagai contoh, jika ada orang mengatakan bahawa berzina dihalalkan Allah dalam keadaan dirinya menyedari bahawa hal itu suatu pendustaan terhadap Rasulullah ﷺ, maka hal itu adalah kekufuran kepada-Nya, tetapi hal tersebut berbeza dengan orang yang melakukan perzinaan namun masih meyakini bahawa berzina itu diharamkan dalam ajaran Islam. Orang seperti ini telah berbuat maksiat dan berdosa besar meskipun dia dihukum sebagai Muslim. Perkara ini menerbitkan suatu prinsip yang disebut sebagai:
لا تكفر أحدا من أهل القبلة

Apabila tuduhan kafir ini hendak dijatuhkan kepada individu tertentu yang disyaki, maka wajiblah terlebih dahulu menyelidiki kedudukan dan sikap orang yang disifatkan dengan hukuman ini. Umpamanya dengan cara bertemu, bertanya dan berbincang dengannya sendiri sehingga benar-benar terbukti hujah dan ternafi segala syubhat supaya tidak ada ruang yang membolehkan keputusan dianggap sebagai sebuah andaian atau sangkaan semata-mata.

Imam al-Ghazali rahimahullah juga telah mengingatkan kita semua dalam kitabnya “Bidayah al-Hidayah” berhubung perkara ini:
ولا تقطع بشهادتك على أحد من أهل القبلة بشرك أو كفر أو نفاق؛ فإن المطلع على السرائر هو الله تعالى، فلا تدخل بين العباد وبين الله تعالى، واعلم أنك يوم القيامة لا يقال لك: لِم لمَ تلعن فلانا، ولم سكت عنه؟ بل لو لم تعلن ابليس طول عمرك، ولم تشغل لسانك بذكره لم تسأل عنه ولم تطالب به يوم القيامة. وإذا لعنت أحدا من خلق الله تعالى طولبت به...
“Janganlah engkau menuduh syirik, kafir atau munafik kepada seseorang ahli kiblat (orang Islam) kerana yang mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati manusia hanyalah Allah Ta’ala. Jangan pula engkau ikut campur dalam urusan hamba-hamba Allah dengan Allah Ta’ala. Ketahuilah, bahawa pada hari kiamat kelak engkau tidak akan ditanya; Mengapa engkau tidak mahu mengutuk si fulan sekian-sekian? Mengapa engkau diam sahaja tentang dia? Bahkan seandainya engkau tidak pernah mengutuk Iblis pun sepanjang hidupmu, dan tidak menyebut tentangnya sekalipun, engkau tidak akan ditanya dan tidak akan dituntut oleh Allah nanti di hari kiamat. Tetapi jika engkau pernah mengutuk seseorang makhluk Allah, kelak kau akan dituntut (pertanggungjawabannya oleh Allah).”

Istilah ahli kiblat dalam penggunaan tajuk tulisan ini merujuk kepada kaum, puak atau kumpulan manusia yang menjadikan Kaabah sebagai simbol kiblat agung dalam pemikiran dan peribadatannya.

Kiblat menurut Ibnu al-Athir bermakna al-jihah (الجهة) atau arah, manakala Raghib al-Isfahani menjelaskan kiblat pada asalnya adalah nama bagi suatu keadaan yang kepadanya dihadapkan seperti duduk dan berdiri. Manakala pada takrifnya pula menjadi nama bagi tempat bertentangan yang dihadapkan kepadanya seperti dalam solat.

Ahli Kiblat adalah satu istilah dalam Ilmu Kalam. Ahli Kiblat dapat diertikan sebagai umat yang berpegang kepada akidah dan syariat Islam. Imam al-Thahawi menyebut ahli kiblat seperti berikut:
ونسمى أهل قبلتنا مسلمين مؤمنين، ما داموا بما جاء به النبي صلى الله عليه وسلم معترفين، وله بكل ما قاله وأخبر مصدقين
“Dan kita namakan Ahli Kiblat kita itu sebagai kaum Muslimin lagi Mukminin selama mereka mengiktiraf apa yang dibawa oleh Nabiserta membenarkan seluruh apa yang diucapkannya serta dikhabarkannya.”

Ahli Kiblat ini tidak boleh dihukumkan sebagai kafir walaupun mereka berlainan ikutan mazhab dan sokongan.

Biodata Penulis

Mohd Azmir bin Maideen mendapat pendidikan di Universiti Al Azhar, Fakulti Usuluddin Jabatan Dakwah wa Thaqafah Islamiyah, Kaherah. Pernah bertugas sebagai Pegawai Pembangunan dan Penyelidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Beliau memilih PAS sebagai platform perjuangan Islam di Malaysia

Memaknai Gelaran “Manusia Suci”

$
0
0

Inilah bahasa yang baru diistilahkan dan digunakan untuk memerli atau mengejek ketegasan sesiapa sahaja yang berpegang dengan ajaran Islam yang berdasarkan nas yang qati’e dan thabit di dalam al-Quran dan Hadis seperti PAS, yang tidak mahu dihanyutkan atau menerima perubahan mengikut selera kumpulan yang dinamakan Islam Liberal dan yang bersekongkol dengannya atau totok bukan Islamnya. Mereka mahu menjadikan Islam seperti agama yang ada ortodoks atau ideologi konservatif dengan tujuan untuk memancing undi pilihanraya.

Setelah mereka gagal meminda Undang-undang Tubuh PAS (Perlembagaan) dengan mahu meletakkan Majlis Syura Ulama sekadar menjadi penasihat yang tidak wajib dipatuhi, khususnya dalam perkara hukum yang thabit bercanggah dengan kemahuan akal fikiran manusia, demikian juga mereka termasuk yang menganggap dirinya sangat bijak.

Setelah mereka gagal dalam usaha meminda asas tersebut dan juga gagal mempengaruhi Muktamar PAS dan mengubah kepimpinan mengikut kemahuannya, lalu bertindak keluar daripada PAS dengan dukungan dan sokongan dalang-dalang di belakangnya.

Mereka juga gagal menolak PAS dari belakang supaya menyertai BN, di mana mereka juga sangat bernafsu menyertainya dengan cara menggunakan PAS menjadi tangganya, kerana mencari jalan mudah setelah menemui kebuntuan. BN pula tidak ada nafsu selera untuk menerima mereka.

Sebenarnya PAS hendak dijadikan “kambing hitam” untuk dikorbankan bagi pemujaan kemahuan nafsu mereka dengan segala cara yang terdahulu dan diusahakan sehingga kini. Daripada gerakan BERSIH pada namanya dan PAS berundur kerana jenamanya yang diragukan, diikuti pula susulannya menggunakan berbagai pendekatan dan jenama.

Setelah mereka gagal dengan segala umpan, diuar-uarkan PAS yang pelahap mahu menyertai BN, bukannya mereka. Sebenarnya perniagaan politik mereka tidak laris, kerana ditolak BN, ditolak PAS dan ada tanda-tanda awal ditolak rakyat dalam PRU akan datang, In-sya Allah.

Apabila mereka merasakan PAS menjadi penghalang kepada mereka untuk ke Putrajaya melalui pintu belakang dan mahu memecahkan pintu hadapan dengan PAS menjadi kapak atau tukulnya, maka PAS tetap menjadi sasaran serangannya melalui lisan dan tulisan, khususnya media sosial di langit terbuka tanpa sempadan yang mudah dipergunakan dan ramai tentera upahannya, walaupun PAS bukan parti kerajaan pusat dan kata mereka PAS sudah lemah, namun dihentam juga habis-habisan.

Apabila peluru fitnah PAS mendapat duit Perdana Menteri sebanyak 90 juta, yang mereka anggap boleh menembusi pengaruh PAS yang terus mara, In-sya Allah. Kini mereka menggunakan bahasa yang zahirnya pujian, tetapi hakikatnya perlian, tanpa mereka sedari betapa mereka buta al-Quran yang lebih bahaya daripada buta huruf.

Bahasa al-Quran menamakan perkataan kumpulan suci terhadap Para Anbiya’ dan pengikutnya yang berbai’ah dengan setia. Allah mengisahkan Nabi Lut alaihissalam dan pengikutnya yang menentang jahiliah aqidah dan keruntuhan akhlak melalui Firman-Nya:
وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلاَّ أَن قَالُواْ أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ
“Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri.” (Surah al-Aa’raf: 82)

Firman Allah:
۞فَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلاَّ أَن قَالُوا أَخْرِجُوا آلَ لُوطٍ مِّن قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ
“Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.” (Surah al-Naml: 56)

Kami sangat gembira apabila mereka mengambil perkataan yang dipakai oleh kaum Lut yang terkenal dengan jenis keruntuhan akhlak, sama ada sengaja atau tidak yang terserah kepada Allah.

Kalangan yang memahami Islam yang sebenar tidak meletakkan diri mereka suci, kerana mengetahui bahawa makhluk yang suci ialah Para Malaikat, Para Rasul dan Para Nabi.

Adapun yang lain termasuk para sahabat, para ulama, para wali dan orang-orang yang beriman tidak boleh melepaskan diri daripada ujian maksiat dan dosa, lalu mereka sentiasa bermuhasabah, membetulkan aqidah, memperbaiki amalan mengikut syariat dan akhlak yang mulia. Mereka sentiasa melakukan muhasabah diri, bertaubat, mengikuti setiap dosa dengan istighfar dan menambahkan amal yang soleh dengan sentiasa beristiqamah. Bagi menguatkan istiqamah, diadakan bai’ah.

Apabila seorang sahabat bernama Sufian bin Abdullah radhiallahu anhu bertanyakan Rasulullah ﷺ berkenaan dengan Islam yang terang dan nyata sehingga tidak keliru dan tidak bertanya lagi orang lain, khususnya setelah ketiadaan Rasulullah ﷺ, maka Baginda ﷺ bersabda:
قُلْ: آمَنْت بِاَللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
“Katakanlah aku beriman kepada Allah dan terus beristiqamah.” (Riwayat Muslim)

Terus bersama Islam, dengan beramal apa yang boleh diamalkan dan bercita-cita serta berjuang dengan apa yang tidak boleh diamalkan. Islam yang diambil secara yang sebenar daripada guru yang mursyid, walaupun menghadapi berbagai cabaran dan memakan masa yang panjang dan tidak diketahui penghujungnya.

Percayakan kepada janji Allah di dunia dan di akhirat. Kepercayaan kepada Allah ini tidak cukup dengan pengajian, usrah dan kata-kata, bahkan diikat lagi dengan bai’ah di hadapan Allah, bukannya di hadapan manusia yang menjadi pemimpin, berpandukan firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَن نَّكَثَ فَإِنَّمَا يَنكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya orang-orang yang memberi baiah (pengakuan taat setia) kepadamu (wahai Muhammaduntuk berjuang menegakkan Islam), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya).” (Surah al-Fath: 10)

Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan bai’ah (janji setianya), maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dibaiah (dijanjikannya) kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar.

Mereka yang berbaiah di hadapan Nabi Muhammad ﷺ ada yang mengerjakan maksiat dan dosa, bukannya suci. Lalu mereka bertaubat dan fadilat berbai’ah itu diharapkan menghilangkan dosa dengan meneruskan amal yang soleh dan perjuangan. Menyerah kepada Allah dengan harapan disucikan mereka daripada dosa yang menjadi kepunyaan Allah. Ada yang menyelewang menganggap bai’ah hanya cakap manusia yang boleh dipermainkan sewenang-wenangnya, maka hiduplah mereka dengan akibat di dunia sebelum menerima akibat di akhirat.

Amalan bai’ah dilakukan oleh para sahabat, tabi’en dan generasi yang menyambung perjuangan Islam yang bertali arus sehingga kini. Mereka yang berbaiah itu sangat takut di hadapan Allah, hanya dibatalkan bai’ah apabila ternyata pemimpinnya menentang hukum Allah yang nyata nasnya daripada Allah dan Rasul, bukan kerana berlainan pendapat dan pendekatannya sahaja kerana konsep ketaatan kepada berjamaah adalah wajib dengan syarat-syaratnya.

Mereka bersama Islam di sepanjang zaman tidaklah menganggap diri mereka suci murni daripada dosa dan maksiat kerana Allah berfirman:
فَلا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَى
“Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dialah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Najm: 32)

Mungkin mereka itu terpengaruh dengan konsep para sami yang menentukan kesucian kepada manusia. Konsep yang asing daripada Islam.

Kumpulan Islam itu mengikat diri dengan baiah, apabila mereka merasa tidak cukup dengan sekadar bergantung kepada pengetahuan untuk meningkatkan ilmu dan mentarbiyah diri, setia kepada jamaahnya dan bertawadu’ mengadap Allah bagi mencari keredaannya sahaja, tanpa mengikat diri dengan bai’ah. Bukan tujuan bai’ah untuk mencari keredaan manusia termasuk menipu, jauh sekali mencari keredaan sesiapa sahaja termasuk yang tidak beriman dan bertujuan semata-mata meramaikan pengikut dan memancing undi kerana mahu menang pilihanraya sahaja.

Sabda Rasulullah ﷺ:
مَنِ الْتَمَسَ رِضَا اللَّهِ، بِسَخَطِ النَّاسِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَأَرْضَى عَنْهُ النَّاسَ، وَمَنِ الْتَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، سَخِطَ اللَّهُ عَلَيْهِ، وَأَسْخَطَ عَلَيْهِ النَّاسَ
“Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarahi manusia tetap mendapat reda Allah dan Allah jadikan manusia meredainya dan barangsiapa yang mencari keredaan manusia dengan menempah murka Allah, nescaya dimurkai Allah dan Allah jadikan manusia memarahinya pada akhirnya.” (Riwayat Ibnu Hibban)

PAS tidak peduli sama ada menang atau kalah pilihanraya, walaupun hatinya sangat mahukan melihat kemenangan di dunia sebelum kemenangan di akhirat. Namun keyakinannya tetap kepada kemenangan adalah kurniaan Allah apabila memenuhi syarat mencapai keredaan dan hidayah-Nya kepada manusia yang meredai perjuangan Islam ini.

Maka PAS mencari sesiapa yang menerima Islam dan menganutnya atau yang menerima pemerintahan Islam tanpa menganutnya, dengan cara terbuka bukannya bersembunyi tanpa kenyataan yang didegar dan dilihat.

Kita mengharapkan kelebihan yang diberi kepada Nabi Lut alaihissalam dan pengikutnya yang diperlikan dengan jenama kaum yang mendakwa dirinya suci. Maka alangkah gembiranya ahli PAS yang membaca cerita perjuangan Nabi Lut alaihissalam bersama kaumnya yang beriman yang diberi nama oleh musuhnya dengan kaum yang menganggap diri mereka suci murni.

Golongan al-Sabiqun yang awal menyertai PAS lebih yakin, apabila melihat sendiri nasib mereka yang melanggar bai’ah dan sumpah menjadi calon dan pemimpin, telah menerima akibat di dunia. Adapun akibatnya di akhirat terserah kepada Allah yang menentukannya.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Kaedah Berinteraksi Dengan Hadis Akhir Zaman

$
0
0

Kegawatan yang berlaku di alam Islam setakat ini membawa umat Islam membaca kembali ayat-ayat al-Quran dan teks-teks hadis. Perkara-perkara pelik dan mengejutkan yang berlaku menyebabkan mereka cuba untuk memahami hakikat, dan sebahagian jawapannya ada diisyaratkan melalui nas-nas yang telah lama wujud.

Berkenaan akhir zaman, banyak disebut oleh hadis berbanding al-Quran. Hadis-hadis yang membahaskan tentang peristiwa akhir zaman disebut sebagai “Hadis Fitan” (ujian) ataupun “Hadis Asyrat al-Sa’ah (tanda kiamat).

Secara umumnya, fenomena merujuk kepada hadis bagi menafsirkan kejadian semasa adalah suatu yang baik. Namun, jika tidak berhati-hati, amat mudah untuk menyebabkan kita silap faham, lalu menghukum pihak tertentu tanpa kaedah pembuktian yang sebenar. Ia juga boleh melahirkan sikap pasif daripada memperjuangkan Islam, sama ada kerana takut ataupun kerana mengambil langkah menunggu hingga tiba apa yang disebutkan hadis tanpa sebarang usaha.

Beberapa panduan digariskan di bawah untuk kita berinteraksi dengan hadis akhir zaman, agar ia selari dengan tuntutan syarak.

Nas Sebagai Rujukan Utama


Perkara ini adalah fundamental di dalam Islam. Sebelum baca apa-apa bahan, bekalkan dahulu diri dengan al-Quran dan Hadis. Belajar ilmu yang didatangkan melalui dua sumber ini terlebih dahulu sebaiknya.

Ini kerana kedua ini adalah sebenar-benar dan setepat-tepat sumber rujukan. Ketulenannya telah disaring rapi oleh alim ulama sepanjang zaman. Ia juga tidak akan berjaya diseleweng atau hilang melainkan bila tiba hari kiamat.

Jangan letakkan al-Quran serta Hadis sebagai rujukan sekunder. Jangan jadikan nas hanya sebagai penyokong kepada teori dan berita yang kita ambil dari sumber lain. Sebaliknya yang lain itu perlu dibaca setakat yang tidak menyalahi nas. Ia perlu ditolak sekiranya bercanggah dengan nas.

Akhir zaman, terlalu banyak pembohongan yang berlegar. Nabi pernah menggambarkan bahawa akan tiba masa wujud kalangan manusia yang bekerja menyebarkan pembohongan sehingga mencecah ufuk dunia. Gambaran itu boleh kita lihat dengan zaman internet dunia tanpa sempadan ini. Fakta dan auta bercampur aduk. Benar dan batil tidak dapat dibezakan lagi.

Nabi berpesan agar kita berpegang teguh kepada al-Quran dan Sunnah. Sabda Baginda :
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابُ اللَّهِ، وَسُنَّةُ نَبِيِّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya, Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.”

Fahami Dengan Kaedah Yang Betul

Membaca nas baik al-Quran dan Hadis tidak boleh sebarangan. Ia bukan semudah membaca akhbar atau artikel. Ada disiplin dan kaedahnya. Perlu belajar ilmu hadis berkait riwayah dan dirayah, asbab wurud, nasikh mansukh, dan sebagainya.

Hadis tidak boleh dibaca secara literal. Perlu diselami perbendaharaan Bahasa Arab. Nahu, Sorof, Balaghah, Mantiq dan segala ilmu alat.

Hadis tidak boleh difahami secara tepat dengan hanya membaca terjemahan sahaja. Tiada bahasa yang setanding Bahasa Arab. Ia bahasa tuhan, bahasa syurga. Terjemahan hanya membantu, bukan mendalamkan kefahaman.

Jangan membaca satu hadis sahaja kemudian terus membuat kesimpulan. Di sana terdapat beribu-ribu hadis yang berkaitan dengan akhir zaman. Ia perlu dibaca secara bersama. Menggabung-jalinkan antara kesemua hadis. Jangan ditolak walau satupun sekiranya tidak ada perkara yang menyebabkan hadis itu tertolak.

Paling penting, Hadis tidak boleh difahami dengan cara yang bercanggah dengan al-Quran. Kerana al-Quran adalah ibu, Hadis adalah pelengkap. Kalau berlaku percanggahan, itu bukan kerana al-Quran atau Hadis yang silap, tetapi mungkin kerana kita silap memahami salah satu dari keduanya.

Sikap mengambil sebahagian nas dan menolak sebahagian yang lain adalah sifat orang munafik dan ahli kitab. Perkara ini ditegah oleh Allah. Islam akan tempang dan tidak dapat dijadikan panduan langsung jika sebarang nas difahami secara terpisah dari nas-nas yang lain.

Bezakan Cara Interaksi Dengan Hadis Hukum

“Hadis Fitan” berbeza dengan hadis hukum. “Hadis Fitan” lebih kepada pengkhabaran tentang berita dan bukan berkenaan dengan arahan atau larangan melainkan sedikit. Justeru kaedah menerima hadis ini berbeza dengan cara menerima hadis untuk dijadikan dalil hukum.

Syarat menerima hadis sebagai penentu hukum agak ketat. Tetapi “Hadis Fitan” termasuk di dalam hadis-hadis berita baik atau buruk. Ulama seperti Imam Nawawi rahimahullah berfatwa bahawa hadis berstatus lemah dari segi periwayatan boleh diterima untuk fadhail amal, bertujuan mendorong (targhib) atau menakutkan (tarhib).

Di dalam penentuan hukum, hadis banyak terikat dengan kaedah Usul Fiqh. Usul Fiqh berbeza antara mazhab dengan mazhab. Ada hadis yang tidak diterima oleh satu mazhab, tetapi diterima mazhab lain kerana berbeza kaedah Usul Fiqh-nya. Dalam “Hadis Fitan”, kesemua perkara ini perlu diperhalusi.

Ada juga perawi yang dihukum dhaif kerana mereka melakukan kesalahan mengikut pandangan mazhab tertentu, tetapi bagi mazhab yang lain, perbuatan perawi itu tidak menjadi salah. Ada muhaddith yang terlalu syadid sehingga sesetengah perbuatan harus yang dilakukan perawi dihukum sebagai hilang thiqah lalu gugur hadis itu. Perkara ini juga perlu diselidik.

Faktor persekitaran semasa muhaddith juga perlu diambil kira dalam menerima pandangan mereka terhadap perawi. Boleh jadi faktor politik, ataupun fitnah yang tersebar pada masa mereka mempengaruhi labelan terhadap perawi hadis.

Jangan Meyakini Yang Zann

Jangan percaya penuh yakin dengan Hadis-Hadis yang bersifat zann thubut atau dilalah. Selagi hadis tidak sampai ke tahap mutawatir iaitu tidak ada ruang andaian untuk menghukum palsu, jangan kita pegang yakin sebagaimana al-Quran. Selagi mafhumnya boleh ditafsirkan dengan berbagai maksud yang lain, jangan kita berpegang yakin kepada satu mafhum sahaja. Boleh jadi hadis itu sebenarnya rekaan, atau mafhumnya lain.

Hadis akhir zaman kebanyakannya tidak menyebut figur secara detail. Tidak dinyatakan nama watak, tarikh tepat atau jalan cerita terperinci. Maka boleh jadi apa yang dinyatakan hadis itu adalah apa yang berlaku sekarang, dan boleh jadi juga hadis itu akan berlaku masa hadapan.

Berpegang penuh yakin dengan hadis yang hanya status zann bukan sahaja boleh mendedahka kita kepada kesilapan, malah boleh membawa kepada kesesatan. Ia juga boleh membawa kepada dosa, bahkan terjerumus ke lembah kufur. 

Contohnya kita menafsirkan hadis umum yang menyebutkan tentang lelaki fasik atau kufur kepada mana-mana individu atau pihak secara khusus hanya kerana beberapa sifat persamaan yang samar. Allah berfirman bahawa sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.

Lengkapi Dengan Pengetahuan Sokongan

Memahami fenomena dunia tidak cukup sekadar merujuk kepada al-Quran da Hadis sahaja. Benar ia sumber utama, tetapi kita perlu mencari sumber sokongan yang kuat. Jika tidak, kita tidak akan dapat memahami hadis secara tepat dan akan terdedah dengan kesalahan.

Sumber kedua yang perlu dibaca adalah segala sumber yang fundamental dalam pengajian ilmu sosiologi, politik dan hubungan antarabangsa. Sejarah, geografi, ideologi, perlembagaan, piagam, dasar luar, teori-teori sosial, ekonomi dan politik, kajian-kajian entiti berpengaruh, perjanjian, deklarasi, persidangan, polisi semasa, kenyataan rasmi, pekeliling, dokumen rasmi dan sebagainya. Perkara inilah yang akan membentuk kerangka pemikiran kita dalam membaca kecenderungan dan motif setiap watak geo-politik yang terlibat.

Sumber ketiga pula adalah media. Ini termasuklah media cetak, elektronik dan hear-say. Malah platform hiburan seperti selebriti, sukan, lagu dan movie boleh diambil kira. Tetapi ia hanya sumber pelengkap untuk membantu kita mencari petanda sampingan. Terlebih dahulu perlulah diketahui latar belakang setiap media itu, mereka bekerja untuk siapa dan apa motif mereka. Kita membaca untuk memahami propaganda dan perkembangan, bukan untuk membina kepercayaan.

Sumber keempat yang boleh juga diambil kira adalah teori konspirasi dan teori eskatologi. Kadang-kadang sumber pertama kedua dan ketiga tidak dapat memberi jawapan tuntas terhadap persoalan yang timbul. Tetapi teori ini ada menawarkn jawapan. Cuma pastikan jawapan yang dipilih selari dengan sumber yang lebih kredibel.

Mengelak Fitnah Semampu Boleh

Tujuan nas diturunkan adalah untuk menjadi panduan hidup di atas dunia. Semakin seseorang memahami nas, semakin dia yakin terhadap Islam dan semakin terdorong untuk beramal soleh dan percaya masa depan di tangan Allah.

Jangan pula kefahaman terhadap nas menyebabkan kita jadi takut dan putus harapan sehingga meninggalkan tugas dan amanah perjuangan. Jangan ada yang meletak “senjata” pasrah kerana ada hadis yang menyatakan Palestin akan dikuasai Dajjal. Jangan ada yang lari bersembunyi ke gua kerana takut bahaya Dajjal.

Kalau boleh kita sentiasa berdoa agar dapat mengelak dari zaman fitnah. Kalau boleh dimatikan sebelum zaman Dajjal. Kerana fitnahnya sangat dahsyat sehingga boleh mengelirukan orang antara syurga dan neraka.

Jangan pula ada yang merasa teruja tidak sabar melihat apa yang Nabi nyatakan. Perkara ini bukan menyeronokkan seperti menonton wayang. Tanpa akidah yang mantap dan rohani yang bersih, sesiapa sahaja boleh terpesong.

Jangan kita ingat nanti bila datang Imam Mahdi kita akan berbai’ah. Belum tentu kita dapat bezakan adakah ia sebenar-benar Mahdi atau Mahdi palsu ciptaan musuh. Jangan ingat kalau tiba Dajjal, kita akan lari sepenuh hati. Boleh jadi Dajjal akan tiba kepada kita, dalam keadaan kita tidak tahu pun bahawa dia adalah Dajjal!

Kesimpulan

Daripada beberapa garis panduan ini, kesimpulannya kita amat perlu untuk:
  1. Menimba ilmu. Kerana ilmu sahaja yang boleh membezakan hak dan batil.
  2. Bersama ulama. Kerana ulama yang paling tahu cara memahami nas dengan betul.
  3. Beramal soleh. Kerana amal adalah benteng akidah. Ia juga pesanan Nabi bagi menghadapi akhir zaman.
  4. Mengikut jalan para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan solihin iaitu jalan memperjuangkan Islam. Kerana jalan mereka adalah jalan yang benar sebagaimana firman Allah.
  5. Membersihkan jiwa dari riya’, hasad, sombong dan sebagainya. Kerana penyakit hati adalah lubang untuk syaitan menyesatkan manusia.
  6. Beriltizam dengan jemaah Islam dan pemimpinnya. Kerana ia adalah pesanan Nabi bagi menyelamatkan diri daripada fitnah.
  7. Berdoa dan bertawakkal. Kerana ia adalah senjata orang beriman.

Biodata Penulis

Muhammad Marwan M. Shukrimun berasal dari Kuala Terengganu. Beliau merupakan EXCO DPP Kuala Nerus. Salah seorang tenaga pengajar di MDQ.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) Mengatasi Budaya “Politik Dangkal”

$
0
0

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), membawa pendekatan politik Islam berkonsepkan Amar Makruf dan Nahi Mungkar secara istiqamah dan hikmah, bukan seperti mereka yang memisahkan politik daripada agama, semata-mata mahu menang pilihan raya, walau dengan apa cara sekalipun, tanpa mengira sempadan halal dan haram, benar dan salah, aman dan huru-hara.

Perbezaannya kerana tujuan utama perjuangan PAS mendapat keredhaan Allah Taala, bukan keredhaan manusia semata-mata. Objektifnya, PAS berdakwah supaya menerima Islam yang sempurna, politiknya memerintah negara dengan menganut Islam tanpa paksaan atau tidak menganutnya tetapi bersedia berada di bawah pemerintahan Islam yang adil terhadap semua dalam masyarakat majmuk berbagai bangsa, agama dan budaya.

Kalau mereka yang bukan Islam atau non-Muslim itu boleh menerima berbagai ideologi asing, kanan dan kiri yang diciptakan oleh Barat yang asing dan menjajah, kenapa konsep “wasatiyyah” politik dan ekonomi Islam yang merdeka daripada mana-mana fahaman manusia tidak boleh dilaksanakan dalam masyarakat majmuk? Sedangkan penganut Islam juga memiliki hak yang wajib dilaksanakan iaitu menegakkan syiar-syiar Islam yang dianutnya.

PAS memilih sistem demokrasi bebas bersuara dan berdakwah tanpa paksaan dengan “uslub” yang tidak mencetuskan permusuhan dan huru-hara walaupun berbeza agama dan ideologi. PAS memperkenalkan penyelesaian Islam daripada kerajaan kepada rakyat sama ada diterima oleh siapa sahaja yang memimpin negara dan PAS wajib menolongnya dalam aspek positif atau PAS menjadi pembangkang yang wajib menyokong yang baik dan menasihatinya dengan mencegah kemungkaran dalam aspek negatif.

PAS haram menyertai budaya fitnah untuk menjatuhkan pihak lain yang berlawanan, tanpa sempadan dan perhitungan akhlak yang benar dan salah sehingga matlamat menghalalkan cara yang haram. PAS wajib menerima kebenaran daripada semua pihak dan begitu juga menentang kebatilan.

PAS pernah melaksanakan konsep “Tahaaluf Siyasi”, bekerjasama dalam titik persamaan yang baik tanpa membatalkan prinsip dan meninggalkan matlamat perjuangannya mendaulatkan Islam. PAS juga melaksanakan konsep “Ta’awun” (bertolong-menolong dalam perkara kebajikan dan haram bertolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan). PAS tidak boleh bersama dengan pihak yang menghalang matlamatnya atau membudayakan pendekatan yang tidak berakhlak.

PAS pernah bertahaluf dengan parti pemerintah sehingga menyertai kerajaan campuran dan Barisan Nasional (BN) ketika negara dalam keadaan darurat, pernah memerintah di peringkat negeri dan pusat dan dikeluarkan kerana menyanggah prinsip dan hala tujunya, dan juga pernah bertahaluf dalam pakatan pembangkang dan tidak boleh bersama lagi apabila disentuh dasar dan matlamatnya. Maka PAS boleh bersendirian atau membentuk gagasannya sendiri sama ada menjadi pemerintah atau pembangkang. PAS boleh bersendirian dengan pendekatannya sendiri, mengajak siapa sahaja daripada parti politik, NGO dan individu yang bersedia menerima pendekatannya.

Walaupun PAS ditentang dan dikepung daripada segenap penjuru dengan serangan fitnah dan sebagainya oleh pihak lain yang mahu memaksa PAS mengikut telunjuknya. Alhamdulillah, PAS selamat dalam semua keadaan.

Walaupun kecundang dalam beberapa kali Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Kecil (PRK), tetapi ahli dan cawangannya tetap bertambah berlipat kali ganda daripada jumlah yang dipecat atau melarikan diri, menjadikan akar umbinya sangat teguh sehingga tidak lemah walaupun kalah dalam pilihan raya dan dijatuhkan kerajaannya.

Sejak awal sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan, PAS tetap mempunyai ahli dan penyokong yang menabung duit dan bertugas sukarela untuk pilihan raya berikutnya, menyimpan sepanduk dan bendera usang yang dikitar semula, bukan hanya sekadar orangnya, malah saya pernah menyaksikan pada tahun 50-an dan 60-an, ada ahli biasa PAS dan penyokong yang kuat tidak mahu menjadi ahli tetapi sanggup menjual tanah miliknya untuk dibelanjakan kepada calon PAS dan kerja pilihan raya kerana katanya dia sangat kuat PAS.

Mereka tidak mengharapkan jadi calon dan dapat projek daripada kerajaan PAS dan tidak berkecil hati kalau tidak dapat projek kerana percayakan pahala bersama perjuangan Islam. Kini sudah ada orang yang bertaraf usahawan besar, terus percaya kepada perjuangan PAS, mereka menyokong secara terbuka atau bersembunyi.

Kini PAS tidak menghadapi apa-apa tuduhan yang benar terhadap semua Menteri Besar dan exco atau para menteri daripada PAS yang pernah menyertai kerajaan dan sedang bertugas. Hanya fitnah dan bohong yang diciptakan oleh kalangan yang sangat dangkal politiknya.

Difitnah kononnya saya menerima 90 juta daripada UMNO, tanpa berfikir mustahil adanya orang yang kuat UMNO boleh beli PAS untuk lawan UMNO pula, padahal mengikut akalnya dia mesti mempertahankan UMNO mati-matian. Hanya mereka di kalangan yang dangkal politiknya boleh menerima hujah begini, laksana dipengaruhi penjual ubat yang boleh menggoda pelanggannya dengan mudah. Barangkali inilah budaya politik penjual ubat yang boleh memusingkan pelanggan sehingga tahi kambing pun boleh disangkanya “makjun” yang mujarab.

Dilemparnya batu daripada pihak luar UK untuk menyembunyikan tangannya, sehingga PAS terpaksa bersusah payah untuk “mengerat tangan” itu melalui mahkamah di sana. Tindakannya laksana binatang padang pasir yang dinamakan burung kasuari yang besar jasadnya menyembunyikan kepalanya sahaja ke dalam tanah. Bodohnya menampakkan jasadnya yang besar dan berbulu lebat itu dapat dilihat dengan nyata.

Ada pula yang melemparkan tuduhan bahawa PAS parti pengacau. Padahal ahli PAS sudah wujud di situ, sudah ada kawasan dan cawangannya sejak puluhan tahun di situ juga, bahkan pernah bertanding pilihan raya sebelum lahirnya parti-parti baru. Dia yang menuduh itu, hanya parti yang baharu ditubuhkan dan mahu bertenggek di atas riba PAS, sehingga ada yang masih peringkat bayi yang baru dilahirkan, tiba-tiba dia yang baru datang bertenggek itu hanya mahu menumpang jentera PAS dan menuduh PAS pula yang kacau daun. Inilah politik yang tidak matang dan sejahtera.

Hanya Melayu yang mudah lupa sahaja yang boleh menerimanya atau bukan Melayu yang mudah lupa juga dan mahu menempah huru-hara tanpa menghormati kedudukan umat Islam yang menerima mereka bersama dalam masyarakat majmuk yang aman sejahtera.

Mereka lupa bahawa orang itulah yang menjadi juara politik wang yang merosakkan negara dan partinya sendiri. Mentadbir negara yang kerajaannya juga berniaga sehingga membebankan rakyat, supaya rakyat membayar urusan yang wajib ditanggung oleh kerajaan, seperti pendidikan, perubatan dan lain-lain. Ibarat ayah yang meminta upah daripada anaknya yang wajib dijaga atau suami yang mewajibkan isterinya membayar upahnya menjadi suami, dia lupa bahawa memberi nafkah itu wajib.

PAS yang teguh dan beristiqamah tetap tidak berganjak menghadapi politik fitnah dan bohong kerana kekuatannya laksana bukit yang sudah bertapak di bumi yang kukuh, tidak perlu melayan suara laksana anjing yang boleh menyalak bukit, hanya babi yang menghuninya lari bertempiaran. Adapun bukitnya tidak mungkin diruntuhkan oleh hanya salakan anjing yang bernajis “mughallazah” itu.

Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) tetap dilaksanakan di musim pilihan raya sehingga mencapai kemenangan untuk melakukan islah, bukannya membalas dendam terhadap lawan yang kalah. Kalau kalah pun tetap menjadi pembangkang yang menasihat yang tidak jahat terhadap lawan yang mengalahkannya. Tidak diizinkan dalam PAS budaya menghukum lawannya secara andaian, dan tidak hanya menggunakan perkataan ‘kalau’ mencapai kemenangan secara murahan, kerana Rasulullah ﷺ bersabda:
فَإِنَّ لَــــــــــــوْ تَفْتَحُ عَمَلَ اَلشَّيْطَانِ
“Maka sesungguhnya perkataan - kalau - seringkali membuka kerja syaitan...” (Riwayat Muslim)

Apa yang difikirkan juga bahawa tanggungjawab mengisi kemenangan lebih berat daripada mencapai kemenangan, namun bersedia meneruskan perjuangan walaupun ditimpa kekalahan di alam dunia ini. Sebabnya wawasan kami bukan sekadar tahun 2020 yang sudah hampir, tetapi wawasannya daripada dunia sehingga akhirat. Di mana kejayaan mempertahankan aqidah Islamiyyah di dalam diri sehingga akhir hayat menjana kemenangan yang lebih besar di akhirat.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Mengapa Pesimis Dengan Masa Depan Islam?

$
0
0

Banyak kalangan yang tidak faham, bahkan jahil bahawa bernegara dan berpolitik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam atau mereka sengaja mahu memusuhi Islam. Semuanya menunding jari terhadap PAS kerana beristiqamah menegaskan Islamnya. Alasannya bahawa Islam tidak relevan bersama masyarakat majmuk, tidak mampu berlaku adil terhadap bukan Islam, atau mereka mahu Islam ini tunduk di bawah hukum hawa nafsunya dengan meninggalkan hukum Allah. Mereka boleh menerima hakikat amalan negara sekular yang berbagai ideologi, memisahkan politik daripada agama, dan beragama tanpa politik.

Apabila semua parti yang menegakkan ideologi masing-masing kalau memerintah negara, tidak memberi tempat dan kedudukan ketua kerajaan dan anggota kabinetnya kepada yang bukan parti mereka. Maka kalau parti Islam dikira salah, fanatik dan pelampau apabila menegaskan bahawa kepimpinan negara wajib bersyaratkan Islam.

Di Amerika contohnya, apabila Parti Demokrat menang, Presiden adalah daripada partinya, maka anggota kabinet, ketua jabatan dan jawatan penting yang menyentuh dasar dan polisi negara mestilah daripada kalangan partinya juga, bukan daripada Parti Republikan. Begitulah juga sebaliknya kalau Republikan yang menang, kalangannya juga menjadi ketua kerajaan. Inilah amalan di semua Negara Eropah seperti England, Perancis dan lain-lain yang paling demokratik, menyerahkan kuasa kepada parti yang menang dalam pilihan raya. Begitu juga di Negara Komunis melantik penganut ideologinya memimpin negara, mereka tidak melantik bukan Komunis menjadi ketua negara dan anggota kabinet.

Samalah juga apabila Barisan Nasional (BN) menang di Malaysia, maka dipilih kalangan parti terasnya, Umno Melayu Muslim menjadi ketua kerajaan pusat dan negeri, kabinet dan anggota exco-nya daripada Parti Komponen BN. Begitu juga apabila DAP menang terbanyak di Pulau Pinang, atau kalau menang di peringkat kerajaan pusat, mestilah berkonsepkan “Malaysian Malaysia” berteraskan sekularisme-nya.

Namun, sebaliknya PAS pula dituding dengan jari secara hentaman melulu akan menafikan hak penganut bukan Islam, perkauman dan lain-lain, tanpa mengkaji Fiqh Politik Islam secara ilmu daripada sumber ajaran Islam yang sahih, bukan daripada musuhnya kalangan orientalis yang bersikap tidak adil dalam ilmunya.

Islam itu lebih luas daripada takrif agama mengikut kefahaman Barat. Islam juga berbeza dengan ideologi atau teori ciptaan manusia yang memisahkannya daripada agama, kerana ajaran Islam itu merangkumi semua aspek kehidupan bermasyarakat termasuk juga urusan politik.

Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh. Tetapi pada masa yang sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan, lebih daripada hak yang diberi oleh pendukung dan pejuang ideologi ciptaan manusia dan agama lain terhadap pihak yang berbeza dengan mereka.

Islam mengurus secara lebih saksama dengan fitrah manusia, dengan syarat Islam sebenarnya berkuasa memerintah. Namun, Islam juga tetap memelihara hak beragama lain tanpa menyentuh perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing dengan sempadan memelihara keharmonian masyarakat majmuk dan perikemanusiaannya.

Islam bukan sahaja memberi hak kerakyatan kepada bukan Islam, bahkan mewajibkan adil terhadap semua dari segi hak rakyat yang dilindungi oleh undang-undang berteraskan aqidah dan juga hak kemanusiaan yang berkait dengan diri, keluarga, cara hidup berpolitik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain dengan kawalan sempadan (hudud) yang menghormati perbezaan agama dan menjaga keharmonian dan perpaduan kemanusiaan.

Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep. Maka, Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat.

Para ulama Fiqh Politik Islam, di antaranya al-Mawardi mengharuskan perlantikan bukan Islam dalam jawatan Wazir al-Tanfiz (menteri atau ahli kabinet yang melaksanakan pengurusan), bukan Wazir al-Tafwid (membuat polisi dan dasar negara). Di sini adanya keanjalan dalam Sistem Politik Islam yang tidak fanatik kepartian seperti pendukung ideologi sekular.

PAS yang menegaskan kedudukan Islam dalam perlembagaannya menerima kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan menerima konsep Raja Berperlembagaan yang menjadi tonggaknya, menerima juga kaum bukan Islam menjadi warganegara berkonsepkan saudara kemanusiaan, walaupun dibawa masuk oleh penjajah terdahulu. Namun, PAS tetap menolak konsep sekular warisan penjajah kerana bercanggah dengan Islam yang diletakkan di dalam Perlembagan negara kita yang sudah merdeka.

Al-Quran mengizinkan dua sistem pemerintahan sama ada Khilafah atau “Malakiyyah” (beraja), yang disebut juga Imamah atau Imarah, dengan wajib berkonsepkan adil terhadap semua manusia. Al-Quran mengisahkan Nabi Daud alaihissalam adalah Khilafah dan Nabi Sulaiman alaihissalam dan Zulqarnain pula adalah Raja. Syaratnya, berlaku adil mengikut hukum Allah.

Rasulullah ﷺ telah menunjukkan penafsiran dasar yang umum terhadap perlantikan ketua negara berteraskan Islam yang teguh dan menerima konsep dominasi kaum. Sabda Baginda ﷺ:
الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْش
“Imam (pemimpin atau ketua negara) hendaklah daripada Quraish.” (Riwayat al-Baihaqi)

Ibnu Khaldun dan lain-lain menafsirkan mafhumnya dengan kaum yang paling dominan menganut Islam. Maka kerajaan Islam tidak fanatik perkauman dalam menentukan ketua negara. Dalam sejarah, pernah Negara Islam dipimpin oleh bangsa Kurdish, Turki bukan daripada bangsa Arab apabila adanya kaum yang paling dominan menganut Islam lebih besar dan kuat pengaruhnya mengatasi bangsa Arab.

Maka, dalam konteks Malaysia, PAS menafsirkan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam menjadi agama negara, bukan sahaja sekadar simbol, maka mestilah ditadbir negara berkonsepkan Islam yang melantik ketua negara daripada penganut Islam dan Bumiputera Melayu yang beriman dan budiman melaksanakan Islam secara menyeluruh.

Ini bukan semestinya PAS menjadi ketua kerajaan, bahkan PAS boleh terus menjadi pembangkang yang menasihat dan berta’awun dengan ketua negara yang boleh menerima Islam, sama ada kerajaan parti atau kerajaan teknokrat yang boleh diatur perubahannya yang lebih positif, bukannya perubahan dan pindaan Perlembagaan yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti tikus membaiki labu.

Apabila mengkaji Sirah Nabawiyyah menunjukkan Raja Habsyah bergelar Najasyi menerima Islam dan menjadi penganutnya, maka Rasulullah ﷺ mengekalkan takhtanya. Begitu juga kedudukan Raja Oman dan Raja Bahrain yang menganut Islam setelah menerima surat Rasulullah ﷺ, semuanya tidak dipecat atau dijatuhkan takhtanya.

Al-Quran juga mengisahkan Rasul kalangan Bani Israel di zamannya melantik Talut menjadi raja, tanpa Rasul itu sendiri menjadi raja. Firman Allah Taala:
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا قَالُواْ أَنَّى يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ الْمَالِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاء وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
“Nabi mereka mengatakan kepada mereka: “Sesungguhnya Allah telah mengangkat Talut menjadi Raja kamu”. Mereka menjawab: “Bagaimana Talut memerintah kami padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberi kekayaan yang banyak?” (Nabi mereka) berkata: “Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi Raja kamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa. “Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 247)

Ayat ini menegaskan betapa Rasul yang membawa Islam tidak berjuang kerana mengejar jawatan tetapi berjuang untuk menegakkan Islam berkonsepkan mendahulukan pembangunan insan yang beriman, berilmu dan berakhlak, bukannya sekadar ekonomi sahaja atau melahirkan tokoh tanpa iman, ilmu dan akhlak.

Maka PAS tidak mendahulukan pembentukan kabinet atau melantik siapa bakal Perdana Menteri yang bakal menjadi bangkai sahaja. Inilah adab yang diajar oleh Rasulullah ﷺ apabila Ketua Kabilah Bani Amir yang ditawarkan kemenangan Islam bertanyakan siapa ketua negaranya. Lantas Baginda ﷺ bersabda:
الأَمْرُ إلَى اللهِ يَضَعُهُ حَيْثُ يَشَاءُ
“Itu urusan Allah yang menentukan dengan kehendak-Nya”

Seterusnya Rasulullah ﷺ menerima mereka yang berbai’ah dan setia menunaikan baiahnya bersama Islam yang diperjuangkan dengan istiqamah dan menunggu pertolongan Allah setelah memenuhi syarat-syarat yang diperintahnya.

Begitulah PAS boleh menerima dan bersama sesiapa sahaja termasuk DAP yang menerima Islam yang sempurna, aqidah, syariat, akhlak dan nizam (sistem) serta menunggu kemenangan yang dijanjikan kepada Islam dengan berjuang memenuhi syarat-syaratnya juga.

Masalahnya, apabila Islam diberi kemenangan dan pengaruhnya yang adil dan rahmatnya akan dilihat dan dirasai secara nyata, bukannya seperti ideologi lain yang terus diuji tanpa menemui penyelesaian terhadap masalah manusia sejagat. Maka Islam dapat menguasai hati manusia dengan rela tanpa paksaan, bukan sekadar memerintah negaranya sahaja.

Persoalannya, mengapa Islam dihalang daripada kemenangan dan dijatuhkan setelah menang?  Ini bukan kerana salah dan sesatnya, tetapi kerana dengki yang berterusan daripada musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari alasan dan berbohong yang dicipta dan memutarbelitkan ajaran Islam sehingga dikelirukan.

PAS tetap berterus-terang dan beristiqamah bersama Islam tanpa sembunyi dan berdolak-dalih semata-mata untuk meraih simpati sokongan daripada semua pihak, kerana kini bukan zamannya untuk menipu masyarakat yang tidak mahu kepada Islam secara nyata yang wajib dinyatakan hujahnya dengan penuh hikmah.

Konsep PAS tidak memisahkan di antara dakwah dan politik supaya seramai-ramai manusia menerima Islam dengan ikrar dan keyakinan hatinya yang ikhlas, sehingga menganut Islam tanpa paksaan, atau tidak menganut Islam tetapi bersedia bernaung di bawah pemerintahan Islam yang lebih baik. Seterusnya menegakkan Islam menjadi pemerintah dan pemimpin secara terbuka.

Islam adalah agama yang mampu berhujah dengan semua pihak kalau dibuka peluangnya dengan adil dan mahu mencari kebenaran dan penyelesaian. Biarkan kalangan yang menegakkan benang basah berbasah kuyup bersama kesesatannya.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

PAS Istiqamah Bersama Islam

$
0
0

Penubuhan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah kesinambungan perjuangan menegakkan Islam yang memerintah, bukan Islam yang diperintah. Islam yang berkuasa, bukan Islam yang dipaksa. Inilah kesimpulan daripada persidangan para ulama dan pemikir Islam yang diadakan di Johor, selepasnya di Selangor dan berakhir dengan penubuhan Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di Seberang Perai pada tahun 1951. Dalam Undang-Undang Tubuh PAS menegaskan bahawa Islam adalah tertinggi.

Seterusnya PAS meluaskan lapangannya ke medan politik negara sehingga hari ini dengan menghidupkan semula syariat Allah yang dilupakan dan menegaskan bahawa politik sebahagian daripada Islam. Walaupun tidak mudah PAS menghadapi kejahilan umat Islam yang tenggelam dalam pengaruh penjajah dan para ulama yang sangat lemah kedudukannya, dan para pemimpin yang dibentuk mengikut acuan penjajah. Rakyat pula tenggelam dalam kejahilan terhadap agama sendiri walaupun masih kasih dan setia kepada Islam tetapi memisahkan urusan duniawi daripada agamanya menyebabkan urusan kehidupan, tindak tanduk dan perilaku khususnya dalam aspek politik tidak dikaitkan dengan dosa dan pahala.

PAS adalah tali arus daripada gelombang kebangkitan Islam sebagai al-Din yang tidak boleh dimatikan dengan kewafatan Rasulullah ﷺ. Cahaya Islam yang datang di rantau ini adalah yang sempurna, di-Islamkan rakyat dan kerajaannya yang beramal dengan syariat, sehingga tidak boleh dipadamkan ilmunya dengan kejatuhan Melaka tahun 1511 M, diikuti dengan kedatangan penjajah berbagai bangsa daripada Eropah dengan semangat Perang Salib yang berusaha menghakiskan jati diri umat Islam, sehingga memberi gambaran yang buruk terhadap Islam.

Islam dibangkitkan semula dengan penubuhan kumpulan Islam yang silih berganti apabila penjajah mengharamkannya bertalu-talu. Kumpulan Islam di rantau ini melibatkan para ulama, raja-raja dan rakyat yang tidak berpisah. Perjalanannya menyumbangkan para syuhada’ dan siddiqin yang setia kepada Islam sehingga kini.

PAS menghidupkan semula hukum politik Islam yang dikuburkan oleh penjajah yang mahu mematikan kuasa Islam di seluruh dunia. Namun, cahayanya gagal dimatikan, apabila ilmunya tetap hidup, serta ditubuhkan kumpulan Islam yang menghidupkan syariat politiknya di seluruh pelosok dunia Islam.

PAS adalah mata rantai yang bersambung, walaupun khilafah (pemerintahan Islam) dijatuhkan oleh penjajah itu sejak hampir satu abad dan mereka berjaya memecahkan umat Islam dan tanah airnya yang dibahagi-bahagikan di kalangan mereka.

PAS tetap beristiqamah di atas dasar Islam dalam semua keadaan sama ada ketika pasang dan surut gelombang politik tanah air. PAS menegakkan Islam mengikut sekadar kemampuan kuasa yang ada apabila menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan tahun 1959-1978 dan 1990 sehinggqa kini dan Terengganu tahun 1959-1961 dan 1999-2004 dan memimpin kerajaan negeri Kedah tahun 2008-2013. PAS pernah menyertai kerajaan pusat tahun 1973-1978 dan pernah menjadi pembangkang yang paling sedikit kerusinya, namun terus membawa suara Islam di mana sahaja kerusinya di Parlimen dan DUN, termasuk dalam masyarakat yang tidak ada wakil rakyatnya.

Kerjasama PAS dengan pihak lain tetap bersempadankan Islam. PAS terus tidak berganjak menegaskan Islam, yang tidak boleh ditinggalkan atau dipinggirkan oleh mana-mana pihak, walaupun dengan kuasa yang terhad di peringkat negeri dan bersabar bersama konsep negara federalisma yang dicabul.

PAS menyertai Kerajaan Campuran dan Barisan Nasional (BN) dengan syarat yang tegas supaya tidak diganggu dasar Islam dan perjuangannya, serta diberikan peluang untuk berdakwah dan menerapkan Islam dalam jentera dan institusi kerajaan. Akhirnya PAS dikeluarkan daripada BN pada tahun 1979 apabila kumpulan sekular kuat menguasai Umno dan BN selepas ketiadaan Almarhum Tun Abdul Razak, menyebabkan disingkir beberapa pemimpin yang bersemangat agama di dalam Umno di Semenanjung seperti Tan Sri Jaafar Albar, Datuk Harun Idris dan disingkir pemimpin BN di Malaysia Timur seperti Tun Abdul Rahman Yaakub dan Tun Datu Mustafa serta diikuti PAS ditendang keluar.

Selepasnya pula PAS menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah bersama Parti Semangat 46 dengan syarat menerima Islam sebagai al-Din, sehingga berjaya di Kelantan dan berusaha melaksanakan syariat, lalu diberi amaran keras oleh Perdana Menteri di masa itu sekiranya melaksanakan syariat Islam yang diusahakan dan akhirnya Parti Semangat 46 tiada lagi.

Kemudiannya PAS menyertai Barisan Alternatif (BA) dalam titik persamaan menentang penyelewengan dan salah laku tanpa gangguan terhadap Islam yang menjadi pegangan PAS, namun tetap tegas walaupun DAP keluar daripada BA kerana anti Islamnya. Seterusnya Pakatan Rakyat (PR) ditubuhkan dan akhirnya terkubur apabila hendak dipinggirkan cita-cita Islam dan wujudnya usaha mahu mengugurkannya kerana agenda politik mengatasi kepentingan Islam.

PAS juga menolak segala usaha meminggirkan kuasa umat Islam daripada persada politik Malaysia di atas konsep “Malaysian Malaysia”, namun PAS tetap menerima hakikat masyarakat majmuk di Malaysia. PAS dengan tegas mendukung konsep Islam itu adil terhadap semua tanpa mengira perbezaan agama dan kaum yang berpandukan al-Quran.

Firman Allah:
۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا. يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُولِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat (58). Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya (59).” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Inilah ayat-ayat yang mendukung konsep kuasa politik sebagai satu amanah terbesar dan mendukung negara adil terhadap semua bertonggakkan kepimpinan Islam Ulil Amri (kepimpinan ulama dan umara) serta tegak di atas aqidah dan rukun-rukun iman yang paling asas iaitu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat.

Inilah simpulan kukuh yang menjadi pegangan PAS, dipegang oleh pemimpin dan ahli yang setia dan diikat dengan baiah. Adapun yang tidak setia pasti dikeluarkan atau melompat keluar walaupun tiada siapa yang tahu keikhlasannya, namun Allah tetap melakukan penapisannya bagi menyelamatkan perjuangan Islam. Firman Allah:
مَّا كَانَ اللَّهُ لِيَذَرَ الْمُؤْمِنِينَ عَلَى مَا أَنتُمْ عَلَيْهِ حَتَّىَ يَمِيزَ الْخَبِيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى الْغَيْبِ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَجْتَبِي مِن رُّسُلِهِ مَن يَشَاء فَآمِنُواْ بِاللَّهِ وَرُسُلِهِ وَإِن تُؤْمِنُواْ وَتَتَّقُواْ فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيمٌ 
“Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman) dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang ghaib akan tetapi Allah memilih dari kalangan Rasul-Nya sesiapa yang dikehendaki-Nya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya dan jika kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar).” (Surah Aali-Imran: 179)

PAS melaksanakan usaha politiknya dengan kajian sendiri, mengerahkan tenaga, harta, jiwa raga dan pemikirannya bagi mendapatkan kemenangan dengan keyakinan kepada janji-janji Allah yang memberi kemenangan apabila memenuhi syarat-syaratnya dan boleh mengisi kemenangan dengan beristiqamah, bukan sekadar kemenangan sahaja. Mereka yang tidak yakin kepada kemenangan seperti ini pasti ditinggalkan oleh PAS atau meninggalkan perjuangannya.

PAS menghayati firman Allah:
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاَّتَّبَعُوكَ وَلَكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu. (Dengan sumpah atau baiah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” (Surah al-Taubah: 42)

Firman Allah:
مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللَّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ
“Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat).” (Surah al-Baqarah: 214)

Firman Allah:
 هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالا شَدِيدًا. وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلاَّ غُرُورًا
“Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat (11). Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: Allah dan Rasul-Nya tidak menjanjikan kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja (12).” (Surah al-Ahzab: 11-12)

PAS tetap sabar menunggu dan melihat sesiapa sahaja dan bila-bila masa terhadap semua pihak yang boleh menerima Islam yang menjadi perjuangan PAS dengan pendekatan “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” (BPMS) yang boleh berbeza pendapat tetapi tidak berpecah, memilih konsep mesra dan damai serta bertaawun dalam perkara kebajikan dan taqwa dan tidak bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan, berpandukan Firman Allah:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى الْبَرِّ وَالتَّقْوَى وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى الإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah al-Maidah: 2)

Di atas konsep inilah, PAS menyokong walaupun dibawa oleh kerajaan apabila bersifat kebajikan dan taqwa. PAS menentang apabila adanya kemungkaran dan PAS berkecuali apabila bercampur di dalamnya tanpa dipisahkan. Inilah BPMS yang tidak boleh difahami oleh kalangan yang memisahkan politik daripada agama.

PAS tetap berpandukan politik Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ yang beramal dengan al-Quran apabila mengiktiraf kebaikan dan kebajikan daripada semua pihak termasuk daripada kalangan musuh yang paling jahiliah, begitulah juga menentang kemungkarannya walaupun daripada diri sendiri.

PAS tetap mempertahankan ruang Islam yang masih dipelihara oleh Perlembagaan dengan tafsiran Islam sebagai agama persekutuan dan PAS menentang sesiapa sahaja yang mahu merungkaikannya dan menafsirkannya dalam lingkungan kefahaman warisan penjajah kerana kita sudah merdeka, tidak kira sama ada dalam kalangan Melayu yang sempit atau bukan Melayu. PAS adalah parti Islam yang berasaskan aqidah, bukannya ideologi-ideologi yang mengutamakan nilai kebendaan.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Peluang Pekerjaan Atasi Pengangguran

$
0
0

Isu pengangguran terus menghantui kehidupan manusia sepanjang zaman, termasuk di negara yang dikatakan paling maju, apatah lagi negara miskin atau sedang membangun. Perbezaannya banyak atau sedikit sahaja, namun sukar dihapuskan.

Apabila Allah telah menetapkan dasar secara naluri dan pilihan di dalam al-Quran, nyatalah bahawa kesilapannya adalah manusia sendiri. Walaupun mereka mendabik dada dan mengaku pandai, pakar, bijak, bertamadun dan maju jaya, namun terus berlakunya masalah tiada peluang pekerjaan, pengangguran dan kos sara hidup yang terhimpit. Allah berfirman:
 تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا. الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَلَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيْءٍ فَقَدَّرَهُ تَقْدِيرًا
“Maha berkat Tuhan yang menurunkan al-Furqan (al-Quran) kepada hamba-Nya (Muhammad ), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam (1). Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna (2).” (Surah al-Furqan: 1-2)

Allah telah mencipta manusia bernalurikan Masyarakat Madani tanpa bersendirian, mewajibkan bertaaruf dan berkhilafah. Ini bermaksud berhubungan, bertolong-menolong dan berurusan secara naluri, serta mentadbir kehidupan dunia dengan petunjuk-Nya, bersama kemampuan akal dan pengalaman yang berbeza berkonsepkan kemampuan secara bersendiri dan bersepadu dalam kehidupan bermasyarakat dengan sumber rezeki Allah yang mencukupi walaupun berbeza bahannya bagi kemudahan makanan, pakaian, kediaman, perhubungan, perhiasan dan lain-lain. Sekiranya bermasalah adalah kesilapan manusia sendiri.

Ibnu Khaldun, Bapa Ilmu Sosiologi merumuskan bahawa sumber kehidupan yang menyumbang rezeki melalui pekerjaannya adalah Imarah (kepimpinan yang mengurus), Tijarah (perniagaan), Zira’ah (pertanian), Sina’ah (industri) dan tambahannya ialah Khidmah (perkhidmatan). Semuanya menjadi lapangan pekerjaan dan sumber rezeki yang diusahakan.

Katanya juga bahawa sepatutnya semakin ramai penduduk, semakin banyak keperluan dan meningkatnya peluang pekerjaan dengan hasil yang bertambah banyak pula, seterusnya menjadikan negara itu makin kuat dan maju, makin pesat kemajuan ekonominya, bertambah peluang pekerjaan dan meningkatnya pula pendapatan. Pemerintah adalah pengurus dan pengawasnya, semua rakyat adalah jenteranya di tempat masing-masing. Ia sangat berbeza dengan teori ahli falsafah Barat yang menganggap perkembangan ini menjadi ancaman kepada rezeki dan kehidupan manusia.

Aspek naluri, jasad, roh dan akal manusia bersama kehidupan bermasyakat Madani yang bertaaruf dapat mengurus rezeki Allah yang melimpah ruah daripada langit dan keluar daripada bumi.

Firman Allah:
 يَا أَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ وَالَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ. الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأَرْضَ فِرَاشاً وَالسَّمَاء بِنَاء وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ فَلاَ تَجْعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادًا وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa (21). Dia-lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa) (22).”(Surah al-Baqarah: 21-22)

Ayat ini menunjukkan bahawa konsep ibadah itu mengikut takrif Islam, bukan takrif yang sempit, bahkan meluas kepada seluruh kehidupan manusia dan segala aspeknya kerana sifat manusia itu di bawah kerajaan Allah Pencipta dan hamba Allah yang mengurus alam, bukan rakyat dan warganegera kepada kerajaan di bumi yang dibahagikan mengikut negara masing-masing.

Firman Allah:
 فَاطِرُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَمِنَ الأَنْعَامِ أَزْوَاجًا يَذْرَؤُكُمْ فِيهِ لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ. لَهُ مَقَالِيدُ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَن يَشَاء وَيَقْدِرُ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
“Dia-lah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran-Nya) dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat (11). Dia-lah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu (12).” (Surah al-Syura: 11-12)

Firman Allah:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-Aa’raf: 96)

Keberkatan ialah mendatangkan faedah di dunia dan akhirat. Allah telah menurunkan rezeki sumber asli dan tenaga manusia yang mencukupi dan seimbang.

Kekuatan jasmani dan rezeki rohnya pula ialah akal, ilmu dan hidayah Islam yang memandu kehidupan manusia dalam aspek akidah dan akhlak yang mengawal akal dan perasaan, serta kemampuan jasad secara individu dan bertaaruf secara bermasyarakat madani, serta akhlak bertimbang rasa, berkasih sayang yang menciptakan konsep bertolong-menolong (bertaawun), walaupun adanya kepelbagaian kemampuan, kemahiran dan hasil yang berbeza.

Tanpa dinafikan ada manusia yang terbatas kemampuannya sehingga ada juga yang malas, bodoh dan jahat yang bermasalah. Ada negeri yang banyak hasilnya dan ada yang sedikit, ada pula yang banyak tenaga manusia dan ada yang sedikit, namun tidak boleh mempengaruhi kehidupan manusia umum yang dikawal oleh undang-undang dan sempadan kehidupan.

Secara tabiinya sebagai contoh, manusia berhajat kepada pakaian, sekurang-kurangnya untuk menjaga jasad daripada alam sekeliling yang mendatangkan penyakit dan gangguan cuaca, kerana ketahanan kulitnya tidak seperti binatang yang tidak memerlukan pakaian dan tidak bermaruah tinggi. Lebih-lebih lagi manusia itu demi menjaga agama dan maruahnya yang mewajibkan menutup aurat, termasuk yang menjaga adab dan akhlaknya tanpa mengira agama dan bangsa, bahkan yang tidak ada agama dan tidak berakhlak semuanya mahukan pakaian.

Justeru itu, apabila semua manusia berhajat kepada keperluan kain. Maka memerlukan pertanian, bidang pengurusan, tanah dan jentera untuk menanam kapas dan sebagainya untuk menghasilkan benang. Kemudiannya kain yang ditenun akan dijahit dan memerlukan jarum yang perlu adanya bidang perlombongan, perindustrian, perniagaan dan pengurusan untuk menghasilkannya.

Begitulah juga keperluan makanan, kediaman, kenderaan dan sebagainya yang memerlukan berbagai sumber semula jadi dan ciptaan yang menghasilkan peluang pekerjaan dan tenaga kerjanya yang banyak, walaupun berlakunya kemajuan sains dan teknologi.

Allah berfirman:
أَهُمْ يَقْسِمُونَ رَحْمَةَ رَبِّكَ نَحْنُ قَسَمْنَا بَيْنَهُم مَّعِيشَتَهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَرَفَعْنَا بَعْضَهُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِيَتَّخِذَ بَعْضُهُم بَعْضًا سُخْرِيًّا وَرَحْمَتُ رَبِّكَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُونَ
“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.” (Surah al-Zukhruf: 32)

Di sini Allah menegaskan konsep pendapatan melalui pembahagian rezeki dan pembahagian kerja yang wajib disaksamakan. Makin ramai manusianya, makin banyak keperluan yang wajib dimajukan tanpa melampau. Sepatutnya makin banyak peluang pekerjaan bagi membanyakkan hasil, sepatutnya juga masalah pengangguran dapat di atasi termasuk yang tidak berupaya tidak tercicir dan terbiar.

Mengapa boleh berlaku masalah pengangguran dan tiadanya peluang pekerjaan? Puncanya ialah diri manusia sendiri yang tidak memenuhi hikmah tujuan mereka diciptakan.

Dunia hanya mengenali pendekatan secara teori dan ideologi ciptaan manusia sendiri tanpa kembali kepada petunjuk Allah yang bernama Islam. Dalam pendekatan ekonomi, mereka hanya mengenali aliran kanan dan kiri, Liberal Kapitalisma, Sosialisme, Komunisme atau Pragmatisme. Islam pula dilupakan atau sengaja tidak dipandang kerana menganggapnya tidak penting atau dengki yang menyemarakkan Islamofobia.

Sejarah Islam memulakan agenda pembangunan manusia daripada Makkah yang kering kontang dan berhijrah ke Yathrib yang ditukar kepada nama Madinah yang disinonimkan dengan Islam sebagai al-Din dan berjaya menangani Masyarakat Madani berbagai kaum dan agama, berbeza kemampuan, pendapatan dan pekerjaan.

Modelnya bermula daripada bumi padang pasir yang tiada hasil dengan membangunkan jati diri manusia yang sempurna dengan jasad, roh dan akal beracuankan ilmu wahyu yang memberi hidayah kepada ilmu akal dan pengalaman. Akhirnya berjaya membetulkan tamadun kebendaan Rom, Parsi, Greece, Mesir, China dan India, bukan menghapuskan semuanya.

Islam mencipta tamadun sejagat dinamakan Hadharah Islamiyyah dan memerintah Timur dan Barat di zaman keemasan Islam yang diamalkan secara menyeluruh, sehingga diterima oleh masyarakat majmuk berbagai agama, bangsa dan budaya serta mampu menyara rakyat semuanya.

Saya pernah mendengar temu bual RTM bersama YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid beberapa tahun lepas. Beliau menegaskan betapa nelayan di pantai dan penoreh getah di kawasan pedalaman keluar awal pagi, menunjukkan bahawa masyarakat yang miskin itu bukannya pemalas.

Hari ini kita menyaksikan anak muda yang berpendidikan tinggi, termasuk yang tidak tinggi pelajarannya tetapi tetap bertenaga muda susah mendapat peluang pekerjaan. Termasuk juga ada yang menganggur atau pendapatan yang tidak mampu menyara hidup di bumi yang banyak hasilnya dan ramai tenaga kerjanya, tetapi masih ramai yang menganggur dan yang telah berkerja pula ramai yang dibuang kerja atau dipotong pendapatannya. Mengapa kehidupan mereka terhimpit?

Masalah ini menunjukkan ada perkara yang salah dengan pendekatan yang tidak betul atau dasar yang tersesat jalan. Sepatutnya pemandu yang mengambil alih silih berganti jangan meneruskan kesilapan pemandu terdahulu dan jangan meninggalkan yang betul, cuma membetulkan kesilapan, bertaubat kalau berdosa, bukan sekadar meminta maaf tanpa mengaku kesalahan dan kelemahan makhluk.

Lakukan muhasabah secara menyeluruh. Percaya bahawa Islam daripada Allah adalah penyelesaiannya berkonsepkan sempurna dan holistik. Bukannya mengumpulkan kekayaan yang berpusing di sekitar keluarga dan kroni sahaja dengan tuduhan orang lain semuanya bodoh, dibiarkan sekadar negara maju walaupun rakyatnya miskin dan menganggur.

Firman Allah:
قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَاْ وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَاْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
“Katakanlah (wahai Muhammad); Inilah jalanku dan orang-orang yang mengikut ajaranku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah (Islam) dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” (Surah Yusuf: 108)

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

PAS Kekal Thabat Walau Diuji Bertali Arus

$
0
0

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) adalah mata rantai perjuangan Islam yang sempurna, bertali arus tanpa putus. Inilah peranan para anbia yang membawa Islam sejak Nabi Adam alaihissalam sehingga Nabi Muhammad ﷺ, Nabi Junjungan Besar yang terakhir dan para pengikutnya yang beriman.

Islam adalah petunjuk Allah yang sempurna, bukan sahaja mengenal Allah Tuhan Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Islam juga menunjuk cara beribadat kepada-Nya dan mengurus alam ciptaan-Nya. Islam adalah petunjuk dalam semua urusan manusia di alam dunia ini.

Manusia itu ditugaskan untuk mentadbir bumi, kerana sifat kejadiannya berakal, bertenaga jasad dan roh serta hidup bermasyarakat madani, dinyatakan sempadan kemampuan akal yang dibebaskan menggunakannya. Dalam perkara di luar kemampuan akal pula, dinyatakan petunjuknya secara nas yang nyata, sama ada melalui kitab yang diwahyukan atau Rasul yang dilantik dengan sifat keistimewaan, kebijaksanaan, akhlak mulia yang luar biasa, bermukjizat dan dikawal pula dengan wahyu tersebut.

Manusia yang diberi akal itu ada yang hanyut kerana menggunakan akal semata-mata dengan sifat kelemahan dirinya dan ada juga yang tidak sempurna akalnya. Kelemahan ini menjadikan manusia tidak tahu semuanya dalam kehidupan alam bumi dan dunia yang bercampur aduk makhluknya yang hidup dan bahan-bahan di atas bumi dan dalam perutnya.

Ada yang bersih, ada yang najis, ada yang penyakit, ubat dan racun. Semuanya mengandungi hikmat yang Maha Agung sehingga tidak ada yang sia-sia dalam ciptaan Allah. Bersih boleh dimakan, diminum dan menjadi pakaian, perhiasan dan berbagai-bagai kegunaan dan alat. Yang najis menjadi baja dan racun, kalau diadun secara saintifik dijadikan ubat atau membunuh serangga perosak.

Apabila ada kalangan manusia yang menolak petunjuk Allah yang dinamakan Islam, kerana dikira menyanggah nafsu dan kebebasannya, menyebabkan mereka menolak cara Islam, sama ada menggunakan akal semata-mata kerana merasa dirinya sangat bijak atau kerana tidak berilmu dalam semua perkara. Maka berlakulah perlawanan sejak zaman dahulu kala sehingga kini. Seringkali pihak yang menentang Islam itu membuli kumpulan Islam atau membelinya dengan kekayaan dan pangkat.

Rasulullah ﷺ menegaskan apabila hendak dibeli dan dibuli dalam kitab Sirah Ibnu Hisyam:
لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ
“Kalau diletakkan matahari di kanan, bulan di kiri atau aku mati kerananya, nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini...”

Maka kita pengikut Nabi Muhammad ﷺ yang menyambung perjuangannya, terlalu murah kalau boleh dibeli dengan kadar 90 juta sahaja atau sekadar ditawarkan dalam kabinet bayangan atau kabinet nyata sekalipun.

PAS berusaha sejak awal lagi bagi menunjukkan cara Islam memerintah dan mentadbir dengan beriman adanya dosa dan pahala, bukan sahaja dikawal oleh rakyat melalui konsep demokrasi yang boleh menolak kerajaan dalam pilihan raya dan adanya tindakan undang-undang terhadap salah laku dan salah urus negara dan negeri. Malahan konsep sekular menemui kegagalan apabila dipisahkan daripada agama.

Malangnya apabila PAS menegaskan bahawa politik dengan agama Islam tidak berpisah dan PAS pernah menang di Kelantan dan Terengganu sejak tahun 1959, kerajaan PAS dibuli oleh kerajaan pusat dan berusaha membeli pemimpinnya dengan berbagai-bagai cara. Ada yang dibuli sehingga ditahan, dibuang daerah, disogok, bahkan pengikutnya dibunuh dalam Peristiwa Memali. Ada juga yang dibeli dengan sogokan di peringkat kampung.

Walaupun ada yang dapat dibeli dan dibuli sehingga meninggalkan PAS dan jatuh kerajaannya di Terengganu tahun 1961 dan Kelantan tahun 1978, namun PAS terus hidup lebih subur dan lebih kuat bersambung generasi menerima serangan dan buli seterusnya.

Apabila menang semula di Kelantan sehingga kini dan Terengganu 1999-2004, memimpin Kedah 2008-2013, PAS terus dibuli dan dibeli, dikepung melalui pencabulan terhadap konsep federalisme melalui kekangan ekonomi, pentadbiran dan media sehingga dirampas Royalti Petroleum Terengganu dan dinafikan Royalti Kelantan dengan berbagai-bagai helah dan putar belit. Disekatnya pelaburan asing sehinggalah pembinaan lebuh raya yang menjadi kewajipan kerajaan pusat juga ditanguh-tangguh.

Tiba-tiba PAS pula dituduh tidak mampu mentadbir negeri dan kata-kata lain yang zalim. Namun PAS telah berjaya menunjukkan contoh pemimpin-pemimpin yang bersih rasuah dan tidak ada seorang pun disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malangnya PAS pula dituduh gagal dan lemah memerintah negeri. Padahal masalah yang ada pada hari ini adalah warisan daripada zamannya menjadi pemimpin dan menjaga kewangan negara.

Masalah ekonomi yang menyusahkan rakyat, harta negara yang bocor, gejala dadah, sehingga berbagai ancaman keselamatan masyarakat adalah kesan daripada zaman pemerintahannya menjadi Perdana Menteri - Timbalan Perdana Menteri sejak 1982 dan beberapa penggal pilihan raya.

Penyakit yang ada pada hari ini bermula sejak sekian lama, bukan bermula setahun dua kebelakangan ini. Maka keluhannya laksana kata pepatah Arab:
ضَرَبَنِيْ وَبَكَى، ظَلَمَنِيْ وَاشْتَكَى
“Dia yang memukul saya dengan zalim, tiba-tiba dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, tiba-tiba dia pula yang mengadu dizalimi.”

Percayalah bahawa pemimpin yang dapat meneruskan perjuangan bersama PAS ini beriman kepada baiah di hadapan Allah sehingga tahan dibuli dan tidak boleh dibeli, serta terus beristiqamah bersama Islam. Alhamdulillah mereka yang tidak sabar dibuli atau berjaya dibeli telah meninggalkan PAS dengan sendirinya.

PAS tegas bersama Islam, tetap percaya hanya Islam mampu menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, keamanan dan keselamatan. Hanya Islam adil untuk semua yang mampu menyatukan masyarakat majmuk berbagai agama dan bangsa.

Kalau PAS menang bersama Islam atau menjadi ‘King Maker’, PAS meletakkan syarat untuk bersama sesiapa sahaja yang menerima Islam. Sekiranya tidak ada pihak yang mahukan Islam, maka PAS terus menjadi pembangkang.

Kalau syarat Islam tidak ada siapa juga yang menerimanya, PAS tidak bersamanya. Sehinggalah kalau tidak ada satu kerusi pun yang dimenangi, PAS mampu hidup, rebah dan bangun bersama rakyat.

Bertemakan firman Allah:
وَلاَ تَهِنُواْ فِي ابْتِغَاء الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat atau berasa terhina) dalam perjuangan (mereka yang menentang kamu) itu; kerana kalau kamu menderita (sakit atau letih atau kehilangan harta atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada Hari Akhirat kelak kerana beristiqamah bersama Islam). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’: 104)

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Islam Tangani Rasuah

$
0
0

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam Surah al-Baqarah, ayat 188:
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada kalangan yang mengendalikan hukuman (pemerintah, pentadbir, hakim dan sebagainya), supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 188)

Hadis Rasulullah ﷺ:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم الرَّاشي والمُرْتَشيَ
“Rasulullahtelah melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah.” (Riwayat Abi Daud dan al-Tirmizi)

Al-Quran petunjuk sepanjang zaman telah menyebut sejak lima abad yang lalu, betapa penyakit rasuah berlaku dahulu kala di kalangan umat terdahulu dan berlaku sehingga kini.

Rasuah termasuk dalam dosa besar yang dilaknat oleh Allah terhadap semua yang terlibat, yang memberi rasuah dan menerima rasuah. Laknat bermaksud tidak mendapat Rahmat Allah daripada dunia sehingga celaka dan neraka di akhirat kalau tidak bertaubat.

Wujudnya rasuah bersama syaitan yang merosakkan manusia dan kehidupannya dengan meniupkan perasaan ingin mendapatkan kesenangan semata-mata tanpa mempedulikan keburukan dan akibatnya yang menimpa diri dan masyarakat.

Islam meletakkan hukum bukan sahaja dalam undang-undang negara yang merangkumi semua urusan pentadbiran, kehakiman, ekonomi dan lain lain, bahkan menjadi sebahagian daripada perkara yang tidak berpisah dengan agama Islam yang sempurna.

Allah mendedahkan penyakit ini berlaku di kalangan semua peringkat, daripada setinggi jawatan sehingga serendahnya, termasuk agamawan sejak zaman dahulu, pelakunya menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
۞يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّ كَثِيرًا مِّنَ الأَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلاَ يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ 
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah At-Taubah: 34)

Firman Allah lagi:
 وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِيَ آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ. وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَّلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat (175). Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (176).” (Surah Al-Aa’raf: 175-176)

Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat secara langsung ketika memimpin negara supaya mengelakkan diri daripada rasuah. Contohnya apabila seorang sahabat dari Kabilah Azd yang ditugaskan memungut hasil daripada salah satu wilayah Islam, secara ikhlas berkata:
هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي
“Ini adalah hasil pungutan zakat kalian (yang telah ditugaskan Rasulullah kepadaku) dan saya terima sebagai hadiah dari mereka.”

Kemudian Rasulullah ﷺ menaiki mimbar sambil memberi ucapan kepada umum kepada para sahabat, Rasulullah ﷺ bersabda tanpa menyebut namanya:
مَا بَالُ الْعَامِلِ نَبْعَثُهُ فَيَأْتِي يَقُولُ هَذَا لَكَ وَهَذَا لِي فَهَلَّا جَلَسَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ وَأُمِّهِ فَيَنْظُرُ أَيُهْدَى لَهُ أَمْ لَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يَأْتِي بِشَيْءٍ إِلَّا جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى رَقَبَتِهِ
“Mengapa ada di kalangan kamu yang ditugaskan memungut zakat kemudian datang kepadaku memberitahu bahawa ini hasil pungutannya diberi kepada saya? Adakah sekiranya dia tetap berada di rumah ibunya dan ayahnya sambil menunggu (tanpa tugas atau jawatan) itu akan diberi atau tidak hadiah kepadanya? Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya, tidak akan ada orang yang mengambil harta seperti ini kecuali esok di Hari Kiamat nanti harta itu akan dibawa bersama, dipikulnya sebagai beban (untuk dibicarakan).”

Ini menunjukkan hadiah luar biasa diberikan oleh kalangan tertentu yang ada kepentingan adalah bertujuan rasuah atau pendahuluan, ia sangat mempengaruhi seseorang yang berjawatan dalam apa-apa urusan. Apatah lagi yang terang dan nyata kerana mempengaruhi sesuatu keputusan yang menyebabkan penyelewengan atau tidak berlaku adil.

Islam meletakkan bahawa jawatan sebagai tanggungjawab seseorang itu ada perhitungan dosa dan pahala yang dikira pada Hari Kiamat nanti, yang menyebabkan seksa di dalam kuburnya di Alam Barzakh dan Padang Mahsyar, seterusnya dihumban ke dalam neraka. Bukan sahaja tiada keberkatan yakni tidak mendatangkan kebaikan daripada hartanya kepada diri dan keluarga dalam kehidupan dunia.

Rasuah tidak tertebus dosanya dengan ibadat seperti haji dan umrah dan lain-lain, kerana melibatkan hak rakyat umum. Besarnya dosa rasuah kerana merosakkan seluruh kehidupan manusia, kerana merosakkan pentadbiran, pengurusan, kehakiman, membawa kesan negatif dalam kegiatan politik, ekonomi sehinggalah alam sekitar dan lain-lain. Ini disebabkan rasuah mempengaruhi segala keputusan dan kelulusan.

Saya pernah disoal dalam ceramah di Universiti Nanyang beberapa tahun yang lalu. Kenapa tidak dimasukkan rasuah dalam kesalahan Hudud dan Qisas?

Jawapannya: Hudud berkait dengan hak Allah, Qisas pula berkait dengan hak manusia, walaupun kesalahannya semuanya jenayah berat. Qisas dan Hudud boleh diletakkan sempadannya. Adapun rasuah melibatkan hak Allah dan hak manusia, kesalahannya pula ada kecil dan ada besar tanpa sempadan, berkait pula dengan sebab penerima rasuah, pemberi rasuah dan sebab kerajaan sendiri yang memberi tugas dan sara hidup dalam kemampuan dan kedudukan yang berbeza yang wajib dilihat.

Maka Islam menetapkan hukuman Takzir yang luas dan anjal, daripada paling berat sehinggalah paling ringan mengikut penilaian yang adil oleh pihak yang berkenaan, sama ada kerajaan, badan kehakiman dan pihak penguatkuasaan, berkonsepkan hukuman Islam yang lebih bersifat mendidik masyarakat daripada menghukum semata-mata.

Kejayaan Islam di zaman kegemilangannya berjaya kerana melaksanakan hukum Islam yang mengandungi aspek “lahiriah” dan “ruhaniah” yang dikawal oleh prinsip iman dan konsep taqwa, berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia yang hanya mengandungi aspek lahiriah sahaja.

Seseorang yang dikawal oleh iman dan taqwanya tidak boleh mengatasi hukum Allah yang ditinggikan menjadi undang-undang negara, serta mereka percaya tidak terlepas daripada hukuman akhirat walaupun terlepas di dunia, kerana tidak boleh mengatasi undang-undang syariat walaupun pandai menipu.

Seorang wanita penjual susu ditegur oleh anak perempuannya supaya jangan menipu apabila mahu meletakkan air ke dalam susu yang hendak dijual. Lalu ibunya terus membatalkan hasratnya

apabila puteri yang solehah itu menyebut bahawa Allah Maha Mangetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar walaupun Saidina Umar tidak tahu. Khalifah Umar yang mengintip perbualan di waktu malam tersebut meminang anak gadis itu untuk puteranya, di mana zuriat yang soleh ini melahirkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal keadilannya.

Islam mengambil kira syarat Islam, iman dan akhlak bagi jawatan-jawatan penting, bukan sekadar syarat ilmu dan pengalaman dalam bidangnya sahaja. Selain itu, diikat pula pula dengan bai’ah apabila

dilantik di jawatan yang penting, tidak cukup sekadar menjadi seorang Muslim dengan mengucap dua “Kalimah Syahadah” bagi penganut Islam. Kehakimannya pula mengambil kira peranan kerajaan yang mencukupi, sifat pelaku dan cara tindakan pihak penguatkuasa yang beradab dengan rukun dan syaratnya tanpa sewenang-wenangnya.

Adapun undang-undang ciptaan manusia tanpa iman, akhlak dan taqwa, boleh terlepas di dunia dan tidak percaya adanya hukuman di akhirat, serta ada kalangan yang meletakkan dirinya mengatasi undang-undang.

Negara Komunis yang paling keras hukuman sehingga menghukum mati terhadap kesalahan rasuah tanpa mengambil kira kesalahan kerajaan dan berbagai pihak seperti majikan yang memberi gaji yang tidak mencukupi kos sara hidup diri dan keluarga.

“Kerajaan Liberal Kapitalis” yang bergaji paling besar juga tidak mampu mengatasi penyakit rasuah, kerana manusia yang tidak puas dengan harta yang banyak, tetap bernafsu mengambil dengan apa jua cara. Undang-undangnya pula ciptaan manusia, hukum Allah hanya ibadat sahaja yang tidak boleh diangkat menjadi undang-undang negara. Maka terciptalah manusia yang berlagak berkuasa mengatasi undang-undang ciptaan kepala dan tangannya sendiri.

Penyakit rasuah tidak mengira Islam dan bukan Islam, kerana semuanya dirasuk nafsu syaitan. Tetapi itulah pendekatan Islam yang disaksikan paling berkesan kerana gabungan jasad dan ruh.

PAS yang berusaha menghayati Islam berjaya menegakkan kerajaan yang bersih daripada rasuah di semua negeri yang diperintahnya khususnya Kelantan sehingga kini, kejatuhan kerajaannya bukan kerana rasuah.

PAS sentiasa membuka pintu sepanjang masa kepada semua pihak kalau ada terpandang berlakunya dosa besar ini untuk disiasat dan diambil tindakan.

PAS tidak melindungi dan mempertahankan sesiapa yang melakukan dosa ini dalam kerajaannya.

PAS membentuk ahlinya dengan ilmu Islam dan tarbiyah. Semua calon dipertanggungjawabkan dengan ikatan baiah setia kepada perintah dalam semua perkara yang tidak bercanggah dengan Islam
termasuk ijtihad jamaah dalam perkara yang tidak ada nas. Semua yang berpenyakit atau berhasrat melakukannya tidak boleh bersama. Ada yang keluar lebih awal dan ada yang dikeluarkan.

PAS mengizinkan semua pihak untuk menyiasat kalau ada yang melakukan rasuah dalam kerajaannya mengikut cara yang adil tanpa fitnah.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Jentera Penjajah Menjadikan Gerakan Kebangkitan Islam Sebagai Musuh

$
0
0

Saya menarik perhatian terhadap bantahan yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh ilmuan dan masyarakat terhadap kenyataan yang terkandung di dalam hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul yang berbunyi seperti berikut:

“Dahulu kita telah membebaskan diri kita dari pemerintahan penjajah; sekarang kita sedang bertungkus-lumus untuk membebaskan diri kita dari “kayu-kayu mati” yang menindas, melemahkan semangat, yang berbohong dengan diri mereka, bahawa mereka ‘mendahulukan rakyat’.”

“Tidak ada kerajaan dan pemerintahan yang bersih; tidak ada pilihan raya yang bersih; tidak ada institusi yang bersih; tidak ada penguatkuasa undang-undang yang bersih; tidak ada pengurusan kewangan dan sumber yang bersih; tidak ada pemimpin bersih yang boleh dipercayai.”

“Perhatikan peningkatan rasuah dan skandal; Institusi-institusi yang gagal seperti kehakiman, SPRM, sistem pendidikan; pertambahan hutang-hutang asing; ahli-ahli politik pemecah-belah; dan lain-lain...”

Hebahan rasmi Rt. Rev. Bernard Paul ini dan satu lagi hebahan rasmi, iaitu Bishop’s Circular No: BP/2018/014 yang mengarahkan semua “Parishes and religious houses” untuk berdoa supaya Tuhan campur tangan dan berlaku perubahan dalam PRU-14, adalah bagi menggesa penganut agama Kristian supaya menukar kerajaan dalam PRU-14.

Imam Ali bin Abi Talib radhiallahu anhu pernah menegaskan:
كَلِمَةُ حَقٍّ أُرِيدَ بِهَا بَاطِلٌ
“Ucapan yang pada zahirnya satu kebenaran, padahal tujuannya kebatilan dan kejahatan.”

Mereka sebenarnya termasuk bala tentera penjajah yang dilatih bagi mengekalkan teori atau ideologi sekularisme yang dianut oleh penjajah itu mengikut kitab Bible yang menjadi rujukan dan pegangan mereka.

“Give to Caesar that belongs to Caesar; and to God the things that are God’s...” (Matthew 22:21)

“Then Jesus said to them; Give back to Caesar what is Caesar’s and to God what is God’s. And they were amazed at him...” (Mark 12:17)

Kesimpulan maksudnya, “Berikanlah kepada Kaisar apa yang milik Kaisar, dan kepada Allah apa yang milik Allah...”.

Al-Quran yang mewajibkan umatnya beriman kepada Nabi Isa alaihissalam, Rasul Allah dan Hamba-Nya serta beriman kepada kitab Injil yang asal menegaskan firman Allah:
وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالإِنجِيلَ. وَرَسُولاً إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُم بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُم مِّنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُبْرِئُ الأَكْمَهَ وَالأَبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَى بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُنَبِّئُكُم بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَةً لَّكُمْ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ. وَمُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَلِأُحِلَّ لَكُم بَعْضَ الَّذِي حُرِّمَ عَلَيْكُمْ وَجِئْتُكُم بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ فَاتَّقُواْ اللَّهَ وَأَطِيعُونِ. إِنَّ اللَّهَ رَبِّي وَرَبُّكُمْ فَاعْبُدُوهُ هَذَا صِرَاطٌ مُّسْتَقِيمٌ
“Kami kurniakan ilmu kepadanya (Isa alaihissalam) berkenaan kitab, kebijaksanaan, Kitab Taurat dan Injil (48). Dan kami lantik Dia menjadi Rasul kepada Bani Israel. Sesungguhnya Aku (Isa) berkata; Aku tunjukkan untuk kamu (mukjizat) patung burung daripada tanah, aku tiupkan padanya, menjadi burung yang sebenar (berterbang) dengan izin Allah, Aku juga menyembuhkan orang yang berpenyakit kronik buta, dan sopak dan hidupkan orang yang telah mati dengan izin Allah, aku beritahu apa yang kamu makan dan yang kamu simpan sembunyi di rumah kamu. Itu menjadi tanda (mukjizat) untuk kamu supaya kamu beriman (49). Supaya kamu juga percaya kepada Kitab Taurat (perjanjian lama) dan supaya aku halalkan kepada kamu sebahagian daripada yang pernah diharamkan terhadap kamu. Aku bawakan kepada kamu ayat (tanda bukti) daripada Tuhan Kamu. Maka bertaqwalah kepada Allah dan taatilah kepadanya (50). Sesungguhnya Allah sahaja Tuhan kamu, Beribadat kepadanya sahaja. Inilah jalan yang betul (51).” (Surah Aali-Imran: 48-51)

Parti-parti sekular dilindungi oleh gereja yang meneruskan warisan penjajah itu. Menterjemahkan Islam daripada perkataan ‘religion’ bukannya ‘al-Din’ mengikut bahasa al-Quran. Malangnya ada kalangan mereka menjadi ahli Zionis (Pertubuhan Yahudi Ekstrem) yang mereka percaya membunuh dan mensalibkan Nabi Isa alaihissalam. Adapun kami umat Islam percaya Nabi Isa alaihissalam tidak disalib, bahkan Isa akan kembali di akhir zaman menyatukan umat Kristian kembali bersama umat Islam.

Saya telah menghidu betapa DAP mendapat bayangan kalangan mereka itu, menjadikannya sangat galak berjuang merobek Perlembagaan Persekutuan, mendesak supaya merendahkan kedudukan Islam dan melemahkan Institusi Raja-Raja Berperlembagaan secara senyap dan sindiran. Mereka bergabung dengan golongan anti hadis dan liberal. Kalangan ahli politik yang mencari jalan pintas bergayut bersama, sama ada kalangan umat Islam yang bebal sepak terajang politik atau yang buta politik, dan juga kalangan bukan Islam.

Islam meletakkan kedudukan para paderi yang tidak bermusuh terhadap Islam dengan adil dan saksama. Al-Quran menunjukkan betapa kasih sayang terhadap para paderi yang dirakamkan dalam Firman Allah:
لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُواْ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ الَّذِينَ قَالُواْ إِنَّا نَصَارَى ذَلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ
“Kamu pasti mendapati kalangan paling bermusuh terhadap orang-orang yang beriman itu ialah orang Yahudi dan Musyrikin. Dan kamu dapati yang paling dekat dan mengasihi orang-orang yang beriman itu daripada kalangan yang berkata kami adalah orang-orang Nasora (Kristian). Mereka itu terdiri daripada kalangan para paderi dan pendita dan mereka tidak takabur (sombong).” (Surah al-Ma’idah: 82)

Islam yang sebenar berjaya membuktikan kerajaan yang bersih, adil dan rahmat. Apa yang berlaku kini bukannya model Islam yang sebenar. Walaupun sudah ada undang-undang menentang rasuah dan salah laku tetapi dihilangkan roh Islamnya kerana pemisahan politik daripada agama.

Mereka terus mempertahankan prinsip dan konsep ideologi penjajah itu, contohnya direalisasikan penentangannya terhadap RUU 355 kerana tujuannya memperkenalkan sedikit hukum Islam yang berbeza dengan undang-undang warisan penjajah dalam hanya hukuman sebatan yang sama sebutannya, tetapi berbeza konsep dan caranya. Walaupun dalam perkara yang berkait umat Islam tanpa menyentuh penganut bukan Islam, tetapi mereka menentang juga dengan berbagai helah dan mempengaruhi penganut Islam dan mengugut kalangan bukan Islam yang terus menghormati hubungan masyarakat majmuk.

Kami dapat membaca yang tersirat daripada kenyataannya bagi meminggirkan Islam daripada Perlembagaan dan memperkecilkan Raja-raja yang menjadi Ketua Agama yang dibandingkan seperti kayu-kayu mati. Padahal mereka yang mengerat akarnya supaya mati, bukannya ditukar bajanya daripada baja ciptaan penjajah kepada baja Islam.

Kalau para ulama PAS yang berjubah dan berserban turun ke medan bertanding pilihan raya menjadi calon, maka saya juga mencabar supaya mereka itu terjun ke medan politik bersama parti yang dipilihnya tanpa mencabut jubah paderi yang dipakai itu.

Cukuplah jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Parlimen yang terdekat menegaskan, bahawa hanya pemimpin PAS yang tidak disoal siasat oleh SPRM. Bukan PAS mahu mengangkat diri sendiri kerana dilarang oleh Islam, tetapi pihak lain yang memberi jawapan. Rahsianya kerana Islam menjadi akidah perjuangan yang meletakkan politik menjadi sebahagian daripada agama.

Kisah benar dalam sejarah Islam, apabila seorang wanita penjual susu di zaman Khalifah Umar radhiallahu anhu meletakkan air ke dalam susu di waktu malam untuk dijual di pasar besoknya. Tiba-tiba anak gadisnya menegur, “Ibu jangan menipu!”. Ibunya menjawab, “Khalifah Umar tidak tahu!”. Maksudnya ketua negara yang menguatkuasakan undang-undang tidak tahu kerana dilakukan waktu malam, penguatkuasa sedang tidur. Si anak gadis menjawab, “Walaupun Umar tidak tahu, tetapi Tuhan Umar Maha Mengetahui”.

Khalifah Umar yang mengintip terus menandakan rumah itu. Tiba-tiba gadis yang beriman dan budiman itu dipinangkan untuk puteranya. Ya! anak ketua negara berkahwin anak penjual susu yang miskin. Keberkatannya melahirkan zuriat seorang bernama Umar bin Abdul Aziz yang pernah menjadi idola Ketua Menteri Pulau Pinang dahulunya.

Rahsianya apabila Islam meletakkan semua urusan manusia termasuk memerintah negara dan politik berwawasan Akhirat mengikut perhitungan dosa dan pahala atau syurga dan neraka.

Maka usaha meminggirkan Islam daripada Perlembagaan Persekutuan, melemahkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, melumpuhkan atau membatalkan institusi yang berkaitan dengan Islam hendaklah ditentang habis-habisan. Tegasnya wajib menolak parti-parti yang berhasrat demikian, kalangan bukan Islam berbagai agama juga wajib menolak langkah yang mahu mengekalkan agenda penjajah yang telah kita sama-sama menghalaunya.

Semua kaum dan penganut berbagai agama dalam masyarakat majmuk memilih demokrasi sama ada parti-parti dalam Perikatan dahulu (Umno, MCA, MIC, USNO, PBB dan lain lain) termasuk PAS yang terus rela menjadi pembangkang menerima Perlembagaan Persekutuan yang ada berteraskan Islam Agama Persekutuan dan hak kebebasan kepada agama-agama lain, serta Raja Berperlembagaan bersama sistem demokrasi yang damai. Semuanya mengetahui masih banyak kelemahannya yang wajib diubah secara merdeka daripada saki baki pemikiran penjajah dan pengaruhnya.

PAS berjuang secara damai memilih pendekatan demokratik melakukan perubahan yang sangat menghormati hubungan masyarakat majmuk walaupun sekadar berkuasa khususnya di peringkat negeri Kelantan, paling lama penuh sabar menghadapi tekanan dan kepungan dengan mengutamakan hubungan dalam konsep federalisma yang lebih diutamakan daripada kepentingan negeri dan satu kaum dan satu agama sahaja tanpa paksaan terhadap bukan Islam.

Maka PAS menentang sekeras-kerasnya terhadap kalangan yang merungkai Perlembagaan yang merosakkan, bukan penambahbaikan. Lebih membahayakan lagi kalangan yang menjadi jentera penjajah yang menjadikan Islam sebagai musuh sehingga boleh mengancam kedaulatan negara.

PAS tetap beristiqamah di atas dasar dan konsep tersebut walaupun menang atau kalah sehingga laksana burung yang bertongkat paruh sehingga akhir hayat.

Firman Allah:
وَلا تُجَادِلُوا أَهْلَ الْكِتَابِ إِلاَّ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِلاَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ وَقُولُوا آمَنَّا بِالَّذِي أُنزِلَ إِلَيْنَا وَأُنزِلَ إِلَيْكُمْ وَإِلَهُنَا وَإِلَهُكُمْ وَاحِدٌ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
“Dan janganlah kamu berdebat dengan Ahli Kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah; Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri.” (Surah al-Ankabut: 46)

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

PAS & Cabaran Segenap Penjuru

$
0
0

Di kalangan yang sempit pemikiran politik tidak boleh memahami hanya sekadar dua penjuru sahaja, sama ada menyokong kerajaan atau melawan kerajaan dengan apa cara sekalipun, tidak ada lagi pilihan yang lain dalam perjalanan politiknya.

Rasulullah ﷺ yang berpolitik dengan petunjuk al-Quran melakukan bai’ah sebelum berhijrah dengan mereka yang sedia bersama Islam, hanya kalangan yang sedia menghadapi tentangan yang datang daripada segenap penjuru. 

Baginda ﷺ menolak kalangan Bani Amir yang bertanyakan kabinet bayangan ketika hanya masih bermimpi mendapat kuasa, dan menolak Bani Syaiban yang hanya bersedia menghadapi Kabilah Arab yang sebangsa dengan mereka, namun tidak bersedia menghadapi cabaran daripada segenap penjuru, di antaranya kalangan musyrikin, munafiqin, ahli kitab di Madinah dan dari luar Parsi dan Rom.

Akhirnya Baginda ﷺ menerima bai’ah ‘Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah, apabila mereka tidak hanya mengucap dua kalimah syahadah, bahkan mereka bersedia dengan bai’ah berdepan dengan seluruh penjuru dunia yang menentang Islam. Kemudian bertahaaluf dengan kaum Yahudi Madinah, menerima Kristian Najran dan Musyrikin yang menerima Piagam Madinah yang mendaulatkan Islam.

Langkah Rasulullah ﷺ bertepatan dengan risalah dakwah berkonsepkan tiada paksaan terhadap penganut berbagai agama dan kalangan berbilang kaum dan bangsa. Adapun politik Baginda ﷺ memerintah masyarakat majmuk yang berkonsepkan rahmat kepada seluruh manusia dan adil terhadap semua, menyebabkan perjuangannya ditentang oleh semua pihak yang datang daripada Timur dan Barat, Utara dan Selatan.

Allah membahagikan manusia itu bukan sahaja beriman, munafik dan kafir dari segi sikapnya terhadap Islam. Tetapi dibahagikan pula kalangan yang bersahabat dan bermusuh secara terbuka dan bersembunyi, berilmu dan jahil dari segi akalnya. Dibahagikan juga, sikap mereka yang telah pun Islam terhadap petunjuk Allah dalam kehidupan dunia ini, namun ada yang cuai dan malas, ada sederhana dan ada pula yang sangat taat, di samping tidak sama pengetahuan dan amalannya terhadap Islam. Ini dinyatakan oleh firman Allah:
 وَالَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ هُوَ الْحَقُّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ إِنَّ اللَّهَ بِعِبَادِهِ لَخَبِيرٌ بَصِيرٌ. ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
“Dan al-Quran yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad ﷺ) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi Maha Melihat dan Memerhatikan (31). Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata) (32).” (Surah Faatir: 31-32)

PAS terlibat sejak awal menentang penjajah bersama masyarakat beragama Islam yang berbagai tahap kefahaman dan ilmunya, dan juga bersama penganut bukan Islam berbagai agama dan ideologi yang diperjuangkannya dengan sikap yang berbeza terhadap Islam.

PAS boleh bersama puak kanan dan kiri yang menentang penjajah pada dasarnya, namun PAS menolak kumpulan kiri yang bertindak keras dan kumpulan kanan yang hanyut mengikut agenda penjajah. PAS menyertai pilihan raya tiga penjuru dan empat penjuru menentang PERIKATAN (Umno, MCA, MIC), Parti Negara dan Front Sosialis. PAS tidak masuk hutan bersama kumpulan kiri yang keras.

Walaupun PAS bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1955 dan satu-satunya parti pembangkang dengan hanya satu kerusi, tetapi berjaya meletakkan titik persamaan dengan UMNO untuk menjadikan Islam adalah Agama Persekutuan dan kuasa raja-raja, walaupun hanya sekadar sedikit kuasa yang diberikan kepada negeri dan raja-raja, serta hak kebebasan kepada berbagai agama yang dianuti oleh masyarakat majmuk, sehingga menjadi konsep diterima oleh MCA dan MIC (Pakatan Harapan belum wujud).

Adapun PAS terus menjadi pembangkang yang menyertai pilihan raya selepas kemerdekaan sehingga kini, kerana menentang kecuaian UMNO dalam pelaksanaan syariat Islam walaupun telah berkuasa lebih daripada setengah abad. Namun tidak menafikan agenda agama Islam seperti mendirikan masjid, membenarkan pengajian Islam, bank Islam dan muamalat ekonomi Islam. PAS tetap menentang kecuaiannya tidak mengharamkan riba, melesenkan arak, judi dan maksiat sehingga tidak ada kuasa kepada Mahkamah Syariah bagi dilaksanakan hukum Islam walaupun terhadap umat Islam sahaja, tanpa menyentuh penganut agama bukan Islam.

PAS tetap menentang UMNO secara beradab dan bersopan, walaupun berlakunya ketidakadilan terhadap kerajaan PAS Terengganu sehingga merampas Royalti Petroleum dan menafikan hak Kelantan, namun PAS tidak berjuang mengeluarkan Kelantan dan Terengganu daripada Malaysia. Walaupun hak diberikan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi PAS tetap bersama dalam Malaysia, tidak seperti kalangan yang menyebarkan fahaman anti semenanjung di Sabah dan Sarawak dan mengajak negara asing campur tangan urusan tanah air tercinta ini.

PAS bertindak secara sopan dalam isu 1MDB dengan bersemuka secara berdepan dan berhujah tanpa mendesak campur tangan asing, namun Melayu PAS tidak lupa terhadap isu yang berantai sebelumnya seperti BMF, PERWAJA, PETRONAS, Tabung Haji, FOREX, KWSP dan menghapuskan konsep negara kebajikan kepada negara kerajaan berniaga.

Walaupun memakan masa yang panjang, di mana kalangan yang terlibat masih berada dalam kehidupan dunia, maka PAS tidak bersama dengan saki baki yang pernah menjadi punca masalah yang masih menjadi penyakit sehingga kini, di mana PAS tidak bersama tindakannya menjadi pembangkang yang tidak bersopan.

PAS juga menentang GST yang membebankan rakyat, bukannya sekadar memburu pencuri cukai dan SST yang tidak mencukupi, tetapi kerana kesilapan mereka yang pernah memimpin negara beberapa lama dahulu. 

PAS bukan hanya menyatakan tidak bersetuju, tetapi mengemukakan cadangannya sendiri dalam konsep percukaian bagi menampung kewangan negara kerana mewarisi kesilapan pemimpin UMNO yang terdahulu. PAS bukannya seperti mereka yang hanya menentang untuk merebut kerusi di Putrajaya, namun mengekalkan mereka yang terlibat dalam kesilapan yang berlalu.

PAS wajib menentang parti yang nyata anti Islamnya, bersama Melayu yang diperkudakan dan pengkhianat yang bersekongkol dengannya yang bakal menjadi laksana ekor cicak yang putus daripada badannya kerana meninggalkan PAS.

Kini mereka berani bersuara tanpa sopan terhadap sensitiviti umat Islam dengan kenyataannya yang terbuka dalam urusan umat Islam. Namun PAS tidak bermusuh dengan mereka yang bersopan terhadap umat Islam. Ini berpandukan firman Allah: 
عَسَى اللَّهُ أَن يَجْعَلَ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ الَّذِينَ عَادَيْتُم مِّنْهُم مَّوَدَّةً وَاللَّهُ قَدِيرٌ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ. لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ. إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَن تَوَلَّوْهُمْ وَمَن يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (7). Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil (8). Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (9).” (Surah al-Mumtahanah: 7-9)

Inilah pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang sinonim dengan konsep demokrasi berdepan secara damai, sama ada terhadap umat Islam yang berbeza pendapat dan melakukan kesilapan yang wajib dibetulkan, termasuk juga sikap terhadap bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam bahkan menerima pemerintahan Islam.

PAS tidak boleh membiarkan kalangan yang nyata bermusuh terhadap Islam dengan jelas mahu menggugat kuasa politik umat Islam dan para pengamal politik oportunis yang berkeliaran mencari jalan mudah dan jalan pintas ke Putrajaya walaupun meredah hutan politik untuk berkuasa semata-mata walaupun berwala’ kepada musuh Islam.

PAS memilih konsep demokrasi dalam amalan politiknya dengan beristiqamah bersama Islam sejak ditubuhkan pada tahun 1951 sehingga kini, dan melangsungkan perjuangan menegakkan Islam sejak kedatangannya di nusantara ini. Sehingga kekuatan Islam tidak boleh dimurtadkan oleh penjajah barat yang membawa agenda mengembangkan agama Kristian yang dibawanya. Pendekatan politik secara damai dilaksanakan sehinggalah penjajah itu terpaksa mengadakan Jabatan Agama Islam bagi mengepung kuasa politik Islam dalam skop yang sempit.

Maka PAS kini menubuhkan Gagasan Sejahtera yang mempertahankan kuasa politik Islam dalam masyarakat majmuk dan pelaksanaan Islam yang sempurna, dengan persediaan menghadapi pilihan raya menentang BN yang telah lama berkuasa yang perlu direhatkan dan pihak parti pembangkang lain yang tidak sama dasar dan pendekatannya dengan PAS, yang mengumpulkan kumpulan anti Islam dan oportunis politik sementara waktu.

PAS juga memperkenalkan politik matang dan sejahtera, tujuannya membersihkan politik temberang, bohong, fitnah dan melampau, serta kalangan yang hanya mencari kesempatan berkuasa tanpa dasar yang betul dan hala tuju yang benar-benar menyelamatkan rakyat dan negara bersama Islam.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Media Baharu dan Akhlak “Pejuang Siber”

$
0
0

Media baharu dengan aneka aplikasinya adalah anugerah Allah Taala buat umat manusia. Bijak dan betul cara mengendalikannya adalah satu rahmat yang besar. Sebaliknya gagal mengekang fitnah dan adab melayarinya, mengundang celaka dan sengketa sesama manusia.

Tidak syak lagi, medium ini pada hari ini adalah aplikasi yang sangat berkesan untuk menyebarkan informasi dan maklumat serta menyimpan pelbagai bentuk data. Sebagaimana ia juga menjadi “senjata” pemusnah bagi skuad pembunuh karektor dan penyambung lidah syaitan.

Terpulang kepada penggunanya. Media baharu hanya alat dan teknologi yang kesannya tergantung kepada insan yang mengurus dan menyelia. Bahasa mudah, media baru ini boleh menjadi “mesin” untuk menghasilkan pahala sebanyak yang dikehendaki sebagaimana ia juga boleh menjadi “kilang” memproses dosa yang tidak terkira besar dan beratnya.

Sebagai anggota Parti Islam Se-Malaysia (PAS), media baharu sayugianya diurus kendali dengan adab, akhlak Islami dan penuh tanggungjawab. Mengambil kira faktor dosa dan pahala serta syurga dan neraka. Meskipun beraksi di “cybernet” dan alam digital, kita tetap tidak terlepas dari pemantauan “Raqib” dan “Atid” yang tidak pernah cuai menjalankan tanggungjawab mengekori perlakuan umat manusia. Bahkan Allah Taala, sifat-Nya adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui setiap apa yang tersembunyi dalam hati manusia.

Justeru itu, wajarnya media baharu dimanfaatkan sepenuhnya untuk:
  1. Menyebarkan risalah perjuangan Islam
  2. Menangkis fitnah terhadap Islam
  3. Memberi pencerahan ke atas apa jua bentuk kekeliruan terhadap Islam dan perjuangannya dan sebagainya.
Menggunakan media baharu untuk saling mendedahkan keaiban peribadi sesama sendiri, melondehkan isu dalaman kekeluargaan yang melibatkan krisis suami isteri dan anak-anak, “copy” dan “paste” maklumat yang tidak pasti, “create” dan “share” perkara yang tidak benar adalah sama sekali terluar daripada skema akhlak Islam yang jitu dan murni.

Malah tindakan sedemikian bukan pedoman dan peribadi yang sepatutnya bagi anggota Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Meskipun mereka mendakwa sebagai ahli PAS atau mewakili mana-mana agensi PAS, ketahuilah bahawa dakwaan mereka adalah palsu dan PAS tidak boleh memperakui mereka yang memanjangkan lidah syaitan di media kontemporari ini.

Kita semua sedar, medan media serba canggih ini terdedah kepada “fake account” dan “nick name” yang terlalu banyak. Sebahagian mereka mendakwa sebagai ahli dan mewakili PAS, tetapi membuat “status” dan “posting” yang bukan sahaja tidak menguntungkan PAS tetapi memulangkan persepsi negatif kepada PAS.

Semua ahli PAS dan warga netizen yang menyokong serta bersimpati dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS disarankan agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan taktik “perang saraf” yang dilancarkan oleh musuh Islam dan juga musuh PAS.

Kita harus menyedari, penggunaan bahasa-bahasa fitnah di media baharu ini adalah senjata paling murah dan mudah tapi sangat berkesan untuk membunuh karektor seseorang, terutama pada zaman digital hari ini. Musuh-musuh PAS sentiasa mereka-reka fitnah dengan penuh licik dan teliti sehingga sukar dibezakan antara fitnah dan kebenaran.

Akibatnya masyarakat mati hidup percayakan fitnah tersebut. Meskipun penafian diulang siar, tiada siapa yang mahu peduli dan mempercayai penafian tersebut lantaran fitnah itu dianggap lebih meyakinkan seolah-olah bertaraf “sahih” pada zatnya.

Mendepani fitnah begini, tiada apa yang boleh PAS lakukan kecuali mestilah banyak berserah kepada Allah, di samping ikhtiar memberikan penjelasan kepada khalayak. Tentu sahaja, mereka yang derita sebagai mangsa fitnah kena banyak bersabar. Mohon pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Inilah yang diajar oleh Allah kepada umat Islam:
وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ
“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat sedang sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang merendah diri kepada Allah.” (Surah al-Baqarah : 45)

Fitnah-fitnah yang dicetuskan untuk menyerang PAS ini lahir dari kebankrapan hujjah dan isu, juga hasil daripada runtuhnya nilai akhlak dan peribadi. Pengamal fitnah ini mewarisi “saka iblis” yang liar dan buas. Mereka tidak boleh melihat Islam berkembang dengan pesat, Syariat Islam diperkasakan, pasti mereka akan meronta lalu merencana fitnah lantas menyebarkan ke seluruh pelusuk dan penjuru ufuk melalui kecanggihan digital.

Mereka yang merencana fitnah seperti ini sebenarnya berdepan dengan ancaman azab dari Allah Taala. Sabda Nabi ﷺ :
وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِى أَتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ ـ أي يقطع ـ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَمَنْخِرُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الْكَذْبَةَ تَبْلُغُ الآفَاقَ
“Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disangkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disangkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia.” (Riwayat al-Bukhari)

Sasaran Budaya Politik Matang dan Sejahtera ialah menghapuskan politik fitnah. Meskipun sukar, ia antara tugasan wajib dan jihad Islami yang mesti digalas oleh para pejuang Islam dengan gigih dan tekun. “Ranking” fitnah yang paling tinggi ialah kesyirikan kepada Allah dalam ideologi dan pegangan hidup.
وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ
“Dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah agama itu semata-mata milik Allah, jika mereka berhenti maka tiadalah permusuhan melainkan terhadap orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah : 193)

Pengamal dan penyebar tegar fitnah ini tidak akan berjaya di dunia dan akhirat. Justeru, anggota jamaah Islam jangan sekali-kali pernah terjebak dalam kancah penyebaran fitnah, apatah lagi mencipta fitnah. Amalkan konsep “tabaayun” sebelum sebar sebarang maklumat.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

YB Ustaz Nasrudin bin Hasan Tantawi merupakan Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat.

Bahana Golongan Yang Bertuhankan “Diri Sendiri”

$
0
0

Allah Taala berfirman dalam Surah al-Jathiyah, ayat 23 :
أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَن يَهْدِيهِ مِن بَعْدِ اللَّهِ أَفَلا تَذَكَّرُونَ
“(Wahai Muhammad) bagaimana fikiranmu terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya; Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur ingkar) dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah (petunjuk) kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” (Surah al-Jathiyah: 23)

Allah Maha Mengetahui bahawa dalam dunia ini tetap ada kalangan orang yang sombong seperti makhluk bernama Iblis yang lebih mengenali Tuhan sehingga berdailog dengannya. Begitulah diceritakan dalam al-Quran, namun Iblis tidak layak mendapat hidayah (petunjuk) ke jalan yang benar, kerana sombongnya sehingga mengangkat diri sendiri. Biarkan dia terjun dengan labu-labu kesombongannya, merasa syok sendiri, merasa dia sangat bijak, sehingga dia mati dengan kesombongannya, disebabkan menjadi kufur menentang Allah.

Iblis dibiarkan bebas mencari pengikut dan bala tenteranya sehingga akhir hayatnya, khususnya mereka yang sombong hari ini seperti menafikan apa yang diceritakan selepas mati di alam ghaib yang tidak dapat dilihat dengan pancaindera akal, mata dan telinga. Berbeza dengan Iblis yang pernah menyaksikan pun kufur juga dengan sebab sombong.

Makhluk yang zahir nyata pun tidak diketahui semua, termasuk organ yang halus dalam jasad manusia itu sendiri, seperti urat dan saraf dalam biji matanya yang paling dekat.

Firman Allah Taala :
وَفِي أَنفُسِكُمْ أَفَلا تُبْصِرُونَ
“Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti ketuhanan Allah)?” (Surah al-Dzaariyat: 21)

Allah telah menyebut kalangan ini kepada orang yang beriman dan budiman. Firman-Nya:
وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahannam banyak dari kalangan jin dan manusia yang mempunyai hati (akal) tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’araf: 179)

Ada kalangan mereka yang menolak adanya Tuhan (Allah), kerana tidak dapat dilihat dengan mata dan didengar dengan telinganya. Padahal dalam dirinya sendiri ada aspek akal dan roh yang ghaib tidak dapat dilihat dan didengar. Kadang-kadang ditunjukkan adanya aspek roh dan akal itu melalui pergerakan anggota jasad dalam melakukan sesuatu mengikut pilihannya, kecuali orang berpenyakit gila tidak dapat mengawal dirinya atau kanak-kanak yang belum matang kejadiannya. 

Namun, ada kalangan yang berakal dan bijak tetapi bersifat sombong dan degil menolak perkara-perkara ghaib, kerana berlagak dia tahu segala-galanya.

Ada perkara yang tidak mampu dilihat dan dirasa walaupun adanya. Contohnya, dia menyaksikan adanya tenaga eletrik dengan dalil lampu bernyala, kipas berpusing, suaranya kuat luar biasa dan jentera bergerak tanpa dapat melihat tenaga eletrik dengan matanya. Namun, percayalah dia tidak berani dan takutkan mati juga kalau lebih menyiasat dengan membelah wayar pembalut untuk disentuh bagi mendapatkan bukti yang nyata. Percayalah dia tidak berani melihat cahaya yang sangat kuat kerana boleh membutakan matanya. Adapun Allah tiada terbanding dengan makhluk ciptaan-Nya.

Kalangan seperti ini pada zaman dahulu ada yang bergelar ahli falsafah yang menolak adanya Tuhan. Apabila dia terdesak menghadapi bahaya tiada penyelamat, lalu fitrahnya percaya adanya Tuhan dan berdoa. Namun setelah selamat dia kembali sombong lagi.

Kalangan mereka menolak Para Rasul alaihim al-salam pilihan Allah yang bijak dan mulia akhlaknya. Kalangan ini juga menolak Kaabah sebagai tanda kiblat yang dibina oleh Nabi Ibrahim alaihi al-salam yang disanjung oleh penganut semua agama dengan kepercayaan dan sebutan masing-masing. Namun mereka bersedia menyembah binatang yang bodoh dan menyembah patung batu yang dipahat wajahnya sangat buruk, bahkan wajah dirinya sendiri lebih cantik daripada patung yang dipahat dan diukirnya. Patung itu tidak boleh bergerak sehingga diusung ke sana dan ke mari, jauh sama sekali memberi manfaat dan mudarat.

Kalangan ini menolak halal dan haram dalam makanan dan minuman berpandukan akal semata-mata, sehingga semuanya dimakan dan diminum mengikut akal sahaja. Tiba-tiba ternyata kajian saintifik hari ini menunjukkan yang haram itu menjadi punca berbagai penyakit.

Kalangan ini juga menolak hukum menutup aurat yang diwajibkan oleh Islam, tiba-tiba meletakkan solekan dan hiasan diwajahnya supaya berwarna seperti binatang yang dikira cantik seperti monyet dan burung-burung yang tidak berakal.

Ternyata juga bahawa hubungan tanpa perkahwinan yang diharamkan oleh Islam menjadi sebab berlakunya berbagai penyakit. Adapun yang berhubung melalui pernikahan yang sah mendatangkan berkat kalau mengikut adab dan akhlak.

Selain itu, kalangan ini menolak hukum jenayah Islam (Qisas, Hudud dan Takzir) yang syarat-syaratnya sangat ketat tetapi menakutkan bagi tujuan menentang keganasan secara mendidik dengan ilmu Allah. Mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka menentang hukum Allah itu membela pengganas. Padahal mereka boleh menerima segala jenis pembedahan anggota jasad bagi menyelamatkan jasad seorang manusia yang sakit. Sedangkan hukuman jenayah Islam adalah pembedahan bagi menyelamatkan masyarakat yang ramai jumlahnya.

Kalangan ini juga menolak ayat-ayat al-Quran dan menolak Hadis Rasulullah ﷺ khususnya perkara yang hikmahnya tidak mampu dicapai oleh akal mereka yang tetap mempunyai kelemahan. Mereka menolak Isra’ Mikraj dan menolak cerita Nabi Ibrahim sedia mengorbankan putera kesayangannya, Nabi Ismail kerana mentaati perintah Allah sebagai satu ujian yang kemudian dibatalkan.

Al-Quran mendedahkan banyak aspek yang lain dalam sejarah silam yang benar, seperti adanya negara yang membina tamadun di atas kezaliman memperhambakan rakyat yang tidak disentuh oleh pengkaji barat, tetapi tamadun yang dibina berkonsep kezaliman inilah yang dibangga dan dipuja. Kejadian alam angkasa lepas yang dibuktikan benarnya oleh para saintis terkini, sehingga ada saintis yang bertugas di NASA USA, Rusia dan Eropah menganut Islam setelah mengkaji terjemahan al-Quran berkenaan Isra’ Mikraj dan Lailatul Qadar.

Ada juga yang mengkaji al-Quran dan perbandingan dengan kitab-kitab agama lain, sehingga akhirnya mengisytiharkan menganut Islam. Para ahli undang-undang yang bersidang di Belanda selepas

Perang Dunia Pertama menjadikan al-Quran rujukan penting bagi menggubal undang-undang antarabangsa dan beberapa Piagam sehingga menjadi contoh kemudiannya mengikut perkembangan dan perubahan.

Ada pun kalangan yang bercakap besar menghina Islam itu “loyar buruk” sahaja atau ilmuan syok sendiri. Sila siasat latar belakang pengajian dan akhlaknya walaupun berjela ijazahnya?

Apa sangat mereka yang kerdil di Malaysia ini yang mengaku Islam kerana takutkan masyarakat umum, tetapi mahukan Islam tunduk kepada kemahuan akalnya yang lemah dan ilmunya masih sedikit kalau dibandingkan dengan tokoh yang lebih besar telah menerima Islam seperti, Muhammad Asad dan Maryam Jamilah yang asalnya Yahudi, seniman Yusof Islam dan lain-lain yang mengkaji secara perbandingan dengan mendalam dan ikhlas.

Perlu diketahui bahawa banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis dahulunya ditolak kerana tidak dicapai oleh akal manusia dan ternyata salahnya akal manusia dan kajiannya. Setelah adanya penemuan terkini, nyatalah benarnya al-Quran Kitab Allah daripada Ilmu dan Kalam-Nya yang sempurna setelah memakan masa dan generasi. Di sinilah arahan Allah kepada orang-orang yang beriman supaya menyerah diri secara mutlak kepada Allah yang Maha Suci daripada kelemahan dan kekurangan dan Rasulullah ﷺ pilihan Allah dan tidak mutlak kepada yang lain.

Firman Allah :
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَن يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.” (Surah al-Nur: 51)

Firman Allah :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُّبِينًا
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Allah mengajar hamba-Nya yang beriman dan budiman termasuk Rasul supaya berdoa memohon hidayah setiap rakaat solatnya.
اهدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ 
“Wahai Tuhan Kami! Tunjuklah kepada kami jalan yang betul.”

Adapun mereka yang sombong itu jauh sekali daripada bersolat. Namun, Allah memerintah konsep tidak ada paksaan dalam agama dengan firman-Nya:
لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىَ لاَ انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ. اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُواْ يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ 
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut (pelampau sempadan Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali (simpulan) yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (256). Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itu adalah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya (257).” (Surah al-Baqarah: 256-257)

Allah juga berfirman:
وَقُلِ الْحَقُّ مِن رَّبِّكُمْ فَمَن شَاء فَلْيُؤْمِن وَمَن شَاء فَلْيَكْفُرْ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا وَإِن يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاء كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (Surah al-Kahfi: 29)

Namun, Allah membuat keputusan yang Maha Adil pada Hari Kiamat melalui mahkamah-Nya yang dinyatakan:
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yasin: 65)

Terkini kita menyaksikan dengan sedikit ilmu kurniaan Allah manusia dapat mencipta alat-alat rakaman suara dan filem bergerak (video). Maka Ilmu dan Kuasa Allah tiada bandingan.

Terpulang kepada mereka yang merasa dirinya sangat bijak supaya muhasabah diri sekarang atau mahu menunggu sehingga tibanya hari kematiannya dan perkara yang dijanjikan itu betul atau tidak.

Kepada orang-orang yang beriman dan budiman cukup dengan para Rasul yang wajib bersifat benar, amanah berakhlak mulia, berani menyampaikan dan sangat bijak yang disaksikan oleh kaum di zaman masing-masing.

Firman Allah:
قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُم بِوَاحِدَةٍ أَن تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَى وَفُرَادَى ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍ إِنْ هُوَ إِلاَّ نَذِيرٌ لَّكُم بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ
“Katakanlah (wahai Muhammad); Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata (dengan ikhlas), sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).” (Surah Saba’: 46)

Seterusnya Allah mencabar dengan amaran:
وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُواْ بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُواْ شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنتُمْ صَادِقِينَ> فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ وَلَن تَفْعَلُواْ فَاتَّقُواْ النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ 
“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad ), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar (23). Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya - manusia dan batu-batu - (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir (24).” (Surah al-Baqarah: 23-24)

Ayat ini menegaskan bahawa al-Quran adalah mukjizat ilmu bagi semua bidang, lapangan dan jurusannya yang tidak mampu dicipta sepertinya oleh manusia dan Nabi Muhammad ﷺ adalah pilihan dan pelantikan Allah. Hukuman yang keras kerana balasan tidak mengikut petunjuk Allah Pencipta Alam menyebabkan kemusnahan alam, termasuk manusia sendiri yang menjadi makhluk perosak alam semesta.

Firman Allah:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian dialam dunia ini) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah al-Rum: 41)

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

BPMS : Berdakwah Bukan Menuduh

$
0
0

Firman Allah di dalam Surah Fussilat, ayat 33 hingga 36:
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ. وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ. وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلاَّ ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ. وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata; Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam! (tegas beristiqamah tanpa sembunyi) (33). Dan tidaklah sama (kesannya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang lebih baik. Apabila Engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan (bertukar) menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (34). Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar yang di kurniakan (daripada Allah kebahagiaan dunia dan akhirat) (35). Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui (36).” (Surah Fussilat: 33-36)

Demikianlah petunjuk Allah kepada Rasulullah ﷺ dan pengikut yang menyambung perjuangannya di sepanjang zaman. Berdakwah dan berpolitik secara matang dan sejahtera untuk menyelamatkan manusia bersama Islam seramai mungkin, walaupun terpaksa mengorbankan diri, laksana lilin yang bersedia membakar diri, demi memberi cahaya kepada semua. Bukan laksana monyet yang melompat dan bergayut mencari-mencari di pokok yang kelihatan lebat buahnya. Sepatutnya menjadi seperti pokok yang berbuah, bersedia menggugurkan buah yang masak kepada kanak-kanak nakal yang melontarkan batu dan kayu ke arahnya.

Maka Rasulullah ﷺ memaafkan orang yang memfitnah, orang yang cuba membunuhnya dan telah membunuh para sahabat dan keluarga kesayangannya. Sebabnya adalah fadilat menyelamatkan seseorang bersama Islam membawa kebaikan di dunia dan pahala yang berpanjangan sehingga ke Hari Akhirat.

Apabila mencapai kemenangan “Fathu Makkah” yang berada dalam keadaan paling kuat, Baginda ﷺ mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai, termasuk kepada kalangan yang disenaraikan kesalahan yang besar dan berat. Bukan seperti Revolusi Barat (Liberal Kapitalis) dan Timur (Komunis dan Sosialis) yang mengorbankan mangsa dendam yang jumlahnya sangat menggerunkan.

Benarlah apa yang berlaku selepasnya, mereka yang bermusuh itu menjadi sahabat yang setia dan rela berjuang bersama menegakkan Islam.

Generasi awal PAS dapat menyaksikan kesusahan dan pengorbanan sejak perjuangan menentang penjajah sehingga pasca kemerdekaan dan selepasnya. PAS menyokong ISA kerana menentang komunis yang masih bermaharaja lela dan mengancam keselamatan negara. PAS menyertai kerajaan campuran dan penubuhan BN selepas Peristiwa 13 Mei 1969 kerana mengukuhkan kedudukan umat Islam. 

Namun selepasnya, PAS pula menjadi mangsa ISA, dirampas kerajaannya di Kelantan, Peristiwa Memali yang mengorbankan pengikut setianya, dicekik Kelantan selepas kemenangan 1990 supaya tidak bernafas, dirampas royalti Terengganu apabila PAS berjaya memerintah semula 1999 dan dinafikan juga hak Kelantan.

Namun, PAS telah berjaya menyelamatkan umat Islam yang jahil akidahnya sehingga dicetuskan isu kafir-mengkafir oleh gejala menghina hukum Islam disebabkan kejahilan umat dan kelemahan para ulama, serta kerakusan pemimpin negara menghina Islam. PAS mengambil pendekatan dakwah bukannya menghukum yang menjadi lapangan para mufti dan qadi yang sangat malang dipenjarakan oleh undang-undang warisan penjajah yang belum dirungkai.

PAS mengambil pendekatan menyatakan batas-batas iman dan kufur sehingga berjaya menyedarkan umat dan melenyapkan suara menghina Islam di kalangan umat Islam sendiri. Kini hanya tinggal suara yang terpencil laksana harimau tua tidak bergigi yang melepak di hutan rimba, dan kalangan bukan Islam yang memberanikan diri tanpa menghormati Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam yang telah bangkit semula bersama arus kesedarannya.

PAS terus memilih demokrasi yang sinonim dengan ajaran Islam, bukannya demokrasi yang menipu rakyat yang masih jahil dan bodoh politiknya. Kalaulah rakyat Amerika yang dikatakan paling maju dan bebas, boleh terbabas memilih Presiden yang samseng dan bodoh semata-mata kerana kaya hartanya dan penguasaan media oleh Zionis, sehingga nafsu memintas akalnya. 

Maka kewajipan kita menyelamatkan rakyat di sini supaya tidak memilih yang dikitar semula melalui filem lama yang ditayangkan, khususnya kepada Melayu yang mudah lupa. Apa yang dibimbangkan pengaruh media sosial tanpa sempadan yang boleh menjadi tentera upahan musuh Islam.

PAS wajib memperkenalkan budaya politik damai tanpa perpecahan rakyat, sama ada kalangan umat Islam yang berbeza pendekatan dan rakyat bukan Islam yang berbeza agama dan budaya.

PAS menegaskan Islam wajib memimpin dan memerintah atau mempengaruhi pemerintah dengan nasihat yang wajib menegakkan konsep adil terhadap semua dan memelihara hak asasi manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

PAS mengambil pendekatan bertanding dalam pilihan raya tanpa berkelahi dan berpecah, melalui konsep ta’awun.

PAS mesti bertanding seberapa banyak kawasan kerana cita-cita memerintah negara, bukannya angan-angan “Mat Jenin” yang memanjat pokok yang berbuah sahaja walaupun bergayut di dahan yang rapuh sehingga membunuh diri sendiri, kerana budaya PAS bukan memanjat pokok yang berbuah, tetapi sanggup memanjat pokok yang tidak berbuah dan belum berbuah kerana keyakinannya akan berbuah apabila tiba masanya kalau dibajakan atau dicantas dahannya. PAS sabar berlalunya masa yang panjang, biar lambat asalkan selamat.

Al-Quran memaparkan kisah yang benar apabila Nabi Nuh alaihi al-salam yang dikatakan mustahil mencapai kemenangan bersama segelintir pengikut dalam perjuangan yang terlalu panjang masanya, akhirnya mencapai kemenangan dengan izin Allah. Selain itu, dipaparkan juga kisah yang benar, apabila Nabi Musa dan Harun alaihuma al-salam yang dianggap mustahil dapat menjatuhkan Firaun yang kaya dan kuat, serta terlalu ramai bala tenteranya, namun Allah menenggelamkannya dengan mudah ke dalam laut.

Sejarah Islam memaparkan kaum Tatar yang paling ganas membakar dan membunuh Baghdad dan pusat kerajaan Islam Abbasiyah, akhirnya kalangan pemimpin kaum Tatar juga menganut Islam dan menegakkan Islam. Ini membuktikan Islam berjaya menempa sejarah luar biasa dapat mempengaruhi penjajahnya kerana berkat jati diri beristiqamah bersama Islam, walaupun kebiasaannya rakyat akan terpengaruh dengan penjajahnya. 

Firman Allah:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاء وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاء وَتُعِزُّ مَن تَشَاء وَتُذِلُّ مَن تَشَاء بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Katakanlah (Wahai Muhammad); Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Aali-Imran: 26)

Paling penting ialah terus beristiqamah bersama Islam, setia kepada bai’ah, taat kepada pemimpin selagi tidak bercanggah dengan Islam daripada nas yang nyata, sama ada bersetuju atau tidak apabila telah diputuskan. Inilah adab dan akhlak kita berjamaah yang ditunjuk oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah ﷺ.  Kalau tidak, maka sia-sia di dunia yang dicita-citakan dan celaka di Akhirat yang menjadi wawasan.

Politik Islam berkonsepkan budaya matang dan sejahtera, tidak sama dengan politik barat sehingga matlamat menghalalkan cara yang haram dan merosakkan dunianya dan tidak ada wawasan Akhirat.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Perang Informasi Media PRu-14 : Jauhi Sikap Jahil

$
0
0

Allah Ta’ala meletakkan tanda aras yang sangat tinggi berkaitan informasi dan berita. Ia menjadi tanggungjawab iman seseorang Muslim supaya tidak bertindak atas kejahilan atau termasuk golongan yang jahil.

Jahil itu bukan sekadar jahil ilmu, tetapi ia lebih kepada sikap dan sifat seseorang yang meletakkan dirinya di situasi menjauhi kebenaran Islam. Ini kerana kejahilan itu sama ada pada ilmu pengetahuan, atau pada akidah pegangan dan pada akhlak serta moral.

Kemungkinan sesuatu kumpulan manusia itu hebat pada ilmu dan teknologi, namun jahil pada akhlak dan akidah. Sebab itulah al-Quran menceritakan kebanyakan Para Nabi diutuskan kepada umatnya yang sudah memiliki ketamadunan ilmu yang tinggi tetapi masih jahil dari sudut akidah dan akhlak.

Nabi Musa, Nabi Salleh dan Nabi Hud alaihim al-salam diutuskan kepada bangsa yang dipimpin para pembesar yang mempunyai ketamadunan yang unggul seperti Firaun, Kaum Tsamud dan Kaum ‘Aad. Mereka semua memiliki ketinggian ilmu dan kecanggihan teknologi tetapi dianggap jahil pada sisi Allah kerana tidak beriman dan tidak berakhlak.

Dalam al-Quran terdapat dua ayat yang menerangkan bagaimana terjadinya manusia menempatkan diri mereka dalam kejahilan. Pertama; Surah al-Ma’idah ayat 50 yang berbunyi:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum (sistem) jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

Kedua; Surah al-Hujurat ayat 6:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Kedua-dua ayat di atas adalah satu bentuk pedoman daripada Allah kepada orang beriman agar tidak meletakkan diri dalam keadaan yang disebut sebagai kejahilan.

Ayat Surah al-Ma’idah disebut secara jelas menyatakan bahawa orang beriman tidak seharusnya menolak sistem daripada Allah dengan menerima selainnya. Manusia sebahagian besarnya mengakui keesaan dan kewujudan Allah sebagai pencipta alam, pentadbir, pemberi nikmat rezeki dan sebagainya.

Akan tetapi ada di kalangan mereka tidak mahu menerima konsep ubudiyyah (kepatuhan) secara syumul kepada sistem Allah. Mereka menolak Islam dalam perundangan, menolak sistem pemerintahan Islam dan ekonomi Islam.

Mereka lebih meredhai sistem ciptaan manusia seperti sekularisme, kapitalisme, sosialisme, nasionalisme sempit serta pragmatisme daripada menerima petunjuk Allah dan Nabi Muhammad ﷺ. Dengan sebab itu, Allah meletakkan mereka sebagai golongan yang jahil.

Ayat ke-6 daripada surah al-Hujurat pula, al-Quran menggambarkan ada sebahagian manusia yang terkena virus jahiliyyah. Ini kerana sikap mereka yang tidak memiliki akhlak dalam melibatkan penerimaan dan penyebaran maklumat.

Perkataan fasiq dalam ayat bermaksud orang yang tiada integriti dalam nilai dosa pahala pada tindakan sebaran dan penerimaan berita dan maklumat. Tidak kira sekalipun di kalangan mereka yang terpelajar, mahupun tidak sama ada pemimpin dan juga rakyat.

Setiap maklumat yang diterima adalah berkewajiban diselidiki terlebih dahulu asal usul sumbernya, dan bukannya diterima bulat-bulat. Apatah lagi menyebarkannya pula tanpa usul periksa dan mengenal pasti kesahihahnnya. Sikap begini tidak seharusnya ada pada orang beriman, kerana itu dimulai ayat seruan itu dengan, “...Wahai Orang Yang Beriman...”

Justeru, bagaimana menangani kelakuan dan sikap kejahilan ini? Para ulama berdasarkan pengamatan mereka terhadap al-Quran telah membahagikan umat yang jahil kepada empat jenis keadaan dan cara mengatasinya, iaitu:
  1. Jahil yang diberikan penerangan agar mereka memahami dan menerimanya
  2. Jahil yang perlu dihadapi dengan prinsip yang jelas
  3. Mohon perlindungan kepada Allah daripada sikap golongan jahil
  4. Jahil yang tidak perlu dihiraukan sikap mereka dan tindakan mereka. Tanggungjawab umat Islam ialah meneruskan kerja dan perjuangan.
Pendekatan pertama yang dinyatakan di atas adalah berdasarkan firman Allah dalam surah al-A’araf ayat 199:
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ
“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”

Seterusnya pendekatan kedua ialah sebagaimana ayat 64, Surah al-Zumar:
قُلْ أَفَغَيْرَ اللَّهِ تَأْمُرُونِّي أَعْبُدُ أَيُّهَا الْجَاهِلُونَ
“Katakanlah, wahai Muhammad, apakah patut kamu menyuruh aku sembah selain daripada Allah (setelah jelas bukti Ke-Esaan-Nya) wahai orang yang jahil?”

Pendekatan ketiga pula ialah memohon perlindungan Allah daripada sikap golongan-golongan yang jahil. Firman Allah di dalam, Surah al-Baqarah ayat 67:
وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُواْ بَقَرَةً قَالُواْ أَتَتَّخِذُنَا هُزُوًا قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ أَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ
“Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina. Mereka berkata: Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? Nabi Musa menjawab: Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut).”

Pendekatan keempat, ialah membiarkan golongan-golongan jahil dan jangan dihiraukan sikap mereka dan tindakan mereka. Firman Allah dalam ayat 63, Surah al-Furqan:
وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلامًا
“Dan hamba-hamba (Allah) al-Rahman (yang diredhai-Nya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

Oleh itu, wahai umat Islam, jauhilah diri daripada sikap yang dicela oleh Allah sebagaimana dalam al-Quran. PRU 14, adalah medan memerlukan kita membentengi diri dengan nilai Iman dan Islam yang selama ini menghiasi diri kita. Jadikanlah ia sebagai penyelamat daripada kemurkaan Allah.

“Malaysia Sejahtera”

Biodata Penulis

Ustaz Muhammad Najhan Halim merupakan Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat 2018.

BPMS : Politik Penyelamat Bukan Politik Geram

$
0
0

Rasulullah ﷺ adalah pemimpin teladan sebenar pilihan Allah yang mendapat wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah Taala, maka ahli politik Islam tidak boleh menjadikan yang lain daripadanya sebagai ikutan dan teladan yang sebenar khususnya dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Para ulama merakamkan suatu hadis Nabi ﷺ dengan menyatakan sikap terhadap pihak lain (hadis ini dinyatakan al-Albani sanadnya jayyid) :
أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا , وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا
“Kasihlah terhadap seseorang yang disayangi dengan berpada-pada (jangan melampau), kerana kemungkinan di satu hari nanti dia menjadi musuh yang paling dimarahi, marahlah terhadap seseorang dengan berpada-pada, kerana dia boleh menjadi kekasih di satu hari nanti”

Jangan terpengaruh dengan budaya politik melampau amalan jahiliyah yang tersebar luas dalam dunia kini. Budaya yang sangat menggoda khususnya melalui media sosial tanpa sempadan dan akhlak yang tidak mengambil kira dosa dan pahala. Pendekatannya lebih banyak menyerang daripada menerang, menyebarkan fitnah, memburukkan lawan dan kawan tanpa sempadan akhlak dalam mencegah kemungkaran.

Islam memandu kita walaupun kemungkaran itu sebenarnya berlaku, tetapi diutamakan menyelamatkan kedua-dua pihak, pelaku dan mangsanya, kerana manusia itu boleh berubah. Kalau tidak akan berubah, itu adalah urusan Allah, bukan urusan kita. Maka dalam mencegah kemungkaran itu, jangan melampau sehingga mencetuskan fitnah yang lebih parah dan lebih buruk akibatnya. Laksana memberi ubat terlebih dos sehingga menjadikan penyakit lebih parah dan boleh membawa maut.

Pendekatan ini berpandukan hadis Rasulullah ﷺ :
انْصُرْ أخَاكَ ظَالماً أَوْ مَظْلُوماً. فَقَالَ رجل: يَا رَسُول اللهِ، أنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُوماً، أرَأيْتَ إنْ كَانَ ظَالِماً كَيْفَ أنْصُرُهُ؟ قَالَ: تحْجُزُهُ - أَوْ تمْنَعُهُ - مِنَ الظُلْمِ فَإِنَّ ذلِكَ نَصرُهُ
“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya; Saya nampak (suatu keperluan) untuk menolong kalau dia dizalimi. Apakah pandangan Rasulullah kalau dia si zalim? Bagaimana cara saya menolongnya? Sabdanya; Kamu halang atau cegahnya daripada berlaku zalim, itulah cara menolongnya.” (Riwayat al-Bukhari)

Politik hidayah Allah yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ ada batasan akhlak mulia, sempadan baik dan buruk serta perhitungan halal dan haram. Caranya lebih bersifat menjadi penyelamat rakyat dan mereka yang terjerumus ke dalam dosa. Tujuannya adalah mengislahkan bukan terus dibiarkan menjadi rosak atau lebih merosakkan lagi. Di zaman pendekatan ini diamalkan, ia telah menjadikan pengikut Islam makin bertambah apabila mereka menyaksikan pelaksanaanya bukan untuk mencipta musuh seramai-ramainya.

Pendekatan ini juga tidak hanya melihat dari sudut kesalahan seseorang sahaja sehingga menafikan sudut kebaikannya, atau menentang sesuatu pihak untuk dijatuhkan semata-mata ingin mendapatkan peluang mengambil kuasa untuk diri sendiri dan puaknya sahaja, selepas itu tidak mempedulikan rakyat dan menegakkan jahiliyah di atas runtuhan jahiliyah.

Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, sebagaimana ditegaskan oleh Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya’: 107)

Mesej politik Islam adalah mengajak manusia bersama Islam, menjadi penyelamat dan mengemukakan penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat, termasuk diri orang yang melakukan kesilapan, bukan sahaja menyelamatkan mangsanya.

Islam menunjukkan bahawa punca dan sebab paling utama adalah masalah aqidah dan akhlak, tetapi aspek ini tidak diminati oleh masyarakat umum hari ini untuk diselesaikan kerana mereka hanya berfikir di perut, bukannya berfikir di kepala dan hanya mengutamakan masalah kehidupan yang sangat menekan. Jauh sama sekali memahami bahawa punca segala masalah disebabkan oleh kefahaman yang rosak.

Peranan PAS adalah menjadi penyelamat bersama Islam supaya yang salah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat, bukan sekadar mahu merampas jawatan semata-mata atau sekadar membalas dendam terhadap yang menjatuhkan dan mengambil semula jawatan dengan penuh geram kerana pernah dijatuhkan, dikalahkan dan dipecat.

Kita tegas dengan keyakinan bahawa hanya pemimpin yang beriman, benar aqidah, budiman dan luhur akhlaknya dapat menyelamatkan rakyat dengan contoh dirinya, sehingga berjaya mendidik rakyat menjadi beriman dan budiman. Bukannya laksana ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Sifat pemimpin itu dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran:
وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ
“Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah al-Sajadah: 24)

Semua Para Rasul alaihim al-salam mengajak para pemimpin dan kaum masing-masing dengan pendekatan menjadi penyelamat terhadap yang paling zalim dan keras, walaupun terpaksa memakan masa yang panjang sehingga kebanyakan mereka tidak sempat menyaksikan hasil perjuangan semasa hidup di dunia, tetapi kejayaannya disaksikan oleh generasi yang meneruskan perjuangan mereka.

Allah mewahyukan perintah-Nya kepada Nabi Musa alaihi al-salam yang dipilih Allah, supaya menghadapi Firaun yang paling dimurkai Allah kerana sikap melampau dalam aqidah, mengaku dirinya Tuhan dan melakukan kezaliman politik dan ekonomi, menyembelih anak yang dilahirkan dan memperhambakan rakyat, namun Allah berfirman kepada Rasul-Nya Musa dan Harun alaihuma al-salam:
اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى. فَقُولا لَهُ قَوْلا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya (43). Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut (44).” (Surah Taha: 43-44)

Allah juga menamakan Para Rasul-Nya adalah saudara kepada kaumnya walaupun kaumnya sesat dan zalim. Firman Allah :
وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُواْ اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ أَفَلاَ تَتَّقُونَ
“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka; Nabi Hud. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepada-Nya?” (Surah al-A’raf: 65)

Firman Allah :
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ فَإِذَا هُمْ فَرِيقَانِ يَخْتَصِمُونَ
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh (menyeru mereka dengan berkata); Sembahlah kamu akan Allah! Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah.” (Surah al-Naml: 45)

Firman Allah kepada Rasulullah ﷺ dan umatnya:
ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ
“Tolaklah (kejahatan yang dilakukan terhadapmu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seorang sahabat penyayang.” (Surah Fussilat: 34)

Maka Rasulullah ﷺ mendahulukan kemaafan dan menggalakkan bertaubat, bukan yang paling diutamakan untuk menjatuhkan hukuman sehingga mewajibkan syarat-syarat yang memayahkan, jauh sama sekali untuk membalas dendam.

Walaupun dalam keadaan paling tegang, keras dan berkuasa, namun Allah menegaskan wajib berlaku adil juga terhadap musuh. Firman Allah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاء بِالْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلاَّ تَعْدِلُواْ اعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah: 8)

Allah menunjukkan kepada Rasulullah ﷺ tentang cara-cara untuk menghadapi mereka yang melakukan dosa paling besar iaitu melantik tuhan selain Allah:
وَلاَ تَسُبُّواْ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّواْ اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-Ana’am: 108)

Beginilah Allah melarang sikap melampau dalam mencegah kemungkaran. Walaupun kemungkaran itu benar tetapi tidak dibenarkan meledakkan kemungkaran yang lebih besar daripadanya.

Oleh kerana Islam beristiqamah dengan aqidah dan akhlaknya, maka semua tahaaluf (persefahaman politik) bersama pihak lain dilakukan oleh Rasulullah ﷺ dalam keadaan kedudukan Islam yang lebih kuat, memimpin dan memerintah, bukan dalam kedudukan yang lemah dan mudah di arah oleh pihak yang lain sehingga menjadikan kumpulan Islam terikut dengan budaya pihak lain yang tidak matang dan sejahtera.

Hanya Islam dengan jati diri pendokongnya sahaja mampu menangani pertembungan dalam masyarakat majmuk dengan panduan Allah:
لَّذِينَ أُخْرِجُوا مِن دِيَارِهِمْ بِغَيْرِ حَقٍّ إِلاَّ أَن يَقُولُوا رَبُّنَا اللَّهُ وَلَوْلا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ. الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ
“Mereka yang diusir daripada kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), rumah-rumah ibadat kaum Yahudi dan tempat-tempat sembahyang), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan (41).” (Surah al-Hajj: 40-41)

Walaupun dihalau daripada tanah air kesayangannya, dibunuh keluarga dan para sahabat tersayang, Rasulullah ﷺ menunjukkan sifat wasatiyyah (tidak melampau) apabila berjaya mencapai kemenangan “Fathu al-Makkah” (membebaskan Makkah) tanpa membalas dendam terhadap musuhnya, walaupun kedudukannya kuat berkuasa.

Contoh ini diteladani oleh generasi kemenangan Islam di zaman keemasan selama beberapa abad. Ramai kalangan musuh yang paling ganas terhadap Islam bertukar menjadi penganutnya yang setia, ikhlas menyebarkan Islam dan membangun negara bersama Islam. Golongan bukan Islam pula lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam.

Dalam menghayati konsep demokrasi untuk mendapat dokongan rakyat, pendekatan “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” (BPMS) secara Islam wajib berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah ﷺ supaya mencapai fadhilat menyelamatkan rakyat bersama Islam dengan petunjuk Allah yang sempurna dan berwawasan di dunia sehingga akhirat.

Sabda Rasulullah ﷺ :
لأنْ يهْدِيَ اللَّه بِكَ رجُلًا واحِدًا خَيْرٌ لكَ من حُمْرِ النَّعم
“Demi sesungguhnya seseorang mendapat hidayat Allah dengan sebabmu lebih baik daripada kenderaan termahal harganya.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Kita wajib beriman kepada Qadar dan takdir Allah terhadap alam yang boleh berubah termasuk manusia, maka sikap yang anjal (fleksibel) dalam berpolitik dan berdakwah dalam perkara yang tidak ada nas yang tetap, sangat penting untuk kita berijtihad bagi melaksanakan konsep “Budaya Politik Matang dan Sejahtera” (BPMS) bersama Islam.

Sikap begitu bukannya bererti lemah, namun kekuatannya tetap dibuktikan apabila pihak musuh Islam melampaui batas. Rasulullah ﷺ bersabda:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بالصُّرَعَةِ، إنَّمَا الشَدِيدُ الَّذِي يَملكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
“Bukanlah orang yang hebat gagah perkasa itu yang cepat bertindak membelasah secara melulu. Sesungguhnya yang hebat itu ialah orang yang dapat mengawal diri ketika terlalu marah.”

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Halal dan Haram Dalam Kehidupan Masyarakat Majmuk

$
0
0

Firman Allah Taala di dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

Ayat ini termasuk dalam surah Madaniyyah (diwahyukan di Madinah) yang diturunkan ketika tegaknya “Negara Islam” bermasyarakat majmuk.

Tujuannya sebagai petunjuk sepanjang zaman supaya menerima hakikat bermasyarakat Madani walaupun berbeza jantina, bangsa dan agama, serta wajib berdakwah menyampaikan Islam kepada seluruh manusia dengan sikap terbuka, aman damai dan tanpa paksaan beragama. Selain itu juga, hendaklah dijalinkan hubungan kemanusiaan dalam titik persamaan, bertaqwa dengan pegangan agama Islam dan beristiqamah dengan tidak melampau dan tidak hanyut.

Allah telah menetapkan dalam perkara halal dan haram mengikut sempadan hukum dan dilarang bermudah-mudah dalam menjatuhkan hukumnya. Allah Taala berfirman :
وَلاَ تَقُولُواْ لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُواْ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لاَ يُفْلِحُونَ
“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu Ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.” (Surah al-Nahl: 116)

Sirah Rasulullah ﷺ telah menunjukkan pendekatan berhubung dengan manusia, di samping pegangan yang teguh kepada agama, hendaklah dengan cara tidak membebankan diri sendiri dan menarik pihak lain kepada Islam dengan terbuka.

Sabda Baginda ﷺ :
َسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا، وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُواِ
“Mudahkan, jangan menyusahkan. Gembirakan, jangan meliarkan.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Dalam perkara pemakanan yang menjadi rukun hidup manusia, Allah menetapkan makanan yang sama halal dan haram kepada penganut Islam di antara lelaki dan wanita dan kewajipan ibadat yang sama syarat dan rukunnya. Tetapi ada yang berbeza fitrah walaupun sama wajib, seperti sama konsep menutup aurat, tetapi berbeza sempadan auratnya.

Dalam menunaikan ibadat solat dipisahkan di antara lelaki dan wanita, tetapi ketika haji bertawaf dan bersa’ie dicampurkan semua dalam keadaan menutup aurat dan menjaga diri masing-masing.

Dalam hubungan dengan pihak lain yang berbeza agama, Allah memerintah supaya melakukan kebijaksanaan dengan mendahulukan perdamaian dan persaudaraan, tanpa paksaan dalam perkara agama.

Rasulullah ﷺ mempraktikkan apa yang diperintahkan oleh Allah supaya menjadi petunjuk kepada umatnya, tentang bagaimana cara beramal dengan al-Quran, khususnya dalam perkara bermasyarakat dan bermuamalat. Apabila Allah berfirman :
الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلُّ لَّهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلاَ مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ وَمَن يَكْفُرْ بِالإِيمَانِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ فِي الآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
“Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada Hari Akhirat kelak daripada orang-orang yang rugi).” (Surah al-Ma’idah: 5)

Ayat ini menunjukkan Allah menetapkan ada titik persamaan dalam perkara halal dan haram dengan agama lain daripada kalangan ahli Kitab dan menolak adanya titik perbezaan, apabila mereka sendiri menyelewengkannya, seperti memakan babi, tidak menyembelih binatang, meminum arak dan berjudi.

Maka, Rasulullah ﷺ memakan hidangan yang dihantar oleh orang Yahudi dan berwuduk dalam bekas kepunyaan orang Musyrik, bagi melaksanakan kelonggaran yang diizinkan oleh Allah dan mengadakan hubungan bermasyarakat kemanusiaan, serta melaksanakan konsep kebebasan beragama dengan beristiqamah mengikut sempadan halal dan haram mengikut titik persamaan yang tersebut di atas, tanpa menambah sehingga mengharamkan apa yang dihalal dan menghalalkan apa yang diharamkan. Siapakah lagi yang lebih warak daripada Rasulullah ﷺ?

Ahli sejarah ekonomi Islam melaporkan bahawa Rasulullah ﷺ bersama isterinya, Khadijah binti Khuwailid radhiallahu anha melaksanakan muamalat mudarabah dan murabahah tanpa riba dalam masyarakat Makkah yang syirik menyembah berhala.

Di masa Hijrah, Baginda ﷺ menugaskan menantunya Ali bin Abi Talib radhiallahu anhu memulangkan barang simpanan penduduk Makkah yang bermuamalat, tanpa melarikan harta yang diamanahkan kepadanya, walaupun dalam tekanan beragama dan kesibukan berhijrah.

Ini menunjukkan betapa sifat amanah Rasulullah ﷺ yang dilaksanakan terhadap bukan Islam walaupun bermusuh, sehingga Baginda ﷺ lebih dipercayai oleh bukan Islam, sifat amanah Baginda ini sangat dihormati. Dalam masa yang sama, rumah Rasulullah ﷺ menjadi bank yang pertama dalam sejarah ekonomi yang bermuamalat dan berhubungan dengan bukan Islam yang tidak diputuskan dalam kehidupan bermasyarakat.

Ketika di Madinah juga, Baginda ﷺ berhutang dan bergadai dengan Yahudi bukan Islam tanpa riba, menunjukkan ketegasan dalam hukum tanpa memutuskan hubungan bermasyarakat.

Di sana ada perkara yang banyak yang tidak dinaskan halal dan haramnya, maka nyatalah halalnya, mengikut hukum asal sesuatu adalah halal selagi tidak ada nas mengharamkannya. Maka tidaklah perlu meletakkan tanda halal kepada buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, pakaian, kenderaan dan sebagainya, kecuali ternyata sudah dicampur dengan bahan-bahan yang diharamkan apabila memasak atau mengawetnya.

Dalam hal ini, ada tindakan tertentu mengikut keadaan tersendiri yang boleh diputuskan oleh pihak berkuasa bukannya individu, supaya tidak boleh membatalkan hubungan di lapangan umum bagi memperkenalkan Islam.

Islam juga mengizinkan penganut agama lain melaksanakan apa yang diizinkan oleh agama mereka, walaupun diharamkan oleh Islam dengan sempadan menjaga sensitiviti umat Islam. Umat Islam juga disuruh menjaga sensitiviti penganut bukan Islam, sehingga termasuk dalam perkara aqidah ketuhanan.

Firman Allah :
وَلاَ تَسُبُّواْ الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّواْ اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-An’am: 108)

Ayat ini menunjukkan betapa hubungan hidup bermasyarakat majmuk yang wajib dipelihara sehingga membolehkan mesej Islam itu disampaikan hendaklah diutamakan. Jangan sekali-kali bertindak dengan cara melulu sehingga menutup pintu bermasyarakat dan menghalang dakwah dengan tindakan kononnya beragama tetapi melakukan kejahilan dengan menghalang Islam disampaikan melalui pergaulan masyarakat yang telah ditetapkan sempadannya oleh hukum Islam.

Di sini perlunya kesimbangan di antara ilmu Islam dan akal. Orang Islam yang tidak seimbang ilmu Islam dan akalnya laksana tidak seimbang di antara saiz kaki dan kasut. Kalau kakinya kecil, kasutnya besar maka tercabut. Kalau kakinya besar, kasutnya kecil maka kakinya melecet. Akhirnya berkaki ayam juga.

Maka, berwaspadalah dengan mereka yang tidak seimbang di antara ilmu agama dan akalnya, dan mereka yang jahil agama menggunakan akal tetapi buta al-Quran. Kini ramai kalangan mereka yang menonjolkan diri sehingga mengelirukan masyarakat Islam (umat ijabah) dan menutup pintu hubungan dengan bukan Islam (umat dakwah).

Allah berfirman :
وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Surah al-Isra’: 36)

Para ulama menafsirkan ayat ini dengan maksud yang umum, termasuk juga bercakap, menulis, menjadi saksi dan lain-lain.

“Sejahtera Bersama Islam”

Biodata Penulis

Y.A.B Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang merupakan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Viewing all 310 articles
Browse latest View live